Pengikut

Ahad, Mac 18, 2018

PRU juga cara guling pemerintah

Foto hiasan

ADAKAH Pilihan Raya Umum (PRU) hanya memilih kerajaan, bukan memberontak atau menggulingkan kerajaan yang ada? Ini hanya permainan bahasa daripada satu puak yang mendakwa mengikuti sunah Nabi shallallahu alaihi wasallam, tetapi punya jiwa membangkang pemerintah yang ada. Mereka menegakkan tauhid dan mengingkari syirik dengan dalil. Mereka juga menegakkan sunah dan menidakkan bid'ah hasanah dengan dalil al Quran dan hadis sahih. Dalam hubungan antara rakyat dengan pemerintah, mereka meninggalkan dalil al Quran dan hadis, sebaliknya tegar dengan dalil sistem dan amalan demokrasi serta peluang oleh undang-undang.

Mereka memberi takrif 'memberontak' itu satu serombolan manusia menggunakan senjata untuk menukar pemerintahan, seperti pemberontakan Partai Komunis Malaya tahun 1948-1960. Mereka juga mengatakan 'mengguling pemerintah' hanya dengan aksi kasar seperti aksi kudeta yang kerap berlaku di Thailand. Bagi mereka, mengumpulkan orang dan diberi informasi agar membenci pemerintah (atas tuduhan pemerintah jahat) adalah memenuhi agenda sistem demokrasi. Menubuh parti politik dan bersekutu dengan parti-parti pembangkang lain, bukan pemberontakan, tetapi menawarkan diri menjadi pemerintah baru.

Sekali pun mereka kuat menggunakan dalil al Quran dan Sunnah membanteras bid'ah, namun mereka mengabaikan dalil ayat 59 surah an Nisa yang mewajibkan umat mentaati pemerintah. Atau mereka terus mengatakan, 'pemerintah buruk tidak wajib ditaati'. Mereka juga tidak berminat ayat 103 surah Ali Imran yang melarang umat berpecah, sebaliknya pantas berdalil 'demokrasi dan undang-undang membenarkan wujud parti lain atau pembangkang'.

Apa yang berlaku, zaman berubah maka caranya juga berubah, tetapi prinsip dan matlamatnya tetap sama. Zaman  Dol Said (1830-an) di Naning Melaka, cara melawan British dengan berperang, membunuh atau terbunuh. Begitu juga cara Mat Kilau dan Dato Bahaman di Pahang. Tujuannya menghalau atau menghapuskan British daripada pemerintahan.

Zaman Dato Onn Jaafar, cara melawan British bukan dengan senjata dan bermandi darah, tetapi dengan mewujudkan fikiran benci Malayan Union British kepada semua orang Melayu. Caranya dengan ceramah, kempen, propaganda, perhimpunan, kongres juga menulis surat. Tujuannya sama seperti yang Mat Kilau mahukan, British dilemahkan dan kalau boleh keluar dari Tanah Melayu. Sedia maklum bahawa British adalah penjajah, kaum kafir yang menjajah umat Islam.

Pada zaman merdeka, kuasa pemerintahan sudah di tangan orang Islam, tetapi tidaklah sepenuhnya menjalankan syariat Islam seperti yang dibuat oleh Rasulullah ketika menjadi ketua negara dan kerajaan Madinah dahulu. Kerajaan pula menerima sistem demokrasi dan pilihan raya sebagai sistem politik negara. Inilah yang dikatakan tidak sepenuhnya melaksanakan syariat Islam seperti Rasulullah. Jadi, ada bukti  corak pemerintahan tidak sempurna.

Maka sebagian orang Islam mengambil sepenuhnya metodologi Barat dalam demokrasi, iaitu mengkritik secara terbuka, berdemontrasi, berpartai untuk mencari sokongan agar boleh mengalahkan kerajaan yang ada. Jelasnya, PRU adalah  cara lembut atau dalam suasana tawa riang menukar pemerintah.  Zaman sebelumnya atau di negara lain dengan emosi marah, luka berdarah atau pembunuhan untuk menukar pemerintah.

Jadi, PRU sama seperti pemberontakan atau perang iaitu menggulingkan pemerintah yang ada. Sebab itulah mereka yang mendakwa ikuti sunnah tetapi terlibat dalam blok pembangkang marah apabila dikaitkan dengan khawarij. Rasulullah mengatakan khawarij itu membangkang pemerintah Islam dan dilabel sebagai anjing neraka!

Isnin, Mac 05, 2018

KAUM munafik memang bodoh.


ADA sabda Rasulullah Shallallahu alaihi wa sallam yang berupa kias ketamakan harta dunia untuk memberi gambaran kemewahan melimpah ruah di negeri akhirat kelak. Apabila Rasulullah shallallahu alaihi wa sallam mengatakan
"kalaulah mereka tahu keutamaan" atau "jika kamu tahu hadiah agung" berarti baginda sedang memberitahu kita hal yang tidak difikir atau dibayangkan oleh manusia biasa. Ini caranya baginda meminta kita membuat bandingan, kecintaan kepada dunia yang enak tapi sementara dengan akhirat yang jauh lebih enak dan kekal.

Daripada hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

لَيْسَ صَلاَةٌ أَثْقَلَ عَلَى المُنَافِقِينَ مِنَ الفَجْرِ وَالعِشَاءِ، وَلَوْ يَعْلَمُونَ مَا فِيهِمَا لَأَتَوْهُمَا وَلَوْ حَبْوًا

“Tidak ada shalat yang lebih berat bagi orang-orang munafiq daripada solat Subuh dan ‘Isyak (secara berjama’ah).
Kalaulah mereka tahu keutamaan yang terdapat pada kedua-duanya, nescaya mereka akan mendatanginya (berjama’ah di masjid) walaupun dengan cara MERANGKAK.” (Sahih Al-Bukhari, no. 657)

Apa yang dapat dikesan daripada hadis tersebut?
1. Orang munafik tidak shalat berjamaah di masjid.
2. ‎orang munafik itu bodoh dalam beragama.
3. ‎ganjaran orang shalat Isyak dan Subuh berjamaah itu besar banget, sehingga manusia terasa rugi amat jika terlepas melakukannya.
4. ‎banyak orang tidak perduli ganjaran besar bagi kehidupan di akhirat.

Lalu di mana tahap kita di sisi Allah?
Bertaqwa?
Beriman?
Muslim?
Munafik?

Sabtu, Mac 03, 2018

BACAAN imam shalat Asar pun seru


ANTARA gangguan ketika shalat di masjid ialah tetangga makmum yang membaca surah agak kuat walhal dia sepatutnya membaca surah atau tahiyyat untuk dirinya sendiri. Ada juga imam yang bacaan surah pada shalat Zuhur dan Asarnya bisa didengar semua makmum, sedangkan para makmum membaca surah pilihan sendiri dan tidak diperdengarkan kepada orang lain. Itu sebagian daripada yang berfaham bacaan mesti didengar telinga sendiri!

Lihat contoh imam di Masjidil Haram Makkah dan Masjid Nabawi Madinah, meskipun pembesar suaranya paling baik, suara sang imam tidak sedikit pun didengar makmum tatkala yang bacaannya mesti sir.

Kembali kepada caranya Rasulullah shallallahu alaihi wasallam shalat, sebagai kata pemutus. Ini ialah dalil bacaan perlahan yang tidak didengar oleh orang lain. Jelas para makmum Rasulullah shallallahu alaihi wasallam hanya tahu baginda membaca surah dengan melihat jenggot baginda yang bergoyang, bukan mendengar suara yang perlahan.

Telah menceritakan kepada kami Muhammad bin Yusuf berkata, telah menceritakan kepada kami Sufyan daripada Al-A’masy daripada ‘Umarah daripada Abu Ma’mar berkata, aku bertanya kepada Khabbab bin Al Arat, "Apakah Rasulullah shalallahu alaihi wasallam membaca surah dalam shalat Zuhur dan ‘Asar?"
Dia menjawab, “Ya.”
Kami tanyakan lagi, “Bagaimana kalian boleh mengetahui bacaan beliau?”
Dia menjawab, “Daripada gerakan jenggot baginda.” (H.R. Al-Bukhari No. 719)