ORANG lebih kaget jika seseorang tokoh mendedahkan
dia mengamalkan poligami berbanding mengamalkan rasuah! Maka orang tidak hairan sangat apabila
seorang tokoh melepaskan rahsianya memberi rasuah demi politik pada masa
lalu. Rasuah sudah menjadi rahsia umum
rakyat. Mujur juga Malaysia masih
malu-malu kucing meminta rasuah secara terbuka. Di negara jiran, agensi kerajaannya
terang-terang meminta bayaran tambahan kepada pelancong walaupun semua bayaran
wajib sudah dilaksanakan. Rakyat
Malaysia yang menjadi pelancong di sana pulang membawa cerita rakyat di sana
yang ‘berlapang dada’ dengan rasuah.
Rasuah tetap haram walaupun sudah menjadi rahsia
umum atau budaya. Haram dan dosa tidak
boleh dihapuskan dengan semua orang berpakat-pakat menukar nama rasuah kepada ‘sedekah
berharap’ misalnya. Allah haramkannya
dalam ayat 188 surah al-Baqarah (maksudnya), “Dan janganlah kamu makan
harta di antara kamu dengan jalan batil, dan (janganlah) kamu menyuap harta
kepada para hakim dengan maksud agar kamu dapat memakan sebagian harta orang
lain dengan jalan dosa, padalah kamu mengetahui.”
Punca rasuah bukan pendapatan kecil. Yang minta
rasuah sedang bergaji besar. Mereka minta rasuah bukan RM50.00 tetapi sampai
setengah juta ringgit. Yang berjawatan
kecil sebagai penguatkuasa bolehlah berkongsi-kongsi dan sebulan dapatlah
RM500.00. Apakah mereka tidak sedar perbuatan
itu haram dan berdosa? Sedar!
Rasuah sebagian kesan daripada rakyat yang tidak
perdulikan undang-undang. Lihatlah
bagaimana merdekanya rakyat tidak patuh undang-undang jalan raya. Mereka tahu semua itu salah, tetapi semua
mahu cepat dan mudah. Anak-anak sentiasa dilatih tidak patuh undang-undang,
dengan menungang motorsikal tanpa lesen dan topi keledar. Yang dewasa menunjukkan masa-masa memakai
topi keledar hanya ketika ada penguat kuasa.
Ini bukan diajarkan oleh orang buta huruf, tetapi pemegang diploma dan
jazah malah ketua-ketua agama yang membaca wahyu Allah.
Orang-orang yang begitu bertekad membenci rasuah
pun nampaknya cuba juga mengelak cukai pendapatan dan cukai impot barang. Cuba lihat pelancong dalam negara di Langkawi
(misalnya), mereka yang terdidik tinggi termasuk yang faham agama juga memilih
cara ‘bagaimana hendak mengelak cukai’.
Mengelak cukai bermakna mencuri wang negara.
‘Sekecil-kecil’ perbuatan membuang sampah pun,
masih memerlukan penguatkuasa untuk memastikan kawasan bersih. Papan tanda larangan merokok di masjid,
termasuk penjelasan dalam khutbah Jumaat, tidak berkesan mendidik orang
meninggalkan tabiat merokok di kawasan masjid!
Murid-murid di sekolah pula berbangga jika dapat
melakukan perbuatan yang melanggar peraturan. Tidak menjadi ‘hero’ jika patuh
undang-undang. Termasuk juga kepada
pengikut parti politik yang tidak berkuasa, mereka diasuh agar melawan
undang-undang sebagai tanda berjuang.
Tidak hairanlah rasuah berleluasa. Bukan masalah agama
tidak dapat mengawal nafsu makan rasuah, tetapi orang agama pun pandai membelit
hukum jika ada kepentingan perut mereka.
Lihat saja adat kenduri arwah yang jelas berlawanan dengan banyak ayat
al-Quran, malah Imam Syafie sebagai Imam mazhab juga melarangnya, namun atas
nama yang halal seperti ‘bid’ah hasanah’ , ‘khilafiyah’ dan ‘berlapang dada’
maka perut mereka kenyang percuma setiap ada kematian dan majlis mengenang
kematian.
Selagi rakyat tidak dapat menjalani kehidupan
berpandu undang-undang tanpa pengawasan
penguatkuasa, jangan haraplah rasuah akan dapat dibanteras. Masalah rasuah hanya salah satu akibat rakyat
diasuh melanggar banyak peraturan atau undang-undang. Apa lagi pada zaman orang berkempen tentang
hak-hak asasi manusia dan amalan liberalisme.
Sebenarnya Islam dapat membendung rasuah dan
masalah lain, tetapi cara Islam itu difahami nyata memberi kesan baik atau
gagal. Setakat belajar tauhid kaedah sifat
20 yang dikatakan akidah sebagai paksi perbuatan manusia – gagal. Akidah mesti
difahami berdasarkan syahadah ‘Tiada tuhan melainkan Allah dan menerima
Muhammad sebagai pesuruh-Nya’. Setiap muslim wajib memahami penerimaan Allah
sebagai Tuhan bermakna menolak kepentingan lain yang berlawanan
dengan-Nya. Yang berlaku dalam
pendidikan akidah ialah membincangkan sifat Allah berbulan-bulan dengan bahasa
alafalsafah. Hendak faham pun
susah. Itulah berpuluh-puluh tahun. Pembelajaran cara ini tidak membawa pemahaman
Islam sebagai satu cara hidup, melainkan Islam sebagai tanda nama sahaja.
Akibatnya, rasuah sebenarnya salah satu daripada banyaknya
masalah dalam umah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan