Pengikut

Memaparkan catatan dengan label hiburan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label hiburan. Papar semua catatan

Jumaat, November 01, 2013

APABILA kaki bola berebut-rebut di belakang imam

ORANG berebut-rebut tentulah untuk mendapatkan sesuatu yang sangat istimewa.  Misalnya sekarang diberitakan orang berebut-rebut mendapatkan tiket untuk menonton perlawanan akhir sepak bola Piala Malaysia.  Bukan sahaja mereka telah menunggu di kaunter tiket sewaktu orang masih solat tahajud, malah terjulur-julur tangan membeli tiket seperti akan terlepas hak membeli tiket. Ingat ya, mereka membeli tiket bukan mendapatkan yang percuma.


Mengapa begitu? Tidak lain kerna mereka merasakan menjadi penonton perlawanan akhir sepak bola Piala Malaysia sangat istimewa, tidak dapat digambarkan betapa nikmatnya dalam hidup. Sangat nikmat menonton dan bersorak dalam stadium sebab mereka adalah penyokong tegar.  Yang menambah rasa nikmat itu ialah jika pasukan sokongannya mahu menjadi juara kali ketiga berturut-turut atau mahu mahu menjadi juara setelah 50 tahun! Aduhai.  Boleh bayangkan jika Allah mentakdirkan pasukan bola sepak Malaysia dapat beraksi dalam pusingan akhir sepak bola Piala Dunia, lagilah dahsyat kenikmatan yang dijangkakan itu.  Maka fahamlah mengapa perebutan itu berlaku.  Kalaulah tidak kerna ada peraturan atau kawalan, pergaduhan untuk mendapatkan tempat sebagai penonton pasti berlaku.

Dahulu Nabi s.a.w. juga pernah memberi gambaran perebutan manusia untuk mendapatkan kenikmatan.  Baginda Nabi s.a.w. membayangkan manusia akan berebut-rebut mendapatkan tempat paling hadapan jika mereka tahu istimewa dan berharganya kedudukan itu.

Maksud sabda Nabi s.a.w. “Sekiranya manusia mengetahui keutamaan yang ada di dalam azan dan yang berada dalam saf pertama (solat jamaah), tetapi mereka tidak berjaya mendapatkannya, kalaulah caranya dengan melakukan undian tentulah mereka melakukan undian itu.”
(Riwayat Al-Bukhari, Muslim, Ahmad, An-Nasa’I dan Abu Hurairah)

Maksudnya, manusia tidak tahu betapa hebat dan istimewanya ganjaran atau hadiah atau habuan yang Allah akan beri kepada mereka yang berdiri di saf pertama solat jamaah.  Itulah yang Baginda Nabi s.a.w. menyatakan ‘sekiranya manusia tahu….’ Tentulah akan berebut-rebut, tolak-menolak, siku-menyiku dan tentu saja solat berjamaah tidak dapat dilaksanakan disebabkan jamaah tidak dapat bertolak-ansur, semua mahu berdiri di saf pertama.  Akhirnya apabila dibentak-bentak oleh Imam supaya dibuat undian, siapa yang dapat dialah menjadi pendiri di saf pertama, barulah solat dapat dilaksanakan.

Sekiranya manusia tahu apa yang manusia akan dapat nikmati, seperti juga peminat pasukan sepak bola yang sanggup berdiri di muka kaunter tiket sejak jam 5 pagi!  Begitulah sekiranya manusia tahu betapa hebatnya kenikmatan atau istimewanya pemberian Allah disebabkan berdiri di saf pertama, barangkali mereka akan berdiri lebih awal dari jam 5 di pintu masjid sebelum azan Subuh.


Hanya saja kenikmatan atau keseronokan yang digambarkan oleh Nabi s.a.w. itu bukanlah hakikat atas dunia, maka tidak ada pun orang berebut-rebut seperti yang berlaku di kaunter tiket stadium.  Imam atau ulama zaman sekarang pun bukan seperti ulama zaman Salaf yang sanggup melakukan apa saja asalkan tidak terlepas habuan besar di akhirat. Diberitakan seorang ulama Salaf ke kebun kurmanya.  Apabila kembali, didapati orang telah selesai solat Asar berjamaah. Dia berkata, “Inna lillahi…. Telah luput aku daripada berjamaah”.  Dia menyambung, “Aku jadikan kamu saksi, bahawa kebun kurmaku dijadikan sedekah untuk orang-orang miskin.” (Prof.TM Dr. Hasbi Asy Shiddiieqy, Tuntutan Solat Berjamaah, 1995)

Jumaat, Jun 21, 2013

NYANYI-nyanyi cinta Nabi....

DEBAT tak sudah berkenaan nyanyian, nasyid dan musik dalam Islam. Perbedaan pendapat dengan hujahan masing-masing tetap ada.  Yang pasti hiburan memang menjadi satu jalan hidup bangsa Melayu kita.   Ustaz-ustaz kita pun banyak kali menasihati, menyindir dan marah-marah kepada orang kita yang mengutamakan hiburan dalam hidup. 


Lihat sahaja di rumah kenduri kahwin, bunyi-bunyian musik tidak henti-henti.  Kuatnya bunyi sehingga orang yang hadir hendak berbual-bual pun jadi tidak betah.  Di rumah pun mesti ada set untuk musik.  Dalam kereta pun disediakan radio atau alat memainan musik dan nyanyian.  Kerna itu jiwa orang kita memang tidak dapat dipisahkan dengan hiburan, tua dan muda.  Akibatnya belajar agama seperti belajar membaca al-Quran pun dilagukan.  Zikir menyebut nama-nama Allah pun ada irama khasnya yang dipelopori oleh kumpulan al-Arqam.  Ceramah agama, ustaz pun terpaksa menyanyi satu dua lagu untuk menarik minat orang datang mendengar ceramahnya.  Nyata sudah penceramah-penceramah yang dapat menghimpunkan beribu-ribu orang dalam ceramahnya telah mempunyai trade marknya: Lawak jenaka atau nyanyian!

Begitulah orang kita, agama sebagai perkara yang bersungguh-sungguh (serius) terpaksa disentuh secara santai-santai dan ketawa riang.  Hendak mengajak orang mencintai Nabi atau Rasulullah s.a.w. pun mengikut kehendak orang yang hidup matinya mesti ada hiburan.  Maka terpaksalah dibuat konsert-konsert bertamakan Islam seperti Cinta Nab, Mahabbah Rasulullah dan sebagainya.

Kelihatannya dalam bab agama pun kita memilih mana yang sesuai.  Sesuai ertinya tidak menyinggung perasaan orang lain.  Kita hanya mahu mendengar ajaran agama yang menyenangkan hati, iaitu tidak mahu membebankan pemikiran.  Saya tidak menghadiri satu konsert yang bertemaan cinta Nabi.  Harap-harap selepas tamat konsert berkenaan, akan ada sekurang-kurangnya satu atau dua orang yang punya kesedaran bahawa cinta nabi bererti mengamalkan sunah nabi dalam agama.  Mengamalkan sunah Nabi bermakna membenci ‘ajaran-ajaran agama’ yang tidak ada suruhan atau contoh daripada Nabi s.a.w.

Apa ertinya mendakwa mencintai nabi jika masih berkira-kira dengan ayat, ‘kalau ikut cara nabi zikir, nanti makmum lari dari masjid sebab mereka sudah biasa berzikir dengan cara berlagu-lagu’.  Nanti orang kata saya asyik kata ‘zikir tak boleh kuat-kuat dengungnya sampai ke angkasa’. Bosan!  Tak ada lainkah jika mahu memberi bukti sunah Nabi s.a.w.?

Ada hadis nabi (sebagai sunah) menyuruh mentaati pemerintah. Malah dalam al-Quran surah an-Nisa ayat 59 pun sudah jelas perintah Allah supaya mentaati pemerintah. Itulah dasar antara rakyat terhadap pemerintah muslim.  Itulah sunah nabi dalam berpolitik.  Adakah itu perkara furu’ atau ranting-ranting agama?



Isnin, Mac 26, 2012

HELAH kaki judi di pekan Sabak Bernam



BERJUDI merupakan satu kesalahan jenayah yang tercatat dalam al-Quran.  Kerajaan negeri Selangor telah menjadikan satu undang-undang bertulis apabila dijadikan Enakmen Jenayah Syariah 1995.
BAHAGIAN III - KESALAHAN YANG BERHUBUNGAN DENGAN KESUCIAN AGAMA ISLAM DAN INSTITUSINYA
Seksyen 17. Berjudi.

(1) Mana-mana orang yang berjudi, atau didapati berada di rumah judi, adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya. 

(2) Tiada seorang pun boleh disabitkan atas kesalahan di bawah seksyen ini kerana didapati berada di tempat yang merupakan rumah judi jika dia memuaskan hati Mahkamah bahawa dia tidak tahu dan tidak mungkin tahu bahawa tempat itu ialah rumah judi. 

(3) Dalam seksyen ini, "rumah judi" ertinya mana-mana premis, termasuk bilik, pejabat atau gerai, sama ada terbuka atau tertutup , yang digunakan atau disimpan bagi maksud penjalanan apa-apa permainan yang keputusannya bergantung kepada nasib atau campuran nasib dan kemahiran, sama ada dibenarkan oleh mana-mana undang-undang lain atau sebaliknya, untuk mendapat wang atau nilai wang.


Saya hendak mendedahkan taktik kaki judi muslim di pekan Sabak (Sabak Bernam) yang berhelah semasa membeli nombor ramalan.  Jika anda berdiri di pintu Maybank berdekatan stesyen minyak Mobil akan kelihatan sebuah kedai kopi bangunan kayu dan sebuah kedai nombor ramalan berwarna kuning.  Antara dua premis perniagaan itu ialah sebuah bengkel membaiki motorsikal.

Kaki judi muslim tahu dirinya boleh ‘dipegang’ oleh penguatkuasa syariah jika berada di dalam kawasan kedai nombor itu sama ada sedang membeli nombor atau sekadar melihat-lihat apa yang ada.  Oleh itu kebanyakan kaki judi muslim akan berkumpul di kedai kopi milik seorang Tionghua.  Kemudian, ada seorang Tiongua (lelaki atau perempuan) sebagai ‘runner’ yang mengambil wang daripada pelanggan yang ‘ngopi’ di kedai itu untuk membelikan nombor-nombor judi di kedai judi bersebelahan bengkel motorsikal.

Agaknya mereka berhujah, “Kami tidak membeli nombor ekor, orang Tionghua itu yang memberlinya.”

Saya teringat cerita dalam al-Quran mengenai helah kaum Yahudi yang dilarang menangkap ikan pada hari Sabtu.  Allah menguji mereka dengan menjadikan banyak ikan di laut (tepi pantai) pada hari Sabtu. Oleh itu mereka berhelah dengan membuat terusan yang menyebabkan ikan yang begitu banyak pada hari Sabtu akan terperangkap dalam terusan yang dibina.  Benar, mereka tidak menangkap ikan pada hari Sabtu, tetapi itulah helah mereka memerangkap ikan pada hari Sabtu yang dilarang oleh Allah itu.  Akhirnya Allah menghukum mereka menjadi ‘kera’.

Begitulah, kedai judi nombor yang katanya untuk memenuhi permintaan kaum bukan Islam telah menjadi masalah kepada masyarakat Islam pula. Orang bukan Islam tahu muslim tidak boleh berjudi, tetapi atas permintaan muslim itu orang bukan Islam membantunya.

Jumaat, Disember 03, 2010

ANTARA hiburan, sukan dan politik

ADA tiga bidang yang menjadi tumpuan rakyat, dan semuanya mempunyai pelakon-pelakonnya sendiri di samping konsep ketiga-tiganya hampir sama. 

Saya hendak mulakan dengan bidang hiburan yang sudah menjadi satu industri.  Golongan artis itulah yang menjadi pelakon utamanya, yang bekerja sepenuh masa, manakala golongan banyak akan menjadi penggemar yang membayar dalam industri ini melalui pembelian produk hiburan seperti bayaran tiket persembahan, DVD dan  filemnya.  Penggiat seni yang mencari makan dalam dunia hiburan ini pun punya pegangan bahawa rezeki mereka ini berdasarkan bakat atau anugerah Allah.  Agak malang juga kerana golongan agama kerap menyindir gaya hidup aktivis hiburan ini, malah sering dijadikan bahan contoh menularnya gejala buruk dalam masyarakat.

Yang kedua ialah sukan, yang sudah menjadi satu industri dan mempunyai khalayaknya sendiri.  Orang-orang sukan bermula daripada pengurus, pemain dan jurulatih sudah bekerja sepenuh masa untuk mencari penghidupan.  Seperti hanya segelintir yang menjadi artis dan banyak lain sebagai penggemar, maka bidang sukan pun begitu juga.  Yang merancakkan arena sukan ialah penonton yang membayar nilai sukan melalui perlawanan-perlawanan dalam sukan.  Universiti pun sudah menawarkan kursus sains sukan.  Maknanya orang yang terlibat dalam sukan juga berani mengatakan bahawa kerjaya dalam sukan juga adalah kerana bakat daripada Tuhan.  Dahulu apabila saya menyatakan boleh solat jamak dan qasar untuk orang musafir kerana melihat acara sukan, kawan-kawan yang cenderung agama tersengih tanda tanda tidak setuju.

Yang ketiga ialah politik, yang paling popular dan menjadi topik utama.  Seperti sukan dan hiburan, yang gila bermain politik ini pun bukan semua manusia.  Hanya segelintir manusia yang menjadi pemainnya, dan yang bersepah ialah peminat-peminatnya sahaja.  Penggiat politik ini pun mendapat royalti daripada kegiatannya apabila dirinya disokong banyak rakyat dalam pemilihan parti atau pilihan raya.  Jadi semakin banyak orang menyokongnya, semakin banyaklah duit masuk dalam poketnya.  Untungnya ialah banyak orang berpendidikan agama menjadi ahli politik dan dengan mudah mereka mengeluarkan fatwa politiknya adalah sah di sisi agama. 

Ketiga-tiga bidang ini adalah satu industry, yang menggerakkan ekonomi.  Ketiga-tiganya bergerak mengikut lunas undang-undang. Malah Untuk menarik wang yang banyak daripada khalayak penggemarnya semua watak dalam ketiga-tiga industry ini akan sedaya upaya menonjolkan persempahan terbaik.  Para artis mahu imej yang baik, cantik dan sentiasa memberikan produk hiburan terkini.  Ahli-ahli sukan juga mahu terus hebat di gelanggang untuk menarik sebanyak mungkin orang memasuki stadium.  Dengan banyak orang suka kredibilitinya sebagai ahli sukan wang poketnya tebal melalui ganjaran kontrak iklan dan majikannya.  Ahli politik pun sama, semakin mendapat perhatian orang maka semakin kukuhlah di persada politik. Maka, sebagaimana artis yang membuat banyak gimik supaya namanya terus di bibir peminat, ahli politik juga tidak ketinggalan membuat aksi berani matinya.  Ucapan-ucapan yang ‘gila babi’ dan perangai ‘budak hingusan’ pun dipaparkan. Ya, orang suka sebab semua ini aksi pelik.  Orang sanggup membayar persembahan mereka melalui cukai, kutipan ceramah dan sumbangan dana pilihan raya.

Menarik hidup ini…., Cuma janganlah mudah taksub dengan mendakwa pihaknya sahaja yang betul dan pihak lain salah.