SEPATUTNYA sekarang sudah ada
sebuah masjid yang dinamakan Masjid Muhammad Abdul Wahab. Jika tidak ada negeri yang sanggup menamakan
salah satu masjid yang bakal dibina, sepatutnya negeri Perlis mengambil
inisiatif berkenaan. Kalau masjid bereka
bentuk tradisi Cina untuk membuka minda kaum Cina terhadap Islam, maka nama
masjid Muhammad Abdul Wahab juga untuk membuka minda Melayu terhadap tokoh yang
dimusuhi tanpa sebab-musabab!
Soalan: (17 Jun 2012)
Saya hendak bertanya tentang
isu wahabi.
Jawapan Ustaz Fathul Bari Mat
Jahya
Isu wahabi ini seperti cerita
hantu “Jangan Pandang Belakang”. Tidak ada apa pun di belakang tetapi berasa sahaja
seperti ada sesuatu. Ia sebenarnya ibarat satu hantu yang cuba ditakut-takutkan
orang dengannya. Perkataan wahabi itu disandarkan pada nama Asy-Syaikh Muhammad
bin Abdul Wahhab At-Tamimi rhm.
Asy-Syaikh Muhammad bin Abdul
Wahhab At-Tamimi rhm ini apa sejarah dan apa ceritanya? Beliau boleh dikatakan
sebagai bapa kemerdekaan Saudi di mana hasil kerjasama beliau dengan Su’ud
telah berjaya membentuk negara Saudi dengan menjadikan mazhab Hanbali sebagai
mazhab utama dalam negara tersebut. Mazhab Hanbali ialah sandaran kepada Imam
Ahmad bin Hanbal.
Setelah berjaya membentuk
sebuah negara Saudi maka diletakkanlah mazhab Hanbali sebagai mazhab dalam
negara Saudi sehingga ke hari ini. Muhammad bin Abdul Wahhab banyak menulis dan
tulisan-tulisannya adalah tentang akidah, anti-syirik, anti-sihir,
anti-tangkal, dan perkara-perkara yang mencacatkan akidah paling banyak yang
ditulis. Antara tulisannya yang terkenal luas tersebar seperti Kitabut
Tauhid, dan Ushulus Tsalatsah (Tiga dasar agama) yang dipetik
daripada hadis Abdullah ibn Mas’ud RA,
من رضي بالله ربا وبالإسلام دينا وبمحمد
نبيا وجبت له الجنة
Maksudnya: “Barangsiapa
yang redha Allah sebagai Tuhannya, Islam sebagai agamanya dan Muhammad sebagai
Nabi, maka layaklah baginya Syurga.”(riwayat Imam Muslim)
Daripada itu beliau mengarang
kitab Ushulus Tsalatsah (Tiga Landasan Utama) yang membahaskan
bagaimana mengenal Allah, Rasul, dan Islam. Beliau juga menulis Kasyfu Asy-Syubuhat (Pembongkaran
Syubhat-syubhat) yang membongkar kristianisasi dan triniti, tentang hak-hak
wanita, memfokus juga pada isu-isu dalaman akidah dan sebagainya.
Syaikh Muhammad bin Abdul
Wahhab ikon perpaduan di Arab Saudi
Beliau memiliki ramai musuh
kerana apabila dibentuk negara Saudi sudah pasti berlaku banyak pertembungan
dan peperangan, termasuk juga peperangan di antara ahli mazhab. Beliau
bermazhab Hanbali, ada yang lain bermazhab Syafi’i, Hanafi dan Maliki. Di empat
penjuru ka’bah mereka berpecah kepada 4 jamaah solat mengikut mazhab
masing-masing. Syaikh Muhammad bin Abdul Wahhab melihat semua jemaah ini perlu
disatukan dan menetapkan mazhab Hanbali sebagai mazhab rasmi negara. Sama
seperti kita di Malaysia bermazhab Syafi’i.
Antara projek utama beliau
ialah merobohkan kubur yang dibina lebih tinggi daripada yang asas, bukan
membongkar kubur. Asas dalam hadis Nabi SAW, tinggi kubur hanya sejengkal
daripada tanah dan diletakkan pada kepala kubur itu seketul batu sahaja sebagai
tanda. Tetapi pada zaman itu kubur-kubur dihias. Sedangkan Nabi SAW telah
mengutuskan Ali bin Abi Thalib RA dan Ali bin Abi Thalib mengutus Abul Hayyaj
Al-Asadi untuk merobohkan mana-mana kubur yang tingginya melebihi sejengkal.
Maka Muhammad bin Abdul Wahab
yang memahami hadis ini merobohkan kubur yang lebih tinggi. Orang yang tidak
berpuas hati seperti golongan penyembah dan pemuja kubur menuduh beliau sebagai
merobohkan kubur, walhal beliau bukan membongkar kubur ikut suka.
Beliau juga menyeru kepada
mentaati pemerintah Islam yang sah, kerana itu beliau mempertahankan kerajaan
Su’ud. Jadi disebabkan hal ini orang menjadi takut. Mereka menghentam dan
mengeluarkan kata-kata yang keji dan dusta terhadap Muhammad bin Abdul Wahhab
adalah juga kerana isu politik, selain daripada isu akidah.
Isu akidah adalah satu isu
serius. Khususnya berlaku pertembungan antara golongan sufi dan Muhammad bin
Abdul Wahab. Golongan sufi berpegang kuat dengan amalan seperti tahlil, nisfu
sya’ban, Maulidurrasul, dan sebagainya. Muhammad bin Abdul Wahab tidak
memperjuangkan isu-isu ini kerana penulisan beliau banyak menyentuh isu akidah.
Namun pendekatan kerajaan Saudi pada hari ini mengambil langkah membahaskan isu
bid’ah, isu hukum beramal dengan hadis lemah.
Memahami definisi bid’ah
Sekarang kita bertengkar
banyak isu-isu kecil berpunca daripada tidak selesainya takrifan apa itu bid’ah
dan isu berhukum dengan hadis lemah adakah dibolehkan atau tidak. Jika
diselesaikan dua isu ini, banyak isu lain akan selesai. Masalahnya sekarang
takrif bid’ah hendak ikut takrif siapa?
Ada yang mengatakan hendak
mengambil takrifan Imam Syafi’i. Baik, apa takrifan Imam Syafi’i tentang isu
bid’ah?
“Bid’ah itu ada dua, apa yang
bertepatan dengan as-sunnah itulah bid’ah yang terpuji, apa yang bercanggah
dengan sunnah itulah bid’ah yang tercela.”
Ada yang mengatakan ingin
mengambil takrifan bid’ah Imam Asy-Syathibi. Apa kata Imam Asy-Syathibi?
طريقة في الدين مخترعة تضاهي الشرعية يقصد بالسلوك عليها المبالغة في
التعبد لله سبحانه
“Bid’ah itu adalah jalan yang
direka cipta di dalam agama, penciptanya menganggap apa yang diciptanya itu
sesuai dengan syariat, tujuan mengamalkannya untuk berlebihan dalam mengabdikan
diri kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala.”
Ada yang berkata mahu
mengambil takrifan Imam Al-Izz Abdis Salam yang mengkategorikan bid’ah
kepadalima; wajib, sunat, makruh, haram, harus. Ada yang berkata hendak mengambil
takrif Imam Nawawi, Ibnu Hajar, As-Suyuthi, dan lain-lain. Selagi isu ini tidak
selesai nescaya banyak isu lain yang juga tidak akan selesai.
Walaupun kita berselisih,
berbeza pendapat dan pandangan, janganlah sampai membawa kepada perpecahan. Perselisihan
hendaklah diluruskan dengan etika dan adab, hormat menghormati antara satu
dengan yang lain, barulah boleh hidup dalam harmoni. Perselisihan adalah
perkara fitrah, Nabi sudah menyebutnya di dalam hadis, maksudnya:
“Barangsiapa yang hidup
selepas kewafatanku akan melihat perselisihan yang banyak.” (riwayat Imam
Abu Daud)
Kita berselisih dalam
berpakaian, makanan, pilihan kasut, kenderaan, pilihan isteri, suami, begitu
juga dalam agama ada juga yang kita berselisih. Ia tidak dapat dielakkan. Cuma
hendaklah kita menggunakan kaedah yang betul agar dapat mengelakkan perpecahan,
sebab semua perpecahan bermula daripada perselisihan, tetapi bukan semua
perselisihan membawa kepada perpecahan.
Mengurus perselisihan agar
tidak menjadi perpecahan
Bagaimana kita hendak
menguruskan perselisihan antaranya adalah dengan cara hormat menghormati.
Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) pernah merobohkan kubur di Pulau Besar.
Adakah JAIM wahabi kerana merobohkan kubur? Muhammad bin Abdul Wahab juga
membuat perkara yang sama.
JAIS pernah menangkap Syiah.
Gerakan Muhammad bin Abdul Wahab, gerakan Saudi yang dikatakan wahabi pada hari
ini mereka melawan syiah habis-habisan. Syiah sangat membenci wahabi. Jadi
adakah JAIS wahabi? Oleh itu janganlah kita mudah memberi label apabila melihat
pihak lain menyamai tindakan di dalam beberapa perkara, melabelkan wahabi dan
sebagainya. Ini semua cerita-cerita hantu.
Seperti yang saya katakan
tadi, perselisihan adalah perselisihan. Bagaimana kita hendak meluruskan agar
tidak membawa kepada perpecahan kerana perpecahan adalah suatu yang dibenci.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan