Pengikut

Memaparkan catatan dengan label tokoh. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label tokoh. Papar semua catatan

Ahad, Februari 21, 2016

HUSSEIN YEE: Contoh akhlak ulama Cina


MINGGUAN MALAYSIA: Ustaz merupakan antara 16 penceramah yang dilarang berceramah di sebuah negeri? Agaknya apakah kesalahan yang ustaz lakukan sehingga tidak dibenarkan berceramah di negeri itu?

HUSSEIN: Pihak kami telah mengeluarkan kenyataan mengenai perkara ini. Saya pun keliru kerana tidak faham daripada sudut manakah saya telah mengelirukan orang dalam ceramah saya. Malah sehingga kini belum ada wakil daripada pihak yang bertanggungjawab memanggil saya untuk memberi keterangan. Saya pun hendak tahu dalam konteks apakah kesalahan saya itu. Saya doakan agar isu ini dapat diselesaikan segera. Saya juga berharap agar tidak ada pihak yang mudah untuk menghukum apatah lagi memfitnah mana-mana pihak sebelum dibawa berbincang kerana jika tidak ini boleh jadi satu kezaliman. Saya punya keluarga dari Johor bertanya tentang perkara ini. Saya kata ini perkera kecil sahaja. Ramai yang bagi respons dan berkata selama ini ceramah saya okay sahaja, kerana saya hanya bercakap tentang agama dan tidak ada campur dengan isu politik. Tetapi kalau betul saya ada tersalah cakap, beritahulah saya dan bukannya susah sangat. Kita boleh duduk bersama dan berbincang. Kalau saya salah saya minta maaf.


Sumber: Akhbar Mingguan Malaysia, 21.02.2016.

Ahad, Disember 28, 2014

TRAGEDI NURHAYATI lambang pengorbanan agung guru

MEREDAH gelora yang di hadapannya maut, itulah pilihan seorang guru perempuan Nurhayati Sulong. Dan dia maut dalam usaha menyelamatkan srip jawaban murid dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bulan November lepas. SALUT dan DOA kepada Nurhayati. Bagi guru, sangat besar erti skrip jawaban SPM. Itu adalah khazanah negara, sebab itulah sekalipun di pintu maut, seorang guru rela meredah jalan maut mendapatkan khazanah itu! Sama seperti sang tentera di medan perang.

semoga Allah mengampunidan merahmati kamu Norhayati!


KEMAMAN - Guru, Nurhayati Sulong sanggup bergadai nyawa berpatah balik ke rumahnya dalam keadaan banjir yang semakin buruk semata-mata untuk mengambil kertas peperiksaan SPM yang belum diselesaikan.
   
Dan dalam perjalanan semula ke pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Geliga, Nurhayati, 37, maut bila bot yang dinaikinya terbalik dihanyutkan arus deras Rabu lalu.
   
Suami Nurhayati, Suhaimi Awang, 37, turut terkorban dalam tragedi itu yang berlaku bila bot berkenaan karam selepas terperangkap dalam pusaran air di Kampung Che Akob, di sini.
   
Tiga anggota bomba dan tiga mangsa banjir lain bersama mereka selamat.     
   
Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman cukup terharu dengan tragedi itu.
   
"Saya amat merasa tersentuh dengan apa yang berlaku kerana saya dapat maklumat Allahyarham Cikgu Nurhayati ini, dia pulang ke rumah semata-mata hanya untuk mengambil kertas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang masih belum selesai ditanda.
   
"Ini satu pengorbanan yang sangat besar. Dia seorang guru yang hebat. Tanpa memikirkan keselamatan diri, beliau tetap nak balik mengambil kertas soalan SPM," katanya.
   
Menteri Besar bercakap kepada pemberita ketika ditemui di Hospital Kemaman selepas menziarahi jenazah Suhaimi hari ini.
   
Sebagai menghargai khidmat bakti pasangan itu, Ahmad Razif berkata pihaknya akan menjaga segala kebajikan dan pendidikan serta akan mengambil keenam-enam anak mangsa sebagai anak angkat kerajaan negeri.
   
Mereka ialah Nor Syafiqah Syahira, 12; Nor Izah Insyirah, 11; Muhammad Ifran Irshad, 9; Nur Intisar Iedihar, 6; Muhammad Aqil Amsyar, 4; serta anak bongsu Nor Adifa Arissa, yang merupakan bayi berusia 4 bulan.
   
"Bantuan khas kepada anggota keluarga mangsa akan kita putuskan sebaik selesai urusan pengkebumian," kata Ahmad Razif.
   
Mayat Nurhayati ditemui tersangkut pada ranting kayu kira-kira 4.25 petang semalam kira-kira 700 meter dari tempat bot mereka terbalik manakala mayat suaminya pula ditemukan kira-kira pukul 12.20 tengah hari ini kira-kira 10 meter dari lokasi isteri.
   
Dalam pada itu ibu kepada Suhaimi, Zariah Awang Jusoh, 70, berkata beliau sedih mengenangkan hasrat Allahyarham yang tidak kesampaian.
   
Mereka sekeluarga sepatutnya menyertai 'reunion' Sekolah Menengah Agama Al Falah Kemaman pada Khamis lepas dan bercuti di Johor pada Jumaat (semalam), kata Zariah.  - Bernama

Khamis, September 26, 2013

BELASUNGKAWA: Ustaz Azizan Abdul Razak ke Rahmatullah

Almarhum Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak
MANTAN Menteri Besar Kedah pertama bukan daripada Umno, Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak telah kembali ke Rahmatullah pada jam 11.00 pagi tanggal 26 September 2013.   Diucapkan takziah kepada ahli keluarganya yang tinggal.  Semoga Allah mengampuni semua dosa dan merahmati almarhum.

Almarhum Ustaz Azizan merupakan pemimpin Pas pertama menerima anugerah bergelar Tan Sri daripada kerajaan Malaysia dalam situasi dirinya dalam Pas.  Selalunya penerima anugerah Tan Sri hadir daripada pemimpin parti yang memerintah di peringkat Persekutuan.  Mudahnya, tanpa masuk Umno, Ustaz Azizan telah dianugerahi gelaran Tan Sri.

Mantan Presiden Pas  Asri Muda juga bergelar Tan Sri, namun gelarannya diterima setelah beliau menjadi ahli Umno.  Seorang lagi tokoh Pas yang menerima gelaran Datuk tanpa melalui parti yang memerintah ialah mantan Presiden Pas almarhum Datuk Haji Fadzil Mohd Noor.  Maksudnya, Haji Fadzil Mohd Noor menerima gelaran Datuk daripada baginda Sultan Kedah sewaktu pas masih sebagai pembangkang di Kedah.

Salut untuk almarhum Datuk Fadzil Mohd Noor dan Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak kerna ketokohan mereka berjaya merentasi batas partai politik.

Selasa, Januari 17, 2012

CARANYA Ustaz Fathul Bari nasihati wanita Umno



Salah satu soalan "Jom Chat Bersama... FATHUL BARI MAT JAHYA di Utusan Online"

Soalan daripada Che Mohamad,
Rakyat Islam biasa melihat pemimpin Umno tidak Islamik kerana isteri2 mereka tidak menutup aurat. Ustaz2 Umno segan nak menegur pemimpin Umno, tapi tak segan menegur ulama Pas. Jadi rakyat melihat ustaz2 Umno pentingkan pangkat sahaja.


Jawapan Ustaz Abu Islam Fathul Bari,
Terima kasih Che Mohamad, saya kira tuan tidak mengikuti kajian2 ilmu kami. alhamdulillah kebenaran; telah kami sampaikan tanpa prejudis. Aurat adalah salah satu dari hukum Allah yang besar setiap wanita perlu menutup aurat mereka. Cuma bagi yang bertanya,

1) Nabi SAW sendiri tidak mampu memberikan petunjuk kepada bapa saudara baginda utk memeluk islam, Nabi Musa juga tidak mampu meyakinkan fir'aun, Nabi Nuh juga tidak mampu memberi hidayah kepada anaknya, begitu juga Nabi Luth tidak mampu menjadikan isterinya insan yang beriman; Jika para Nabi pun tidak mampu, apatah lagi saya dan sahabat2 yang kerdil ini.... 

tuan berbicara seolah2 hidayah itu ditangan kami, sedangkan hidayah adalah milik allah secara mutlak.

2. Adakah tuan menghukum kami tidak menegur hanya dengan mencari kenyataan kami di akhbar? atau d internet? Jika demikian, tuan pasti tidak menemuinya. Kami menulis, berceramah, menegur secara berhadapan dan lain2. Bahkan kami juga memberikan teguran secara umum tentang isu aurat. Isu aurat ini melibatkan rakyat malaysia bukan hanya parti UMNO. Tolong jgn prejudis.

Walau bagaimanapun, teguran dan pandangan tuan, akan kami jadikan motivasi untuk tingkatkan ketaqwaan kepada Allah. Terima kasih.

*Tidak berlaku sebarang edit kepada soalan & jawapan.

- Via Abu Mu'aaz Munir Azizan

(SAYA menghormati Ustaz Fathul Bari yang sanggup berada dalam Umno untuk melaksanakan kerja-kerja dakwah.  Beliau pasti bertemu mehnah dalam Umno, malah dari luar Umno.  Saya yakin beliau jujur melaksanakan dakwah dan mendoakan kemudahan dan kejayaan beliau. NMS)


Jumaat, April 22, 2011

PESANAN Imam Masjidil Haram di Malaysia


KEPADA mereka yang pernah solat di Masjidil Haram pasti tidak melupakan suara imam solat yang agak sengau.  Beliau adalah Imam As Sudais yang telah berkunjung ke Malaysia.  Semua pihak menghormati ketokohan beliau dengan memberikan ruang berkhutbah dan memberi ceramah.  Kepada segelintir mereka yang mabuk dengan istilah 'wahabi' tentu perasaan hatinya luka dengan sambutan terhadap imam ini.  Alahai, jelasnya isu wahabi hanya cakap-cakap kedai kopi untuk menonjolkan diri, supaya ada orang memandang yang berkata itu sebagai orang yang membela agama. kononnya!


Imam Besar Masjidil Haram Gesa Umat Islam Kekalkan Perpaduan

KUALA LUMPUR: Imam Besar Masjidil Haram, Sheikh Dr Abdul Rahman Ibn Abdul Aziz As-Sudais menggesa umat Islam agar berpegang teguh kepada al-Quran dan sunnah demi memastikan mereka kekal bersatu padu.

Beliau berkata, perpecahan di kalangan umat Islam akan berlaku sekiranya mereka tidak menjadikan kedua-dua perkara itu sebagai sebahagian amalan kehidupan seharian. "Anda semua harus berpegang pada hadis Rasulullah S.A.W. mengenai pentingnya berpegang teguh dengan Al-Quran dan As-Sunnah, jika tidak inilah (perpecahan) jadinya kepada umat kita (Islam)," katanya dalam khutbah Jumaat yang diikuti oleh lebih 3,000 jemaah, di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, di sini.

Khutbah beliau bertajuk "Perpaduan Islam dan Cabaran Semasa" diterjemahkan ke Bahasa Malaysia oleh Yang Dipertua Persatuan Bahasa Arab Malaysia Datuk Mahamud Abdul. Sheikh Abdul Rahman turut berpesan kepada umat Islam di negara ini supaya meningkatkan ketakwaan kepada Allah S.W.T.

Imam itu berkata, perpaduan juga boleh dicapai menerusi peningkatan ilmu pengetahuan serta memahami Al-Quran serta hadis Rasulullah S.A.W. "Dengan itu, saya menggalakkan anda semua supaya meningkatkan penguasaan Bahasa Arab kerana kesatuan umat ini satu tiangnya iaitu menguasai Bahasa Arab itu sendiri," katanya.

Katanya, umat Islam harus mengakui mereka adalah umat pertengahan di dunia iaitu bersifat sederhana dalam kehidupan seharian. "Oleh itu, janganlah kita menjadi pelampau dan jangan pula merendah diri sampai kita ditindas oleh bangsa lain," katanya.

Beliau menambah, umat Islam juga harus mempunyai keseimbangan dari segi ilmu dan amal kerana kedua-duanya saling melengkapi. Sheikh Abdul Rahman yang sedang dalam rangka lawatan lima hari ke Malaysia turut mengunjungi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Putrajaya petang ini. -BERNAMA

Jumaat, Jun 18, 2010

HASSAN Shukri anak Banjar Sabak Bernam

BELASUNGKAWA. Kewafatan mantan Timbalan Presiden Pas, Pesuruh Jaya Pas Selangor dan Senator Haji Hassan Shukri, 71 tahun, pada 14 jun 2010 adalah kehilangan kepada anak watan kampung Baru 2 Sepintas Sabak Bernam, Selangor.  Walaupun saya anak kampung Sepintas, saya hanya mengenali beliau sebagai salah seorang tokoh Pas.  Namun arwah ayah Haji Hassan, Haji Shukri memang kenal saya sebab saya tinggal lama di kampung. Apabila saya merantau, dan pabila pulang saya kerap bertemu di Masjid Abrar Batu 2. Arwah Haji Shukri kerap menyapa dalam loghat Banjarnya, "Bila ustaz pulang?"
Rumah ayah almarhum Hj Hassan di tepi jalan simpang empat kampung Batu 2 Sepintas.  Buka saja rumahnya, itulah tanah perkuburan dan sebelah tanah kubur itulah Masjid Abrar.  Di Kampung Sepintas, penghuninya keturunan Jawa dan Banjar. Bagi keturunan Banjar, kebanyakan mereka tinggal di Kampung Kemboja.

Ayah saya, Haji Siraj Abdul Khanan yang sudah 74 tahun merupakan kenalan rapat almarhum Hj Hassan.  Kalau hendak dibandingkan kesihatan antara ayah saya dengan almarhum Hj Hassan, tampak ayah saya lebih uzur fizikalnya. Maklum, orang kampung yang membanting tulang sejak zaman anak-anak. Sekarang badannya agak bungkuk.  Fizikal almarhum Hj Hassan tetap agam.  Sewaktu mendengar berita Hj Hassan wafat, saya berada di Kuantan dan menelefon ke kampung untuk memaklumkan kewafatan teman ayah.

Rasanya ayah saya macam ralat sebab tidak dapat menziarahi jenazah almarhum Hj Hassan kerana tidak dibawa pulang ke kampung kelahirannya, Kg Sepintas.  Saya pula berada di Kuantan, tidak dapat membawa ayah ke Gombak.  Itulah berakhirnya dalam hayat persahabatan antara ayah saya dengan tokoh Pas pusat yang lahirnya di kampung kecil. Tahun kelahiran almarhum Hj Hassan 1939, apalah yang ada di Kampung Sepintas.  Namun kerana almarhum berjaya dalam pendidikan sehingga belajar ke Iraq, itulah membezakan seseorang. Kerana ilmunya!

Rabu, Disember 30, 2009

BELASUNGKAWA Kiyai Haji Ihsan b Imam


BELASUNGKAWA kerna kewafatan seorang kiyai pesantren di Panchang Bedena Sungai Besar Selangor, Kiyai Haji Ihsan b Imam. Beliau adalah guru tafsir al-Quran di masjid kampung saya pada setiap malam Selasa selepas Maghrib selama 27 tahun. Tahun lepas tamatlah pengajian tafsirnya untuk semua 30 juzuk al-Quran.  Namun bukan semuanya dapat saya kutip, kerna sejak tahun 1985 saya mula merantau.

Pabila pulang, saya akan menghadiri kuliahnya. Waktu anak sulung saya usia setahun, semasa ziarah hari raya ke rumahnya anak saya yang nelitis masuk ke dalam talam yang ada kuih muih. Sampai hari raya tahun lepas, beliau akan bertanyakan kepada ayah saya cucunya yang masuk talam! Sekarang anak saya sudah 17 tahun!

Bapak Kiyai Haji Ishan seorang mendirikan pesantren di desanya bermula tahun 1985. Takdir Tuhan, dia sajalah yang menjadi gurunya, dan dengan kewafatannya orang pada bertanya, 'siapa pengganti pak kiyai ini?'


Catatan saya berkenaan tafsirnya ada di sini
http://suparjo.blogspot.com/2008/06/tafsir-al-quran-27-tahun.html

Moga Allah merahmati rohnya.