Pengikut

Memaparkan catatan dengan label keluarga. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label keluarga. Papar semua catatan

Sabtu, November 18, 2017

ISTERI meninggi suara

Soal:
Apa hukum wanita yang meninggikan suaranya kepada suaminya dalam kehidupan suami istri?

✏ Dijawab oleh asy-Syaikh Muhammad bin Shalih al-'Utsaimin rahimahullah:

"Kami katakan kepada wanita ini bahwa meninggikan suara kepada suaminya termasuk ADAB YANG JELEK.

Seorang wanita seharusnya memuliakan suaminya karena suami adalah penanggungjawabnya, pemimpinnya.

Oleh karena itu, hendaknya dia memuliakan sang suami dan berbicara kepadanya dengan adab. Hal ini bisa merukunkan keduanya dan melanggengkan pergaulan antara keduanya.

👉 Di sisi lain, suami juga harus mempergauli istrinya dengan cara yang makruf.
Kerukunan suami istri terbentuk dengan timbal balik.

📗Allah subhanahu wata'ala berfirman:

وَعَاشِرُوْهُنَّ بِالْمَعْرُوْفِ فَإِنْ كَرِهْتُمُوْهُنَّ فَعَسَى أَنْ تَكْرَهُوْا شَيْئًا وَيَجْعَلَ اللهُ فِيْهِ خَيْرًا كَثِيْراً

"Dan pergaullah dengan mereka (para istri) secara patut. Apabila kalian tidak menyukai mereka, (bersabarlah) karena mungkin kalian tidak menyukai sesuatu, padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak."
(QS. an-Nisa' : 19)

Kami nasihati sang istri, agar BERTAKWA KEPADA ALLAH pada dirinya dan diri suaminya, apalagi jika sang suami mengajaknya bicara dengan tenang dan dengan suara yang pelan."

(Fatawa al-Mar'ah hlm 655)

Selasa, November 29, 2016

PESAKIT yang derita dan bahagia


PENGALAMAN menziarahi orang sakit. Ada pengajaran besar untuk yang masih muda dan sihat, agar dapat merancang masa depan, atau masa yang mungkin tidak sihat kelak.

Pesakit satu.
Dia seorang lelaki berusia 52 tahun, masih bujang dan tinggal berdua dengan seorang adik lelakinya yang juga masih bujang.  Mereka empat beradik sudah tidak punya ibu bapa. Seorang adik perempuannya telah berkahwin dan mengikuti suaminya.  Saya menziarahinya bersama beberapa orang mantan teman sekolah pesakit.  Daripada perbualan mereka dapatlah maklumat-maklumat berkenaan diri pesakit.

Apa yang berlaku? Pesakit ini terlantar saja di kasur seorang diri di rumah.  Adiknya hanya menguruskan si abang yang sakit pada waktu pagi sebelum keluar bekerja yang sore hari atau malam baru pulang.  Maka setiap pagi, diurus yang wajib saja seperti memberi sarapan yang boleh dimakan abangnya dan menggantikan lampin dewasanya.  Keadaan rumah agak tidak terurus dengan ada bau kurang enak. Lalat pula banyak di ruang tempat pesakit terbaring.

Saya mendengar mantan teman-teman sekolahnya dahulu mencadangkan agar dia berbincang dengan adiknya untuk mencari seorang pembantu peribadi, meladeni dirinya yang terlantar sakit dan mengemas rumah.  Maklumatnya, pesakit punya wang simpanan puluhan ribu ringgit. Rupa-rupanya si pesakit dan adiknya ada masalah komunikasi, yang menyukarkan sebarang keputusan penting.  Jadinya, begitulah dia terlantar, sampai kapan?

Pesakit dua.
Dia lelaki berusia 55 tahun menderita sakit kanser. Telah berbulan-bulan terlantar. Yang terakhir ini deritanya semakin kuat. Dia sudah tidak berupaya menyedut air minumnya sendiri. Isteri atau anaknya membuat semburan air ke dalam mulut untuk menghilangkan dahaganya. Tidak ada suara apa, hanya bahasa isyarat tangan kiri.

Mudah bicara, pesakit ini ekonominya cukup makan. Hidup menyewa rumah kecil sederhana yang di bagian depan rumahnya dijadikan bengkel membaiki motorsikal.  Isteri dan anak lelaki remajanya menjadikan bengkel itu sebagai sumber sara hidup.  Jangan tanya berapa puluh ribu ringgit dalam akaun peribadinya.

Begitu kehidupan keluarga ini, si pesakit dilayan sangat baik dan sempurna oleh isteri dan anak-anaknya. Isteri tetap memanggilnya “Ada apa Yang.., Yang nak apa?”  panggilan yang manja tentunya semenjak mereka bergelar suami isteri dahulu.  Meskipun rumahnya kecil tidak ada perabot bagus-bagus, tetapi seekor lalat pun tidak ada berterbangan di sisi pesakit.  Tidak ada bau kurang enak walaupun ada luka pesakit di kedua-dua kakinya.



