Pengikut

Rabu, Mac 05, 2014

SALAHKAH jika artis kahwin-cerai kahwin-cerai?

APABILA artis berkahwin kemudian bercerai, berkahwin lagi dan bercerai lagi…. menjadi isu pula kepada masyarakat. Di mana-mana pun berlaku perkahwinan dan ada pula perceraian.  Perceraian bukanlah luar biasa dan suatu yang keji, malah dalam sirah Nabi s.a.w., baginda pun pernah menceraikan salah seorang isterinya iaitu Habsah binti Umar al-Khattab r.a.  Kemudian Rasulullah s.a.w. merujuk kembali kepada Habsah.  Salah satu surah dalam al-Quran dinamakan At-Talaq.  Bukan sahaja aturan mencerai isteri itu dalam surah At-Talaq, tetapi dalam beberapa surah lain.  Demikianlah Islam mengatur kehidupan masyarakat, sehingga bab perceraian suami isteri pun diberi aturan supaya tidak berlaku penzaliman kepada golongan yang lemah, di samping maruah antar suami dan isteri tetap unggul.  Namun jika aturan itu diabaikan, tampaklah perceraian sebagai kejadian yang memalukan pihak berkenaan.

foto hanya hiasan

Maksud ayat 1 surah At-Talaq: “Wahai nabi, apabila kamu menceraikan isteri-isterimu maka hendaklah kamu menceraikan mereka pada waktu mereka dapat (menghadapi) ‘iddahnya (yang wajar) dan hitunglah waktu ‘iddah itu serta bertaqwa kepada Allah Tuhanmu.  Janganlah kamu keluarkan mereka dari rumah mereka dan janganlah mereka (diizinkan) keluar kecuali mereka mengerjakan perbuatan keji yang nyata.  Itulah hukum-hukum Allah, dan sesiapa yang melanggar hukum-hukum Allah, maka sesungguhnya dia berbuat zalim terhadap dirinya sendiri.  Kamu tidak mengetahui barangkali Allah mengadakan sesuatu yang baru sesudah itu.”

Kata Imam Ibnu Katsir dan Buya Hamka dalam tafsir al-Quran mereka, terdapat cerai yang menuruti sunah dan cerai yang bid’ah.  Cerai yang sunah ialah yang menuruti anjuran al-Quran dan Sunah, maka yang  bid’ah adalah di balik itu.

Cerai menuruti sunah ialah si suami menceraikan isterinya dalam keadaan suci dan tidak disetubuhi sebelum menjatuhkan talaq.  Ini untuk memudahkan kiraan masa ‘iddah dan memendekkan masa ‘iddah isteri.  Pernah anak Umar al-Khattab menceraikan isterinya dalam keadaan isterinya haid, maka Rasulullah marah,

Sabda Rasulullah s.a.w. (maksudnya): “Sebaiknya dia mengembalikan dan menahannya hingga dia bersuci daripada haid. Apabila telah suci jika hendak menceraikannya, ceraikanlah dalam keadaan suci sebelum disetubuhi.  Itulah ‘iddah yang diperintahkan Allah.” (Riwayat al-Bukhari)

Buya Hamka dalam tafsir Al-Azhar menulis sangat jelas berkenaan pengiraan masa ‘iddah isteri yang dicerai dalam haid (bid’ah) dan dalam keadaan suci. Orang kena faham bahawa ‘iddah itu untuk menentukan sama ada isteri hamil atau tidak. Islam tidak mahu ada percampuran benih dua lelaki dalam rahim wanita.  Maka itu Rasulullah suruh mencerai saat suci dripada haid dan belum disetubuhi supaya jelas kiraan tiga kali haidnya sebagai masa ‘iddah pendek dan mempercepat wanita itu berkahwin lain. Kalau dicerai masa suci sedangkan telah disetubuhi, kemungkinan ada benih yang tumbuh dalam rahim wanita itu. Dan jika hamil, lagi panjang masa ‘iddahnya.

Kemudian, bagaimana hal isteri yang sudah dicerai? Adakah seperti yang dicontohkan dalam filem atau drama TV iaitu si ieteri dihalau atau terus dihantar ke rumah ibu bapanya?  Ayat di atas sudah menjelaskan bahawa sepanjang masa ‘iddah, isteri tidak dibenarkan keluar dari rumah suaminya (mungkin juga rumahnya bersama). Hendaklah ada ahli keluarga yang tinggal bersama mereka untuk memastikan mereka tidak tidur bersama tanpa merujuk kembali.  Selama ‘iddah itu, mungkin tiga bulan…., suami bertanggung jawab memberi layanan pakaian, makanan dan sarana sosial lain kepada isterinya dalam ‘iddah.  Cuma tidak boleh tidur bersama.  Nanti kalau sudah hampir habis ‘iddahnya, kalau mahu rujuk kembali, rujuklah. Kalau mahu terus dicerai, itu pun terserah.

Hikmahnya, sepanjang dalam ‘iddah yang kedua-dua mereka masih tinggal serumah tentulah semoga mereka berfikir panjang mengenai keadaan mereka termasuk nasib anak-anak.  Sepanjang masa ‘iddah bagaimana mereka melayan anak-anak.  Bagaimana mereka tidur berasingan.  Tentulah keadaan ini lama-lama akan menimbulkan kekesalan akibat kemarahan yang menyebabkan pergaduhan. Tentu masing-masing mengakui ada salah dan silapnya sehingga janji perkahwinan itu pecah di tengah jalan.

Jika mengabaikan hukum Allah, iaitu apabila dilafaz cerai di mahkamah terus berpisah tempat tinggal, bagaimanakah kedua-duanya boleh saling berfikir dan mahu mencari kekuatan dan kelemahan masing-masing.  Semua sudah terlepas bagai anak panah keluar busur, walhal isterinya masih ada hak di sisi suaminya selama tiga kali masa haid.


Tampak ganjil jika mengamalkan ayat 1 surah At-Talaq itu. Ya itulah sunah dalam mencerai isteri, yang memberikan hikmah-hikmah tersendiri yang manusia tak tahu. Bucu akhir ayat itu pun jelas mungkin Allah hendak memberi sesuatu yang baru setelah menuruti hukum yang ditetapkan Allah.  Kita tak tahu, walhal Allah Maha Tahu.

2 ulasan:

  1. Assalamualaikum tuan penulis.
    Ingin saya sentuh tentang tuduhan anda tentang Nabi s.a.w pernah dengan bercerai dengan Habsah binti Umar al-Khattab r.a.Ternyata tuduhan itu satu fitnah dan ia tidak benar. Nabi s.a.w tidak pernah menceraikan mana-mana isterinya.
    Adakah anda merujuk kepada ayat pertama Surah at Talaq? Jelas tafsiran itu adalah silap.Harap rujuk kepada mufasirin atau ulamak yang murshid. Wassalam.

    BalasPadam
  2. sebenarnya kalau tanpa nama, tak perlu dilayan.
    Layanan saya ialah: "Sila berikan tafsiran yang dikatakan lebih benar daripada musafirin atau ulamak yang murshid". Jika manusia tanpa nama tidak memberikannya, semua komen di atas tidak ada nilai apa2. sekian.

    BalasPadam