Pengikut

Sabtu, Mac 01, 2014

TIGA kaedah meminta hujan kepada Allah pada musim kemarau

APABILA musim kemarau dan orang mahukan hujan, tidak ada dalam sunah Nabi s.a.w.  untuk mengadakan solat hajat sebagaimana yang difahami oleh sebilangan orang.  Yang popular difahami ialah solat minta hujan secara berjamaah di lapangan terbuka, yang sebelumnya dibuat khutbah kepada para jamaah.  Ada pula berdasarkan sunah, kalau doa dibuat pada hari Jumaat (tepatnya sewaktu khatib berkhutbah Jumaat) tidak perlu solat  dua rakaat melainkan terus sahaja khatib berdoa di atas mimbar.  Dan yang ketiga, jika berdoa dalam masjid, maka orang yang berdoa hendaklah menaiki mimbar dan terus berdoa minta Allah turunkan hujan.

Cara pertama ialah solat istisqa.

Maksud hadis: “Telah berkata ‘A’isyah ‘orang telah datang dan mengadu kepada Rasulullah s.a.w. tentang ketiadaan hujan, maka Rasulullah s.a.w. memerintahkan orang membuat mimbar dan mereka meletakkan mimbar di tanah lapang tempat melakukan solat, dan Rasulullah s.a.w. menentukan suatu hari supaya manusia keluar  ke tempat solat itu.  Maka (pada hari yang ditentukan itu), Rasulullah s.a.w. keluar pada waktu mentari terbit, kemudian baginda menaiki mimbar lantas bertakbir dan memuji-muji Allah azza wajalla kemudian baginda bersabda, ‘Sesungguhnya kamu mengadu kekeringan negeri dan lambat hujan daripada waktunya yang biasa, padahal Allah azza wa jalla telah memerintahkan kamu meminta kepada-Nya dan Dia berjanji akan memperkenankan permintaan kamu.  Kemudian baginda berdoa: (maksudnya) “Segala puji-pujian kepada Allah yang memelihara sekalian alam. Yang maha pemurah dan penyayang. Yang mempunyai hari pembalasan. Tidak ada Tuhan (yang sebenarnya) melainkan Allah. Allah berbuat apa yang Dia kehendaki.Wahai Tuhan, Engkaulah Tuhan, tidak ada tuhan (yang sebenarnya) melainkan Engkau. Engkau yang kaya sedangkan kami berkeperluan kepada-Mu. Turunkanlah hujan atas kami. Dan jadikanlah apa yang engkau turunkan itu kekuatan dan bekal bagi kami buat satu masa yang panjang.” Kemudian baginda mengangkat kedua-dua tangannya sehingga kelihatan putih ketiaknya, kemudian baginda memalingkan belakangnya menghadap orang ramai, kemudian baginda memalingkan selendangnya (sambil) baginda tetap mengangkat kedua-dua tangannya. Kemudian baginda menghadap orang ramai lalu turun dari mimbar dan solat dua rakaat (disertai orang ramai), lantas Allah swt mengadakan mega, guruh dan kilat, lalu hujan dengan izin Allah swt. (Riwayat Abu Dawud)

Cara kedua ialah berdoa ketika berkhutbah pada khutbah Jumaat.

Maksud hadis: Telah berkata Anas r.a. ‘Sesungguhnya  telah masuh seorang lelaki ke masjid pada satu hari Jumaat, pada waktu Rasulullah s.a.w. sedang berkhutbah.  Maka dia menghadap Rasulullah s.a.w. sambil berdiri lalu berkata “Ya Rasulullah, telah binasa haiwan-haiwan dan putus pelayaran. Mintakanlah supaya Allah hujani kami.” Maka Rasulullah s.a.w. pun mengangkat kedua-dua tangannya lalu berdoa “Allahumma astighna, Allahumma astighna! (Ya Allah hujani kami, Ya Allah hujani kami).” Kemudian hujan turun.’ (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Cara ketiga ialah berdoa di atas mimbar masjid.


Maksud hadis: Telah berkata Ibnu Abas r.a.: Telah datang seorang Arab gunung kepada Nabi s.a.w. lalu dia berkata, “Ya Rasulullah, saya datang dari satu kaum yang kekeringan tumbuh-tumbuhan dan keputusan air.”  Maka Rasulullah s.a.w. pun naik ke atas mimbar (dalam masjid) lantas berdoa, “Ya Tuhan, cucurkanlah atas kami hujan yang bisa melepaskan kami, yang baik buahnya, yang menyuburkan, yang rata dan lebat, dengan lekas, tidak lambat.”  Lalu Rasulullah turun.  Sesudah itu tidak seorang pun datang dari desa-desa itu melainkan berkata, “Sesungguhnya hiduplah kami.” (Riwayat Ibnu Majah).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan