IMAM solat bisa saja tersilap. Jika dalam solat Isyak, imam tersilap dan
menamatkan solatnya pada rakaat ketiga, makmum mudah faham dan menambah satu
rakaat lagi. Bagaimana jika imam tersilap sehingga menambah rakaat menjadi lima
rakaat? Keadaan ini berlaku walaupun tidak selalu. Namun apabila berlaku makmum
akan menjadi tiga golongan.
Pertama: Makmum menamatkan solatnya, bermakna
keluar daripada berjamaah sebab imam masih dalam solat.
Kedua: Makmum terus duduk dalam tahiyat akhir
sementara menunggu imam menghabiskan satu rakaat dan dua sujud sahwinya. Apabila imam memberi salam penamat solat, maka
makmum golongan ini juga memberi salam menamatkan solatnya.
Ketiga: Makmum terus mengikuti imam membuat
rakaat kelima. Makmum golongan ini juga
menuruti imam membuat dua sujud sahwi. Mereka mengikuti seratus peratus
pergerakan imam sehingga tamat.
Daripada kes itu jelas tampat wujud tiga pendapat.
Apa pun, hukum solat mereka tetap sah.
Sah, sama ada sebagai solat sendiri atau sah dalam solat berjamaah
(bersama imam). Cuma yang bisa
dibicarakan ialah manakah yang sepatutnya diambil.
Saya cenderung memilih kaedah ketiga, iaitu
mengikuti imam menghabiskan satu rakaatnya yang disangka rakaat keempat
(sedangkan itu rakaat kelima).
Solat berjamaah ialah solat mengikuti imam. Dalam
satu hadis Baginda Nabi s.a.w. bersabda yang maksudnya, “Sesungguhnya imam itu dijadikan untuk diikuti. Maka jika dia bertakbir, maka bertakbirlah
kamu. Dan jika dia ruku’, maka ruku’lah kamu. Dan jika dia sujud, maka sujudlah
kamu. Dan jika dia solat dengan berdiri, maka solatlah dengan berdiri.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Ada satu lagi sabda Baginda Nabi yang diakhiri
dengan, “Jika imam solat berdiri maka solatlah berdiri, dan jika imam
solat secara duduk maka solatlah kamu semua secara duduk.” (Riwayat
Al-Bukhari).
Dua hadis itu menjelaskan kewajiban makmum
mengikuti apa saja pergerakan imam dalam solat.
Misal kata tiba-tiba imam cedera dan dia terpaksa duduk untuk sebagian
solatnya (yang sepatutnya ada berdiri), maka makmum wajiblah mengikuti imam
dengan duduk juga dalam semua bagian rakaat berkenaan.
Begitu juga bagi golongan yang berpendapat doa
qunut dalam solat subuh itu tidak ada dalam sunah. Namun apabila imam membaca
doa qunut dengan mengangkat tangan, maka makmum berkenaan wajib juga mengangkat
tangan untuk doa qunutnya. Semua ini
tidak lain kerna menuruti hadis ‘makmum wajib menuruti imam’.
Ada satu lagi hadis nabi yang bisa diguna untuk menguatkan
hujah bahawa makmum diminta mengikuti imam. Misalnya solat tarawih. Banyak juga
orang berpendirian bahawa solat malam atau tarawih (Ramadan) itu maksimumnya 11
rakaat. Namun apabila mereka menjadi makmum kepada imam yang melakukan 23
rakaat, sangat bagus mengikuti imam sampai 23 rakaat.
Baginda Nabi s.a.w. mengatakan (maksudnya):
“Siapa yang solat bersama imam sampai ia (imam) selesai, maka ditulis untuknya
pahala qiyam satu malam penuh.” (Riwayat an-Nasa’i dan at-Tirmidzi, Syeikh
al-Albani dalam al-Irwa’ hadis no 447 mengatakan bahawa hadis ini sahih).
Mungkin pihak lain mempunyai hujah untuk menolak
kaedah ketiga (sentiasa menuruti imam).
Terpulanglah pada pendirian dan pemikiran masing-masing, yang utama
ialah kita kena faham bahawa setiap amal ibadah mestilah diketahui dalil atau
hujahnya. Pilihlah mana dalil atau hujah yang kuat, iaitu yang paling
menghampiri al-Qur’an dan Sunah Nabi s.a.w.
w.a.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan