Pengikut

Memaparkan catatan dengan label kesihatan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label kesihatan. Papar semua catatan

Khamis, Disember 06, 2012

ANGAN-angan beribadah ketika sakit


CATATAN peribadi saya.  Baru-baru ini saya menziarahi seorang rakan yang terkena serangan sakit angin ahmar.  Sudah sebulan dia hanya terbaring dan hanya bergantung kepada bantuan isteri dan anak-anak untuk makan, minum dan semua urusan hidup.  Meskipun mindanya masih berfungsi seperti sebelumnya, tetapi kudrat tenaganya ternyata membatasi apa kemahuan dalam mindanya.  Mulutnya berzikir kalimah-kalimah yang biasa.

Saya sebenarnya pernah berfikir untuk diri sendiri, misalnya apa yang akan dilakukan jika saya terbaring kerna sakit atau demam.  Bolehkah mengisi masa dengan membaca ayat-ayat al-Quran. Ketika saya dimasukkan dalam wad dahulu, tidaklah sebagaimana yang disangka. Dalam beg sebelum ke hospital, saya bawa sekali senashkah al-Quran untuk dibaca ketika baring sendirian.  Namun apabila sudah terbaring, walaupun waktu-waktu yang sakitnya tidak memeritkan, sudah juga hendak membaca al-Quran seperti biasa.  Tambahan pula, membaca al-Quran sambil berbaring sangat tidak menyelesakan.

Apabila saya melihat rakan saya itu agak sukar untuk berzikir ketika terlantar sakit di rumahnya, saya mencuba untuk menghafal ayat-ayat al-Quran sambil berbaring di atas tilam.  Walaupun ayat-ayat itu selama ini sudah lancar dalam hafalan, namun dalam kedudukan berbaring tidaklah sebaik halafan ketika duduk.  Jadi bagaimana dalam keadaan sakit atau demam dan terbaring, dapatkah hafalan al-Quran dilakukan dengan baik seperti biasa?

Nampaknya saya seperti perlu berlatih membaca al-Quran atau melafazkan hafalan dalam keadaan berbaring untuk menghadapi situasi yang tidak menyenangkan (jika ditakdirkan berlaku).  Ini termasuk saya membayangkan perlunya alat sokongan yang boleh diletakkan al-Quran (umpama rehal) yang boleh terbuka menghadap saya yang terbaring!

Manusia hanya merancang apa yang sepatutnya.

Isnin, Oktober 15, 2012

AIR MUSOFFA di sisi fatwa


AIR MUSOFFA ialah air yang dikatakan sebagai penawar penyakit. Cara pembuatan air ini ialah dengan menghasilkan penulisan pada piring yang kemudian ditaruh air.  Semua penulisan ayat al-Quran pada piring akan luntur dalam air, dan air itu dimimum sebagai penawar.


BERIKUT merupakan petikan daripada penulisan seorang pegawai Jakim dalam bab akidah mengenai air musoffa.

Antaranya contoh yang boleh dijadikan teladan adalah apa yang berlaku kepada penjualan Air Musofa secara komersial suatu ketika dahulu. Pengusaha air tersebut telah membuat promo menerusi rancangan temubual radio yang ditaja oleh syarikatnya sendiri. Dalam rancangan tersebut pengusaha produk akan menyebut pelbagai khasiat tentang produknya termasuk kepercayaan khurafat seperti mengatakan perbuatan merenjiskan Air Musoffa ke atas kenderaan, akan mengelakkan kenderaan tersebut daripada bala bencana.

Dalam segmen tajaan tersebut juga, pengusaha produk menawarkan hadiah kepada para pendengar yang dapat memberi testimoni terbaik. Kebanyakan testimoni yang diberikan menjuruskan kepada kepercayaan khurafat yang ditegah agama.

Perbuatan yang melampau dalam mengkomersialkan ini akhirnya telah menyebabkan syarikat Air Musoffa telah difatwakan haram oleh Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan Kali Ke-64 telah diadakan pada 4 Disember 2004 yang membuat keputusan bahawa : “Air Musoffa adalah air rawatan yang dihasilkan dengan kaedah yang bercanggah dengan hukum syarak dan pemasaran air ini boleh membuka pintu khurafat dalam masyarakat”.

Mesyuarat Panel Kajian Akidah (PKA) kali ke 29 pada 24  Mei 2005 juga telah bersetuju membuat keputusan bahawa penjualan Air Musoffa secara komersial adalah dilarang kerana boleh membuka ruang kepada penyelewengan akidah, penipuan dan kepercayaan khurafat.

Seterusnya Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-72 pada 23 Januari 2006 memutuskan bahawa: “Penjualan air musoffa secara komersial adalah dilarang kerana ia boleh membuka ruang kepada penyelewengan akidah, kepercayaan khurafat dan penipuan”.


Isnin, Jun 29, 2009

BERAMBUS asap rokok....

FOTO pada kotak-kotak rokok sudah dipaparkan yang jelek-jelek, yang memberitahu kesan buruk akibat merokok. Saya tanyakan seorang pekedai sama ada jualan rokoknya berkurangan. Dia mengatakan tidak ada bedanya, malah ada yang merasa tercabar lantas mengoyakkan pembungkus rokok di depannya dengan tujuan menghina. Jangan terlalu mengharap orang yang merokok akan bertukar sikap dan berwajah malaikat.

Tulisan ini hanya sesuai untuk remaja yang masih putih mulus, untuk berfikir mengenai hukum merokok kepada muslim. Yang sudah tua itu, berilah apa hukum pun, kagak perduli apa pun…

Memang tidak ada istilah rokok secara khusus dalam alquran atau hadis. Namun nas lain ada untuk dijadikan sandaran kukuh menentukan hukum benda-benda baru khasnya zaman ini. Perhatikan erti hadis ini.

Daripada seorang sahabat, Ibnu Umar, bahwasanya Nabi s.a.w. bersabda: “Baragsiapa yang makan dari pohon ini, iaitu bawang putih janganlah ia mendekati masjid kami.”

HR Bukhari no. 853 dan Muslim no. 561

Hadis ini menunjukkan Islam sangat mementingkan kedamaian hidup bermasyarakat. Lantaran itu ada larangan kepada orang yang membawa bau-bauan busuk atau tidak menyenangkan orang lain. Semisal sekarang bau asap rokok itu sangat busuk dan orang yang terhidunya sangat terganggu. Saya sendiri kalau terhidu asap rokok terpaksa membuat pilihan sama ada menutup hidung/mulut dengan kain atau beredar ke tempat lain.

Lihat pula prinsip penetapan hukum halal dan haram yang datang dari langit. Hujah wahyu ini cukup kuat untuk menentukan sesuatu makanan itu dikelaskan halal atau haram. Dan memang ayat ini dijadikan sandaran kepada para ulama yang berijtihad mengharamkan perbuatan menghisap rokok.

Erti firman Allah "….dan menghalalkan bagi mereka segala yang baik dan mengharamkan bagi mereka segala yang buruk” [Al-A’raf : 157]

Untuk apa lagi merokok? Ketetapan hukum sudah jelas, dan memang menjadi percubaan yang kuat kepada manusia sama ada hendak beriman dengan ayat Allah atau menolaknya. Selain itu sudah kerap dipaparkan kesan merokok seperti:

i. membazirkan wang
ii. mencemarkan alam sekitar
iii. menyebabkan kesihatan terganggu sama ada perokok atau orang lain yang terhidu asapnya
iv. membuang masa
v. menjadikan hidup selekeh atau tidak punya kekemasan
vi. memburukkan imej manusia yang sepatutnya berakhlak tinggi.

Selasa, Mei 26, 2009

PATUTKAH rokok cap babi?

PAPAN tanda di atas dipasang di kebanyakan masjid di negeri Selangor. Tujuannya tidak lain ialah untuk menegaskan betapa merokok hukumnya haram: bukannya halal, atau makruh dan harus. Hukum haram bererti tegahan dalam agama. Perkara haram, jika dilakukan dengan sedar bererti dosa. Dosa bererti satu tempahan ke neraka di akhirat kelak. Adakah pengertian lain daripada penjelasan berkenaan?

Adakah orang perduli dengan haramnya rokok? Tidak! Kalau umat Islam jijik dengan rokok yang hukumnya haram, tak perlulah pada kotak-kotak rokok diletakkan imej busuk dan buruk akibat merokok. Adakah perokok terkejut dan mahu meninggalkan tabiat merokok setelah melihat busuk dan buruknya kesan merokok? Tidak!

Adakah orang-orang Islam yang kerap ke masjid, yang sentiasa berkupiah dan berserban itu tidak ada yang merokok? Tidak! Kalau orang Islam tidak merokok, maka tidak perlu ada papan tanda larangan merokok di masjid. Kalau orang-orang yang kerap mendengar ceramah agama, yang sentiasa mengangguk-angguk faham ajaran tok-tok guru mengenai agama pun masih bebas dan senyum-senyum melakukan kerja haram merokok, luculah mereka hendak mendakwa orang lain buat maksiat seperti berjudi, mendedahkan aurat dan makan rasuah.

