Pengikut

Isnin, Februari 24, 2014

SOLAT khusus malam Jumaat?

TERDAPAT satu hadis yang menarik untuk dijadikan pedoman beribadah.  Hadis ini berkaitan dengan amalan pada hari Jumaat.  Baginda Nabi s.a.w. melarang dilakukan solat khas berkenaan malam Jumaat sebab baginda sendiri tidak melakukan demikian.

Daripada Abi Hurairah r.a., daripada Nabi s.a.w., baginda bersabda: “Jangan kamu mengkhususkan malam Jumaat dengan solat yang berbeza dengan malam-malam yang lain. Jangan kamu mengkhususkan hari Jumaat dengan puasa yang berbeza dengan hari-hari yang lain kecuali ia dalam (bilangan hari) puasa yang seseorang kamu berpuasa.” (HR Muslim, no 1144, bab tegahan berpuasa pada hari Jumaat)

Solat yang dilarang oleh Nabi s.a.w. bukanlah disebabkan tatacara atau lafaz-lafaz yang berbeda daripada solat fardu biasa. Tidak!  Solat, sebagaimana yang telah Nabi ajarkan untuk solat fardu dan sunat. Namun apabila solat berkenaan dilakukan secara khusus sedangkan Baginda Nabi s.a.w. tidak pun menunjukkan dibuat khas pada malam Jumaat, maka itu menjadi kesalahan.

Setiap amalan itu dengan niat.  Kalau seseorang memang sudah biasa melakukan solat malam, namun pada malam Jumaat itu dia menukar niatnya dengan solat sempena malam Jumaat, itu pun termasuk mengkhususkan solat untuk malam Jumaat. Dan itu dilarang.

Daripada Amirul Mukminin Abu Hafsin 'Umar ibn al-Katthab r.a. beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: “Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Larangan Nabi bertepatan dengan hadis baginda yang lain iaitu, “Sesiapa yang melakukan amal ibadah yang bukan daripada suruhan kami, maka ia tertolak.” (Riwayat Muslim)

Ini bermakna, solat, puasa atau apa juga bentuk zikir yang memang jelas tidak ada dalam petunjuk atau sunah Nabi, maka sebaik atau sejujur mana sekalipun amal itu dilakukan, tertolak.  Tertolak bererti tidak ada nilai di sisi Allah dan rasul-Nya.

Bagaimana jika ada yang berhujah, ‘solat atau puasa itu amalan baik’.  Soalan ini dapat dijawab dengan menjelaskan bahawa Nabi juga tahu bahawa solat dan puasa yang ditegah untuk hari Jumaat (yang tidak dalam petunjuk sunah) adalah baik mengikut ukuran akal manusia muslim.  Namun hujah ‘baik’ itu tidak dapat diterima sebagai satu amal ibadah disebabkan tidak menuruti amalan nabi s.a.w.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan