Pengikut

Memaparkan catatan dengan label hamka. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label hamka. Papar semua catatan

Isnin, Ogos 17, 2015

REVOLUSI merdeka Indonesia berdarah!



HARI ini 17 Agustus hari kemerdekaan Indonesia.  Indonesia memproklamasikan kemerdekaan sebaik saja Jepun keluar dari Indonesia.  Belanda datang mahu memerintah semula semua wilayah asal jajahan. Maka berlaku perang revolusi kemerdekaan. 

Saya catatkan sebagian cerita perang kemerdekaan di Sumatera Barat yang ditulis oleh salah seorang pejuang revolusi kemerdekaan, al-Marhum Buya Hamka. Catatannya dalam Tafsir al Azhar berkait tafsir ayat-ayat awal surah al-Anfaal. Izinkan saya memetik catatan perjuangan berdarah demi kemerdekaan tanah air itu.

“…teringat penulis tafsir Al Azhar ini suatu hal yang pernah kejadian pada 17 haribulan Januari 1949, seketika tentara Kolonial Belanda melancarkan serangan dan serbuan besar kepada Republik Indonesia yang berjuang mempertahankan Kemerdekaan Indonesia.

“Belanda telah mendapat tahu dari spion-spionnya bahawa di Situjuh (Payakumbuh) sedang bermesyuarat beberapa pemimpin Gerilya Republik.  Tempat itu segera mereka kepung, pada malam hari dan mereka tunggu sampai siang hari supaya mudah menangkap hidup atau membunuh pemimpin-pemimpin itu.

“Setelah pahlawan-pahlawan yang  terkepung itu bangun pagi-pagi hendak mengambil air sembahyang, untuk sembahyang Subuh, seorang di antaranya melihat musuh telah mengepung tempat persembunyian mereka itu dan moncong senapang telah dihadapkan kepada mereka.  Musuh bersorak menyerukan agar mereka menyerah.  Tetapi tidak seorang juapun yang berniat hendak menyerah, bahkan hendak melawan.  Melawan sambil lari meninggalkan tempat itu.  Tetapi karena ketatnya kepungan, baru saja mereka bergerak keluar, mereka telah dihujani dengan tembakan dari segenap penjuru, sehingga hanya beberapa orang saya yang bisa berlepas diri, lari dengan sembunyi-sembunyi dari satu selokan air.  Maka tewaslah 9 orang di antara mereka. Di antaranya ialah Bupati Harisun. Pimpinan Pertahanan Rakyat Khatib Sulaiman, Letnan Munir Latif dan Sersan Tantawi Mustafa.”

Demikianlah harga kemerdekaan yang dibayar dengan darah, agar anak bangsa  yang hidup kemudian hari dapat menikmati kebebasan hidup bernegara sebagai bangsa merdeka dan berdaulat seperti bangsa-bangsa lain di dunia.


Kepada mereka yang terkorban demi maruah agama dan negara, kita doakan semoga Allah mengampuni dan merahmati mereka!


Kekal merdeka.

Jumaat, Disember 05, 2014

BUKU Irfan Hamka kisah Buya Hamka

Irfan Hamka menulis kisah ayahnya

NAMA ulama besar, Hamka tidak perlu diperkenalkan kepada umat seluruh Nusantara. Putera Minang kelahiran Danau Maninjau Sumetera Barat menjadi ulama milik Indonesia, Malaysia, Brunei dan Singapura.

Saya menghabiskan pembacaan sebagian kisah hidup Buya Hamka melalui pena anak lelaki Buya iaitu Irfan Hamka, buku berjudul AYAH Kisah Buya Hamka masa muda, dewasa, menjadi ulama, sastrawan, politis, kepala rumah tangga, sampai ajal menjemputnya. Buku setebal 323 halaman diterbitkan Republika Penerbit, Jakarta.

Irfan Hamka, usia 70 tahun saat menulis buku itu tahun 2013. Anak kelima Buya Hamka daripada 12 beradik.  Dua saudaranya wafat sewaktu kecil, yang 10 terus mendewasa dan mewariskan zuriat Buya Hamka. Catatan Irfan sangat bersahaja tetapi mengesankan pembaca yang sedia mengetahui besarnya nama Buya Hamka. Maka Irfan Hamka berjaya menimbulkan kisah-kisah balik tabir yang suka, duka, dramatik dan melankolik.

Sejujurnya pembaca tidak teranggap buku AYAH oleh putra Buya Hamka sebagai projek menambah agungkan nama ulama besar dari Indonesia.  Ini beliau singgung sendiri dan menampilkan kebesaran jiwa Buya Hamka sebagai contoh manusia pemaaf kepada yang memusuhinya. Irfan memberikan kita cerita balik tabir Buya Hamka menerima permintaan Sastrawan prokomunis Prammoedya Ananta Toer agar bakal menantunya (asalnya belum muslim) belajar agama daripada Buya Hamka. Walhal sebelumnya Pram dalam koran/akhbar membabat nama Buya Hamka sebagai pencuri karya dari Perancis untuk novel Tenggelamnya Kapal Van Der Wicjk. 

Kemudian umum tahu dalamnya pertelingkahan antara Buya Hamka dengan Moh Yamin. Buya Hamka mahukan dasar Islam untuk Indonesia sedangkan Moh Yamin mewakili Presiden Soekarno mahukan Pancasila. Apabila Buya Hamka menyatakan ‘ambil Pancasila membawa ke neraka’ itu merupakan kemuncak permusuhan politik kedua-duanya. Namun saat akhir ketika Moh Yamin sakit dan sakarat, dia meminta Buya Hamka di sisinya. Buya Hamka berjiwa besar dan memimpin kalimah tauhid di kuping Moh Yamin sambil tangan mereka berdua bergenggaman. Jelasnya Moh Yamin wafat dalam bimbingan tauhid Buya Hamka.

Yang ketiga, Buya Hamka mengeluarkan fatwa haram muslim menyambut Hari Natal Kristian, yang tidak sejalan dengan Presiden Soekarno. Sampai-sampai Buya Hamka meletak jawatan daripada ketua Majlis Ulama Indonesia (MUI). Malah pada zaman itu Partai Komunis Indonesia (PKI) turut berpengaruh sehingga mudah saja maksud PKI agar Buya Hamka ditahan atas tuduhan merancang pembunhan Bapak Presiden! Tanpa pengadilah Buya Hamka dipenjara lebih dua tahun. Pada  zaman Presiden Soeharto, Buya Hamka dilepaskan dan ulama ini memenuhi wasiat besar mantan Presiden Soekarno: mengimami solat jenazahnya.  Maka Buya Hamka menjadi imam solat jenazah Soekarno.

Selain itu kehidupan Buya Hamka sewaktu remaja yang berkelana je Jawa dan Makkah semata-mata mahu mendalami agama dan Bahasa Arab, juga disorot kehebatan Buya Hamka sebagai pemimpin pejuang kemerdekaan Sumatera Barat dan pengamal silat.

Membanggakan pengkagum Buya Hamka, tokoh ini tidak pun memiliki segulung diploma atau ijazah dalam agama sekalipun beliau bergelar ulama dan dianugerahi Ijazah Doktor Kehormat dari Universiti Al-Azhar.  Malah Buya Hamka menebarkan ilmu dan pemikirannya dalam 10 jilid Tafsir Al-Azhar, satu tafsir al-Quran yang berjiwa Melayu Nusantara atau tafsir yang sejadi dengan umah Nusantara.

Pengajaran prinsip sebagai ulama, kata Buya Hamka yang dirakam  Irfan Hamka, “kita sebagai ulama telah menjual diri kepada Allah semata.  Ulama yang menjual diri kepada Allah, tidak  bisa dijual lagi kepada pihak mana pun.”  Satu lagi, “Ulama ibarat kue bika (kuih bingka). Dari bawah dipanggang api dari atas pun dibakar api. Begitu juga ulama, dari bawah oleh umat dari atas oleh pemerintah.”

Betapa pun tekanan dan penghormatan daripada mana-mana pihak, Buya Hamka tidak goyah. Tidak sejalan dengan pemerintah sehingga membawa penahanannya, tidaklah Buya Hamka menjadi pemuka menentang pemerintah. Dia umpama Imam Ahmad bin Hanbal, diam dan sabar dalam penjara.

Berbaik dengan pemerintah sehingga ditawar sebagai Duta Besar ke Arab Saudi, dia masih menolak dengan aman dan dihormati pemerintah. 

Namun buku AYAH tidak dapat membekas dalam jiwa pembaca jika sebelumnya tidak terdahulu mengenal karya-karya Buya Hamka. Pembaca akan seperti membaca cerita seseorang yang tidak ada tapaknya dalam diri. Kosong dan hampa!  Maka antara keindahan membaca AYAH disebabkan sudah mengetahui kehebatan Buya Hamka, putera terbilang Nusantara.


Buya Hamka meninggal dunia pada 24 Julai 1981.  Semoga Allah mengampuni dan merahmati Buya Hamka serta  seluruh keluarganya.

Jumaat, Februari 15, 2013

MEMERIAHI hidup dengan prasangka, tajassasu dan umpat


FIRMAN Allah dalam ayat 12 surah al-Hujurat (artinya), “Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan daripada prasangka, kerna sesungguhnya sebagian daripada prasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah sebagian kamu menggunjing (mengumpat) sebagian yang lain.  Apakah suka seseorang antara kamu memakan  daging saudaranya yang sudah mati?  Maka jijiklah kamu memakannya.  Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah adalah penerima taubat lagu maha penyayang.”


Saya  cuplikkan sebagaian daripada yang tercatat dalam Tafsir al-Azhar berkenaan ayat di atas.

Pertama: Prasangka adalah tuduhan yang tidak beralasan, atau tohmah. Sabda Nabi s.a.w. “Tidak halal bagi seseorang muslim menjauhi saudaranya lebih daripada tiga hari.” HR Muslim)

Kedua:  Prasangka adalah dosa, dan akan menyebabkan berlakunya kejadian lain yang lebih buruk.  Sabda Nab s.a.w. “Tiga perkara yang membawa krisis dalam umatku, memandang kesialan, dengki dan buruk sangka.” (HR At-Tabrani)

Ketiga: Pemerintah tidak boleh merasa cemburu kepada rakyat, kemudian menyangka bukan-bukan terhadap rakyatnya.  Oleh kerna pemerintah mempunyai mekanisme, maka ditubuhkan badan-badan perisikan untuk mencari-cari apa yang disangka buruk, dilakukan oleh rakyat.  Akhirnya banyak penangkapan dan soalsiasat terhadap rakyat sehingga rakyat menjadi gerun.  Sabda Nabi s.a.w. “Sesungguhnya seorang pemegang pemerintahan apabila dia sudah mula ragu-ragu terhadap manusia, nescaya dirosakkannya manusia itu.” (HR Abu Dawud)

Keempat:  Menggunjing (mengumpat) ialah membuka malu (aib) seseorang sedangkan orang yang dijadikan bahan cerita tidak ada di depannya.

Komentar saya: dalam kepesatan teknologi komunikasi hari ini,  kerja berburuk sangka, mencari-cari kesalahan orang lain dan mengumpat keji orang semakin luas tersebar.  Jika dikatakan maklumat di hujung jari, maka fitnah dan dosa juga di hujung jari.  Orang, mungkin disebabkan fanatik atau taksub dengan mudah percaya lantas menyebarkan kepada sekian banyak manusia.  Maka berlakulah penyebaran malu, berita dusta dan umpat keji (yang dijadikan bahan tawa) sekalipun dalam masyarakat yang mendakwa beriman kepada Allah.

Khamis, Januari 24, 2013

MAULIDUR Rasul: Pesan Nabi tentang sembelih haiwan


CATATAN ini dibuat pada pagi 12 Rabi’ul Awal, pada saat sebagian muslim sedang merayakan Maulidur Rasul, sambutan hari lahir Nabi Muhammad s.a.w.  Setiap adanya Maulidur Rasul kita disaran untuk kasih atau cinta Nabi s.a.w.  Cara mengasihi baginda Nabi s.a.w. pula dengan mengamalkan ajaran atau sunahnya.  Maka hari ini saya catat perihal penyembelihan haiwan atau binatang untuk dimakan.  Hari-hari entah berapa puluh ribu haiwan disembelih untuk dijadikan makanan manusia.


Tidak keterlaluan dikatakan bahawa semua muslim pernah menyaksikan proses penyembelihan haiwan.  Haiwan berkenaan akan dijerat kakinya, ditarik depan dan belakang untuk merobohkannya, barulah diikat kedua-dua kakinya.  Setelah itu haiwan berkenaan akan dijagal termasuk ditindih sebelum lehernya dihiris dengan sebilah parang yang tajam!  Itulah teknik ‘melunakkan’ haiwan sebelum disembelih sama ada di kota besar yang banyak dihuni ahli ilmu atau di desa yang dikata tempat tinggal orang kurang ilmunya.

Bagus dipaparkan hadis Nabi s.a.w. “Apabila kamu membunuh, hendaklah baik-baik membunuh itu dan apabila kamu menyembelih, hendaklah baik-baik menyembelih itu, hendaklah kamu menajamkan pisaunya dan menyenangkan penyembelihannya.” (HSR Imam Ahmad dan Muslim)

Kematian memang menyakitkan, termasuk penyembelihan haiwan.  Oleh itu Islam tetap menjaga adab atau aturan penyembelihan haiwan sebagai sangat menghormati haiwan yang juga hamba Allah.  Sebab itulah Nabi s.a.w. berpesan agar melayan haiwan dengan baik sekalipun dalam proses membunuhnya.

Tafsir al-Azhar (1990) merakamkan kisah Prof. Dr Syeikh Abdurrahman Taj, mantan Rektor Al-Azhar yang melanjutkan pelajarannya ke Sarbone University di Perancis.  Beliau sengaja membuat lawatan ke atas rumah penyembilihan haiwan di negara yang banyak umat Kristian itu.  Pemerhatiannya ialah: Sebelum haiwan disembelih (dihiris lehernya), haiwan terlebih dahulu dipingsankan supaya mudah tukang sembelih melaksanakan tugasnya.  Juga untuk mengelak haiwan berkenaan ‘melakukan tindakbalas kasar’ akibat kesakitan nyawa akan terlepas keluar.  Dengan melihat cara penyembelihan haiwan seperti itu, dia pun berani memakan daging yang disaji oleh tukang masak beragama Kristian di Perancis.

Pengalaman penulis tafsir al-Azhar juga hampir sama.  Tahun 1952, beliau ke Amerika Syarikat dan melawat pusat penyembelihan haiwan di An Arbord. Beliau mencatat, “Di sana orang menyembelih binatang ternak sebanyak 14,000 ekor dalam satu hari. Yang kelak dikirim ke kota-kota sekeliling dan setengahnya dikalengkan.  Penulis menyaksikan bagaimana cara menyembelih sapi.  Berpuluh ekor sapi yang akan disembelih dimasukkan dahulu ke dalam satu lori lalu didorongkan melalui satu ruangan yang ada gas.  Sebelum masuk sapi-sapi itu masih tegak, tetapi setelah keluar dari ruangan itu, mereka telah tertidur semuanya, tetapi tidak mati.

Satu demi satu dipotong leher sapi itu oleh tukang potong.  Geretangnya tidak banyak lagi, darahnya memancut keluar, lalu digantung dan dikuliti. (Tafsir al-Azhar muka surat 1628)

Antara cara orang Melayu Nusantara yang menjagal haiwan seperti catatan di atas dengan cara memingsankan terdahulu haiwan cara orang Amerika Kristian, beliau bertanya: “Mana yang lebih mendekati kehendak Rasulullah?”

Zaman sudah berubah dengan kian banyak orang belajar agama juga orang yang mendapat pengetahuan sains, tetapi teknik penyembelihan yang difahami daripada hadis Nabi itu hanya “…menajamkan pisau.”

Pemandangan yang ‘kurang perikemanusiaan’ terhadap haiwan sebelum disembelih mudah disaksikan pada hari-hari penyembelihan haiwan korban Iduladha saban tahun.  Mengapa orang-orang berilmu di Jabatan Haiwan dan Jabatan Agama Islam Negeri tidak berusaha berfikir dan bertindak ke arah kebaikan?  Orang Barat yang dikatakan syirik kepada Allah dan tidak beriman kepada Rasulullah s.a.w. boleh pula lebih ‘berperikemanusiaan’ berbanding kita yang telah beriman dengan kerasulan Muhammad s.a.w.

Manakah pemahaman bahawa Islam itu sejahtera dan Nabi itu membawa rahmat bagi sekalian alam?

Sabtu, Mei 01, 2010

DONGENG tasauf mendewakan raja

BUYA Hamka, ilmuan Nusantara telah mendedahkan mengenai ‘Dongeng Kaum Tasawuf mendewakan raja (sebanyak Sembilan siri) dalam bukunya, Dari Perbendaharaan Lama (Jakarta, 1982). Hamka telah mendedahkan pengaruh kitab Al Insan Al Kamil karya Syeikh Abdulkarim Jilani (mati 1410M) dalam penulisan salasilah raja-raja Nusantara: Melaka, Bugis, Minangkabau dan Maluku. Hamka secara tegas mengatakan bahawa penulis buku Sejarah Melayu (Sulatus Salatin), Tuhfat al-Nafiz (Taman Raja-raja), Cindur Mato (Minangkabau) dan Sejarah (Tidore, Ternate, Bacan dan Jailolo) sengaja memasukkan cerita-cerita dalam kitab Al Insan Al Kamil untuk mendewa-dewakan raja.
Semua karya salasilah raja-raja Melayu Nusantara direka untuk membina kesucian peribadi raja. Tujuannya supaya rakyat sangat patuh kerana raja-raja mereka yang ‘sangat bertuah’. Keturunan mereka daripada raja besar seperti Raja Iskandar Zulkarnain, Nabi Sulaiman, Raja Suran, disabitkan pula dengan Nabi Khidir. Ada pula nenek moyang raja Melayu yang hidup dalam alam luar biasa seperti dalam laut dan kayangan di angkasa sana! Hamka mendedahkan bahawa penulis sejarah itu menggunakan ajaran tasauf yang jauh terpesong daripada ajaran Islam.
Dalam Sejarah Melayu karya Tun Sri Lanang, karya yang menceritakan pemerintahan raja-raja Melayu di Melaka. Supaya rakyat taat tanpa berbelah bagi kepada raja Melaka, dikisahkan nenek moyang baginda raja-raja Melaka berasal daripada Raja Iskandar Zulkarnain, raja besar dari Mekadonia. Raja Iskandar berkahwin dengan anak Raja Hindi (India) dan mendapat anak lelaki bernama Aristun Syah. Daripada keturunan Aristun Syah ini muncul Raja Suran yang masuk dalam laut, berkahwin dengan puteri dalam laut. Kemudian anak-anak lelaki Raja Suran di dalam laut turun di Gunung Mahameru Bukit Seguntang di Palembang. Kemunculan anak-anak raja ini ditandai dengan bertukarnya sawah padi menjadi emas dan perak! Daripada salah seorang anak raja itu, Bicitram Syah yang digelar Sang Sapurba. Daripada Sang Sapurba itulah lahir raja-raja Melaka!
Hamka tidak berselindung mendedahkan bahawa kitab tasauf Insan Kamil karangan Sheikh Abdulkarim Jilani menjadi panduan pengarang mendewa-dewakan raja. Dalam kitab itu, Syeikh Abdulkarim Jilani mengatakan setiap tujuh bumi ada kehidupan masyarakat dan di dasar lautan pun ada masyarakatnya. Maka pengarang pun berdongeng bahawa Raja Suran masuk ke laut dan berkahwin di sana sehingga mendapat tiga anak lelaki.
Dalam kalangan ahli tasauf (sufi) nama Nabi Khidir sangat popular. Oleh itu dikatakan pula yang menikahkan Raja Iskandar Zulkarnaen dengan puteri Raja Kida Hindi ialah Nabi Khidir, walhal nama Nabi Khidir tidak ada pun dalam al-Quran.
Dalam sejarah raja-raja Minangkabau pula digambarkan raja yang awal bukan bagai manusia (adalah berdiri sendirinya, sama tajalli dengan alam). Gambaran raja bagai Tuhan ini diambil daripada teks Al Insan al Kamil. Konsep Insan Kamil ajaran kaum tasauf ialah: Insan Kamil adalah khalifah daripada Allah. Padanyalah tajalli ketuhanan. Dan di setiap zaman ada saja insan tempat Allah mentajalli dirinya (ms 232).
Pengkritik sastera mengatakan pengarang salasilah sengaja membuat cerita dongeng untuk membentuk ‘kebesaran raja’ supaya raja (walaupun fizikalnya manusia) ditaati rakyat tanpa soal jawab. Dalam budaya Melayu: Pantang Melayu derhaka kepada rajanya. Lihat dalam Sejarah Melayu digambarkan Bendahara Seri Maharaja menerima saja hukuman mati walaupun sedar dirinya terfitnah.
Mesej Hamka jelas, kaum tasauf yang dikatakan golongan paling awal menyebarkan Islam di Nusantara telah membentuk persepsi yang salah terhadap raja atau sultan. Oleh kerana sumbernya daripada kitab ‘agama tasauf’ maka rakyat pun menerima dengan ‘benar’ cerita-cerita kehebatan asal keturunan raja mereka. Maka patut benar: Pantang Melayu derhaka. Lihat hikayat Laksamana Bentan, apabila raja dibunuh oleh pembesarnya sendiri, maka sumpahannya dikatakan benar walaupun tidak saintifik langsung.