Adakah dengan diberitahu dalam rokok ada tar buat jalan, racun rumpair, racun serangga dan pelbagai racun lagi menyebabkan orang Melayu meninggalkan tabiat merokok? Tidak! Mereka jenis manusia berani mati.

Ohooo, jangan terkejut apabila ada ustaz atau calon ulama yang merokok! Mentang-mentang tidak ada ayat khusus dalam alquran mengenai haramnya merokok, maka dengan title ustaz dia membuat tafsiran sendiri untuk menghalalkan perbuatan haram merokoknya.

Bagaimana hendak menjadikan rokok dipandang jijik dan kotor? Senang saja…. Masukkan bulu babi dalam rokok, tulis pada kotak rokok yang rokok ini mengandungi beberapa helai bulu babi! Semua mamat yang selama ini merokok terus campak rokok dan kata rokok ini betul-betul haram!

Macam tak percaya, tak kanlah hanya babi yang boleh mengubah tabiat merokok orang Melayu Islam di Malaysia. Hanya babi, babi…! Ha ha ha

Ahad, Oktober 26, 2008

MARI menggosok gigi

Oleh Abu Usamah
http://al-fikrah.net/Forums/viewtopic/p=20842.html#20842

Waktu-waktu yang disuruh kita menggosok gigi.
1) Ketika bangun daripada tidur. Ini berdasarkan hadis dari Hudzaifah RA dia berkata :عن حذيفة؛ أن رسول الله صلى الله عليه وسلم كان إذا قام من الليل يشوص فاه بالسواكAdalah Rasulullah SAW apabila bangun daripada tidur di waktu malam, Baginda SAW membersihkan mulutnya dengan bersiwak (gosok gigi). (Sahih Muslim:255)

2) Setiap kali hendak berwudhu. Ini berdasarkan hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:لولا أن أشق على أمتي لأمرتهم بالسواك عند كل وضوء"Kalau aku tidak khuatir menyusahkan umatku, nescaya aku akan perintahkan untuk menggosok gigi setiap kali berwudhu.” (Di riwayat di dalam al-Bukhari tanpa sanad. Ibn Khuzaimah mengsahihkannya di dalam Sahih Ibn Khuzaimah:140)

3) Setiap kali hendak solat. Dari Abu Hurairah ra,Rasulullah SAW bersabda:"لولا أن أشق على المؤمنين (وفي حديث زهير، على أمتي) لأمرتهم بالسواك عند كل صلاة"Kalau aku tidak khuatir menyusahkan orang beriman atau umatku, nescaya akan aku perintahkan untuk menggosok gigi setiap kali bersolat. (Muslim:252)

4) Ketika hendak masuk ke rumah. Dari Aisyah RA, beliau berkata:عن عائشة؛ أن النبي صلى الله عليه وسلم كان إذا دخل بيته بدأ بالسواكRasulullah SAW apabila hendak masuk ke dalam rumahnya, baginda SAW akan memulakan dengan menggosok gigi. (Muslim:253)

5) Di saat mulut mula berbau, kekuningan, selepas makan dan minum dan lain-lain. Ini kerana bersiwak (menggosok gigi dianjurkan untuk menjaga kebersihan dan kesihatan.

6) Ketika hendak membaca al-Quran. Ini berdasarkan riwayat daripada Ali bin Abi Talib RA, Rasulullah SAW bersabda:وعن علي رضي الله عنه أنه أمر بالسواك وقال قال رسول الله صلى الله عليه وسلم:إن العبد إذا تسوك ثم قام يصلي قام الملك خلفه فيستمع لقراءته فيدنو منه أو كلمة نحوها حتى يضع فاه على فيه فما يخرج من فيه شيء من القرآن إلا صار في جوف الملك فطهروا أفواهكم للقرآنSesungguhnya, apabila seorang hamba menggosok gigi, kemudian mendirikan solat, maka seorang malaikat berdiri di belakangnya dan mendengar bacaannya. Kemudian malaikat itu mendekatinya (kata perawi: atau menyatakan kalimat yang serupa) lalu meletakkan mulutnya ke mulut orang tersebut sehingga tiada ayat-ayat al-Quran yang keluar dari mulutnya kecuali akan masuk ke dalam perut-perut malaikat. Oleh yang demikian, sucikanlah mulut kamu bila hendak membaca al-Quran. (Di riwayatkan oleh al-Bazzar dengan sanad yang baik. Al-Albani menyatakan ia hasan sahih, lihat Sahih at-Targhib wa at-tarhib:215)