Pengikut

Memaparkan catatan dengan label sastera. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label sastera. Papar semua catatan

Khamis, Jun 02, 2011

ILMU kebal dengan keris?


foto hiasan
BUDAYA sastera masyarakat Melayu mesti tahu cerita Hang Tuah dan empat sahabatnya pada zaman keagungan Melaka dahulu.  Sekalipun ada yang mendebatkan kesahihan cerita Hang Tuah, tetapi itu tidak menghalang kisah Hang Tuah daripada diajarkan di sekolah-sekolah.  Berdasarkan Hikayat Hang Tuah, antara siri pengembaraan Hang Tuan ialah pahlawan Melaka itu mengiringi Sultan Melaka ke Tanah Jawa. Di sana tiba-tiba ada pendekar Jawa bernama Taming Sari yang mengamuk, namun berjaya dibunuh oleh Hang Tuah.  Betara Majapahit kemudian menghadiahkan keris yang asalnya dimiliki Taming Sari dihadiahkan pula kepada Hang Tuah.  Sejak itu nama keris yang dipegang oleh Hang Tuah ialah keris Taming Sari.

Baru-baru ini  keris Taming Sari dipamerkan di Perak sempena Hari Keputeraan DYMM Sultan Perak.  Menurut jurucakap pameran, keris Taming Sari merupakan salah satu alat kebesaran Kesultanan Perak yang dipercayai memang asalnya adalah keris Laksamana Hang Tuah itu.

Umat Islam boleh saja menyimpan apa juga barang atas nama kenang-kenangan atau warisan nenek moyang.  Yang menjadi masalah kepada akidah muslim ialah apabila diercayai keris Taming Sari itu boleh membuatkan orang kebal dan keris itu dapat memberi petunjuk mengenai kejadian di Perak pada masa depan!

Kepercayaan itu memang tidak menjejaskan pembangunan fizikal negeri atau menyebabkan kemerosotan eksport barangan ke luar negara, tetapi sudah cukup untuk menjadikan ‘syirik’ atau merosakkan akidah sehingga menjerumuskan seseorang muslim ke lembah kesesatan. Kesesatan itu sama seperti kesesatan akidah yang berlaku pada zaman Arab Jahiliyah dahulu.  Orang Arab Jahiliyah percayakan Allah sebagai Tuhan, tetapi mereka juga percaya benda-benda lain mempunyai kuasa atau dapat meramalkan sesuatu perkara yang akan datang.  Jika Nabi Muhammad boleh bertolak ansur mengenai kepercayaan karut itu, pasti baginda tidak dilawan sedemkian rupa.  Apabila akidah Islam menetapkan hanya wajib percaya dan mengabdi kepada Allah, itulah antara sebab baginda dilawan oleh masyarakatnya.

Maksud firman Allah dalam al-Quran surah Al-Ma’idah ayat 3: “Diharamkan bagimu (memakan) bangkai, darah, daging babi dan (haiwan) yang disembelih bukan kerna Allah, yang  tercekik, dipukul, yang jatuh, yang ditanduk, yang diterkam binatang buas kecuali kamu sempat menyembelihnya, dan (diharamkan) yang disembelih untuk berhala.  Dan (diharamkan) mengundi nasib dengan anak panah. Itu adalah kefasikan….(hingga akhir ayat).”

Rabu, Ogos 12, 2009

SALUT ANWAR Ridhwan

BELUM terlewat untuk mengucapkan tahniah kepada anak Jawa kelahiran Sungai Besar (Sabak Bernam) Selangor sebagai Sasterawan Negara ke-10. Saya tidak pernah belajar menulis cerpen secara khusus tetapi pernah memenangi Hadiah Sastera Utusan-Public Bank satu masa dulu. Jadi saya menulis cerpen dengan melihat gaya sasterawan menulis cerpen. Mula-mula saya terikut-ikut cara Azizi Abdullah. Rasanya cerpen remaja yang menang itu tahun 1988 pun jelas pengaruh Azizi.
Tetapi gaya penulisan Anwar Ridhwan memang mengagumkan saya. Entah berapa kali saya membaca antologi cerpen Sangkar, novelet Di bumi Belalang dan novel Arus serta Hari-hari Terakhir Seorang Seniman. Saya tidak pernah meluangkan masa untuk membaca berulang-ulang karya sastera kecuali daripada Anwar dan kedua Hamka.

Tahniah!

Khamis, Mei 29, 2008

DR Hamka dan Dr Asri

YAH, salut kepada Tuan Mufti Dr Asri yang telah menulis lirik lagu dan berhasrat pula menulis skrip filem. Sebenarnya bukanlah sangat beliau mahu menunjukkan bakat dalam bidang penulisan lirik dan skrip, yang penting ialan beliau mahu memecah tembok yang dipegang oleh agamawan selama ini: Ulama dan ustaz tidak mahu terlibat dalam dunia hiburan. Ulama tahu kritik saja!

Inilah ikon orang agama yang dinanti-nantikan oleh Malaysia. Umum sudah penat mendengar para ulama dan ustaz mengkritik hiburan sebagai merosakkan dan haram, namun jarang sekali suara mereka bertukar kepada alternatif yang dikritik itu. Mudahnya ialah: Jangan cakap tak serupa bikin, cakap mahu serupa bikinlah.

Lirik lagu itu pula tidak dikhaskan kepada genre nasyid, tentu untuk penyanyi seumpama Mawi, M Nasir, Ramli Sarip, Jay Jay dan seumpamanya. Dr Asri sendiri telah berkali-kali menyatakan lagu yang baik bukan semestinya dilahirkan oleh kumpulan nasyid. Secara peribadi, saya memang kepingin Dr Asri melihat Komposer M Nasir dan penyanyi Ramli Sarip sebagai rakan perjuangan Islam melalui bidang hiburan.

Ada yang kaget dengan perkembangan terbaru Dr Asri. Ya, kepada mereka yang sekular, yang melihat Islam ialah hak para ulama dan artis sebagai mirip jahiliyyah. Jangan pandang secular hanya kepada manusia yang tidak berpendidikan agama tetapi kering jiwa Islamnya, lihat sama orang agama yang menolak Islam dalam dunia pelbagai.

Kontroversi? Mula-mula begitulah seperti pandangan Dr Asri yang mahu para penguatkuasa khalwat tidak mengintai-intai pasangan kemudian menyerbu. Nah, berita terbaru di Selangor ada rumah dipecah pegawai agama kerana mengesyaki pasangan itu tidak bernikah. Siapa malu? Pengkritik Dr Asri sedang malu kerana kes ini.

Pengkritik Dr Asri sedang mengambil kesempatan untuk memperlekeh peribadi Mufti ini dengan mengatakan seorang Mufti bersekongkol dengan dunia jahiliyah, hal muzik yang banyak haramnya.

Jangan kaget sangat, kerana Ulama tersohor dahulu Prof Buya Hamka juga dikritik kerana menulis sebuah roman (novel) percintaan Di Bawah Lindungan Kaabah! Waktu itu, “Ah, masa ulama kok menulis cerita percintaan orang muda.” Hari ini seorang Mufti meneruskan kerja dakwah melalui seni kerana dia percaya ada kekuatan dan kesanggupan di sana. Samalah kekuatan Buya Hamka, setelah Di Bawah Lindungan Kaabah, muncul pula Merantau ke Deli dan Tenggelamnya Kapal Ven Der Wicjk.

Apa lagi? Inilah mesej kepada anak-anak muda di sekolah-sekolah agama agar melihat dunia dengan citra Islam. Anak-anak muda yang dikatakan istiqamah dengan Islam dan dakwah wajib membuka minda bahawa ruang dakwah sangat luas dan jalannya bukan singkat. Jangan abaikan manusia dalam dunia hiburan kerana mereka adalah hamba Allah juga seperti kita.

Lagi, dunia hiduran adalah sebagian daripada rutin kehidupan kita termasuk anak-anak muda beristiqamah dengan Islam, termasuk juga ulama, ustaz dan para keluarganya. Bohonglah kalau ulama dan ustaz tidak pernah menonton drama dan filem di kaca TV.

Kesimpulannya, perjalanan dakwah Dr Asri akan menempuh dunia baru yang membuka mata khalayak. Semuanya atas nama menyampaikan Islam yang sejahtera. Di sinilah kreativiti dakwah dijelmakan satu persatu. Citra ulama seperti beliaulah yang sedang dicari-cari. Maka sesiapa juga yang melihat cara Dr Asri ada kebijaksanaan, wajib menyokongnya dan mengkritik untuk membetulkan jalan dakwah itu. Mengkritik untuk mundur dan memusnahkan kerja-kerja Islahnya bukan cara yang bijak. Cubalah buka minda dengan penuh kejujuran.

