ORANG berebut-rebut tentulah untuk mendapatkan
sesuatu yang sangat istimewa. Misalnya
sekarang diberitakan orang berebut-rebut mendapatkan tiket untuk menonton
perlawanan akhir sepak bola Piala Malaysia.
Bukan sahaja mereka telah menunggu di kaunter tiket sewaktu orang masih
solat tahajud, malah terjulur-julur tangan membeli tiket seperti akan terlepas
hak membeli tiket. Ingat ya, mereka membeli tiket bukan mendapatkan yang
percuma.
Mengapa begitu? Tidak lain kerna mereka merasakan
menjadi penonton perlawanan akhir sepak bola Piala Malaysia sangat istimewa,
tidak dapat digambarkan betapa nikmatnya dalam hidup. Sangat nikmat menonton
dan bersorak dalam stadium sebab mereka adalah penyokong tegar. Yang menambah rasa nikmat itu ialah jika
pasukan sokongannya mahu menjadi juara kali ketiga berturut-turut atau mahu
mahu menjadi juara setelah 50 tahun! Aduhai.
Boleh bayangkan jika Allah mentakdirkan pasukan bola sepak Malaysia
dapat beraksi dalam pusingan akhir sepak bola Piala Dunia, lagilah dahsyat
kenikmatan yang dijangkakan itu. Maka
fahamlah mengapa perebutan itu berlaku.
Kalaulah tidak kerna ada peraturan atau kawalan, pergaduhan untuk
mendapatkan tempat sebagai penonton pasti berlaku.
Dahulu Nabi s.a.w. juga pernah memberi gambaran
perebutan manusia untuk mendapatkan kenikmatan.
Baginda Nabi s.a.w. membayangkan manusia akan berebut-rebut mendapatkan
tempat paling hadapan jika mereka tahu istimewa dan berharganya kedudukan itu.
Maksud sabda Nabi s.a.w. “Sekiranya manusia
mengetahui keutamaan yang ada di dalam azan dan yang berada dalam saf pertama
(solat jamaah), tetapi mereka tidak berjaya mendapatkannya, kalaulah caranya dengan
melakukan undian tentulah mereka melakukan undian itu.”
(Riwayat Al-Bukhari, Muslim, Ahmad, An-Nasa’I dan
Abu Hurairah)
Maksudnya, manusia tidak tahu betapa hebat dan
istimewanya ganjaran atau hadiah atau habuan yang Allah akan beri kepada mereka
yang berdiri di saf pertama solat jamaah.
Itulah yang Baginda Nabi s.a.w. menyatakan ‘sekiranya manusia tahu….’ Tentulah
akan berebut-rebut, tolak-menolak, siku-menyiku dan tentu saja solat berjamaah
tidak dapat dilaksanakan disebabkan jamaah tidak dapat bertolak-ansur, semua
mahu berdiri di saf pertama. Akhirnya
apabila dibentak-bentak oleh Imam supaya dibuat undian, siapa yang dapat dialah
menjadi pendiri di saf pertama, barulah solat dapat dilaksanakan.
Sekiranya manusia tahu apa yang manusia akan dapat
nikmati, seperti juga peminat pasukan sepak bola yang sanggup berdiri di muka
kaunter tiket sejak jam 5 pagi!
Begitulah sekiranya manusia tahu betapa hebatnya kenikmatan atau
istimewanya pemberian Allah disebabkan berdiri di saf pertama, barangkali
mereka akan berdiri lebih awal dari jam 5 di pintu masjid sebelum azan Subuh.
Hanya saja kenikmatan atau keseronokan yang
digambarkan oleh Nabi s.a.w. itu bukanlah hakikat atas dunia, maka tidak ada
pun orang berebut-rebut seperti yang berlaku di kaunter tiket stadium. Imam atau ulama zaman sekarang pun bukan seperti
ulama zaman Salaf yang sanggup melakukan apa saja asalkan tidak terlepas habuan
besar di akhirat. Diberitakan seorang ulama Salaf ke kebun kurmanya. Apabila kembali, didapati orang telah selesai
solat Asar berjamaah. Dia berkata, “Inna lillahi…. Telah luput aku daripada berjamaah”. Dia menyambung, “Aku jadikan kamu saksi,
bahawa kebun kurmaku dijadikan sedekah untuk orang-orang miskin.” (Prof.TM Dr. Hasbi
Asy Shiddiieqy, Tuntutan Solat Berjamaah, 1995)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan