Pengikut

Khamis, Disember 19, 2013

AYUH baca Sirah Nabawiyah Ar-Rahiq al-Makhtum

SEMUA ada sejarahnya. Dengan mengetahui sejarahnya, jadilah sesuatu itu sangat bernilai. Nabi yang agung Muhammad Pesuruh Allah punya sejarah hidup dan perjuangannya. Mengetahui sejarah Nabi dan perjuangannya, tidak boleh hanya dengan duduk di hadapan seorang guru memasang telinga.  Selain berguru, yang lebih banyak ialah dengan membuat penyelidikan sendiri. Maka, bacalah sejarah Nabimu!


Syaikh Shafiyyurrahman Al-Mubarakfuri menghasilkan sebuah karya sejarah Nabi dan perjuangannya yang dikira lengkap.  Selama ini, kita mungkin hanya mengetahui siri peperangan dalam sejarah Nabi bermula dengan Perang Badar, kemudian Perang Uhud, Khandak dan pembukaan Makkah.  Buku Sirah Nabawiyah ini mencatatkan lebih daripada empat atau lima perang utama yang menjadi pengetahuan utama setiap muslim.

Misalnya, selain Perang Badar yang menyaksikan 313 tentara muslim mengalahkan 1000 tentera musyrikin Quraisy, ada Perang Badar kedua selepas Perang Uhud.  Perang Badar kedua memang dijanjikan oleh Abu Sufyan selaku ketua musyrikin Makkah. Dan Nabi telah membawa tentera jauh lebih besar daripada tentara Badar pertama.  Cuma, tidak berlaku pertempuran dalam Badar kedua, sebab Abu Sufyan memilih untuk mengelak perang dan membawa sejumlah besar tenteranya pulang ke Makkah.

Mungkin sebagian besar muslim hari ini membayangkan kehidupan Baginda Nabi s.a.w. di Madinah yang aman dan lebih senang, setelah melalui kepayahan hidup di Makkah.  Oh tidak rupanya. Madinah di kelilingi kabilah-kabilah yang masih belum memeluk Islam, maka sejumlah itulah musuh-musuh Nabi dan kaum muslimin di Madinah.  Di sana Baginda Nabi memimpin sendiri gerakan-gerakan mengertak atau memerangi kabilah berkenaan.  Maka tidak hairan apabila Baginda Nabi s.a.w. sangat berharap memenangi Perang Badar untuk menjadi senjata politik Madinah, menaikkan imej negara Madinah dan menggerunkan kabilah-kabilah yang bersikap permusuhan terhadap Madinah.

Antara perang atau penyerbuan yang paling rinci ialah tindakan terhadap semua kabilah Yahudi di Madinah.  Ulah kaum Yahudi tidak sempurna juga jika tidak diseret ulah kaum munafik bumiputera Madinah. Hampir semua sikap permusuhan Yahudi, di belakangnya ada peranan kaum munafik.  Malah ada waktunya Rasulullah mengambil kira juga permohonan maaf yang diajukan oleh kaum munafik terhadap kabilah Yahudi berkenaan.

Buku Sirah Nabawiyah Ar-Rahiq al-Makhthum dimulakan dengan penulis memberi gambaran geografi jazirah Arab dan kuasa-kuasa politik di sana.  Buku setebal 864 kaca diakhiri dengan babak Sifat dan Akhlak Baginda Nabi s.a.w. melalui kaca mata para sahabatnya. 

Yang lebih istimewa buku ini ialah terdapat komentar mengenai status peristiwa atau hadis, misalnya selepas usai Perang Uhud, Rasulullah memerintahkan Ali binAbi Talib untuk mengekori pasukan Makkah.  Kebimbangan Rasulullah ialah jika pasukan Makkah yang sudah melumpuhkan tentera muslim di Uhud tidak pulang ke Makkah sebaliknya menuju ke Madinah, sedangkan semua kekuatan pertahanan Madinah sudah kucar-kacir di Uhud.  Di situ Ali memberitahu bahawa pasukan musuh menuju ke Makkah.  Peristiwa ini terus diberi komentar sebagai dhaif dengan sekian jelah hujahannya.  Inilah keistimewaan buku ini, memberi ketepatan sumber sejarah.


Bacalah, sekalipun ada orang seakan curiga kepada orang awam membaca buku agama tanpa duduk menghadap seorang guru. Bacalah, kemudian berbicaralah dengan sejujurnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan