SEKONYONG-konyong ada cerita timbul berkaitan
dengan pejuang komunis dari Malaysia di luar negara. Siti Aishah binti Abdul
Wahab, 69 tahun dikesan menjadi hamba kepada satu keluarga di Britain. Lalu dibongkar kisahnya sewaktu muda menjadi
komunis dan berhijrah ke luar negara untuk mengamalkan ideologinya serta aktif
dalam perjuangan komunisme. Menurut
Ketua Polis Negara, wanita itu memang menjadi buruan polis pada tahun 1970-an.
Sebelumnya saya baru tamat membaca novel
Penyeberang Sempadan karya Sasterawan Negara Anwar Ridhwan. Setelah tamat membaca novel berkenaan, seakan
mudah saya memahami bagaimana wanita Melayu yang lahir daripada keluarga desa,
beragama Islam sampai ke Britain semata-mata kerna perjuangan komunisme.
Dalam Penyeberang Sempadan, Anwar Ridhwan
mengemukakan watak lelaki Melayu kelahiran sebuah desa di Perak. Kuay, lelaki itu terdidik sebagai orang yang
beragama sebagaimana anak-anak Melayu yang lain. Kematian ayahnya di tangan penjajah British
menyebabkan dendamnya kepada British membara.
Dendamnya membawa dirinya ke Pahang untuk menyertai perjuangan politik
radikal antipenjajah British, API. Oleh
kerna API cenderung kiri atau sosialis, mudah saja anggotanya diresapi fahaman
komunis. Anwar menggunakan seorang watak
lelaki dari Jawa untuk mengubah pemikiran kiri Kuay kepada komunisme.
Kuay menjadi buruan British kerna keaktifannya
bersama gerombolan-gerombolan anggota Parti Komunis Malaya. Kerna diyakini Kuay seorang anak muda yang
kuat perjuanga komunisnya, parti telah menghantarnya ke China untuk meggaji
komunisme dengan lebih mendalam. Bertahun-tahun di China, kemudian dia behijrah
ke Soviet Union juga dalam rangka perjuangan komunisme.
Dari Soviet Union, Kuay menjadi salah seorang delegasi
komunis kuasa besar itu untuk satu persidangan komunis antar bangsa di Mesir.
Di negara Gamal Abdel Naseer itu dia dicolek oleh ejen Amerika dan di bawa ke
negara kepala demokrasi. Tujuan Amerika mencoleknya dan dibawa ke sana supaya Kuay melihat
kejayaan demokrasi-kapitalis. Inilah
kerja Perang Dingin antar Amerika dengan blok Komunis. Lalu Kuay menganut pula
demokrasi-kapitalis. Sehinggalah Kuay
diketemukan dengan seorang perempuan Palestin di Amerika. Kedua-duanya pindah
pula ke Jordan. Di Jordan, dengan bantuan perempuan Palestin itu, Kuay menemui
dirinya yang dahulu hilang, iaitu Islam. Tak lama Kuay menukar ideologinya
kepada Islam pula. Di Timur Tengah itulah Kuay ditahan oleh pihak berkuasa Arab
Saudi atas kerjasma dengan pihak keselamatan Malaysia.
Oleh kerna Kuay sudah jelas pendiriannya membuang
komunisme dan memilih ideologi Islam yang juga menjadi amalan biasa dalam
sistem bernegara di Malaysia, maka Kuay dibenarkan pulang ke Malaysia bersama
isterinya, perempuan Palestin itu.
Siti Aishah juga penyeberang sempadan, tetapi kita
masih tidak jelas apakah ideologinya sekarang. Komunisme sudah ambruk dan
manjadi simpanan di museum, dan Siti Aishah pula menjadi hamba. Sangat ironis kepada seorang pejuang komunis
yang berjuang menghapuskan kasta dan kapitalis, akhir hidupnya menjadi hamba
pada saat saudara-saudaranya di Malaysia menikmati kemakmuran dan kesenangan
hidup.
Harap-harap Siti Aishah dapat diselamatkan, dibawa
pulang untuk mengakhiri hidup sebagai wanita muslimah. Semoga akhir hayatnya dia menikmati iman, dan
dengan itu kepayahan sepanjang hidup dapat Allah ganti dengan yang sebaiknya di
akhirat kelak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan