Pengikut

Memaparkan catatan dengan label dialog. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label dialog. Papar semua catatan

Rabu, Januari 09, 2013

KALIMAH ALlah: Tanah Melayu bersedia seperti Indonesia?


MASIH menjadi perbincangan kepada umat Islam, kalimah ‘Allah’ boleh digunakan oleh orang Kristian atau sebaliknya.  Di Sabah dan Sarawak, dikatakan tidak menjadi isu kerna sudah lama diguna pakai, apa lagi di Indonesia.  Nampaknya di Tanah Melayu agak sensitif jika pihak gereja memanggil tuhannya, Allah! Oleh itu dalam kalangan ulama memasang hujah, antara membenarkan atau menghalangnya.

Lydia Kandou (Kristian) dan suaminya Jamal Mirdad (muslim)

Tidak ada seorang muslim pun yang suka kalimah nama Tuhan, iaitu Allah digunakan oleh penganut agama lain sebagai satu perkongsian Tuhan.  Apa lagi pemahaman sifat Allah yang difahamai oleh muslim sangat berbeda dengan pemahaman umat Kristian.  Namun, pasti semua muslim bersetuju jika dengan meluasnya penggunaan kalimah ‘Allah’, akan membuat mudahnya kerja-kerja dakwah terhadap pemganut agama lain.

Ulama yang memimpin Pas, Tuan Guru Haji Hadi Awang nampaknya bersetuju diperluaskan penggunaan kalimah Allah kepada kaum Kristian, dengan berhujah Islam tidak menghalang mereka yang bukan Islam menyebut kalimah Allah.  Malah beliau menggunakan ayat 64 surah Ali Imran. Kata Tuan Guru, “ Al-Quran menyebut penggunaan kalimah Allah oleh kalangan bukan Islam (ahli kitab) dengan penjelasannya:

"Katakanlah (Wahai Muhammad): "Wahai ahli kitab, marilah kepada satu kalimah yang bersamaan antara Kami dengan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan sengannya sesuatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain (Para paderi, sami dan pemimpin) untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain dari Allah". kemudia jika mereka (Ahli Kitab itu) berpaling (enggan menerimanya) maka katakanlah kepada mereka: "Saksikanlah kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang Islam." (Ali-imran:64)”
–petikan daripada Harakahdaily 8 Januari 2013.

Namun bukan rahsia bahawa rakan-rakan ulama kepada Tuan Guru Haji Hadi tidak bersetuju dengan penyebaran kalimah ‘Allah’ kepada umat Kristian.  Antara yang menolak keputusan Tuan Guru Haji Hadi ialah Ustaz Dr Haron Din dan Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man.

Orang awam  dan tidak ada kepentingan seperti saya, ada kalanya bersetuju dengan Tuan Guru Haji Hadi dan kepada Dr Haron juga.  Untuk tujuan dakwah, memang disokong, namun kebimbangannya ialah kerja dakwah tidaklah sekuat mana untuk mengekori penggunaan kalimah ‘Allah’ dalam semua gereja.  Berbanding di Indonesia, rakyatnya sangat terbuka dalam dialog antara Islam dan Kristian, malah ada orang kuat Islam masuk Kristian dan begitu juga sebaliknya!  Di Malaysia, seorang muslim yang masuk Kristian satu ketika dahulu menjadi isu besar.  Oleh itu fahamlah, suasana di Indonesia dan Malaysia tidak sama.

Dalam al-Quran juga Allah membenarkan wanita Ahli Kitab (Nasrani dan Yahudi) dinikahi oleh lelaki muslim yang kuat agamanya (beriman, ustaz?).  Sekalipun begitu, tidak pernah berlaku seorang lelaki Melayu Islam menikahi seorang perempuan Kristian, kecuali wanita itu memeluk Islam terlebih dahulu.  Di Indonesia, bukan suatu yang janggal, malah penyanyi muslim Jamal Mirdad mempunyai isteri seorang Kristian, Lydia Kandou.  Tidak dapat saya bayangkan apa akan berlaku jika ada perkahwinan seperti yang dilakukan Jamal Mirdad di Malaysia!

Di Malaysia juga sukar menemui ulama yang mengiktiraf bahawa kaum Cina dan India beragama Kristian itu merupakan Ahli Kitab yang disebut dalam al-Quran.  Saya tidak pasti apakah Tuan Guru Haji Hadi telah memberi keabsahan bahawa umat Kristian di Malaysia adalah Ahli Kitab seperti kenyataan media yang saya cuplik di atas.

Apa lagi selepas ini?  Pada saya, apabila muslim sudah memberi hak kepada bukan Islam memberi nama ‘Allah’ kepada tuhan yang dipercayainya, maka menjadi hak mereka juga untuk menulis nama ‘Allah’ di mana-mana untuk tujuan peribadatan.  Agaknya, termasuk juga menjadi hak mereka nanti ada yang mengukir patung sebagai sembahan dan diberi nama ‘Allah’.  Ketika itu nanti pasti akan timbul kritikan  atau polemik baru terhadap penggunaan kalimah ‘Allah’ oleh bukan Islam.

Selasa, September 27, 2011

APAKAH kita tidak membuat Rasulullah marah?


ADA kalanya orang berceramah cuba membayangkan sekiranya Rasulullah berada di hadapan kita dan memerhatikan perilaku kita, apa agaknya yang akan diperkatakan oleh Nabi Akhir Zaman itu? Adakah jika berlaku perbedaan pendapat dengan Rasulullah, maka kita akan segera mengikutinya atau bermuka-muka di hadapan baginda atau membantah sebagaimana kita membantah kata-kata rakan kita?

Pada zaman baginda dahulu pun menjadi perkara yang lumrah orang memaki-hamun baginda.  Keadaan ini pun dirakam dalam al-Quran.  Manusia yang mereka gelar al-Amin sudah diubah gelarannya kepada ‘orang gila’ atau ‘ahli sihir’. Bahkan ada yag sudah menjadi muslim, hidup bersama Rasulullah juga masih bersikap kasar kepada baginda Rasulullah.  Apabila membaca kisah baginda zaman itu, apakah kita tidak akan berlaku kasar apabila ditegur oleh Rasulullah?  Ya, andaikan kita berhadapan dengan baginda Rasul itu.

Dalam satu hadis, seorang sahabat bernama Abdullah bin Zubair menjelaskan, bahawa berlaku perselisihan antara ayahnya, iaitu Zubair bin Awam dengan seorang sahabat Ansar mengenai pengairan kebun di Harah, Madinah. Atas perkara ini Rasulullah bersabda “Wahai Zubair, siramilah dahulu kebunmu kemudian alirkan ke tetanggamu”.  Sahabat Ansar itu tidak dapat menerima keputusan Rasulullah dan berkata, “Wahai Rasulullah, apakah kerna dia (Zubair) itu anak bibik (ibu saudara) mu, sehingga kau memutuskan begitu?”  Mendengar hal itu wajah Rasulullah menjadi berubah dan berkata, “Wahai Zubair, sirami kebunmu hingga penuh ke pinggir-pinggir kebun kurmamu.  Setelah itu alirkan ke tetanggamu.” (Riwayat al-Bukhari, Muslim, Abu Dawud, Tirmizi, Nasa’I dan Ibnu Majah)

Peristiwa di atas menjadi sebab turunnya ayat 65 surah an-Nisa yang bermaksud, “Maka demi Tuhanmu, mereka tidak beriman sebelum mereka menjadikan engkau (Muhammad) sebagai hakim dalam perkara yang mereka perselisihkan, (sehingga) kemudian tidak ada rasa keberatan dalam hati mereka terhadap keputusan yang engkau berikan, dan mereka menerima dengan sepenuhnya.”

Hari ini antara kita sama ada secara sengaja atau tidak, juga mempunyai sikap seperti sahabat Ansar  membantah keputusan yang dibuat oleh Rasulullah.  Perbedaan yang ada cuma kita tidak berhadapan dengan peribadi Rasulullah, kita berhadapan dengan hadis-hadis yang juga sabdaan baginda Rasul.

Cuba perhatikan apabila orang membawakan hadis seperti di bawah.

Maksud sabda Rasulullah, “Aku berwasiat kepada kamu agar bertakwa kepada Allah, taat dan patuh (kepada pemimpin), walaupun pemimpin kamu seorang hamba abdi berkulit hitam.  Sesiapa antara kamu yang masih hidup setelah ketiadaanku, dia akan melihat banyak perselisihan.  Oleh itu, kamu hendaklah berpegang teguh kepada sunahku dan sunah khulafa al-Rasyidin yang mendapat petunjuk.  Gigitlah ia dengan geraham (iaitu berpeganglah dengan kuat).  Kamu hendaklah menjauhi perkara-perkara yang baru, kerna setiap perkara baru itu bid’ah dan setiap bid’ah itu sesat.” (Riwayat Abu Dawud)

Berapa banyak pula orang berdebat mengenai ayat akhir Rasulullah  “…setiap bid’ah itu sesat.” dengan membawa maksud perbuatan agamanya itu bukanlah termasuk dalam perkara bid’ah sekalipun mengakui amalan itu perkara baru yang tidak diajarkan oleh baginda Rasulullah.

Sebagaimana dalam hadis yang diceritakan oleh Abdullah bin Zubair, Rasulullah mengulang ayatnya dengan nada marah, agaknya Rasulullah juga akan mengulang sabda baginda itu sekali atau dua kali lagi.

“Kamu hendaklah menjauhi perkara-perkara yang baru, kerna setiap perkara baru itu bid’ah dan setiap bid’ah itu sesat.”

“Kamu hendaklah menjauhi perkara-perkara yang baru, kerna setiap perkara baru itu bid’ah dan setiap bid’ah itu sesat.”

Apa tandanya apabila Rasulullah berubah wajah dan mengulang kali kedua sabdanya?

Rabu, Februari 23, 2011

TUJUH persoalan Ustaz Fauzan kepada Al Ghari

7 persoalan buat 'Syeikh' Zamihan al-Ghari
by الفوزاني Al-Fauzan on Tuesday, February 22, 2011 at 7:49pm


Bismillahi Al-Rahman Al-Rahim
Assalamualaikum wrth wbrth.
Segala puji bagi Allah Tuhan Sekalian Alam, yang menjadkan langit serta beristiwa di atas Arasy-Nya, selawat dan salam kepada Rasulullah SAW dan sahabat2 baginda, dan para salafus soleh.

Sesungguhnya sebaik2 kitab adalah kitab Allah, dan sebaik2 petunjuk adalah petunjuk Rasulullah SAW dan seburuk2 perkara adalah perkara yang direka-reka di dalam perihal agama, dan sesungguhnya setiap yang direka di dalam agama itu adalah bid'ah, dan ketahuilah, setiap yang bid'ah itu adaah sesat dan setiap yang sesat itu adalah neraka tempatnya.

Telah menjadi tanggungjawab saya untuk menjawab tuduhan yang tidak berasas lagi tidak adil daripada saudara Zamihan al-Ghari atau mashur dengan gelaran al-Ghari di blog beliau http://al-ghari.blogspot.com/ . Beliau telah menulis 3 artikel yang sama sekali membuat dakwaan yang kami di MEDIU menggangap ianya fitnah yang sengaja untuk memberi persepsi buruk kepada salah satu institusi pendidikan antarabangsa di Malaysia ini. Saudara Zamihan ini telah menulis 3 artikel :

1)      MEDIU : Rekrut Pelampau Wahhabi? Awas!
2)      MEDIU , APa yang diajar, Aqidah Pelik?
3)      MEDIU , Rekrut Pelampau Wahhabi, Satu realiti.

Individu yang bernama Zamihan ini telah mempunyai rekod dalam membawa isu Wahhabi dan mengaitkan individu – individu tertentu dengan fahaman yang disifatkan beliau sebagai fahaman Wahhabi. Antaranya, mantan mufti Perlis, Prof Madya Dr ASri Zainul ABidin dan juga pensyarah UKM , Dr .Azwira. Kedua-dua tokoh ilmuan muda ini telah mengheret saudara Zamihan ini ke muka pengadilan dan kes itu masih berlanjutan sehingga kini.

Walau bagaimana pun tidak pasti sejauh mana dakwaan saudara Zamihan ini bahawa MEDIU sebagai sebuah Universiti yang mengajar ajaran songsang, pelik, sesat, malah beliau secara seriusnya menuduh MEDIU merupakan tempat untuk mengrekrut pelampai Wahhabi malah lebih dahsyat lagi MEDIU dikaitkan dengan Wahhabi dan pengganas. Semoga Allah memberi hidayah kepada manusia yang bernama Zamihan ini.

Timbul persoalan dari sayai, atas dasar apakah saudara Zamihan ini membuat tuduhan? Ini kerana, saya mempunyai beberapa point asas agar masyarakat menilai tulisan saudara zamihan yang hanya ingin mencari publisiti murahan kononnya ingin menyelamatkan Aqidah dan kepercayaan orang Islam terselamat dari dakyah sesat sebagaimana yg didakwa beliau. Sekiranya MEDIU ini telah bersubahat utk menyesatkan ummat di Malaysia dan mengrekrut pengganas, timbul soalan dari saya kepada saudara zamihan:

1)      Setiap subjek mahupun kursus yang ditawarkan oleh MEDIU terutama sekali pengajian Islam telah diteliti dan disaring oleh para Sarjana yang dipertanggungjawabkan oleh MQA kepada mereka utk memberi kelulusan akan subjek dan kursus yg ditawarkan. Kami di MEDIU bersangka baik, mungkin Saudara Zamihan ini tidak tahu apa itu MQA, atau mungkin juga saudara Zamihan ini ingin menuduh MQA ( Malaysian Qualification Agency) sebagai agen Wahhabi kerana meluluskan kursus-kursus yang telah di dakwa beliau sebagai pelik malah mendakwa  MEDIU sebagai tempat mengrekrut pelampau Wahhabi? Adakah di sini Zamihan cuba menidakkan peranan MQA dalam menyelia dan meluluskan subjek-subjek yang dibenarkan untuk diajar oleh MEDIU? Sebagaimana yang kita tahu bahawa MQA berperanan untuk menjaga kualiti pelajaran dan silibus apatah lagi memastikan silibus-silibus itu pelik dan songsang? Betapa hebatnya saudara Zamihan ini,saya kira pihak MQA harus melantik saudara Zamihan ini sebagai ketua panel agar aqidah dan kepercayaan masayrakat Malaysia khasnya akan terjamin dan terselamat dari ajaran pelik dan songsang seperti yang didakwa. Atau mungkin saudara Zamihan tidak mengenali badan yang bertanggungjawab memantau sukatan kursus-kursus di IPTS dan IPTA di seluruh Malaysia kerana sibuk membicara soal yang tiada sendiri tiada ilmu akannya?

2)      Agak memeranjatkan dengan tuduhan Zamihan ini bahawa pelajaran Aqidah yang dibawa di MEDIU adalah pelik walhal 70% sukatan pelajaran telah digarap berdasarkan sukatan pelajaran Universiti Al-Azhar dan selebihnya adalah dari Saudi. Adakah Universiti Al-Azhar juga mengajar pelajar-pelajar kita dan seluruh dunia dengan pelajaran yg pelik dan sesat?Kalau itulah kata beliau, bermakna kerajaan Malaysia wajib membuat sekatan pelajar-pelajar kita untuk belajar di Al-Azhar dikhuatiri nanti balik akan berkongsi ajaran pelik dengan masyarakat.

3)      Sebagaimana yg kita telah maklum, bahawa saudara Zamihan ini merupakan pegawai JAKIM yang mana sudah pasti beliau punya kapasiti dan autoriti untuk membawa isu nasional ini ke pihak atasan. Saya agak keliru, kenapa laman blog persendirian digunakan dan bukan mengudah lidah rasmi JAKIM mahupun autoriti yang diberikan oleh kerajaan kepada JAKIM dalam membanteras ajaran-ajaran pelik dan songsang di Malaysia ? Bukankah wujud Jabatan Aqidah yang mengkaji aliran-aliran sesat di Malaysia di JAKIM sendiri? Atau saudara Zamihan ini memang tidak mendapat tempat di JAKIM dan pandangan itu hanyalah pandangan 'pelik' beliau sendiri. Atau mungkin Zamihan ingin mendakawa bahawa JAKIM juga Wahhabi? Semoga beliau diberi hidayah.

4) Idea penubuhan MEDIU yang diasaskan di Madinah Al-Munawwarah telah direalisasikan oleh mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Abdullah Ahmad Badawi dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai pusat pengajian antarabangsa dalam masa yg sama menjadikan MEDIU sebahagian dari agenda Islam Hadhari pada ketika itu. Adakah Tun Abdullah juga dianggap oleh Zamihan dalang disebalik pusat mengrekrut wahhabi ini? Adakah Tun Abdullah juga tidak mengambil kira soal keselematan aqidah rakyat Malaysia ancaman pengganas sebagaimana yang didakwa oleh saudara Zamihan ini? Malah Tun Abdullah juga turut menafikan MEDIU sebagai pusat penyebaran Wahhabi dan menyokong penuh segala usaha MEDIU yang menggabungkan elemen Ugama dan applikasi teknologi dalam memartabatkan ilmu duniawi dan ukhrawi

5)      Keratan akhbar berbahasa Inggeris yg ditulis oleh wartawan New Straits Times tiada mengaitkan sama sekali MEDIU ini dengan Wahhabi. Kami andaikan mungkin beliau tidak dapat memahami Bahasa Inggeris dengan baik lalu dengan sembrono mengaitkan MEDIU dengan Wahhabi. Nasihat saya, agar teruskan belajar dan meneliti kesemua benda yang ingin dipaparkan dan fahami ia betul-betul sebelum di bawa ke pihak umum.

6)      Seandainya MEDIU ini membawa ajaran yang pelik, mengrekrut pengganas aliran fahaman Wahhabi, kenapa saudara Zamihan hanya berkokok di blog beliau sahaja? KEnapa tidak digunakan saluran Media tempatan atau terlebih dahulu membuat laporan polis akan kekeliruan yang ditimbulkan oleh pihak MEDIU ? Adakah kerana saudara Zamihan ingin mecari publisiti atau sekadar ingin berlagak hero demi menyelamatkan orang Islam? Jikalau beliau rasa terpanggil utk menyelamatkan aqidah dan pegangan umat Islam di Malaysia, beliau patut melaporkan kepada polis dan Kementerian Dalam Negeri tentang MEDIU ini agar ia tidak memberi mudarat kepada Negara kita. Mungkin kerana beliau takut dan tidak yakin ataupun beliau dapat merasakan bahawa masyarakat sudah terlalu cerdik untuk menilai tulisan-tulisan murahan utk mendapat publisiti murahan di dada akhbar dan media.

7)      Jikalau benar apa yg didakwa oleh Zamihan akan kebatilan MEDIU sebagai institusi pendidikan yang memberi musibah pada rakyat Malaysia, kenapa tidak saudara zamihan menggunakan ruang yg beliau ada di JAKIM utk berdiskusi secara ilmiah dengan wakil MEDIU secara terbuka mahupun tertutup akan tetapi dihadiri oleh media agar kebenaran dapat dibuktikan dengan nilai akademik dan ilmiah dan bukan hanya cakap- cakap kosong kedai kopi. Beliau patut sedar, beliau sebagian dari JAKIM dan sepatutnya beliau patut berfikir sebelum menulis sesuatu isu.

Terlalu banyak yang saya ingin pertikaikan akan tulisan saudara Zamihan ini, tapi cukup dengan 7 persoalan yang saya bawakan agar masyarakat umum dapat menilai siapakah yang MELAMPAU dalam melabel kumpulan dan institusi melainkan saudara zamihan sendiri. Saya menasihati beliau agar adalah lebih baik beliau menumpukan tugas beliau di JAKIM dalam memajukan dan memartabatkan Islam di bumi Malaysia ini dari membuat kerja yang tidak berfaedah dan bermanfaat yang merugikan rakyat Malaysia sendiri.  Saya akhiri dengan membawa sepotong ayat Quran untk peringatan saudara Zamihan: “ Dan jangalah kamu berbicara dan berkata sesuatu yang bukan dalam pengetahuan kamu, sesungguhnya pendengaran kamu, penglihatan kamu semuannya nanti akan dipersoalan dan dipertanggungjawabkan” ( al-Isra’ : 36)

 Al-Faqir ila Allah,
Ahmad Fauzan Yahaya

Selasa, Ogos 31, 2010

PERIHAL muslim dan Ahli Kitab

DALAM suasana Ramadan, yang kita masih memberatkan pembacaan al-Quran.  Al-Quran adalah kitab Allah sebagaimana kitab Allah terdahulu seperti Taurat dan Injil.  Dalam al-Quran, kaum Yahudi yang diberikan Taurat dan Nasrani yang mendapat Injil, Allah gelar mereka sebagai Ahli Kitab.  Banyak kisah dua kaum itu dalam al-Quran yang Allah khabarkan sebagai golongan sengaja berdusta sedangkan mereka tahu kebenaran (ada juga ahli kitab yang budiman – surah 3:75).  Apa erti kepada kita sehingga hari ini membaca kisah-kisah pengkhianatan ahli kitab itu?


Siapakah kita sebagai kaum muslimin?  Seperti Yahudi yang mempunyai Taurat dan Nasrani yang mempunyai Injil, maka muslimin diberikan al-Quran.  Maka jangan menolak apabila kita kaum muslimin diberi gelar sebagai ahli kitab juga. 

Al-Quran memaparkan kisah Yahudi dan Nasrani terhadap kebenaran al-Quran supaya kita mengambil pengajaran.  Bahawa dua kaum berkenaan sekalipun memiliki kitab Allah, ulama-ulama mereka menyembunyikan kebenaran untuk beriman kepada Allah.  Tambah dahsyat, mereka membuat hukum baru dalam agama tetapi mendakwa hukum ulama mereka sebagai hukum Allah.  Jika kisah ini bukan untuk dijadikan sempadan oleh muslim yang diberi al-Quran, apa lagi yang hendak difahami?

Kita teliti kisah ini dalam surah Ali-Imran sahaja, misalnya ayat 70 (maksudnya): Wahai Ahli Kitab, mengapa kamu mengingkari ayat-ayat Allah, padahal kamu mengetahui kebenarannya?

Ayat 71 (maksudnya): Wahai Ahli Kitab, mengapa kamu mencampur-adukkan kebenaran dengan kebatilan, dan kamu menyembunyikan kebenaran, padahal kamu mengetahui?

Ayat 78 (maksudnya): Dan sungguh antara mereka ada segolongan yang memutar-balik lidahnya hanya membaca kitab agar kamu (muslim) menyangka (yang mereka baca itu) adalah sebagian isi kitab, padahal itu bukan daripada kitab, dan mereka berkata “itu daripada Allah”. Padahal itu bukan daripada Allah.  Mereka mengatakan yang dusta terhadap Allah padahal mereka mengetahui.

Dalam kalangan muslimin pun kadang-kadang sudah wujud kerenah seperti ahli kitab: Yahudi dan Nasrani.  Kerana kepentingan parti politik, perniagaan, adat resam bangsa dan pelbagai helah peribadi, maka keluarlah hukum-hukum baru sama ada untuk membenarkan tindakannya atau untuk mendapatkan keuntungan lain.

Demi adat resam bangsa, ada orang secara terbuka melanggar sunah Nabi dengan membuat amal-amal baru dalam ibadah yang dikatakan sunah (bukan wajib).  Mulut mereka hanya mengatakan amalan Islam sejak sekian lama.  Sebenarnya, apabila mendakwa itu adalah amalan Islam bermakna itu adalah hukum Allah kerana Islam itu daripada Allah.  Kalau benar itu adalah hukum Allah atau ibadah yang diperintahkan, sudah tentu mereka memberikan sumber daripada al-Quran dan sunnah.

Demi menjaga kepentingan parti politiknya, muncul pula hukum-hukum yang dianggap suci untuk partinya dan keji untuk parti lawannya.  Semuanya dilakukan atas nama kesucian agama atau rumah Allah.  Gambarannya ialah, itulah hukum Allah atau perintah dari langit! Kalaulah benar semua itu hukum Allah, tentulah mereka memberi dalil daripada wahyu Allah dan sunnah nabi-Nya.

Kesimpulannya, perangai manusia sama sahaja sejak zaman dahulu hingga kini menyebabkan kandungan al-Quran tetap sesuai untuk dijadikan panduan.  Moga Allah memberi petunjuk apabila kita membaca al-Quran agar apa yang dibaca bukan hanya sebagai bacaan kosong.

Sabtu, Julai 03, 2010

AHLI Sunnah itu ikut nabi?


PETIKAN di bawah merupakan sebagian teks ucapan yang ditulis oleh pihak berkuasa agama dan dibacakan oleh seorang raja Melayu.  Daripadanya difahami kebimbangan mengenai perpecahan umat Islam dan ajaran agama yang berlawanan dengan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah.

"Seperti fahaman tidak mengamalkan doa qunut, talkin, wirid dan berdoa bersama-sama selepas solat berjemaah serta membaca Yasin pada malam Jumaat, ternyata mampu menimbulkan perpecahan di kalangan masyarakat Islam," titahnya.

"Saya ingin mengingatkan semua pihak berkuasa terutama polis, Bahagian Keselamatan Negara, pejabat daerah, Imigresen dan agensi penguat kuasa supaya membendung penularan ajaran-ajaran yang bercanggah dengan fahaman Ahli Sunah Wal Jamaah," tegasnya.

Komentar saya:  Ada pihak berwewenang agama telah memberi erti FAHAMAN terhadap orang beragama tidak mengamalkan doa qunut,, tidak bertalkin di kubur, tidak berwirid dan berdoa secara ramai-ramai dan  tidak membudayakan membaca yassin malam Jumaat.  Perkataan FAHAMAN lebih memberi erti satu ajaran baru atau doktrin seseorang.  Di sini tiada beda untuk memberi erti bahawa FAHAMAN itu sama dengan istilah  fahaman untuk merujuk pada Komunis atau Kapitalisme.

Suka sangat saya jika pihak yang menulis teks ucapan itu dapat memberi kenyataan tepat bahawa Rasulullah dan sahabat-sahabat baginda  sentiasa berqunut  subuh, sentiasa membaca talkin di atas kubur, tidak pernah meninggalkan amalan berwirid suara ramai dan kemudian diaminkan secara ramai-ramai juga dan baginda Rasulullah juga mengadakan bacaan yasin pada setiap malam Jumaat di Masjid Nabawi.  Kenyataan ini wajib dikeluakan supaya sesuai dengan maksud ‘siapa yang tidak mahu melakukan amal-amal itu berlawanan dengan kefahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah (AWSJ). Kan semua orang Islam di Malaysia bukan Syiah, maknanya AWSJ. AWSJ kan ikut sunah Nabi.

Aduhai ustaz dan ulama, memang sudah lama ada perselisihan pendapat. Ulama pun kerap mengatakan: Jika berselisih pendapat maka kembalilah kepada al-Quran dan Sunah.  Aduhai, berapa lama lagi untuk masalah ini (katanya akan memecahbelahkan umat) hanya ditafsir sebagai warisan,  adat tradisi sejak dahulu dan sebagainya.  Ulama kena hentam mereka dengan membuktikan semua yang disebut itu memang ajaran tulen al-Quran dan Sunah nabi. Habis cerita!

Isnin, Januari 11, 2010

SAYA tetap muslim!

SAMPAI waktunya seseorang mesti berani mengisytiharkan mengapa dirinya menjadi seorang muslim! Ya, memang apabila ditanya oleh sesiapa, dengan mudah kita menjawab sebagai muslim, penganut Islam. Dengan ilmu dan kekuatan hujah, seseorang muslim dapat menjelaskan mengapa dirinya seorang muslim.


Apa ertinya kita menegaskan sebagai seorang muslim? Hal ini bermakna kita telah dapat membuat perbandingan antara beberapa agama yang sangat hampir dengan diri dan kehidupan, akhirnya kita mampu menyatakan bahawa tidak lain Islam adalah pilihan terbaik. Ini bukanlah bererti mahu menyinggung perasaan penganut agama lain, tetapi atas prinsip ilmu dan hujah maka keputusan menetapkan diri sebagai muslim dipilih kerana kekuatan ilmu dan hujah tadi. Islam tidak tertegak kerana emosi, paksaan dan ikut-ikutan membabi buta. Sebab itu sangat jelas al-Quran surah 2:256 menyatakan Allah tidak memaksa seseorang memeluk Islam, kerana kebenaran dan kepalsuan sudah terbentang di hadapan. Nah, apa lagi pilihlah!


Pada saya agama yang paling hampir akidahnya terhadap akidah Islam ialah Kristian. Sebenarnya setiap kali membaca al-Quran akan ditemui banyak ayat yang menerangkan perihal Ahli Kitab iaitu penganut agama Nasrani (Kristian) dan Yahudi. Mahu tidak mahu, sebagai pembaca al-Quran kian diruntun keinginan untuk mengetahui mengenai Kristian yang banyak dicatat dalam al-Quran.


Banyak sumber mengenai agama Kristian sama ada hasil tulisan seseorang muslim dan penganut Kristian sendiri. Saya pun punya rakan rapat seorang aktivis kristian yang telah ‘mewakafkan kehidupannya’ untuk agama Kristian. Hak dia untuk menerangkan aktiviti keagamaannya dan mendakwah saya. Takkan saya tidak dapat mengesan laras bahasanya sama ada sekadar memberi informasi atau satu gaya pujukan. Tetapi beberapa lama sebelumnya saya sudah memiliki dan membaca kitab Kristian yang disebut ‘Alkitab Berita Baik’. Itulah Bible yang mengandungi Perjanjian Lama dan Perjanjian Baru.


Pengalaman saya, mendengar ucapan atau membaca info keagamaan Kristian memang menarik hati. Tidak ada kupasan mubalighnya yang mengajak kita melakukan kerja jahat, semuanya indah. Namun pada saya lain sekali jika mentelaah Alkitab Berita Baik itu. Saya mengambil prinsip bahawa Al-Kitab Berita Baik adalah kitab suci! Sebuah kitab suci yang didakwa wahyu Allah tentulah tidak akan terdapat kalimah atau ayat-ayat yang menyentak pembacanya.


Saya meminta maaf kepada pembaca Kristian bahawa dalam Alkitab Berita Baik saya dikejutkan dengan cerita porno Nabi Lut berzina dengan dua anak gadisnya (Kejadian 19: 30-38). Kemudian jika dalam al-Quran dicatat mengenai lelaki Yahudi bernama Samiri yang menghasut kaum Yahudi untuk menyembah patung anak lembu, dalam Bible Alkitab Berita Baik yang dicatat sebagai penyeru kaum Yahudi menyembah patung anak lembu ialah Nabi Harun, sepupunya Nabi Musa itu! (Keluaran 32:2-25)


Saya masih meneruskan pembacaan Alkitab Berita Baik semata-mata untuk mengetahui kandungannya dan mencari keabsahan ayat al-Quran yang menerangkan bahawa tangan manusia mencemar kandungan Taurat dan Injil! (al-Quran surah 2:79)


Maka, saya berani membaca Bible Alkitab Berita Baik itu sebagai menambah jurang antara kebenaran al-Quran dan kesamaran Bible Alkitab Berita Baik. Untuk beriman pada ayat Allah yang memberitahu hanya Islam agama yang diredai Allah (al-Quran surah 2:19), kita wajib membuat bandingan dengan yang lain.

Jumaat, Januari 08, 2010

KRISTIAN di Malaysia ahli kitab?



(Rencana ini disunting ejaan dan nahu bahasanya untuk disesuaikan dengan kandungan  blog ini)

Komentar oleh Ramdan Kari. 

Salam bahagia kepada semua, sekadar berkongsi information dengan sahabat kita, walaupun saya bukan (berilmu seperti-ed) Ust Zahruddin. 
Soalan yang pernah saya kemukakan kepada salah seorang anggota ahli fatwa Eropah yang berada di UK, namanya Syeikh Abdullah Judai (ulama dari Basrah, Iraq) kebetulan hadir ke kelasnya. Dia jawab: untuk mengenali ahli kitab, kita boleh tentukan melalui beberapa ciri. Antaranya ialah kita melihat dari segi umum iaitu hari perayaan mereka. kesimpulanya di Britain majoriti rakyat Britain meraikan perayaan krismas. Oleh itu mereka boleh digelar ahli kitab meskipun mereka kurang berpegang pada agama mereka (tapi jawapan yg diberikan kurang memuaskan, kerana ianya terlalu umum). Meskipun begitu, berdasarkan pengamatan saya, ada beberapa hujah yang boleh  kita pertimbangkan dari sudut berikut
1- Ahli kitab masih wujud pada zaman kita
1.1 Nas al-Quran telah menjelaskan perkara tersebut dalam banyak bab seperti perkahwinan dan makanan, oleh itu jika kita nafikan akan kepupusan ahli kitab seolah-olah ayat al-Quran yang berkaitan dengan ahli kitab tidak sesuai hingga  akhir zaman. Keadaan ini bertentangan dengan ciri-ciri al-Quran yang berkekalan sehingga hari Qiamat.
1.2 Allah mengetahui apa yang akan berlaku pada masa akan datang. Sebagai contoh di beberapa negara Eropah yang padanya terdapat penganut agama Islam, jika mereka ingin berkahwin seakan-akan mustahil untuk mendapatkan calon muslim atau muslimah. Justeru itu mereka diberi kelonggaran untuk berkahwin dengan ahli kitab. Jika kita nafikan akan kewujudan ahli kitab, maka apakah jalan penyelasaian terhadap mereka ini?  Manakah lebih baik berkahwin dengan ahli kitab yang tidak mengamalkan amalan mereka dengan sepenuhnya atau berzina. (dar`ul mafsadah, jalbul maslahah) tolak keburukan, bawa kebaikan.
2- Ahli kitab tidak wujud lagi
2.1- Mereka (yang mendakwa penganut Kristian - ed) tidak mengamalkan ajaran mereka. Jika mereka masih mengamalkan agama, sememangnya ajaran mereka sudah terpesong. Kita pernah terbaca mengenai pengumpulan kitab mereka, (ada perubahan-ed) dari 400 hingga 4 biji. Kita sudah boleh memahami hakikat sebenar ajaran mereka.
Sekadar pandangan ringkas daripada saya.  Insya Allah Ustaz Zahruddin boleh bagi ulasan lagi. 
JAWAPAN UST ZAHARUDDIN
Assalamualaikum,
Ulama semasa berbeza pandangan dalam menentukan status ahli kitab ini pada zaman ini.
1) AHLI KITAB WUJUD HARI INI
Ia adalah pandangan kumpulan majoriti ulama semasa termasuk Yusuf al-Qaradawi (diambil dalam fatwa beliau berkenaan boleh makan daging di negara yang majoriti Kristian dan Yahudi, bagaimanapun dalam fatwa beliau berkenaan kahwin dengan ahli kitab, beliau meletakkan syarat agar disemak terlebih dahulu sama ada wanita itu betul-betul Kristian dan Yahudi atau hakikatnya athies), Syeikh Ramadan al-Buti, Dr Wahbah Az-Zuhayli dan lain-lain menyatakan bahawa mereka dianggap ahli kitab selagi mana mereka percaya kepada Allah SWT.


2) STATUS AHLI KITAB HARI INI DIPERTIKAI
Manakala kumpulan minoriti menolak pandangan di atas. Menurut mereka, untuk digelar ahli kitab, sesorang Yahudi dan Nasrani (Kristian) itu mestilah berpegang teguh dengan ajaran agama samawi masing-masing. Jika mereka berpegang dengan ajaran palsu hari ini dicampur pula dengan tidak mengendahkan hal ehwal hukum agama mereka, tidaklah layak digelar Ahli KItab lagi. 
Kumpulan ini berpegang kepada athar dari Sayyidina Ali yang menyebut tentang Yahudi Bani Taghlib dengan katanya :
إنهم لم يأخذوا من النصرانية إلا شرب الخمر وأكل الخنزير
Ertinya: "Mereka tidak mengambil apa-apa dari ajaran Nasrani kecuali untuk minum arak dan memakan babi" ( Rujuk : Al-Majmu' oleh Imam An-Nawawi, 9/74)
Hal ini bermakna Sayyidina Ali r.a seolah-olah tidak setuju dengan pengiktirafan ahli kitab kepada mereka yang tidak berpegang dgn sepenuhnya.
Ia juga berdasarkan athar,
عن نافع مولى ابن عمر: أنه كان إذا سُئِل عن نكاح النصرانية واليهودية، قال: إن الله حرم المشركات على المؤمنات، ولا أعلم من الإشراك شيئًا أكبر من أن تقول المرأة: ربها عيسى، وهو عبد من عباد الله (انظر: البخاري مع الفتح "9/416" حديث "5285" باب قول الله تعالى: (ولا تُنْكِحُوا المشركاتِ حتى يُؤْمِنَّ..) من كتاب الطلاق، وانظر: تفسير ابن كثير "1/258"، ط الحلبي. وتفسير القرطبي "3/68" ط. دار الكتب).
Ertinya: Ibn Umar ditanya berkenaan hukum berkahwin dengan ahli kitab Nasrani dan Yahudi, maka dia berkata : "Sesungguhnya Allah mengharamkan berkahwin dengan kaum wanita musyrik, dan tidak kuketahui syirik yang terbesar daripada seorang wanita berkata: ‘Tuhannya Isa, dan dia pula hamba dari hambar Allah’” ( Rujuk Fath al-Bari, haditth no 5285).
Justeru, ini menunjukkan bahawa kristian yang mempercayai triniti seolah-olah telah terkeluar dari ajaran kelas ahli Kitab iaitu nasrani kerana kekarutan mereka. Tambahan pula penganut Kristian pada zaman ini yang kebanyakkan adalah atheis yang hanya nama sahaja Kristian tetapi tiada berpegang dengan ajarannnya.
Kesimpulan saya
Jika berpegang penuh dengan segala ajaran agama Yahudi dan Nasrani itu dianggap syarat untuk digelar ahli kitab, maka ramai pula nanti umat Islam yang tidak layak digelar ‘Muslim', kerana pegangan mereka yang amat longgar. Kerana inilah majoriti ulama berpendapat, syarat utamanya untuk diterima sebagai ahli kitab dan terpakai semua hukum ahli kitab di dalam quran adalah PERCAYA kepada kewujudan Allah (sebagaimana Al-Qaradawi yang meletakkan syarat, asalkan jangan atheis atau komunis - iaitu yang tidak percaya tuhan). 
Justeru ahli kitab yang percaya triniti dan lain-lain itu tetap dianggap ahli kitab berdasarkan firman Allah yang menggelarkan mereka  dengan nama AHLI KITAB walaupun mereka telah menyeleweng dalam aqidah mereka iaitu:
يا أهل الكتاب لا تغلوا في دينكم ولا تقولوا على الله إلا الحق، إنما المسيح عيسى بن مريم رسول الله وكلمته ألقاها إلى مريم وروح منه، فآمنوا بالله ورسله، ولا تقولوا: ثلاثة، انتهوا خيرا لكم إنما الله إله واحد، سبحانه أن يكون له ولد، له ما في السموات وما في الأرض، وكفى بالله وكيلا}النساء:171
Ertinya: "Wahai Ahli Kitab, janganlah kamu melampau-lampau dalam agamamu, dan janganlah mengatakan tetang Allah kecuali yang benar, Sesungguhnya Al-Masih Isa anak Maryam itu adalah rasulullah, dan ia diletakkan kepada Maryam dan ruhnya datang dari Allah, maka berimanlah dengan Allah dan rasul-rasul-Nya, janganlah kamu mengatakan "tiga", tamatkanlah dakwaan itu lebih baik bagimu, sesungguhnya Allah itu esa, maha suci Allah dari mempunyai anak....( An-Nisa : 171)  


Wallahu a'lam.
Ustaz Zaharuddin Abd Rahman
19 Ramadhan 1427 H (12 Oktober 2006)

Jumaat, Januari 01, 2010

ALLAH di sisi Islam dan Kristian



DEBAT penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian pasti timbul lagi setelah mahkamah Tinggi memberi keizinan kepada mereka.  Ada satu lagi ruang keputusan yang muktamad iaitu Mahkamah Persekutuan! Di negara-negara lain hal seperti ini tak perlu masuk mahkamah.  Tapi inilah Malaysia yang unik.  Keislaman di Malaysia tak sama sekalipun dengan Indonesia.

Malu juga apabila orang Islam di Malaysia sangat lemah akidah dan imannya.  Apabila orang Kristian menggunakan kalimah Allah seperti orang Islam dianggap pasti orang Islam akan keliru. Keliru seperti, manakah yang benar? Allah berdasarkan agama Islam atau Kristian.

Susah sangatkah hendak membedakan ketauhidan antara Islam dan Kristian?  Dalam Islam Tuhan hanya satu, Dialah Allah yang tidak dapat disamakan dengan apa juga.  Dia dengan kebesarannya sendiri.  Allah dalam akidah muslim tidak punya anak atau keluarga seperti manusia.

Dalam akidah Kristian Allah itu juga Isa al-Maseh.  Mereka kata Nabi Isa itu Jesus, satu jelmaan Allah kepada manusia untuk menebus dosa manusia yang pernah dilakukan oleh Nabi Adam dan Hawa dahulu.  Dalam Islam Nabi Isa sama seperti nabi-nabi Allah yang lain.  Nabi Isa makan dan minum, kemudian mendapat wahyu untuk membimbing manusia mengesakan Allah.  Dalam Islam tidak ada dosa dan pahala yang boleh diwariskan kepada sesiapa, sedangkan dalam Kristian dosa Nabi Adam itu diwariskan kepada semua manusia.  Kan ada beda yang sangat jelas.

Adakah  umat Islam awam di Malaysia begitu tolol sampai tidak dapat membedakan antara Allah yang tunggal dalam ajaran Islam, dengan Allah yang menyamar menjadi manusia dalam ajaran Kristian?  Kecuali bab dosa warisan dalam Kristian dengan kepercayaan pahala warisan dalam adat umat Islam.  Kirim atau wariskan pahala itu bukan ajaran prinsip Islam (al-Quran) tetapi adat resam saja.  Agaknya ini yang nanti akan mengelirukan umat Islam sebab ada juga persamaan antara Kristian dengan adat Islam nenek moyang.  Jadinya nanti, masuk Islam atau Kristian tak jauh bedanya!

Kalau nanti akhirnya memang disahkan oleh undang-undang bahawa penganut bukan Islam menggunakan kalimah Allah merujuk Tuhan dalam kepercayaannya, apa akan jadi?

Hemat saya, itu tidak mengapa kerana semua itu fitrah manusia.  Fitrah manusia makan dan minum, dalam ketuhanan manusia menerima Allah sebagai Tuhan.  Aduh, banyak kali dicatat hal ini dalam al-Quran, sampai-sampai semua roh manusia membuat akujanji bahawa Allah adalah Tuhan pencipta (surah al-A’raf: 172).  Ini memudahkan dakwah.

Selama  ini ada masalah seperti: Tuhan kami tak sama dengan Tuhan kamu, jaga Tuhan sendiri-sendiri sudahlah! Oh ya, kalaulah semua mengatakan Tuhannya Allah, maka pendakwah mudah menjelaskan ketauhidan serta sifat-sifat Allah yang benar, yang ada dalam al-Quran dan sunah.  Kalau berdebat pun mudah sebab fokusnya satu iaitu ketuhanan Allah, Allah yang itulah, yang diterima oleh semua penganut agama. Maka hujah siapa yang hebat dialah betul.  Debatlah sampai lumpuh dan terpinga-pinga minda mereka.

Melalui dakwah atau debat sifat-sifat Allah ini akhirnya kita termasuk yang bukan Islam ini (Kristian) mesti memilih sifat-sifat Allah yang sahih, benar dan tidak ada tokok tambah (bid’ah).  Selama ini umat Islam faham ketauhidan Allah dalam Kristian sudah dicemar dengan bid’ah.

Kasimpulannya, umat Islam wajib bersedia dengan perkembangan ini. Tidak kagetlah…, ini zaman global dan dunia yang sangat berubah dengan pantas.  Maka terima saja kemungkinan kaum Kristian di Malaysia menggunakan kalimah Allah.  Orang dahulu kata, ‘biarkan, biarkan, Si Luncai terjun dengan labu-labunya!’

Rabu, Disember 30, 2009

TIDAK perlu samanlah....


Hemat saya ini berdasarkan berita dalam media. Zamihan Mat Zain disaman RM10 juta oleh Dr Asri Zainal Abidin kerana Zamihan dikatakan menuduh Dr Asri memalsukan ijazah!  Orang kampung macam saya fikir, itu tidak perlu. 


Kemudian Zamihan membalas pula dengan menyaman Dr Asri sebanyak RM100 juta, itupun tidak perlu juga.  Berbalas saman ini bukan akan menyelesaikan masalah perbedaan pendapat. Akhirnya umat Islam akan bertambah hilang gengsinya.  Cukuplah menggunakan medium biasa berbalas hujah, dan masyarakat akan menilainya sendiri. Masyarakat itulah hakim.

Kalau hendak berpaksi pada istilah ‘hak’, ya… itu haknya yang ada ruang dalam undang-undang. Sebenarnya orang politiklah yang mengajar masyarakat untuk bermain saman-menyaman melalui mahkamah.  Sikit-sikit saman dan untuk megah, nilai saman mesti ratusan juta.

Cuba perhatikan di wad pesakit kemalangan di hospital.  Sama ada peguam sendiri atau ejen-ejennya berkeliaran untuk memujuk mangsa kemalangan atau yang ditimpa masalah untuk menuntut saman.  Yalah, pandanglah dari sudut hak dan undang-undang, pasti ada ruang tidak puas hati  dan kecacatan. Maka itulah ruang untuk menyaman.

Sudah berlaku suami saman isteri dan guru saman ketuanya, Pengetua! Dulu saya belajar undang-undang Syarikat, ada juga individu saman dirinya sendiri!

Rabu, November 04, 2009

JAKIM jawab hal wahabi


Ruangan Soal Jawab Kemusykilan Agama

SUMBER:http://baheis.islam.gov.my/web/musykil_new.nsf/92be69fae3f225c0482567f1005a8e7b/7a38be05d1fc7baf4825757700042f81?OpenDocument


Nama : IzzulIslam.
E-Mel : Ibnunafis@yahoo.com.
Kategori : AKIDAH
SUB KATEGORI : Tauhid/Iman/Mazhab
Tarikh Hantar Soalan : 12/03/2009 08:45 AM

Soalan :


Assalamu'alaikum wbth,

Saya ingin bertanyakan soalan. Jakim memfatwakan Wahabi tidak sesat. Tetapi mengapa pula mereka yang berfahaman wahabi boleh menghukum sesat kepada ulamak dan umat Islam yang lain. Contohnya : Rasul Dahri di dalam bukunya Imam Syafie Mengharamkan Kenduri Arwah, Tahlilan, Yasinan dan Selamatan. Terbitan Jahabersa : menyalahgunakan istilah makruh dengan ditukar kepada haram kenduri arwah. Beliau juga menghukum sesat kepada ikhwanul Muslimin, tarekat sufi secara total.


Perkembangan mereka di Malaysia seperti Dr Asri Zainul Abidin, An Nawawi, Hafiz Firdaus, Mohd Yaakub, Maulana Asri Yusof. Mereka ini dibenarkan bergerak bebas di dalam internet dan lawan web seperti al-ahkam.net, al-fikrah.net dan yang sewaktu dengannya dan secara senyap-senyap menyebarkan fahaman wahhabi yang suka menghukum sesat dan juga amalan alla mazhabiyyah iaitu tidak bermazhab tanpa ada kelayakan menjadi mujtahid. Semasa Dr Asri menjadi mufti, artikelnya di dalam utusan Malaysia selalu melekehkan ulamak Islam, guru pondok, Ulamak syafie, pengajian sifat 20. Nampaknya ia tidak diambil tindakan. Sila berikan penjelasan mengapa tiada perkara ini tidak diselidiki dan dibanteras hingga ke akar umbi. Terima kasih..


Jawapan :

Wa'alaikumussalam w.b.t, Saudara yang budiman, di dalam meletakkan atau menetapkan sesuatu perkara, tidak dapat tidak hendaklah di sertai dengan dalil atau nas yang qat'i serta rujukan yang benar lagi soheh serta di i'tiraf.


Kematangan ilmu yang kurang boleh menjurus kepada ketidakadilan meletakkan sesuatu hal atau perkara. Mutakhir ini wujud kepelbagaian ilmu hasil penjelajahan masyarakat kita di dalam menuntut ilmu pengetahuan. Dan hasilnya, apa yang di pelajari diaplikasikan di dalam kehidupan masing-masing. Sebagai contoh, apabila mereka menuntut di timur tengah seperti Mesir, mereka lebih cenderung kepada Syafie. Begitu juga jika di Madinah, kecenderungan lebih kepada salafiy atau wahabi. Maka, jika wujud perbincangan sudah tentu mereka mengeluarkan apa yang mereka pelajari.


Justeru, sebagai masyarakat Islam, seharusnya kita lebih berusaha mempertingkatkan pengetahuan kita di dalam mempelajari ilmu-ilmu agama seperti perbezaan mazhab islam, perbandingan agama, pengajian hadis dan tafsir serta banyak lagi. Jadi, apabila wujud masalah, mudah bagi kita untuk mempertimbangkannya. Wallahu A'lam.


Status : Selesai - Paparan Web.
Nombor Rujukan : PANEL SJAI(ASM) 280509
Tarikh Selesai : 28/05/2009 12:03 PM


Nota:

1. Jawapan kepada soalan disediakan oleh Panel Kemusykilan Agama, JAKIM

2. Setiap borang yang dihantar hendaklah mengandungi hanya satu soalan sahaja.

3. Jawapan yang diberi adalah berdasarkan Mazhab Shafie kecuali dinyatakan sebaliknya.

Jumaat, Oktober 09, 2009

No comment, tiada hujahan


BLOG Nobisha memilih tajuk isu pilihan raya Bagan Pinang seperti ini, NO COMMENT: Saya calon Pas Bagan Pinang. Rupa-rupanya calon Pas dalam pilihan raya kecil Bagan Pinang Negeri Sembilan Encik Zulkefly Mohamad Omar hanya melepaskan kata-kata ‘no comment’ terhadap pertanyaan wartawan yang mahukan pendirian dan pemikirannya berkaitan dasar dan isu dalam kerajaan Pakatan Rakyat. Senang cakap, ahli politik yang sepatutnya murah air liur tidak boleh membisu terhadap apa juga isu. Memang itu kerja ahli politik, bercakap, bercakap dan bercakap.


Dalam blog saya ini ditemui cerita hampir sama, iaitu orang yang sepatutnya bercakap tidak bercakap. Ada antara isi-isi blog ini agak menyimpang dengan pemikiran dan pendirian beberapa pihak institusi agama atau perseorangan. Maka dalam ruangan kecil cbox kerap muncul tulisan mengecam, menghina, mengutuk dan menuduh saya sebagai si jahil yang bercakap hal agama. Terima kasih kerana pengkirit blog ini sentiasa memantau dan mahu berinteraksi dengan saya.


Kalau pengkritik itu sudah mengutuk, mengatakan saya salah dan jahil tentulah pengkritik ini bukan orang biasa, tetapi golongan agama atau bertaraf ustaz. Saya fikir dalam tulisan-tulisan yang diterbitkan di sini disokong oleh mana-mana ayat al-Quran dan hadis, atau setidak-tidaknya bertepatan dengan prinsip kedua-dua sumber utama dalam Islam. Kemudian daripada kedua-dua itu tulisan-tulisan di sini menyentuh isu-isu semasa termasuk hal-hal akidah, ibadah, sejarah, politik, sosial dan ekonomi.


Selain seorang ustaz yang gemar menukar nama samaran, banyak ustaz yang menulis satu dua ayat untuk terus menghukum tanpa memberi alasan. Yalah, satu budaya dalam masyarakat bahawa golongan agama gemar mengeluarkan hukum saja. Dan berkali-kali saya mempelawa supaya penghukum-penghukum ini untuk memperjelas hukumannya dalam sebaris ayat itu kepada huraian yang panjang. Ada seorang ulama muda yang saya kenal dan gemar menghukum sesuatu hal, dengan murah hati saya menyediakan ruangan untuk dia bersilat sebebas-bebasnya. Namun ustaz ini memilih menjadi askar gerila, kerja main tembak dan lari. Maka ustaz dan ulama lain yang gemar menghukum dalam cbox langsung tidak akan memberi hujahan kepada saya.


Jadi apa? Sama seperti calon Pas di Bagan Pinang yang hanya mahu orang mengundi dirinya menjadi Wakil Rakyat tanpa dia bersusah payah memberi hujahan daripada pemikirannya. Ustaz dan ulama yang suka menghukum dalam cbox ini juga tidak memberi apa-apa hujahan atau mempertahankan pendiriannya setelah menghukum. Tabiat supaya orang menerima dirinya sebagai betul dan hebat tanpa menjalani proses penilaian bukanlah prinsip keilmuan yang dianjurkan oleh Islam.

Rabu, Ogos 19, 2009

DIALOG masalah ekonomi umah

SAYA menghantar dua tema untuk memulakan dialog atau diskusi dalam forum http://www.al-fikrah.net/ . Sambutannya menark walaupun saya masih menunggu buah fikiran yang mantap sebagai garis panduan untuk menyelesai masalah bersama. Berikut dua tema yang boleh diakses terus ke forum berkenaan.
Forum pertama
Pada saya eloklah sahabat2 di AFN ini luangkan masa berfikir bagaimana Islam mengerakkan kemajuan selain berdiskusi bab mana hadis sah dan palsu, selain itu dah banyak juga bab sunah dan bid'ah.Dahulu (mula 1906, ditandai majalah al Imam oleh Gerakah Islah) ulama kaum muda (salafi?) telah mengegerkan orang Melayu dengan gesaan kembali kepada alquran dan sunnah supaya orang Melayu boleh keluar daripada belenggu jumud, taklid, bodoh, mundur dan 'hilang punca' dalam kehidupan harian.
Dalam sejarah Islam yang awal, selama 50 tahun sejak wahyu pertama diturunkan sebagai pembuka zaman keilmuan, maka umah terus bergerak maju. 50 Tahun selepas wahyu pertama (iqra'), orang Arab (tak apalah, bacalah umat Islam) berjaya menjadi umat pilihan dan dikagumi dunia.
Kita, sudah 52 tahun merdeka, mengapa masih lemah dan kalah jika dibandingkan dengan kaum bukan Islam. Apa masalahnya, orang Melayukah atau agama Islam itu sendiri? Terima kasih kepada yang sudi berfikir untuk membedah masalah besar kaum kita Melayu Islam. http://al-fikrah.net/Forums/viewtopic/p=132871.html#132871
Forum kedua
Sejak 50 tahun lalu, apa yang tidak dilakukan oleh kerajaan dan NGO untuk memajukan ekonomi umat Islam (org Melayu) dalam negara? Maaf, saya melihat pentafsiran Islam oleh para ulama tempatan ini menyumbang kepada kegagalan umah merebut peluang berkuasa dalam ekonomi.
Pertama: para pentafsir agama (baca golongan agama) gagal membangkitkan keghairahan umah merebut peluang ekonomi berbanding ghairah bercakap politik.
Kedua: tafsiranIislam oleh golongan agama tempatan yang kebanyakannya tidak lahir daripada medan ekonomi. Maaf, para ustaz dan kiyai banyak sebagai petani. Mereka tidak faham selok-belok perniagaan, kesannya tidak ada pengajaran yang membawa semangat kemajuan ekonomi.
Ketiga: Tafsiran agama pula dilihat berdasarkan politik. Sama seperti puak syiah yang menghukum berdasarkan politik, ulama politik juga memilih untuk terlalu kritikal dan menghukum haram terhadap apa program yang bukan daripada kandang politiknya. Maka berpolemik sahaja di ceramah, yg hasilnya umah ketinggalan.
http://al-fikrah.net/Forums/viewtopic/p=132859.html#132859