Kaum Muda dalam buku sejarah di sekolah |
DAHULU semasa saya remaja sering diajak berbicara
oleh rakan-rakan yang lebih dewasa mengenai perlunya kembali kepada ajaran
al-Quran dan hadis nabi. Dalam usrah-usrah kami yang baru mengenali Islam
ditekankan pentingnya ajaran al-Quran dan hadis atau sunah untuk menyelesaikan
masalah umat Islam di negara kita.
Dalam sejarah sudah ada gerakan Kaum Muda atau
Gerakan Islah yang mahu orang-orang Melayu kembali kepada ajaran al-Quran dan
Sunah, demi membina kemajuan bangsa.
Mudahnya, kerna tidak mengamalkan ajaran al-Quran dan Sunah, maka orang
Melayu yang sudah beratus-ratus tahun beragama Islam masih mundur.
Bangsa Melayu paling miskin dibandingkan dengan
bangsa Eropah dan Cina. Bangsa Cina yang
asalnya pendatang, menjadi buruh pada akhir kurun ke-19 sudah mengalahkan
bangsa Melayu. Bangsa Melayu ketinggalan
dalam serba-serbi baik pemilikan harta atau ekonomi, kekuasaan politik termasuk
pendidikan. Di situlah munculkan
golongan yang kenali sebagai Kaum Muda, menyeru orang Melayu mengamalkan ajaran
Islam sebenar supaya dapat maju seperti bangsa-bangsa lain. Itu pada awal abad
ke-20.
Oleh kerna Islam bukan sahaja ada dalam lapangan
politik, ekonomi dan sosial, maka hal ibadah pun termasuk dalam seruan Kaum
Muda kembali kepada ajaran al-Quran dan Sunah.
Bukan sahaja gesaan Kaum Muda agar orang Melayu pergi ke sekolah
Inggeris, belajar Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains Pertanian seperti bangsa
Eropah dilawan oleh golongan ulama yang berfikiran kampungan, malah seruan
meninggalkan kerja bid’ah, khurafat dan syirik juga menjadi debat agama pula.
Berapa banyak dulu yang terhasut dalam pemikiran
kampungan atas nama agama, tidak boleh ke sekolah Inggeris kerna itu sekolah
Kristian. Anak-anak perempuan juga masih
dibesarkan hanya untuk dijadikan isteri. Di situlah Kaum Muda membuka madrasah
di Pulau Pinang, Melaka dan Singapura untuk menampung seruan anak perempuan belajar
agama dalam sistem moden, bukan sistem pondok.
Yang dinamakan ulama kampungan bagai tidak dapat
menyekat pemikiran moden dalam pendidikan, tetapi mereka berjaya menahan
kemaraan pemikiran benar dalam beramal ibadah.
Kuasa pentadbiran agama di negeri yang beraja berjaya menahan reformasi
ibadah, iaitu ibadah yang tulen hanya bersandarkan al-Quran dan sunah
nabi. Sebab itulah sampai hari ini isu
yang dibangkitkan untuk melawan seruan kembali kepada al-Quran dan sunah nabi
dalam ibadah berjaya dilawan dengan ayat-ayat yang emosional.
Hari ini orang Melayu sudah berfikiran maju dalam
semua hal, menepati anjuran al-Quran dan sunah. Namun dalam politik, British
telah memasang perangkap besi yang kukuh sehingga orang Melayu sanggup
bertelagah atas nama demokrasi yang diwariskan British. Masalah baru apabila
seruan supaya orang Melayu bersatu dalam politik dikatakan seruan ‘mengampu
pemerintah’ dan digambarkan betapa hina bersikap demikian. Berhujahlah dengan ayat al-Quran dan hadis
yang sahih pun, tidak dapat melenturkan kecintaan kepada kepuakan parti
politik.
Sementara di sisi lain, kerja memburukkan seruan
kepada al-Quran dan sunah dalam ibadah tetap teguh. Sangat mudah memanipulasi emosi masyarakat
Melayu apabila kenduri-kenduri arwahnya didakwa tidak berasal daripada sunah
nabi. Bukan soal mahu berhujah dengan wahyu dan sunah demi kebenaran ibadah,
orang Melayu cukup disuap dengan emosi melulu.
Dalam bab ini, tidak mudah menawarkan amal ibadah menuruti sunah,
cukuplah warisan nenek moyang. Mereka
bertanya kembali, ‘apakah nenek-moyang kami tidak Islam?’ Ayat itu sudah cukup
menarik sokongan melawan arus seruan kepada sunah nabi s.a.w.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan