SEORANG bergelar ustaz, penulis buku agama dan
penceramah tetap beberapa buah masjid memberi contoh bid’ah sebagai ‘memakai
baju kemeja’ sebab Baginda Nabi s.a.w. tidak memakai baju kemeja. Sebelumnya dalam catatan di media sosial, dia
menyindir orang yang prihatin masalah sunah dan bid’ah dengan meminta pencinta
sunah tidak menggunakan komputer sebab alatan ini adalah bid’ah, tidak digunakan
oleh Baginda Nabi s.a.w. Tentulah Facebook
dan Twitter juga bid’ah!
Mungkin saja memang itulah pemahaman dia mengenai
bid’ah, atau dia sengaja bergurau mengenai contoh-contoh bid’ah. Dalam beberapa perkara mungkar seperti
khurafat dan syirik, mudah saja orang berwatak agama menerimanya. Lihat saja nasib adat ‘mandi safar’ yang
dahulu popular di Melaka dan sedikit kawasan lain. Hari ini Mandi Safar sudah
dikuburkan sebab golongan agama memberi maksud perbuatan itu sebagai
khurafat. Lihat juga amalan membawa
makanan ke kubur orang berilmu (mungkin ulama atau wali), sudah tiada lagi
kerna kritikan ulama.
Bid’ah itu apa?
Dalam satu hadis, daripada Jabir bin Abdullah
mengatakan yang Baginda Nabi s.a.w. bersabda (maksudnya), “Sesungguhnya
sebaik-baik ucapan ialah kitabullah (al-Quran) dan sebaik-baik petunjuk ialah
petunjuk Muhammad (as-Sunah).
Seburuk-buruk perkara adalah yang diada-adakan (bid’ah) dan setiap yang
diada-adakan adalah sesat.” (Riwayat Muslim).
Dalam hadis lain, menurut Irbadh bin Sariyah
(panjang hadisnya, diambil seperuh bahagian hujung) ….Sesiapa di antara
kamu hidup setelah ketiadaanku, dia akan meilhat perselisihan yang banyak. Oleh itu, berpegang teguhlah kamu dengan
sunahku dan sunah khulafa ar-Rasyidun yang mendapat petunjuk. Gigitlah ia (sunah) dengan geraham (iaitu
berpegang dengan kuat). Hendaklah kamu menjauhi perkara-perkara yang baru atau ,
kerna setiap perkara baru adalah bid’ah dan bid’ah itu sesat.” (Riwayat
al-Bukhari)
Nampak macam
betul baju kemeja dan komputer sebagai bid’ah. Bukan itu saja yang baru, tak terkira banyaknya. Sesatkah memakai baju kemeja dan menggunakan komputer?
Akan terhukum di neraka pula?
Kata Imam As-Syatibi, “(Bid’ah ialah) jalan yang
direka dalam agama yang menyerupai syariah (peraturan agama). Tujuan mengamalkannya adalah untuk berlebihan
dalam mengabdi kepada Allah.” (Kitab al-I’tisom).
Kata Imam Jauhari, “Adapun bid’ah perkara baru
dalam agama setelah sempurna agama itu” (Umar Hashim, Apakah Anda Termasuk
Golongan Ahlus Sunah Wal Jamaah, 1982)
Mengapa Imam Syatibi dan Jauhari mengkhususkan
makna bid’ah dalam perkara agama, bukan hal pakaian, kenderaan dan kelengkapan
hidup lain? Adakah dia bergurau dalam
memberikan maksud bid’ah? Tidak! Baginda
Nabi s.a.w. memberi maksud bid’ah begitu sebab membandingkan maksud hadis nabi
s.a.w. “Kamu lebih tahu hal-ehwal dunia kamu.” (Riwayat Muslim) dan
“Jika sesuatu perkara itu termasuk urusan keduniaan kamu maka uruslah. Jika ia merupakan urusan agama kamu, maka
rujuklah kepadaku.” (Riwayat Ibn Majah).
Keduniaan seperti pakaian dan alat komunikasi
sentiasa berubah-ubah. Perkara ini
termasuk keduniaan yang Baginda Nabi s.a.w. menyatakan ‘…termasuk urusan
keduniaan kamu maka uruslah.” Pemikiran
kreatif dan inovatif menyebabkan berlakunya rekaan dalam 1001 barangan. Ini
kepandaian manusia di semua zaman dan tempat. Uruslah hal dunia ini. Ini bukan
hal agama. Kalau hal agama, rujuk kepada
Baginda Nabi s.a.w. maksudnya lihatlah sunah Baginda Nabi s.a.w.
Oleh kerna bid’ah itu melingkari urusan agama
(akidah dan ibadah khusus), maka sangat susah hendak menghilangkannya. Bukan
mudah menukar sikap para pengamal bid’ah sedangkan selama ini cara itulah
mereka bertaqarub (mendekatkan diri) kepada Allah. Ketua-ketua mereka orang berserban,
berjanggut dan mulutnya senantiasa menyebut kalimah mulia. Katakan saja mereka solat Subuh empat
rakaat, penambahan dua rakaat sekalipun mereka mendakwa sangat berhasil
mendekat diri kepada Allah pada hari yang dingin, itulah bid’ah dan kesesatan!
Membaca al-Quran masih ibadah khusus dan
sunah. Baginda Nabi s.a.w. menyebut
supaya baca al-Quran di rumah, tidak menjadikan rumah sepi seperti kuburan.
Namun jika menentapkan ayat atau surahnya pada waktu-waktu yang dikhaskan
sedangkan tidak ada contoh daripada sunah Nabi s.a.w., itulah bid’ah. Mengapa begitu? Kita solat wajib membaca surah
al-Fatihah. Al-Fatihah adalah satu surah
dalam al-Quran, dan Sunah Nabi memberi petunjuk sebagai bacaan wajib dalam
setiap rakaat solat. Itulah sunah Nabi
sebab ada contoh daripada Nabi s.a.w.
Yang kita pilih beberapa surah, dengan beberapa
ayat al-Quran tertentu lalu dijadikan
satu modul (misalnya Tahlil Arwah) dan modul ini ditetapkan waktu penggunaannya
(penetapan waktu, seperti waktu solat), ini bermakna modul Tahlil ini sudah
menjadi satu ibadah khusus. Ini rekaan
atau perkara baru yang muncul setelah kewafatan Baginda Nabi s.a.w. Oleh kerna kelihatan seperti ibadah yang
benar, dan dilaksanakan dalam suasana yang masih emosional (maksudnya masa
sedih hari kematian), maka mudahlah berakar sehingga hal itu disangka amal
ibadah yang pernah ditunjukkan oleh Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w.
Mudahkah meninggalkan Tahlilan ini? Tidak! Orang akan berhujah semula, “ingat jenazah
itu bangkai kambing, dah tanam tak ada majlis apa-apa?” Atau, “Selama
ini ustaz yang memimpin kenduri-kenduri arwah ini, tak mungkin mereka yang
berilmu menyalahi sunah.” Lagi pula,
setiap majlis itu kemudian ada jamuan yang enak. Bukan mudah meninggalkan keenakan hidup yang
dirasakan sudah berada di atas jalan agama.
….walaupun sebenarnya tidak menuruti sunah Nabi s.a.w.
w.a.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan