Pengikut

Jumaat, November 29, 2013

SITI Aishah hamba komunis dan novel Anwar Ridhwan

SEKONYONG-konyong ada cerita timbul berkaitan dengan pejuang komunis dari Malaysia di luar negara. Siti Aishah binti Abdul Wahab, 69 tahun dikesan menjadi hamba kepada satu keluarga di Britain.  Lalu dibongkar kisahnya sewaktu muda menjadi komunis dan berhijrah ke luar negara untuk mengamalkan ideologinya serta aktif dalam perjuangan komunisme.  Menurut Ketua Polis Negara, wanita itu memang menjadi buruan polis pada tahun 1970-an.


Sebelumnya saya baru tamat membaca novel Penyeberang Sempadan karya Sasterawan Negara Anwar Ridhwan.  Setelah tamat membaca novel berkenaan, seakan mudah saya memahami bagaimana wanita Melayu yang lahir daripada keluarga desa, beragama Islam sampai ke Britain semata-mata kerna perjuangan komunisme.

Dalam Penyeberang Sempadan, Anwar Ridhwan mengemukakan watak lelaki Melayu kelahiran sebuah desa di Perak.  Kuay, lelaki itu terdidik sebagai orang yang beragama sebagaimana anak-anak Melayu yang lain.  Kematian ayahnya di tangan penjajah British menyebabkan dendamnya kepada British membara.  Dendamnya membawa dirinya ke Pahang untuk menyertai perjuangan politik radikal antipenjajah British, API.  Oleh kerna API cenderung kiri atau sosialis, mudah saja anggotanya diresapi fahaman komunis.  Anwar menggunakan seorang watak lelaki dari Jawa untuk mengubah pemikiran kiri Kuay kepada komunisme. 

Kuay menjadi buruan British kerna keaktifannya bersama gerombolan-gerombolan anggota Parti Komunis Malaya.  Kerna diyakini Kuay seorang anak muda yang kuat perjuanga komunisnya, parti telah menghantarnya ke China untuk meggaji komunisme dengan lebih mendalam. Bertahun-tahun di China, kemudian dia behijrah ke Soviet Union juga dalam rangka perjuangan komunisme.

Dari Soviet Union, Kuay menjadi salah seorang delegasi komunis kuasa besar itu untuk satu persidangan komunis antar bangsa di Mesir. Di negara Gamal Abdel Naseer itu dia dicolek oleh ejen Amerika dan di bawa ke negara kepala demokrasi. Tujuan Amerika mencoleknya  dan dibawa ke sana supaya Kuay melihat kejayaan demokrasi-kapitalis.  Inilah kerja Perang Dingin antar Amerika dengan blok Komunis. Lalu Kuay menganut pula demokrasi-kapitalis.  Sehinggalah Kuay diketemukan dengan seorang perempuan Palestin di Amerika. Kedua-duanya pindah pula ke Jordan. Di Jordan, dengan bantuan perempuan Palestin itu, Kuay menemui dirinya yang dahulu hilang, iaitu Islam. Tak lama Kuay menukar ideologinya kepada Islam pula. Di Timur Tengah itulah Kuay ditahan oleh pihak berkuasa Arab Saudi atas kerjasma dengan pihak keselamatan Malaysia.

Oleh kerna Kuay sudah jelas pendiriannya membuang komunisme dan memilih ideologi Islam yang juga menjadi amalan biasa dalam sistem bernegara di Malaysia, maka Kuay dibenarkan pulang ke Malaysia bersama isterinya, perempuan Palestin itu.

Siti Aishah juga penyeberang sempadan, tetapi kita masih tidak jelas apakah ideologinya sekarang. Komunisme sudah ambruk dan manjadi simpanan di museum, dan Siti Aishah pula menjadi hamba.  Sangat ironis kepada seorang pejuang komunis yang berjuang menghapuskan kasta dan kapitalis, akhir hidupnya menjadi hamba pada saat saudara-saudaranya di Malaysia menikmati kemakmuran dan kesenangan hidup.


Harap-harap Siti Aishah dapat diselamatkan, dibawa pulang untuk mengakhiri hidup sebagai wanita muslimah.  Semoga akhir hayatnya dia menikmati iman, dan dengan itu kepayahan sepanjang hidup dapat Allah ganti dengan yang sebaiknya di akhirat kelak.

Isnin, November 25, 2013

KATAKAN Facebook dan Twitter itu bid'ah!

SEORANG bergelar ustaz, penulis buku agama dan penceramah tetap beberapa buah masjid memberi contoh bid’ah sebagai ‘memakai baju kemeja’ sebab Baginda Nabi s.a.w. tidak memakai baju kemeja.  Sebelumnya dalam catatan di media sosial, dia menyindir orang yang prihatin masalah sunah dan bid’ah dengan meminta pencinta sunah tidak menggunakan komputer sebab alatan ini adalah bid’ah, tidak digunakan oleh  Baginda Nabi s.a.w. Tentulah Facebook dan Twitter juga bid’ah!


Mungkin saja memang itulah pemahaman dia mengenai bid’ah, atau dia sengaja bergurau mengenai contoh-contoh bid’ah.  Dalam beberapa perkara mungkar seperti khurafat dan syirik, mudah saja orang berwatak agama menerimanya.  Lihat saja nasib adat ‘mandi safar’ yang dahulu popular di Melaka dan sedikit kawasan lain. Hari ini Mandi Safar sudah dikuburkan sebab golongan agama memberi maksud perbuatan itu sebagai khurafat.  Lihat juga amalan membawa makanan ke kubur orang berilmu (mungkin ulama atau wali), sudah tiada lagi kerna kritikan ulama.

Bid’ah itu apa?

Dalam satu hadis, daripada Jabir bin Abdullah mengatakan yang Baginda Nabi s.a.w. bersabda (maksudnya), “Sesungguhnya sebaik-baik ucapan ialah kitabullah (al-Quran) dan sebaik-baik petunjuk ialah petunjuk Muhammad (as-Sunah).  Seburuk-buruk perkara adalah yang diada-adakan (bid’ah) dan setiap yang diada-adakan adalah sesat.” (Riwayat Muslim).

Dalam hadis lain, menurut Irbadh bin Sariyah (panjang hadisnya, diambil seperuh bahagian hujung) ….Sesiapa di antara kamu hidup setelah ketiadaanku, dia akan meilhat perselisihan yang banyak.  Oleh itu, berpegang teguhlah kamu dengan sunahku dan sunah khulafa ar-Rasyidun yang mendapat petunjuk.  Gigitlah ia (sunah) dengan geraham (iaitu berpegang dengan kuat). Hendaklah kamu menjauhi perkara-perkara yang baru atau , kerna setiap perkara baru adalah bid’ah dan bid’ah itu sesat.” (Riwayat al-Bukhari)

 Nampak macam betul baju kemeja dan komputer sebagai bid’ah. Bukan itu saja yang baru,  tak terkira banyaknya.  Sesatkah memakai baju kemeja dan menggunakan komputer? Akan terhukum di neraka pula?

Kata Imam As-Syatibi, “(Bid’ah ialah) jalan yang direka dalam agama yang menyerupai syariah (peraturan agama).  Tujuan mengamalkannya adalah untuk berlebihan dalam mengabdi kepada Allah.” (Kitab al-I’tisom).

Kata Imam Jauhari, “Adapun bid’ah perkara baru dalam agama setelah sempurna agama itu” (Umar Hashim, Apakah Anda Termasuk Golongan Ahlus Sunah Wal Jamaah, 1982)

Mengapa Imam Syatibi dan Jauhari mengkhususkan makna bid’ah dalam perkara agama, bukan hal pakaian, kenderaan dan kelengkapan hidup lain?  Adakah dia bergurau dalam memberikan maksud bid’ah? Tidak!  Baginda Nabi s.a.w. memberi maksud bid’ah begitu sebab membandingkan maksud hadis nabi s.a.w. “Kamu lebih tahu hal-ehwal dunia kamu.” (Riwayat Muslim) dan “Jika sesuatu perkara itu termasuk urusan keduniaan kamu maka uruslah.  Jika ia merupakan urusan agama kamu, maka rujuklah kepadaku.” (Riwayat Ibn Majah).

Keduniaan seperti pakaian dan alat komunikasi sentiasa berubah-ubah.  Perkara ini termasuk keduniaan yang Baginda Nabi s.a.w. menyatakan ‘…termasuk urusan keduniaan kamu maka uruslah.”  Pemikiran kreatif dan inovatif menyebabkan berlakunya rekaan dalam 1001 barangan. Ini kepandaian manusia di semua zaman dan tempat. Uruslah hal dunia ini. Ini bukan hal agama.  Kalau hal agama, rujuk kepada Baginda Nabi s.a.w. maksudnya lihatlah sunah Baginda Nabi s.a.w.

Oleh kerna bid’ah itu melingkari urusan agama (akidah dan ibadah khusus), maka sangat susah hendak menghilangkannya. Bukan mudah menukar sikap para pengamal bid’ah sedangkan selama ini cara itulah mereka bertaqarub (mendekatkan diri) kepada Allah.  Ketua-ketua mereka orang berserban, berjanggut dan mulutnya senantiasa menyebut kalimah mulia.  Katakan saja mereka solat Subuh empat rakaat, penambahan dua rakaat sekalipun mereka mendakwa sangat berhasil mendekat diri kepada Allah pada hari yang dingin, itulah bid’ah dan kesesatan!

Membaca al-Quran masih ibadah khusus dan sunah.  Baginda Nabi s.a.w. menyebut supaya baca al-Quran di rumah, tidak menjadikan rumah sepi seperti kuburan. Namun jika menentapkan ayat atau surahnya pada waktu-waktu yang dikhaskan sedangkan tidak ada contoh daripada sunah Nabi s.a.w., itulah bid’ah.  Mengapa begitu?  Kita solat wajib membaca surah al-Fatihah.  Al-Fatihah adalah satu surah dalam al-Quran, dan Sunah Nabi memberi petunjuk sebagai bacaan wajib dalam setiap rakaat solat.  Itulah sunah Nabi sebab ada contoh daripada Nabi s.a.w.

Yang kita pilih beberapa surah, dengan beberapa ayat  al-Quran tertentu lalu dijadikan satu modul (misalnya Tahlil Arwah) dan modul ini ditetapkan waktu penggunaannya (penetapan waktu, seperti waktu solat), ini bermakna modul Tahlil ini sudah menjadi satu ibadah khusus.  Ini rekaan atau perkara baru yang muncul setelah kewafatan Baginda Nabi s.a.w.   Oleh kerna kelihatan seperti ibadah yang benar, dan dilaksanakan dalam suasana yang masih emosional (maksudnya masa sedih hari kematian), maka mudahlah berakar sehingga hal itu disangka amal ibadah yang pernah ditunjukkan oleh Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w.

Mudahkah meninggalkan Tahlilan ini? Tidak!  Orang akan berhujah semula, “ingat jenazah itu bangkai kambing, dah tanam tak ada majlis apa-apa?” Atau, “Selama ini ustaz yang memimpin kenduri-kenduri arwah ini, tak mungkin mereka yang berilmu menyalahi sunah.”  Lagi pula, setiap majlis itu kemudian ada jamuan yang enak.  Bukan mudah meninggalkan keenakan hidup yang dirasakan sudah berada di atas jalan agama.  ….walaupun sebenarnya tidak menuruti sunah Nabi s.a.w.


w.a. 

Rabu, November 20, 2013

MANA ada orang tolak jawatan dan pangkat tinggi

ADA orang sampai bosan memegang jawatan Yang Dipertua PIBG sebuah sekolah. Tapi ada juga yang seperti kemaruk hendak jawatan itu. Jawatan-jawatan pentadbiran dan politik, sangat digilai orang.  Tengok dalam pemilihan parti politik atau pilihan raya, punyalah banyak orang bercita-cita hendak mencapainya.  Kalau menjadi Wakil Rakyat menyebabkan dirinya semakin kehilangan harta, tidak ada siapa hendak jadi Wakil Rakyat.  Kalau menjadi ketua bahagian dalam parti politik memaksa dia mengorbankan masa, tenaga dan harta tanpa ada pulangan yang lumayan, tidak ada siapa yang akan bertanding merebut jawatan itu.

foto hanya hiasan, tiada kena-mengena dengan rencana ini

Jadi fahamlah mengapa orang mahukan jawatan.  Dalam pekerjaan pun, pegawai tergila-gila mahu pangkat yang tinggi. Pangkat tinggi maknanya gajinya lagi tinggi. Kalau pangkat semakin tinggi, tetapi gajinya semajin rendah, sumpah tidak ada yang mahu.  Jadi sekali lagi, fahamlah mengapa orang mahukan jawatan. Cakap dengan jawatan itu mahu berkhidmat dan mengabdi kepada masyarakat…, itu bagi sedap mulutlah. Tak kan dia nak cakap, ‘dengan jawatan ini saya akan menjadi kaya dan berkuasa besar’. Mampus!

Nabi s.a.w. ada berpesan kepada kita bab meminta jawatan.  Selalunya, jawatan ialah pekerjaan.  Pekerjaan itu ada ganjaran atau upahnya.

"Daripada Abdul Rahman bin Samurah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda kepadanya: ”Wahai Abdul Rahman bin Samurah jangan engkau meminta jawatan pemimpin. Sebab jika ia diserahkan kepadamu kerana permintaanmu maka ia akan diserahkan bulat–bulat kepadamu. Sebaliknya jika ia diserahkan kepadamu tanpa permintaanmu maka engkau akan diberikan pertolongan dalam melaksanakan tugasmu. (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim).

Kita agak-agak sahaja ya…

Pertama:  Jika kita meminta jawatan berkenaan, mestilah kita sudah membayangkan upah, ganjaran atau kebaikan-kebaikan peribadi apabila menjawatnya.  Dengan semua ganjaran itu, semakin mudah kehidupan kita sekeluarga.  Walau bagaimanapun, sebagai manusia tentulah ada kelemahan atau silapnya.  Sebenarnya dengan kelemahan atau kesilapan itu, kita boleh diturunkan daripada jawatam itu.  Agak-agaklah ya…, adakah kita dengan rela hati mengakui salah atau lemah diri yang menyebabkan kita kehilangan jawatan itu?  Atau mungkin kita akan membuat helah, ‘cover’ sana-sini, putar cakap asalkan semuanya nampak cantik. Agaknya apa ya?

Kedua:  Jika kita tidak meminta jawatan berkenaan, dan ditawarkan pula oleh orang lain.  Kita pula memang tidak mahu berjawatan itu walaupun sedar ada ganjaran dengan kedudukan itu.  Jika kita terpaksa juga menerima jawatan itu kemudian terjadi kesilapan besar dalam kerja itu, agak-agaklah, adakah kita akan membuat tipu helah dan ‘cover’ sana-sini untuk menyelamatkan diri daripada dikenakan tindakan?  Ada orang kata, dia akan rela hati melepaskan jawatan atau kalau dipecat dia akan senyum puas.


Aganya, sebab itulah baginda nabi s.a.w. bersabda seperti di atas.  Namun kebanyakan kita memang meminta jawatan itu dan ini.  Memang Tuhan akan menguji kita dalam bab ini. Gagal atau berjaya?

Selasa, November 19, 2013

BERHENTI politikkan hukum hudud, Prof Agus

oleh: Prof Mohamad Agus Yusoff

Apabila saya menyatakan hudud tidak boleh dilaksanakan tanpa persetujuan kerajaan pusat, beberapa rakan fb memberi pandangan balas. Ada yang tanpa memahami lebih lanjut menuduh saya menolak dan menentang hudud. Nauzubillah.

Saya tidak menolak dan menentang hudud. Saya katakan, hudud tidak boleh dilaksanakan tanpa kelulusan parlimen, yakni tanpa kerjasama dari kerajaan pusat. Itu yang saya tulis.

Betul, agama adalah bidang kuasa negeri, tetapi Seksyen 2 Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) menyatakan “apa-apa kesalahan yang boleh dihukum penjara selama tempoh melebihi tiga tahun atau denda melebihi lima ribu ringgit atau sebatan melebihi enam kali atau apa-apa gabungan hukuman-hukuman tersebut” adalah di bawah bidang kuasa kerajaan pusat.

Akta 355 adalah akta yang digubal di parlimen, maka negeri tidak boleh melebihi kuasa ini kerana sebarang percanggahan dengan undang-undang pusat, dengan sendirinya kuasa negeri terbatal setakat yang bercanggah itu (Perkara 75 Perlembagaan Persekutuan).

Justeru negeri mempunyai kuasa yang terbatas, maka saya nyatakan cukuplah politikkan hukum hudud ini. Jika PAS betul-betul hendakkan hudud ini dilaksanakan, carilah penyelesaian undang-undang atau politik, bukannya dengan cara PAS dan UMNO saling bercakaran di media dan di pentas ceramah.

Saya pada awalnya tidak mahu menyentuh tentang hal ini, tetapi melihat kepada banyaknya kesan negatif kepada hukum hudud itu sendiri jika penjelasan tidak dibuat, akhirnya saya muncul memberikan pandangan. Ini kerana saya melihat ramai rakyat yang keliru dengan pelbagai pandangan dari pakar dan pemimpin politik yang saling bercanggah. Saya sedih dengan keadaan ini dan sebab itulah saya menyeru supaya kita berhentilah mempolitikkan hudud, sebaliknya carilah kaedah sesuai untuk membolehkan hudud ini dilaksanakan.

Lalu, apakah kaedahnya? Ada lima sahaja yang hendak saya katakan di sini.


Pertama, cabar Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 di mahkamah untuk mendapat satu keputusan autoritatif sama ada ia sah sebagai undang-undang atau sebaliknya.

Kedua, bagi negeri Kelantan khususnya, minta kerajaan pusat memberi kebenaran supaya Enakmen Hudud Jenayah II Kelantan 1993 dilaksanakan mengikut peruntukan Perkara 76(1)(c).

Ketiga, mana-mana ahli parlimen yang hendak melaksanakan hukum ini, bentanglah rang undang-undang persendirian meminta kelulusan parlimen untuk melaksanakan hukum ini di seluruh persekutuan atau mana-mana negeri yang dimaksudkan.

Keempat, bentangkan usul supaya Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 dimansuhkan atau dipinda.

Kelima, PAS dan UMNO yang ahli parlimennya adalah orang Islam (campur dengan ahli parlimen Islam dari Sarawak) perlu duduk semeja dan berunding untuk mencari penyelesaian terbaik kepada cara untuk merealisasikan hasrat untuk melaksanakan hukum hudud ini. Tapi bolehkah PAS dan UMNO berunding dan bersatu?

Atas hujah di ataslah, saya katakan jika semua pihak tidak bersedia untuk melakukan salah satu dari lima yang saya sebutkan, maka cukuplah dipolitikkan hukum hudud ini. Menyatakan cukuplah politikkan hukum hudud ini bukanlah bermaksud saya menolak hudud.

Sabtu, November 16, 2013

HUDUD: Pas jadi seperti Umno pula.....

DIPENDEKAN cerita, sekali lagi pihak yang berwewenang melaksanakan hokum hudud menyatakan siap sedia.  Ketua Hakim Syri’ie Kelantan mengatakan pihaknya sudah siap sedia menerima kes untuk diadili menggunakan hokum hudud yang sejak puluhan tahun menjadi cita-cita Parti Islam di Malaysia. Allah sudah memberi peluang kepada Pas memegang kerajaan negeri.  Bab agama Islam adalah hak kerajaan negeri. Negerinya pun Kelantan, yang majority besarnya muslim. Malah di sana dikatakan negeri Serambi Makkah. Gelaran ini menggambarkan penduduknya yang mestilah lebih mencintai agama.  Memang sepatutnya sudah lama hudud yang dinamakan Kanun Jenayah Syariah II 1993 itu diguna pakai.

Harakahdaily 13 Nov 2013

Utusan Malaysia 13 Nov 2013

Sejak dahulu saya menjadi penyokong semua peraturan Islam dilaksanakan. Melaksanakan ajaran al-Quran dan Sunah dalam ibadah yang membuang bid’ah pun saya sokong. Tidak ada sebab untuk menolak hudud yang menggantikan sebagian undang-undang jenayah Barat .

Pada 13 November lalu, Ketua Hakim Syar’ei Kelantan sekali lagi menyatakan iltizamnya.  Berita ini menjadi tajuk utama Utusan Melayu.  Atas sebab-sebab tertentu, Utusan menjadikan berita utamanya. Namun akhbar Harakahdaiy (akhbar milik Pas dalam talian) tidak sedikit pun menyiarkannya.  Menjadi persoalan besar apabila Harakahdaily yang menjadi media parti Islam itu tidak memberi satu berita pun kepada iltizam pelaksanaan hudud sedangkan itulah tujuan besar Pas sejak diterajui golongan ulama.

Apa sudah jadi? Kemungkinan pertama ialah Harakahdaily tidak lagi mendokong aspirasi pelaksanaan hudud.  Oleh itu apa berita mengenai pelaksanaan hudud di Malaysia tidak lagi perlu disebarkan kepada umum.

Kemungkinan kedua, Pas sendiri sudah tidak mahu melaksanakan hudud.  Oleh itu berita iltizam melaksanakan hudud dinilai sama seperti para pemimpin Umno pada zaman hudud dikanunkan dahulu. Mudahnya sikap pemimpin Umno yang septikal terhadap hudud tahun 1990-an, sekarang sikap itu dianut oleh pemimpin Pas juga.

Menambah hairan ialah sikap kerajaan Kelantan yang melepaskan pula masalah kekurangan hakim syar’ie kepada urusan kehakiman.  Pelik sangat. Sepatutnya kerajaan negeri segera menyambut hal itu dengan menyatakan akan menambah bilangan hakim supaya hudud dapat dilaksanakan dengan segera.  Kerja melantik seseorang ke jawatan berkenaan bukan kerja hakim, tetapi kerja kerajaan negeri. Ini kerja perlantikan ke perjawatan awam negeri.  Kalau hendak dikata perjawatan di bawah kuasa Tuanku Sultan, adakah kerajaan negeri hendak membiarkan masalah tidak cukup hakim sehingga hudud tidak dapat dilaksanakan. Yang membayar gaji hakim syar’ie adalah kerajaan negeri.


Sayang seribu kali sayang. Dahulu begitu susah-payah mahu mengkanunkan hudud. Allah sudah beri kuasa dalam kerajaan. Kini Allah beri lagi peluang besar dengan kesediaan jentera kehakiman. Sayanglah jika dibiarkan begitu saja.

Rabu, November 13, 2013

KAUM Muda, adakah nenek-moyang kami tidak Islam?

Kaum Muda dalam buku sejarah di sekolah
DAHULU semasa saya remaja sering diajak berbicara oleh rakan-rakan yang lebih dewasa mengenai perlunya kembali kepada ajaran al-Quran dan hadis nabi. Dalam usrah-usrah kami yang baru mengenali Islam ditekankan pentingnya ajaran al-Quran dan hadis atau sunah untuk menyelesaikan masalah umat Islam di negara kita.

Dalam sejarah sudah ada gerakan Kaum Muda atau Gerakan Islah yang mahu orang-orang Melayu kembali kepada ajaran al-Quran dan Sunah, demi membina kemajuan bangsa.  Mudahnya, kerna tidak mengamalkan ajaran al-Quran dan Sunah, maka orang Melayu yang sudah beratus-ratus tahun beragama Islam masih mundur.

Bangsa Melayu paling miskin dibandingkan dengan bangsa Eropah dan Cina.  Bangsa Cina yang asalnya pendatang, menjadi buruh pada akhir kurun ke-19 sudah mengalahkan bangsa Melayu.  Bangsa Melayu ketinggalan dalam serba-serbi baik pemilikan harta atau ekonomi, kekuasaan politik termasuk pendidikan.  Di situlah munculkan golongan yang kenali sebagai Kaum Muda, menyeru orang Melayu mengamalkan ajaran Islam sebenar supaya dapat maju seperti bangsa-bangsa lain. Itu pada awal abad ke-20.

Oleh kerna Islam bukan sahaja ada dalam lapangan politik, ekonomi dan sosial, maka hal ibadah pun termasuk dalam seruan Kaum Muda kembali kepada ajaran al-Quran dan Sunah.  Bukan sahaja gesaan Kaum Muda agar orang Melayu pergi ke sekolah Inggeris, belajar Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains Pertanian seperti bangsa Eropah dilawan oleh golongan ulama yang berfikiran kampungan, malah seruan meninggalkan kerja bid’ah, khurafat dan syirik juga menjadi debat agama pula.

Berapa banyak dulu yang terhasut dalam pemikiran kampungan atas nama agama, tidak boleh ke sekolah Inggeris kerna itu sekolah Kristian.  Anak-anak perempuan juga masih dibesarkan hanya untuk dijadikan isteri. Di situlah Kaum Muda membuka madrasah di Pulau Pinang, Melaka dan Singapura untuk menampung seruan anak perempuan belajar agama dalam sistem moden, bukan sistem pondok.

Yang dinamakan ulama kampungan bagai tidak dapat menyekat pemikiran moden dalam pendidikan, tetapi mereka berjaya menahan kemaraan pemikiran benar dalam beramal ibadah.  Kuasa pentadbiran agama di negeri yang beraja berjaya menahan reformasi ibadah, iaitu ibadah yang tulen hanya bersandarkan al-Quran dan sunah nabi.  Sebab itulah sampai hari ini isu yang dibangkitkan untuk melawan seruan kembali kepada al-Quran dan sunah nabi dalam ibadah berjaya dilawan dengan ayat-ayat yang emosional.

Hari ini orang Melayu sudah berfikiran maju dalam semua hal, menepati anjuran al-Quran dan sunah. Namun dalam politik, British telah memasang perangkap besi yang kukuh sehingga orang Melayu sanggup bertelagah atas nama demokrasi yang diwariskan British. Masalah baru apabila seruan supaya orang Melayu bersatu dalam politik dikatakan seruan ‘mengampu pemerintah’ dan digambarkan betapa hina bersikap demikian.  Berhujahlah dengan ayat al-Quran dan hadis yang sahih pun, tidak dapat melenturkan kecintaan kepada kepuakan parti politik.


Sementara di sisi lain, kerja memburukkan seruan kepada al-Quran dan sunah dalam ibadah tetap teguh.  Sangat mudah memanipulasi emosi masyarakat Melayu apabila kenduri-kenduri arwahnya didakwa tidak berasal daripada sunah nabi. Bukan soal mahu berhujah dengan wahyu dan sunah demi kebenaran ibadah, orang Melayu cukup disuap dengan emosi melulu.  Dalam bab ini, tidak mudah menawarkan amal ibadah menuruti sunah, cukuplah warisan nenek moyang.  Mereka bertanya kembali, ‘apakah nenek-moyang kami tidak Islam?’ Ayat itu sudah cukup menarik sokongan melawan arus seruan kepada sunah nabi s.a.w.

Ahad, November 03, 2013

LAGI wanita bukan Islam tak bertudung masuk masjid

DUA peristiwa yang sama, tetapi dilayan dengan dua perkara yang berbeda. Orang bukan Islam berada dalam sebuah rumah Allah, masjid atau surau. Pertama, seorang ahli politik Parti Tindakan Demokratik (DAP) bukan Islam dan tidak memakai tudung kepala dinilai sebagai mencemar kesucian sebuah surau.  Kedua, sepasang suami isteri bukan Islam (perempuan itu tidak bertudung) diterima sebagai tetamu dan tidak menjadi bualan besar dalam media.

Cara tokoh DAP ini menjadi isu besar dalam politik
Panjanglah ulasannya terhadap ahli DAP itu yang berada dalam dewan solat, dan tidak ada pandangan negatif pun terhadap ibu kepada Firdaus Wong Wai Hung.  Jawabannya mudah, itulah akibat berkawan baik dan bermusuh.

DAP bermusuh dengan parti pemerintah, maka semua tindakan ahlinya tidak mudah diterima sebagai betul sekalipun niat dan kerja mereka betul.  Ibu bapa Firdaus Wong tidak dalam permusuhan politik dengan mana-mana pihak, maka niat dan tindakannya memasuki masjid diterima dengan aman.

Ibu bapa Firdaus Wong mendengar ceramah anaknya

Firdaus Wong sudah menjadi pendakwah Islam

Kesimpulan awalnya, untuk mengelak daripada dipanjangkan cerita yang bukan-bukan janganlah bermusuh-musuhan.  Tanpa bermusuhan atau berkasih-sayang banyak perkara yang biasa saja atau sukar boleh dijalankan dengan baik.

Baru-baru ini Exco Negeri Selangor berkaitan hal Islam membuat taklimat ringkas di sebuah masjid di Sabak Bernam.  Sebagai pemimpin Pas Selangor dan seorang ulama tentulah sikap dan cita-cita mendaulatkan peraturan Islam mengatasi perkara lain.  Beliau ada mengatakan akan membuat peraturan etika pakaian wanita Islam di Selangor.  Mudahnya, dengan adanya etika yang dijadikan enakmen (perlu kelulusan Dewan Undangan Negeri), wanita Islam di Selangor tidak boleh lagi berpakaian sendat sebagaimana sekarang. Exco berkenaan menyatakan lebih kurang begini, “kita kena mengampu untuk mendapatkan kelulusan etika pakaian ini.”

Beliau sedar, sekutu politik Pas di Selangor tidak mudah menerima prinsip pakaian Islam sekalipun hanya dikenakan terhadap penduduk muslim.  Untuk menjayakan misi dan mengelak kontroversi, maka beliau menggunakan pendekatan ‘mengampu’ atau bersahabat baik yang lebih daripada kebiasaannya.  Dengan bersahabat baik atau kasih-sayang inilah maka perkara besar yang asalnya rumit akan berjaya dilaksanakan.


Jika sesiapa mempunyai misi besar dalam Islam, carilah sahabat sebanyak mungkin dan kurangkanlah permusuhan.  Ingat, Islam ini asalnya dagang (terasing) dan akan datang pun dagang juga. Yang mahukan Islam ini minoriti, maka bersahabatlah dengan sesiapa yang dapat menjayakan misi Islam. 

Jumaat, November 01, 2013

APABILA kaki bola berebut-rebut di belakang imam

ORANG berebut-rebut tentulah untuk mendapatkan sesuatu yang sangat istimewa.  Misalnya sekarang diberitakan orang berebut-rebut mendapatkan tiket untuk menonton perlawanan akhir sepak bola Piala Malaysia.  Bukan sahaja mereka telah menunggu di kaunter tiket sewaktu orang masih solat tahajud, malah terjulur-julur tangan membeli tiket seperti akan terlepas hak membeli tiket. Ingat ya, mereka membeli tiket bukan mendapatkan yang percuma.


Mengapa begitu? Tidak lain kerna mereka merasakan menjadi penonton perlawanan akhir sepak bola Piala Malaysia sangat istimewa, tidak dapat digambarkan betapa nikmatnya dalam hidup. Sangat nikmat menonton dan bersorak dalam stadium sebab mereka adalah penyokong tegar.  Yang menambah rasa nikmat itu ialah jika pasukan sokongannya mahu menjadi juara kali ketiga berturut-turut atau mahu mahu menjadi juara setelah 50 tahun! Aduhai.  Boleh bayangkan jika Allah mentakdirkan pasukan bola sepak Malaysia dapat beraksi dalam pusingan akhir sepak bola Piala Dunia, lagilah dahsyat kenikmatan yang dijangkakan itu.  Maka fahamlah mengapa perebutan itu berlaku.  Kalaulah tidak kerna ada peraturan atau kawalan, pergaduhan untuk mendapatkan tempat sebagai penonton pasti berlaku.

Dahulu Nabi s.a.w. juga pernah memberi gambaran perebutan manusia untuk mendapatkan kenikmatan.  Baginda Nabi s.a.w. membayangkan manusia akan berebut-rebut mendapatkan tempat paling hadapan jika mereka tahu istimewa dan berharganya kedudukan itu.

Maksud sabda Nabi s.a.w. “Sekiranya manusia mengetahui keutamaan yang ada di dalam azan dan yang berada dalam saf pertama (solat jamaah), tetapi mereka tidak berjaya mendapatkannya, kalaulah caranya dengan melakukan undian tentulah mereka melakukan undian itu.”
(Riwayat Al-Bukhari, Muslim, Ahmad, An-Nasa’I dan Abu Hurairah)

Maksudnya, manusia tidak tahu betapa hebat dan istimewanya ganjaran atau hadiah atau habuan yang Allah akan beri kepada mereka yang berdiri di saf pertama solat jamaah.  Itulah yang Baginda Nabi s.a.w. menyatakan ‘sekiranya manusia tahu….’ Tentulah akan berebut-rebut, tolak-menolak, siku-menyiku dan tentu saja solat berjamaah tidak dapat dilaksanakan disebabkan jamaah tidak dapat bertolak-ansur, semua mahu berdiri di saf pertama.  Akhirnya apabila dibentak-bentak oleh Imam supaya dibuat undian, siapa yang dapat dialah menjadi pendiri di saf pertama, barulah solat dapat dilaksanakan.

Sekiranya manusia tahu apa yang manusia akan dapat nikmati, seperti juga peminat pasukan sepak bola yang sanggup berdiri di muka kaunter tiket sejak jam 5 pagi!  Begitulah sekiranya manusia tahu betapa hebatnya kenikmatan atau istimewanya pemberian Allah disebabkan berdiri di saf pertama, barangkali mereka akan berdiri lebih awal dari jam 5 di pintu masjid sebelum azan Subuh.


Hanya saja kenikmatan atau keseronokan yang digambarkan oleh Nabi s.a.w. itu bukanlah hakikat atas dunia, maka tidak ada pun orang berebut-rebut seperti yang berlaku di kaunter tiket stadium.  Imam atau ulama zaman sekarang pun bukan seperti ulama zaman Salaf yang sanggup melakukan apa saja asalkan tidak terlepas habuan besar di akhirat. Diberitakan seorang ulama Salaf ke kebun kurmanya.  Apabila kembali, didapati orang telah selesai solat Asar berjamaah. Dia berkata, “Inna lillahi…. Telah luput aku daripada berjamaah”.  Dia menyambung, “Aku jadikan kamu saksi, bahawa kebun kurmaku dijadikan sedekah untuk orang-orang miskin.” (Prof.TM Dr. Hasbi Asy Shiddiieqy, Tuntutan Solat Berjamaah, 1995)

Rabu, Oktober 23, 2013

HUDUD: Mimpi pun susah dapat

BERITA Negara Brunei Darussalam mahu melaksanakan Hudud menjadi bualan baru pencinta Hudud di Malaysia.  Di Malaysia, hudud hanya dijadikan umpan, dilambung sana-sini. Orang-orang yang bencikan hudud jangan bimbang dengan apa yang berlaku di Brunei.  Hudud tidak akan dilaksanakan di Malaysia.  Hudud hanya akan dijadikan bahan mendakwa dirinya paling beriman kepada Allah atau si pulan paling munafik.

Mengapa hudud tidak akan dilaksanakan di Malaysia?

Pertama:  Sistem demokrasi yang diamalkan menyebabkan hudud tidak akan dilaksanakan.  Melalui sistem ini parti yang mahu melaksanakan hudud mesti menguasai dua pertiga kekuasaan di Parlimen. Tidak ada satu parti pun yang dapat berbuat demikian. Malah parti yang mahu melaksanakan hudud kini mesti mengampu para pembenci hudud untuk menambah kemenangan di kawasan pembenci hudud.

Kedua: Parti-parti politik yang membenci hudud sedang mengikat kemas setiap parti yang berhasrat melaksanakan hudud.  Pas  sedang diikat kemas oleh DAP dan PKR supaya tidak lagi berangan-angan mahukan hudud.  MCA dalam BN pula sering memberi amaran supaya parti Umno (Melayu-Islam) agar tidak membuat hubungan dengan Pas.  Sekerat beras pun MCA tidak akan membenarkan adanya hubungan Umno-Pas.  Oleh kerana Umno dan Pas sedang diikat dalam kandang yang berbeda, maka suara Melayu-Islam menjadi kecil.  Akhirnya, untuk apa-apa pun Umno kena ambil kira kehendak MCA. Pas pun kena ambil kira kehendak DAP dan PKR.


Oleh itu, kita baca sajalah berita negara Islam lain melaksnakan hudud. Kita ada kawan lain yang lebih penting.

POLIGAMI orang kaget, rasuah...biasalah

ORANG lebih kaget jika seseorang tokoh mendedahkan dia mengamalkan poligami berbanding mengamalkan rasuah!  Maka orang tidak hairan sangat apabila seorang tokoh melepaskan rahsianya memberi rasuah demi politik pada masa lalu.  Rasuah sudah menjadi rahsia umum rakyat.  Mujur juga Malaysia masih malu-malu kucing meminta rasuah secara terbuka. Di negara jiran, agensi kerajaannya terang-terang meminta bayaran tambahan kepada pelancong walaupun semua bayaran wajib sudah dilaksanakan.  Rakyat Malaysia yang menjadi pelancong di sana pulang membawa cerita rakyat di sana yang ‘berlapang dada’ dengan rasuah.


Rasuah tetap haram walaupun sudah menjadi rahsia umum atau budaya.  Haram dan dosa tidak boleh dihapuskan dengan semua orang berpakat-pakat menukar nama rasuah kepada ‘sedekah berharap’ misalnya.  Allah haramkannya dalam ayat 188 surah al-Baqarah (maksudnya), “Dan janganlah kamu makan harta di antara kamu dengan jalan batil, dan (janganlah) kamu menyuap harta kepada para hakim dengan maksud agar kamu dapat memakan sebagian harta orang lain dengan jalan dosa, padalah kamu mengetahui.”

Punca rasuah bukan pendapatan kecil. Yang minta rasuah sedang bergaji besar. Mereka minta rasuah bukan RM50.00 tetapi sampai setengah juta ringgit.  Yang berjawatan kecil sebagai penguatkuasa bolehlah berkongsi-kongsi dan sebulan dapatlah RM500.00.  Apakah mereka tidak sedar perbuatan itu haram dan berdosa? Sedar!

Rasuah sebagian kesan daripada rakyat yang tidak perdulikan undang-undang.  Lihatlah bagaimana merdekanya rakyat tidak patuh undang-undang jalan raya.  Mereka tahu semua itu salah, tetapi semua mahu cepat dan mudah. Anak-anak sentiasa dilatih tidak patuh undang-undang, dengan menungang motorsikal tanpa lesen dan topi keledar.  Yang dewasa menunjukkan masa-masa memakai topi keledar hanya ketika ada penguat kuasa.  Ini bukan diajarkan oleh orang buta huruf, tetapi pemegang diploma dan jazah malah ketua-ketua agama yang membaca wahyu Allah.

Orang-orang yang begitu bertekad membenci rasuah pun nampaknya cuba juga mengelak cukai pendapatan dan cukai impot barang.  Cuba lihat pelancong dalam negara di Langkawi (misalnya), mereka yang terdidik tinggi termasuk yang faham agama juga memilih cara ‘bagaimana hendak mengelak cukai’.  Mengelak cukai bermakna mencuri wang negara.

‘Sekecil-kecil’ perbuatan membuang sampah pun, masih memerlukan penguatkuasa untuk memastikan kawasan bersih.  Papan tanda larangan merokok di masjid, termasuk penjelasan dalam khutbah Jumaat, tidak berkesan mendidik orang meninggalkan tabiat merokok di kawasan masjid!

Murid-murid di sekolah pula berbangga jika dapat melakukan perbuatan yang melanggar peraturan. Tidak menjadi ‘hero’ jika patuh undang-undang.  Termasuk juga kepada pengikut parti politik yang tidak berkuasa, mereka diasuh agar melawan undang-undang sebagai tanda berjuang.

Tidak hairanlah rasuah berleluasa. Bukan masalah agama tidak dapat mengawal nafsu makan rasuah, tetapi orang agama pun pandai membelit hukum jika ada kepentingan perut mereka.  Lihat saja adat kenduri arwah yang jelas berlawanan dengan banyak ayat al-Quran, malah Imam Syafie sebagai Imam mazhab juga melarangnya, namun atas nama yang halal seperti ‘bid’ah hasanah’ , ‘khilafiyah’ dan ‘berlapang dada’ maka perut mereka kenyang percuma setiap ada kematian dan majlis mengenang kematian.

Selagi rakyat tidak dapat menjalani kehidupan berpandu undang-undang tanpa pengawasan  penguatkuasa, jangan haraplah rasuah akan dapat dibanteras.  Masalah rasuah hanya salah satu akibat rakyat diasuh melanggar banyak peraturan atau undang-undang.  Apa lagi pada zaman orang berkempen tentang hak-hak asasi manusia dan amalan liberalisme.

Sebenarnya Islam dapat membendung rasuah dan masalah lain, tetapi cara Islam itu difahami nyata memberi kesan baik atau gagal.  Setakat belajar tauhid kaedah sifat 20 yang dikatakan akidah sebagai paksi perbuatan manusia – gagal. Akidah mesti difahami berdasarkan syahadah ‘Tiada tuhan melainkan Allah dan menerima Muhammad sebagai pesuruh-Nya’. Setiap muslim wajib memahami penerimaan Allah sebagai Tuhan bermakna menolak kepentingan lain yang berlawanan dengan-Nya.  Yang berlaku dalam pendidikan akidah ialah membincangkan sifat Allah berbulan-bulan dengan bahasa alafalsafah.  Hendak faham pun susah.  Itulah berpuluh-puluh tahun.  Pembelajaran cara ini tidak membawa pemahaman Islam sebagai satu cara hidup, melainkan Islam sebagai tanda nama sahaja.


Akibatnya, rasuah sebenarnya salah satu daripada banyaknya masalah dalam umah.

Sabtu, Oktober 19, 2013

PENGHINA Nabi sudah muslim, pasangan Bak Kut Teh bila?

daripada akhbar Sinar Harian
DAHULU menghina Nabi Muhammad Rasulullah s.a.w., sekarang sudah selesai menunaikan ibadah haji.  Ertinya, dia sudah beragama Islam, yang pernah dikatanista. Itulah Si Arnold Fandor pembikin filem di Belanda . Dengan memeluk Islam (bertaubat), maka dia dikasihi semua  muslim yang dulu zaman dia mengeji Rasulullah dia dibenci  semua muslim yang beriman. 

Di Malaysia kita ada pasangan keturunan Cina yang telah menghina Islam pada bulan Ramadan.  Setelah melalui sebagian proses undang-undang, Vivian si perempuan diberitakan sangat menyesal terjebak dalam kontroversi yang menakutkan.  Sebelumnya, dia tidak pernah membayangkan derita batin akibat tindakannya.  Moga-moga Allah beri hidayah kepada pasangan yang pernah menyakitkan hati muslim pada bulan Ramadan yang lalu, sebagaimana Arnold Fandor mendapat hidayah.

Harap pasangan bak kut teh itu sudah membaca kisah Arnold Fandor yang jiwanya tenang setelah memeluk Islam.


 RIYADH - Seorang penerbit filem Belanda yang memeluk Islam setelah mencetuskan kontroversi apabila menerbitkan filem yang menghina Nabi Muhammad S.A.W. berasa tenang dapat mengerjakan ibadat haji ketika ini.
  
Arnold Fandor dalam wawancara dengan akhbar Okaz Arab Saudi menceritakan bagaimana beliau mendapat ketenangan jiwa setelah memeluk Islam kira-kira
setahun lalu, menyebabkan beliau bertaubat di atas segala dosanya.
  
Fandor yang bersedia untuk melontar di Jamrah bagi melengkapkan rukun hajinya, semasa diwawancara berkata beliau merasakan hatinya menjerit kegembiraan ketika menunaikan haji.
    
”Di dalam hati saya kini merasai ketenangan. Setiap kali saya berdoa saya akan mengelap air mata apabila mengenangkan dosa-dosa saya yang lalu dan bertaubat.
  
"Kini saya akan berkhidmat dan berusaha di dalam menghasilkan filem dan produk yang dapat menaikkan Islam serta yang mencerminkan kehebatan pencipta dan keperibadian akhlak mulia Rasulullah S.A.W. selepas pulang daripada haji,” beliau dipetik sebagai berkata dalam akhbar itu semalam.

Sambil tersenyum, Fandor menyatakan beliau merasakan satu kepuasan yang tidak dapat digambarkan ketika menjejakkan kaki ke Tanah Suci.
  
Air matanya tidak henti-henti mengalir, menurut akhbar itu.
  
"Pada mulanya, terdapat kesulitan yang dihadapi oleh saya pada peringkat awal saya memeluk Islam kerana saya bukan datang daripada keluarga Islam dan membesar di persekitaran Islam.
  
"Walau bagaimanapun, ini tidak mematahkan semangat saya untuk belajar dengan lebih mendalam berkenaan agama yang agung ini.
  
“Saya berasa teruja untuk mendalami dan mengetahui tentang Islam. Lalu saya membaca banyak tentang Islam sehinggalah ia meresap ke dalam hati saya dan fikiran saya mengatakan bahawa agama Islam membawa satu mesej yang besar dan mulia.

"Kemudian perasaan tersebut semakin kuat sehingga hati saya terbuka lalu saya membuat keputusan untuk memeluk Islam. Sekarang saya bersyukur dan merasa amat bahagia serta memiliki ketenangan jiwa.
  
"Sebelum memeluk Islam, saya hanya membayangkan bahawa hidup ini hanya untuk menyedut udara sahaja.
  
"Saya dapati tidak ada ketenangan yang sempurna sehinggalah saya menziarahi makam Rasulullah SAW dan ketika itulah saya berhasrat untuk menerbitkan filem berkenaan keperibadian baginda yang mulia,” katanya.
  
Fandor berkata ini kali pertama beliau mengerjakan haji dan kali kedua menjejakkan kaki ke Tanah Suci selepas melakukan umrah pada Februari lepas.
   
Katanya selepas selesai menyempurnakan urusan haji, beliau bercadang meluangkan masa beberapa hari di Madinah al-Munawwarah kerana beliau berasa amat selesa dan aman untuk membaca al-Quran dan kitab-kitab agama di Masjid Nabawi.  - Bernama

Rabu, Oktober 16, 2013

MEREKA mahu umat Islam percaya Allah ada anak lelaki!

DESAKAN pemimpin Kristian Katolik agar kalimah Allah disebut dalam media dan amalan beragama mereka adalah isu besar dalam kalangan umat Islam Malaysia.  Debat boleh atau tidaknya kaum Kristian menggunakan kalimah itu bukan hanya di kedai kopi malah sudah ke Mahkamah Rayuan (mungkin ke Mahkamah Persekutuan pula).


Orang Melayu yang menyokong desakan kepemimpinan gereja Katolik Malaysia pun bukan hanya dalam kalangan yang ‘tidak faham agama’ malah termasuk yang mendakwa pejuang Islam.  Mereka pun sedia dengan hujah sejarah agama sejak zaman sebelum kerasulan Nabi Muhammad s.a.w. lagi.  Ya, bukalah al-Quran, tentu kita dapat menemuinya.  Orang yang menidakkan keinginan gereja Katolik pun ada hujahnya.  Setakat ini, berdasarkan undang-undang, gereja Katolik dilarang menggunakan kalimah Allah dalam media (termasuk dalam kefahaman beragama) mereka.

Jika gereja Katolik tetap mahu menggunakan kalimah Allah untuk merujuk Tuhan yang disembah dalam keyakinan beragama mereka, maka bersedialah untuk menerima kritikan daripada penganut Islam.  Kritikan itu bukanlah baru, malah Allah swt. sendiri sudah menyampaikannya kepada gereja (dalam al-Quran disebut kaum Nasrani). Isu utama yang menyebabkan kemurkaan Allah ialah pihak gereja mendakwa Allah mempunyai anak.  Mereka mendakwa Nabi Isa a.s. adalah Anak Allah! Dalam kitab mereka sekarang tidak disebut Nabi Isa tetapi Jesus.  Tidak lain Jesus itu adalah Nabi Isa yang disebut dalam al-Quran. 

Maksud surah al-Baqarah ayat 116, “Dan mereka berkata ‘Allah mempunyai anak’. Mahasuci Allah, bahkan milik-Nya apa yang ada di langit dan bumi.  Semua tunduk kepada-Nya.”

Bagaimana gereja boleh mendakwa Allah sebagai Tuhan yang berkuasa sepenuhnya ke atas seluruh alam boleh menjadi ‘kerdil’ seperti manusia dengan mempunyai seorang anak? Tuhan yang sifatnya tidak sama dengan makhluk perlukan bantuan seorang anak? Akal manusia yang waras pun dengan mudah menafikannya.  Mereka telah mencabar keagungan Allah.  Inilah cabaran manusia yang paling ganas, sehingga Allah mengatakan langit pun hampir pecah disebabkan keceluparan manusia yang beragama Nasrani (baca Kristian apa mazhab pun).

Maksud surah Maryam ayat 88-92,  “Dan mereka (Nasrani) berkata ‘Yang Maha Pemurah mengambil (mempunyai) anak.  Sungguh kamu (Nasrani) telah mendatangkan satu perkara yang sangat mungkar.  Hampir-hampir langit pecah kerna ucapan itu, (yang lain) bumi terbelah dan gunung-ganang runtuh kerna mereka mendakwa (Allah) Yang Maha Pemurah mempunyai anak.  Dan tidak mungkin (Allah) Yang Maha Pengasih mempunyai anak’ ”.

Penyokong gereja Katolik juga mendakwa penganut agama itu ada hak atas nama ‘kebebasan beragama’ yang dijamin dalam perlembagaan.  Yalah, itu tafsiran yang diguna pakai untuk mendakyah apa juga agama kepada umat Islam.  Umat Islam jangan kagetlah, sebab peringatan Allah sudah lama ada dalam al-Quran.  Kaum Kristian dan Yahudi tidak akan rela atau senyum reda jika kita masih mentauhidkan Allah sebagai Tuhan.  Mereka mahu kita mengatakan Allah seperti yang mereka faham iaitu Allah ada anak lelaki bernama Isa atau Jesus.  Oleh  itu mereka sedang berusaha supaya kalimah Allah diguna dalam keagamaan Kristian supaya sebagian umat Islam di Malaysia dapat menerima fahaman mereka bahawa Allah ada anak lelaki! 

Maksud surah al-Baqarah ayat 120, “Dan orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan rela kepadamu (Nabi Muhammad) sebelum engkau mengikuti agama mereka.”  Kata Ibnu Abas r.a. kaum Yahudi di Madinah dan Nasrani Najran mengharap agar Rasulullah s.a.w. solat menghadap ke kiblat mereka.  Harapan mereka semakin tipis apabila Allah mengubah arah kiblat muslimin ke arah Kaabah (di Makkah). Dan mereka pun putus asa.  Lihat Tafsir Ibnu Katsir.  Dalam bab menghadap kiblat sewaktu menyembah Tuhan pun mereka mahu muslim ikut cara mereka.


Kesimpulannya, umat Islam kena faham yang gereja Katolik mempunyai misi terhadap umat Islam.  Dan umat Islam mesti bersedia mempertahankan tauhid yang benar, termasuk cara berdebat atau berhujah dengan mereka berkenaan sifat Allah Yang Maha Berkuasa tanpa bantuan apa-apa, sedangkan mereka telah mengubah sifat Allah itu dengan perlukan bantuan seorang anak yang lemah bernama manusia!