Rabu, Disember 12, 2007

hendak merokok atau membaca buku?

PEKAN lepas, hari Isnin saya membawa anak saya ke klinik untuk pemeriksaan rutin giginya. Sambil berdiri dan duduk menunggu hal itu selesai, saya mengeluarkan novel Arus, karya Anwar Ridhwan, baca. Entah kali ke berapa saya membaca Arus sejak tahun 1988. Membaca buku di tengah khalayak sudah menjadi kebiasaan saya. Memang tidak ada orang lain mengikuti cara saya, tidak ada pun yang membaca majalah atau akhbar dalam kamar menunggu. Orangnya banyak, tidak kurang 50 orang.

Di pejabat pos juga saya terpaksa menunggu lebih 40 minit, namun tidak ada orang membaca buku sementara gilirannya tiba. Ada dua orang membaca akhbar harian. Yang lain, melayan lamunan dan menjadi pemerhati sekeliling.

Kemudian, saya berlegar ke tempat lain dinamakan Taman Kerang, yang juga menjadi tempat berkumpul orang yang sudah bersara. Di sana juga pusat jualan lambak cincin, lukisan, barangan kulit dan ubat kuat! Saya mendapati ada seorang lelaki duduk membaca buku berjudul ‘Solat Jemaah’. Saya perhatikan dari jauh. Dia tekun membaca, hanya sesekali memandang orang lalu lalang. Seorang di tepinya tidak perduli pun orang yang membaca itu.

Entah berapa tahun dahulu ada hasil kajian mengatakan rakyat Malaysia hanya membaca satu muka surat buku setahun! Itu puratalah. Mungkinkah semakin lama berganjak kepada dua muka surat atau semakin susut kepada setengah muka surat. Membaca satu muka surat setahun dilakukan sebelum ada TV astro, sekarang sudah ada pelbagai macam media termasuk SMS. Masih sesuaikah membaca buku?

Perpustakaan awam pun bukan padat dengan pengunjung, lapang saja. Kedai buku kelihatan sesak sebaik saja buka sekolah sebab pelajar-pelajar mencari buku-buku rujukan ringkas atau panduan peperiksaan. Orang dewasa membaca apa? Nak baca apa lagi? Zaman membaca sudah berlalu……

Orang kita tidak menjadikan membaca buku sama ada di rumah atau di khalayak seperti budaya menghisap rokok! Merokok, sehari RM5.00 dua hari RM10.00 sebulan RM150.00. Mereka boleh merokok di mana-mana sekalipun banyak orang tidak suka asap rokok. Remaja perasan menjadi orang hebat dengan merokok di depan khalayak, tapi terasa malu dan bodoh jika di tempat itu dia membaca buku. Remaja itu akan menjadi orang dewasa dengan tabiatnya, kemudian tua. Tempatnya akan diganti oleh generasi baru. Putaran ini menjadi nilai dan budaya bangsa.

Membaca buku di depan khalayak seperti yang saya dan seorang itu lakukan belum membudaya, atau tidak akan menjadi budaya. Beberapa ketika dahulu ada menteri menyarankan rakyat menunggang basikal ke tempat kerja, sedangkan dia sendiri terus naik kereta. Hanya orang kampung yang menyahut saranannya, ke kebun naik basikal. Saya kepingin ada mana-mana menteri menyaran agar membaca buku di mana-mana tempat sebagai budaya baru masyarakat yang ada wawasan. Kalau ada menteri, anak raja, artis-artis seksi, pensyarah, ustaz dan ulama membaca buku di khalayak, sedikit sebanyak paradigma awam akan berubah juga.

Bacalah, membaca buku sambil menunggu giliran naik bas, di bank, pejabat pos atau sementara menunggu anak balik sekolah.

Selasa, Disember 11, 2007

daripada Bible ke cerpen

ENTAH sejak kapan saya jadi berminat mahu tahu ajaran Kristian. Namun saya akui ada cerita peribadi yang seakan mahu dirahsiakan oleh keluarga. Ibu ada bercerita, tetapi pelengkapnya ada pada orang-orang lain. Seperti ketika di Kedah, seorang rakan pernah mendengar cerita ini daripada keluarganya.

Ini perjalanan sejarah keluarga sebelah ayah. Tahun 1954 ketika ayah berusia 18 tahun diminta hadir ke Singapura untuk menghadiri pengkebumian arwah Wak Duan, abang sulung ayah. Arwah sebelumnya pelajar pesantren di Perak, kemudian ke Medan. Bagaimana dan apa kerjanya di Singapura, tidak diketahui. Namun ayah dapat hadir melihat jenazah arwah. Sewaktu ayah meminta izin mahu mengambil jenazah daripada rakan-rakan arwah, mereka tidak mengizinkan. Apa daya ayah, anak remaja dari desa tidak berpelajaran dan tidak tahu apa-apa cerita sehingga arwah ke pulau itu. Pihak rakan arwah mahu mengurus jenazah di gereja!

Terkesan dengan cerita itu saya menulis cerpen bertajuk ‘Raden’ terbit dalam Berita Minggu 23 Julai 1995. Memang plot cerpen itu mirip pengalaman peribadi keluarga ayah. Sebelumnya, cerpen pertama saya semasa bermukim di Kedah ‘Gelombang Keyakinan’ (Mingguan Malaysia 20 September 1987) juga digarap kerana dilema antara menjadi muslim atau ateis. Namun cerpen saya yang benar-benar hasil pembacaan Bible ialah ‘Sabda Cinta’ dalam Berita Minggu 11 Mac 2007.

Sedar atau tidak, saya telah meneroka beberapa booklet berkaitan dialog antara Islam dan Kristian. Tentulah antaranya karya Ahmad Deedat. Kerancuan dunia siber lebih banyak menemukan saya dengan pengalaman individu berhijrah akidah dari Kristian kepada Islam. Namun saya juga terkesan dengan penukaran akidah ke Kristian seorang pendakwah dari pesantrenan (sekolah pondok) di seberang. Memang saya bimbang catatan itu akan merongrong keyakinan anak muda lain. Bayangkan saja Hamzah seorang pelajar agama, menjadi pendakwah kepada golongan abangan. Kemudian tersua dengan lelaki Kristian, mereka berdialog. Dalam dialog mula timbul keterbukaannya dengan ketuhanan Jesus yang menjadi akidah Kristian. Hamzah seorang muslim, berkali-kali pula bermunajat kepada Allah dan bersolat isytikarah, mohon petunjuk Allah mengenai jalan akidahnya: Islam atau Kristian. Akhirnya apa? Dia mendakwa Allah melorong akidahnya kepada Kristian!

Pengalaman keluarga ayah dan catatan Hamzah masuk Kristian menyebabkan saya tertanya-tanya apakah yang dipelajari di pesantren sehingga ditewaskan dengan dialog-dialog kecil (kes Hamzah). Semasa saya dalam kuliah, ada satu kursus Pemikiran Saintifik yang berguna dalam saya membuat penilaian dan keputusan. Mudah saja, antaranya seperti konsep berpasangan atau berlawanan. Contohnya, kita mengenal warna hitam yang dianggap sebagai kotor kerana di baliknya ada warna putih yang dikenal mewakili kebersihan. Orang kurang berkesan memahami kepolosan warna putih jika tidak dihamparkan warna hitam legam penuh kekotoran.

Jika saya menerima al Quran sebagai satu-satunya kitab suci dan total daripada Allah, maka mana di balik al Quran? Jawabnya yang paling hampir dan disebut-sebut dalam al Quran, ialah Bible yang dalamnya terkandung Perjanjian Lama Taurat) dan Perjanjian Baru (Injil). Maka saya memberanikan diri meneroka Bible, sekurang-kurangnya sekali baca. Dan nyata, apa yang firmankan Allah dalam surah al Baqarah ayat 79 ditemui dalam banyak tempat dalam Bible. Ya, asalkan saja kita sanggup mengambil masa meneliti dan berfikir membanding-banding antara al Quran dan Bible.

Saya masih utuh dalam akidah muslim dan tidak ada sesiapa cuba mempertikaikan akidah saya kerana membaca Bible.