Begitulah kisah keluarga orang sakit.  Daripada dua kisah itu, kehidupan masa senyum dan tawa akan membawa kesan pada jaman hidup meratap hiba.  Beruntunglah kehidupan pesakit kedua yang sederhana hidup tetapi kekal bahagia dan tabah pada saat orang memerhati hidupnya dengan air mata.

Kepada Allah dipanjatkan doa untuk kedua-duanya. Semoga kekal beriman dan bersabar dengan ujian Allah.

Ahad, Januari 31, 2016

BERAPA lama Nuraisyah kekal ngetop 1Malaysia?

Cikgu Sa Farid bersama Nuraisyah
SELIBRITI murid sekolah Nuraisyah binti Syahrin, 13 tahun, orang Sabak Bernam.  Ada beberapa sebab dia ngetop satu Malaysia. Pertama dia cedera parah akibat kecelakaan jalan raya ketika pulang dari sekolah. Kedua, dia insan kecil tergilis oleh lori tanah yang agam.  Ketiga, dia baru minggu keempat bersekolah menengah Tingkatan Satu.  Tapi yang menyebabkan seluruh orang merasa hiba terhadapnya ialah dia cacat seumur hidup, tanpa kedua-dua kaki.

Lalu semua pihak meladeninya. Syukur kepada Tuhan.

Saya juga menggunakan jalan yang dilalui Nuraisyah. Sejak jalan itu dirajai lori-lori tanah, minda saya berfikir ‘siapakah yang bakal menjadi mangsa lori-lori ini’.  Dan yang saya fikirkan sudah berlaku. Pastinya Nuraisyah bukan lagi satu nama murid sekolah yang ditimpa malang. Nuraisyah menjadi satu tanda nama kajian dan tindakan pelbagai pihak.  Pihak yang terkesan dan mahu mengatasinya adalah Jabatan Pengangkutan Jalan. Kes ini merembet ke situasi lain pula. Pastinya menjadi rumit dan mungkin akan hilang begitu saja. Sebabnya Nuraisyah hanya muncul di Parit 17 Sungai Panjang Sabak Bernam, bukan Subang Jaya atau Putrajaya!

Nuraisyah dan kakaknya berusia 13 dan 15 tahun menunggang motorsikal ke sekolah, tanpa lesen memandu. Mengapa?  Khidmat bas sekolah sudah lama ditutup kerna tiada pelanggan. Kos bayaran bulanan yang tinggi menyebabkan ibu bapa mencarikan sebuah motorsikal untuk diguna dua anaknya, sehingga mereka tamat bersekolah.  Motorsikal tentu kenderaan lain ketika tidak bersekolah.

Mengapa bapanya tidak menghantar anak ke sekolah? Ini masalah ekonomi pula. Orang desa menjana pendapatan sesuai dengan masa kerjanya. Jarak antara rumah Nuraisyah ke sekolahnya ialah 20 kilometer dengan masa 30 minit. Ini bermakna sehari selama dua jam diguna bapa untuk menguruskan persekolahan anak. Tidak bekerja selama dua jam sehari bermakna pengurangan pendapatan.

Pihak sekolah tidak memberi kesedaran keselamatan di jalan raya?  Perlu diketahui hal-hal di luar pagar sekolah tidak menjadi tanggung jawab pihak sekolah.  Namun Jawatan Kuasa Keselamatan di sekolah memberi maklumat dari masa ke semasa termasuk membawa pihak polis memberikan maklumat berkenaan. Ini standard keselamatan semua sekolah.

Apakah selepas Nuraisyah, keadaan telah berubah. Lori tanah tidak laju-laju mengejar trip, bapa menghantar anak-anaknya ke sekolah, murid memilih basikal sebagai ganti motorsikal dan jalan raya sentiasa dipantau kerosakannya? Jangan terlalu ideal dalam harapan, apatah lagi Nuraisyah hanya di Sungai Panjang bukannya Subang Jaya atau Purtajaya!

Kita tidak berapa sedar, gerakan membangunkan ekonomi desa supaya tidak jauh dengan ekonomi kota membentuk pula budaya hidup baru di desa. Kawasan rumah Nuraisyah asalnya kawasan paling sunyi di negeri Selangor. Dengan pembangunan asas seperti jalan raya, air, elektrik dan sistem komunikasi, masyarakat membina perkampungan di sana. Tidak ada kenderaan awam, maka motorsikal menjadi pilihan. Selain faktor risiko tinggi berbasikal, tidak mampu mengejar masa, sebuah keluarga bisa mampu memiliki dua atau tiga buah motorsikal. Bermotorsikal budaya. Maka terjadilah Nuraisyah.


Jika pihak polis mahu kempen keselamatan diperhebat, kita juga wajib mengubah suasana dan sistem yang mewujudkan tragedi Nuraisyah. Jika sistem itu kekal, tidak ada apa yang boleh diubah. Siapa yang mahu mengundur sistem ekonomi yang menggerakkan wang ke dalam poket?

Sabtu, November 29, 2014

BELASUNGKAWA Haji Zakaria bin Haji Salleh

Haji Zakaria ceria sewaktu di Beijing, Jun 2014

KIRA-kira jam 10.00 pagi pada 26 November lalu saya menerima panggilan daripada seorang sahabat dan mengkhabarkan berita yang kaget. “Pak Z meninggal dunia.”  Saya tergamam seketika.  Saya fikir bukan saya seorang sahaja yang terkelu lidah seketika apabila mendengar berita pemergian mantan Guru Besar juga pengendali sebuah angensi pelancongan, Haji Zakaria Haji Salleh.  Beliau meninggal pada usia 62 tahun di rumahnya di Kundang, Selangor.

Sudah lebih dua minggu beliau tidak menghubungi saya berkaitan ziarah ke Bandung Indonesia yang akan dilangsungkan pada 21 Disember ini.  Sebelum ini beliau memaklumkan kepada saya semua urusan ke seberang sudah beres, dan hanya meminta semua ahli ziarah berada di KLIA pada waktu yang ditentukan.

Seorang sahabat yang menguruskan ziarah ke Ho Chi Minh pada 3 Disember lagilah kaget.  Sebagian dokumen dan maklumat masih ada pada Haji Zakaria. Seperti biasa, beliau jarang melakukan empowerment dalam tugasan, semua dilakukannya sendiri sebagai rasa tanggung jawab dan kepuasan diri.

Apabila saya memaklumkan rakan tugasan Haji Zakaria di Beijing, beliau juga kaget dan sekan tidak percaya, “Ah, masak? Kenapa?” Begitu responnya dalam loghat Indonesia.

Banyak lagi yang benar-benar kaget kerna sebelum ini tidak ada berita mengenai kesihatan Haji Zakaria. Malah menurut isterinya, pada 25 November jam 10.00 malam barulah Haji Zakaria mengadu sakit dada.  Beliau masih gagah  dan mahu ke hospital dengan memandu kereta sendiri.  Namun ketentuan Allah, sewaktu baru memasuki kereta di laman rumahna, beliau dijemput ke hadrat Tuhan yang Esa!

Kidmat sosialnya kepada masyarakat yang tidak menagih sebarang bayaran cukup banyak.  Selain pernah menyelamatkan seorang insan daripada murtad, menyelamatkan sebuah masjid daripada dirobohkan sehinggalah usaha beliau membangunkan sebuah masjid baru yang fungsinya pelbagai.  Kawan-kawannya pun merata-rata, kerna pengalamannya dalam bidang pendidikan dan kewisataan.

Saya juga kehilangan seorang sahabat yang budiman.


Semoga Allah mengampuni dan merahmati Haji Zakaria Salleh.

Rabu, Mei 01, 2013

BELASUNGKAWA: Abang Paul yang amat dikasihi


CATATAN ini terlalu peribadi, namun boleh dikongsi sebagai mengembangkan nilai kasih sayang bersama.  Pada 25 April 2013, jam 6.35 sore saya kehilangan seorang abang.  Beliau meninggal dunia akibat kanser tiroid yang menyerangnya tidak sampai sebulan.  Beliau meninggalkan kami pada usia 62 tahun.

Walaupun Mespuan bin Salam berstatus abang ipar kepada kami lima beradik lain, tetapi beliau sudah seperti abang kandung.  Dia menjadi abang  kepada kami lima beradik ketika saya berumur 16 tahun, malah adik bungsu kami Marfuah lahir sama tahun dengan Siti Musrifah, anak kedua Kak Dayah dan Abang Paul.  Hari ini Marfuah menjadi seorang doktor.

Kami sekeluarga memanggilnya Abang Paul, ikut kawan-kawan abang memanggilnya. Oleh kerna Abang Paul menjadi abang maka secara tidak langsung urusan besar keluarga kami diselesaikan oleh beliau.  Apabila adik saya Siti Alawiah mendapat tempat belajar di MRSM Seremban, abang Paul yang menghantar dengan kereta Totoya KE miliknya.  Kemudian, apabila Alawiah mendapat tawaran belajar ke UK, Abang Paul yang mencarikan penjamin biasiswanya.  Ayah hanya orang kampung dan tidak kenal sesiapa yang bergaji untuk menjadi penjamin.

Abang Paul juga yang membawa saya untuk temuduga masuk ke UUM di jalan Mahameru Kuala Lumpur tahun 1985.  Saya memang tidak tahu apa-apa jalan di KL, jadi Abang Paul saja tempat minta pertolongan.  Dengan izin Allah saya pun berjaya daripada UUM.

Semasa konvo Karimah Marfuah
Kemudian, apabila saya dan semua adik-adik belajar dan bekerja di luar Sabak Bernam, Abang Paul juga yang menjadi pengganti kami melihat dan membawa ayah bunda ke klinik jika tidak sihat.  Begitulah sejak saya belajar di Kedah mula pada tahun 1985 dan waktu bekerja di Pahang, sehingga tahun 2008. Takdirnya, Allah izinkan saya kembali ke desa tahun 2009 untuk menemani ayah dan bunda.

Kerna kehidupan Abang Paul yang sudah sebati dengan kami semua adik-beradik, maka kehilangannya yang dikira mendadak memang sangat mengesankan perasaan semua.  Sakit Abang Paul hanya dikatakan semput nafas dan diberi rawatan pesakit luar di Hospital Sabak Bernam.  Kemudian apabila dua tiga kali asyik ke hospital, barulah dia ditahan dalam wad. Dan terus pula dihantar ke Hospital Teluk Intan. Jarak antara Sabak Bernam ke Teluk Intan 40 kilometer.

13 April, apabila menziarahi Abang Paul, dia kata bosan sebab badannya sihat tetapi kena duduk dalam wad. Namun dia suka sebab saya bawakan nasi dan sup ayam.  Masuk minggu kedua, kesihatannya bertambah buruk apabila saluran oksigen mula diguna di hidung untuk bernafas. Lehernya juga sudah kelihatan membengak. 21 April saya, ayah dan kakak datang menziarahi jam 12.30 sampai jam 2.00.  Dia mengadu terlalu letih.

Malam 21 April di rumah ayah ada ceramah parti politik.  Pada jam 9.30 malam sewaktu tetamu mula hadir, kakak mengajak saya segera ke Hospital Teluk Intan.  Kami sampai jam 10.20 malam dan menunggu di luar bilik bedah.  Jam 12.00 Abang Paul dimasukkan ke dalam wad kecemasan, tetapi dia masih sedar.  Dia bernafas dengan bantuan mesin khas dan mendapat perhatian rapi seorang doktor.  Keluarga jadi geger dan banyak menziarahi abang pada hari Isnin.

semasa di Tanah Merah Kelantan
Hari Selasa dan Rabu (23-24 April) pula saya terpaksa membawa anak ke hospital Sabak Bernam kerana demam, yang disyaki denggi. Mujur bukan denggi. Sorenya saya tetap ke Teluk Intan menziarahi abang. Pada 24 April itu, waktu abang masih tenat di hospital, Dibah anak Abang Paul yang darjah enam pula tidak sihat dan guru mencadangkan agar diberi rawatan di darussifa.  Maka jam 3.00 petang saya membawanya berjumpa dengan Ustaz Salman di Kampung Parit Baru.  Jam 5.00 petang saya dan Dibah ke Hospital Teluk Intan.  Abang Paul sudah dipindahkan ke wad biasa walaupun masih memerlukan bantuan mesin untuk bernafas.  Agak menceriakan kami sebab dia sudah boleh berkomunikasi dengan bahasa isyarat sebab mulutnya dimasukkan saluran oksigen.  Kawan-kawannya datang, dan dia mampu tersenyum mendengar cerita-cerita yang dibawa.  Setelah membantunya bertayamum untuk solat maghrib, saya pulang jam 7.30 malam.  Kakak terus setia di sisi abang sejak malam 21 April yang lalu.

Tiba-tiba jam 11.30 malam 24 April, kakak meminta saya segera ke hospital.  Saya pergi dengan bunda.  Abang Paul dalam keadaan tenat dan sudah tidak sedar diri.  Kami hanya membimbing di telinganya ‘Laa ilaa ha illallaah’ berulang kali.  Takdir Allah pada 25 April petang, Abang Paul meninggalkan kami buat selama-lamanya.

Saya yakin abang tidak putus menunaikan solat semasa sakit yang dia dalam sedar dan sepanjang dia koma sebelum dijemput Allah, selama itulah tidak putus kalimah ‘Laa ilaa ha illallaah’ dibisikkan di kedua-dua belah telinganya.  Waktu nafas di penghujung: kakak, Taufik bunda dan saya berada di sisi Abang Paul!

Kepada semua adik saya: Siti Alawiah (Pensyarah UIAM), Amanah Mustakimah (Pegawai Kanan Mardi), Jamalul Hair (Jurutera) dan Karimah Marfuah (Doktor Gigi), nikmat kejayaan pendidikan dalam kehidupan kita sebagiannya diusahakan oleh Abang Paul dan Kak Dayah. Mereka yang setia menjaga ayah dan bunda sewaktu kita keluar belajar jauh-jauh dan lama. Jangan lupa mendoakan kesejahteraan kedua-duanya, khasnya Abang Paul yang terdahulu pergi.

Semoga Allah mengampuni dan merahmatinya.

Jumaat, Mei 18, 2012

APA Allah ajar ketika berlaku perceraian?


DALAM akhbar, jika ada berita cerai-berai perkahwinan tentulah dalam dunia artis.  Bukan hanya golongan artis yang dikira gagal perkahwinan, tetapi pasaran berita artis bercerai sangat luas.  Jika yang bercerai orang desa, tak menjadi berita apa-apa.  Jadi, apa cerita mereka bercerai?

Kebanyakan orang bercerai kerana bermasalah yang tidak boleh diselesaikan bersama.  Ada yang sudah berminggu-minggu atau berbulan tidak tinggal serumah, kemudian si suami melafazkan cerai kepada isterinya.  Ada yang berulang-alik ke mahkamah syariah untuk meminta kebenaran mahkamah, demi perceraian.  Dalam drama pun  kerap dipaparkan babak cerai-berai perkahwinan.  Maka kalau orang mahu bercerai, ikutlah apa yang diceritakan dalam akhbar atau drama TV.  Apa itu? Kalau dicerai, si suami akan menghalau mantan isterinya dari rumah, atau menghantar mantan isterinya itu ke rumah ibu bapanya.  Itu dikira paling lembut.  Apakah perkiraan edah bagi isteri?  Tak tahu!

Sekalipun wajib berkursus untuk mendirikan rumah-tangga, cara-cara bercerai yang diajarkan dalam Islam kurang diajarkan.  Mood kursus ialah mahu kahwin dan bahagia, maka penganjur kursus pun tak mahu memasukkan bab cerai.  Bisnis akan rugi, sebab tiada pelanggan lagi.  Islam mengizinkan perceraian, bukan  mengutuknya.  Kerna itu Allah ajarkan muslim menjalani proses perceraian yang adil dan nyaman.  Kaedah wahyu bukan seperti yang difahami oleh orang Barat atau mereka yang mengutamakan hawa nafsu.

Lihat bagaimana Allah mengajar kepada Nabi s.a.w. ketika berlaku perceraian.  Sekalipun suami isteri sudah bercerai, namun si suami masih wajib menanggung kehidupan mantan isterinya termasuk tidak membenarkan keluar rumah, selama dalam edah.  Apabila berlaku perceraian, emosi dalam gawat dan marah!  Itu runtunan hawa nafsu, bukan akal dan iman.  Allah menuntun manusia ke jalan iman dan takwa, maka diperintahkah suami isteri itu masih tinggal dalam rumah yang asal, namun ditemani oleh ahli keluarga yang lain.  Mereka menjadi perantara dalam apa keadaan pun.  Suami isteri dalam edah cerai tidur berasingan, selama tiga bulan atau waktu edah isteri.  Selama edah itu, apakah perasaan marah terus membara yang tak kunjung padam? Tidak, marah hanya seketika, yang fitrah adalah ketenangan.  Selama jiwa tenang itulah suami dan isteri akan lapang berfikir mengenai nasib perkahwinan yang dibina.  Hal anak-anak, harta sepencarian dan maruah dua keluarga.  Mereka juga akan kenang-mengenang zaman ketawa bahagia, apakah sekarang sudah tidak bisa ketawa lagi?  Lama kelamaan, amarah sirna dan cinta kembali mengambil tempat. Maka rujuklah kembali suami isteri.

Adakah jika sudah bercerai  dan tinggal berasingan, maka rasa cinta akan menggantikan amarah?  Mungkin saja lebih gawat dengan batu api penghasut sebelah suami dan isteri.

Maksud firman Allah: “Wahai nabi, apabila kamu menceraikan isteri-isterimu maka hendaklah kamu ceraikan mereka pada waktu mereka dapat (menghadapi) edahnya dan hitunglah waktu edah itu, serta bertakwalah kamu kepada Allah Tuhanmu.  Jangan kamu keluarkan mereka dari rumahnya dan jangan (diizinkan) keluar kecuali jika mereka melakukan perbuatan keji yang jelas.  Itulah hukum-hakam Allah, dan sesiapa melanggar hukum-hakam Allah maka sungguh dia telah berbuat zalim terhadap dirinya sendiri.  Kamu tidak mengetahui barangkali setelah itu Allah mengadakan suatu ketentuan yang baru. (65:1)

Maksud firman Allah: Maka apabila mereka telah  mendekati akhir edahnya, maka rujuklah (kembali kepada) mereka dengan baik atau lepaskan mereka dengan baik, dan persaksikanlah dengan dua orang saksi yang adil antara kamu, dan hendaklah kamu tegakkan kesaksian itu kerna Allah.  Demikianlah pengajaran itu diberikan kepada kepad aorang yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat.  Sesiapa yang bertakwa kepada Allah nescaya Dia akan  membuka jalan keluar baginya. (65:2)

Menurut Anas bin Malik r.a., ayat 1 surah at-Talaq diturunkan apabila Rasulullah s.a.w. menceraikan isterinya, Hafsah.  Maka Hafsah pun pulang kepada keluarganya.  Maka turunlah ayat itu yang memerintahkan Rasulullah memberi nafkah kepada Habsah sampai habis edahnya.  Kemudian malaikat Jibril memberitahu Rasulullah agar baginda merujuk kembali kepada Habsah kerna Hafsah termasuk wanita ahli puasa dan solat malam. (riwayat Ibnu Abi Hatim).

Sungguh, kerja meneladani sunah nabi merupakan kerja rumit, hanya dilakukan oleh insan yang menyerah diri kepada Allah dan rasul-Nya.  Namun di sanalah Allah memberi jalan hidup bahagia, sementara yang melupakan sunah nabinya tersasar daripada jalan bahagia.

Khamis, November 03, 2011

SALAM berjawab, tapi pulanglah.....


ADA satu peristiwa benar berlaku dalam kalangan orang yang sudah akrab bagai adik-beradik sehingga antara kedua-dua keluarga ini secara tidak sedar memberi kebebasan keluar masuk rumah masing-masing.  Satu masa A memberhentikan kereta dan terus masuk ke rumah B teman akrabnya.  A terus saja ke dapur seperti biasa dan membuka peti sejuk, tetapi tiba-tiba dia merasa ada kelainan.  A sangat terkejut apabila mendapati dia tersalah rumah, rupa-rupanya dia memasuki rumah sebelah kepada rumah B!  Biarlah pengalaman itu dirasai oleh A sahaja, bukan berulang kepada orang lain pula.


Islam mengatur hidup manusia supaya dalam keharmonian dan hormat-menghormati.  Dalam bab hendak bertamu ke rumah seseorang termasuk saudara-mara, Allah memberi panduan yang jelas seperti dalam surah an-Nur ayat 27 yang bermaksud “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu memasuki rumah yang bukan rumahmu sebelum meminta izin dan memberi salam kepada penghuninya.  Yang demikian itu lebih baik bagimu agar kamu (sentiasa) ingat.”

Kebiasaan kita ialah mengucapkan salam, “Assalamualaikum” di hadapan rumah.  Namun kita perlu ingat bahawa sekalipun ucapan salam itu dijawab dengan jelas oleh orang di dalam rumah, bukanlah itu bererti yang kita dibenarkan masuk ke dalam rumahnya. Antara jawaban salam dan keizinan memasuki rumah adalah dua perkara yang berbeda.  Untuk memasuki rumah seseorang mestilah ada keizinan seperti ucapan “silalah masuk ke rumah”.

Bukan semua orang bersedia menerima tetamu yang berada di hadapan pintu pagar rumahnya.  Adalah menjadi haknya untuk menerima tetamu atau tidak, maka janganlah kita berburuk sangka pula kepadanya. 

Maksud firman Allah ayat 28 surah an-Nur, “Dan jika kamu tidak menemui seorang pun di dalamnya, janganlah kamu masuk sebelum mendapat izin.  Dan jika dikatakan kepada kamu ‘pulanglah’ maka hendaklah kamu pulang.  Itu lebih suci bagimu dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.”

Maka jelaslah antara orang yang mengetahui pengajaran Allah dengan orang yang cuba bertamu sekadar menurut adat resam.  Orang yang bertamu berdasarkan adat akan mengucapkan salam berkali-kali sehinggalah dia mendengar salamnya dijawab.  Dan orang berkenaan tidak mahu meninggalkan pintu rumah orang berkenaan sehinggalah pintu rumah itu dibuka kerana menganggap jawaban salam itu sebagai tanda ‘kewajiban’ tuan rumah membuka pintu dan melayaninya.

Eloklah bertamu berdasarkan pengajaran al-Quran.

Jumaat, April 01, 2011

"AKU masih bermanja-manja..."

Cerita pertama: Sejak lima hari yang lalu ibu jari kanan saya membengkak, dan setiap kali saya pulang ke rumah ibu, pasti dia mahu melihat jari saya. Oh, untuk pengetahuan, hari-hari saya pulang ke rumah ibubapa walaupun kadang-kadang hanya untuk bertanya mengenai telur itik atau anak-anak ayamnya.  Kadang-kadang dalam sehari pernah sampai tiga kali saya ulang alik ke rumahnya.

Cerita kedua: Saya sedang menemukan sepasang suami isteri yang tua renta, punya banyak anak tetapi tak satu antara anak-anak itu yang meladeni seharian hidup masa tua mereka.  Yang menjadikan aneh kehidupan  sepasang suami-isteri itu ialah tahap komunikasinya yang sangat teruk.  Dalam sebuah rumah, tinggal berdua tetapi mereka tak bertegur sapa berlama-lama, entah sudah berapa tahun.  Saya pasti episod kehidupan hari tua begini bukanlah suatu yang mereka bayangkan semasa mudanya.


Sepasang suami isteri dengan anak yang banyak dan sebagian anak-anak punya pendidikan tinggi, tentulah menggambarkan masa hidup yang rukun dan aman damai sekian lama. Apabila anak-anak memisah kerna keperluan hidup dan kerjaya, si ibu yang paling terasa kehilangan.  Pemikiran dan perasaan orang yang renta tidaklah segagah semasa muda.  Entah, apakah anak-anaknya tidak berjaya menyelami pemikiran dan perasaan mereka atau semua mereka sudah terpaksa membiarkan kehidupan ibu bapanya begitu.

Rupa-rupanya, manusia pabila semakin renta, masanya adalah untuk bercerita dengan anak-anak serta saudara-mara yang terdekat.  Seperti ibu saya, dia akan duduk bercerita panjang banyak perkara dan saya mesti melayaninya.  Mungkin ada jurang pemikiran dan perasaan antara ibu dengan saya, tetapi dengan mendengari dan melayani sepatah dua kata, tampak keceriaan pada wajahnya!

Sesiapa pun akan rasa nelangsa melihat dan mengetahui keadaan ibu tua yang saya temui.  Bayangkan, hari-hari sudah tidak boleh berkomunikasi dengan baik terhadap suaminya, tidak ada anak-anak untuk dia menceritakan apa-apa.  Berhari-hari, berminggu-minggu, berbulan-bulan dan mungkin sudah bertahun-tahun, menjadikan semua ruang perasaan dan pemikirannya terjejas teruk.  Akibat tekanan minda dan perasaan, dia dihidapi masalah sakit mental pula!

Yang boleh mengubati kesakitannya adalah suara anak-anaknya.  Dia mahu bercerita perihal masa dahulu, mengenai desanya yang sudah jauh berubah dan mengenai sanak saudara yang sudah bercucu-cicit.  Kalaulah ada seorang saja anak yang sanggup mendengar ceritanya sambil sedikit meladeni dengan suara kemanjaan, itulah penawar kedukaan ibu tua itu.

Seorang ibu, sampai ke usia berapa pun tetap mahu merasa anak-anak bermanja dengannya seperti masa-masa lalu.  Saya tak malu mendedahkan perangai saya yang lebih mengadu pening kepala dan jeri terseliuh pun kepada ibu berbanding isteri! Saat itu, saya merasa seperti anak kecil dan terbayang pula bagaimana layanan ibu sewaktu tenaganya masih gagah.  Dia tak banyak berubah melayani anak-anaknya!

Apa yang saya rasai dengan ibubapa, suatu yang pernah saya luahkan kepada seorang tua semasa saya masih muda.  Dia mendoakan agar saya menemukan apa yang dihajati terhadap kedua-dua ibu bapa.  Agaknya doa orang itu (sudah lama meninggal dunia) dimakbulkan Allah.

Khamis, Mac 12, 2009

MANA kasih anakku?

DALAM tempoh tiga hari ini ada jiran dan saudara yang wafat. Salah satunya perempuan berusia 60-an yang selama ini tinggal sendirian setelah kematian suaminya lima tahun lalu. Menarik untuk diperhatikan sketsa kehidupannya kerana selain iktibar kepada yang masih tinggal, tetapi juga sebagai pengajaran hidup.

Mereka keluarga kecil dengan tiga orang anak, yang sudah besar-besar. Semua tidak tinggal di desa, meninggalkan ibu sendirian setelah ayahnya wafat dahulu. Kemudian si ibu ini ditimpa sakit yang menyebabkan berulang-alik antara hospital dan rumah. Si Ibu tidak dapat mengikut anak-anak ke kota lalu dengan kesihatan memburuk tinggal di desa. Mujur anak ketiga yang lelaki setelah tamat diploma balik tinggal dengannya. Namun apalah sangat anak lelaki muda hendak meladeni ibu yang sakitnya teruk dan payah kehidupannya. Tambahan pula dia bekerja yang tuntutannya pergi pagi dan pulang lewat malam. Lalu si ibu?

Mujur sekali lagi ada jiran tetangga dan kaum keluarga yang setiap jam menjenguknya. Begitulah sampai masanya dipanggil Allah.

Di samping cerita ini, banyak lagi orang tua yang berjaya membesarkan dan memberi pendidikan kepada anak-anak. Hampir semua anaknya bekerja di kota dengan gaji lumayan. Orang tua kian renta dan uzur tidak sama sekali akan menjadi seperti burung dalam sangkar di kota. Biarlah setua dan seuzur mana, desa juga habitatnya. Lalu anak-anak bagaimana tanggung jawabnya kepada orang tua?

Aneh sekali, daripada tujuh atau sepuluh adik-beradik, tidak satunya sanggup mengalah untuk kembali ke desa atau tinggal berdekatan dengan orang tua. Sukar untuk anak-anak menerima hakikat setelah berpendapatan besar di kota, membina sosial alakota akan kembali ke lumpur dan rumput di desa. Yang menambah beban untuk kembali kepada orang tua adalah keluarga yang dibina: Isteri dan anak-anak! Ya, banyak yang dilemanya sebegini, dan membiar orang tua sepi sendiri di desa.

Pengajarannya kepada anak-anak yang baru hendak membina kehidupan setelah menerima pendidikan, masukkan penjagaan ibu bapa dalam perjalanan hidup. Hal ini termasuk kerja apa yang akan dipilih untuk memudahkan dekat dengan orang tua. Dan seperkara lagi, ketika hendak memilih pasangan (misalnya isteri) pastikan bakal isteri adalah orang yang bersedia untuk menerima ibu bapa mentua bersama suaminya sekali. Jika bakal isteri masih ragu-ragu atau tidak bersedia, janganlah teruskan perhubungan itu. Tentu Allah akan memberi pasangan yang mengerti tanggung jawab anak lelaki kepada ibu bapanya.

Selasa, Disember 09, 2008

SETIAP detik yang berkorban

IDULADHA atau Hari Raya Kurban. Kenangan yang cukup baik, perihal Nabi Ibrahim diperintah mengorbankan anaknya sendiri demi cinta kasih dan taat kepada Allah. Dengan berat hati tetapi kerana lebih rasa cinta kepada Allah, maka yang dikasihi atas muka bumi sanggup dikurbankan oleh Nabi Ibrahim. Kuasa Allah juga yang menukar tempat Nabi Ismail dengan seekor kibas.

Tidak dapat tidak saat hadirnya Iduladha, maka pengorbanan menjadi temanya. Seekor sapi bernilai RM2700-RM3000 disembelih dan dagingnya dibahagikan percuma kepada orang-orang miskin dan jiran tetangga. Pemilik sapi yang mengongkosi segala-galanya tidak mendapat pulangan ekonomi dan sosial, kecuali yang sengaja-sengaja mahu menyebut kurban sapi tadi. Biarlah Allah menilai kerja-kerja ini.

Demikian hebat nilai pengurbanan misalnya seekor sapi, semata-mata demi Allah untuk alam akhirat kelak. Dalam wajah yang berbeda, telah banyak tambo mencatat generasi awal Islam adalah manusia-manusia yang pantas berkurban demi Rasulullah dan kelangsungan dakwah Islam. Sayidatina Khadijah seorang berharta telah sanggup mengurbankan hartanya untuk kelangsungan dakwah Islam. Kerna itu majulah dakwah di Makkah.

Seorang ayah akan melakukan apa saja pengurbanan demi anak-anak agar kehidupannya lebih baik pada masa depan. Maka sebenarnya ayah sedang menyisihkan rasa nikmat hidup, kemudian nikmat itu diserahkan kepada anak-anaknya. Berapa banyak ayah dan ibu telah sanggup tidak menukar pakaian baru, tidak menghias diri dengan emas perak semata-mata semua wang itu untuk pendidikan dan kehidupan anak-anak. Lebih jauh ada pula yang sanggup berhempas pulas dalam kepayahan hidup demi kesihatan anak-anak pula. Semua itu sebagian contoh pengurbanan.

Tanpa cinta, tidak mungkin ada pengurbanan. Seperti kisah Nabi Ibrahim yang cintanya kukuh amat kepada Allah maka sanggup menerima perintah agar mengurbankan puteranya sendiri. Dalam buku Falsafah Hidup, Prof Buya Hamka menyatakan mengenai ketulusan cinta. Kata Buya Hamka sebaik-baik cinta suci antara sesama manusia ialah cinta ibu terhadap anaknya. Cinta ibu terhadap anak tulus tanpa mengharap apa-apa balasan daripada anak sampai bila-bila pun. Sebaliknya cinta lelaki kepada kekasihnya kerna mahukan layanan seks.

Seperti seorang lelaki yang sedang amat dilambung rasa cinta kepada kekasihnya, maka apa sahaja yang diminta oleh kekasihnya akan sedaya upaya dipenuh sekalipun dirinya terpaksa kekurangan nikmat hidup. Alangkah indahnya jika setiap anak mengenang kembali pengurbanan ayah dan ibu sejak bayi merah. Bayi yang merah ditatang agar hidup sihat dan menjadi anak-anak yang gembira. Kemudian anak membesar dan bersekolah tinggi sehingga mendapat pekerjaan yang hasilnya lumayan, jauh lebih besar daripada yang diperoleh ayahnya.

Nah, rupa-rupanya ruang untuk berkurban demi membuktikan rasa kasih cinta tidak hanya hadir pada Iduladha saja. Pada setiap saat, manusia terbuka melakukan pengurbanan demi insan-insan lain yang mereka kasihi. Seperti yang mengurbankan haiwan untuk dirasai oleh jiran tetangga tanpa sebarang harap balas, maka indahnya sesuatu yang berharga dikurbankan demi kasih sayang sesama manusia pula.