PARA terakhir tulisan kolumnis Sinar Harian, Dr
Ridhuan Tee Abdullah boleh dijadikan satu panduan besar kepada parti Barisan
Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR). Tulisannya yang diberi tajuk ‘Jangan
Sakiti Hati Melayu’ menyatakan perasaan orang Melayu yang selama ini memihak
kepada Umno-BN pun sudah terguris dengan kenaikan kos hidup akibat kenaikan
harga barangan.
Dia mengakhiri, “Ingatan saya kepada Umno BN,
jangan biarkan hati Melayu semakin terluka.
Tidak mustahil Melayu akan beralih kepada parti ultra kiasu. Kempen mereka sedang berjalan. Jika satu hari
nanti ultra kiasu cenderung kepada
Islam, saya bimbang ketika itu Umno sudah tidak relevan lagi, kerana mereka
sudah ada Pas. Hari ini Melayu masih
bersama Umno kerana tawar hati dengan Pas bersama ultra kiasu, penentang
Islam.”
Zaman sudah berubah dan pemikiran manusia pun
berubah. Kenaikan barangan akibat
dasar-dasar kerajaan memang menjadikan rakyat panas hati. Manusia dalam keadaan panas hati, akan
melakukan tindakan segera sekurang-kurangnya untuk melepaskan
kemarahannya. Inilah peluang besar PR
untuk menawan semua pengundi yang marah dengan kenaikan kos hidup. Berdasarkan pandangan Dr Ridhuan Tee, orang
Melayu akan segera mengundi PR jika DAP yang selama ini sangat dicurigai oleh
majoriti Melayu berubah kepada Islam.
Bukan semestinya sebilangan pemimpin DAP memeluk Islam, cukuplah apa
agenda Pas yang selama ini tersekat akibat tembok DAP dilonggarkan, pasti
Melayu (yang selama ini mengundi BN) akan mengundi PR dalam PRU-14 nanti!
DAP boleh mengubah sikapnya yang dilihat antibudaya
Melayu yang menolak memakai songkok dalam majlis diraja, berubah dengan
berpakaian sut Melayu. Jika ada anggota
DAP hendak memasuki masjid, hendaklah bersifat seperti pelancong yang sentiasa
sabar dan senyum dengan peraturan memasuki masjid. Jangan lagi ada anggota DAP
yang bertindak agresif dengan laungan azan di mana-mana pun. Dan yang paling penting, jangan menentang
secara kasar hasrat Pas melaksanakan Hudud.
Gambaran DAP nanti akan melunakkan Melayu dan memudahkan orang Melayu
mengundi Pas dengan syarat. Syaratnya
kemarahan orang Melayu akibat kerugian disebabkan banjir dan kenaikan harga
barangan utama akibat dasar-dasar kerajaan BN berkekalan sehingga mereka
memasuki pusat pengundian pada PRU-14.
Seseorang boleh mengubah pendirian politik dengan
sebungkus roti, tidak perlukan bukti ilmiah berjela-jela. Siapa yang dapat
menguasai emosi pengundi, dialah yang akan berjaya dalam politik.
Tulisan Dr Ridhuan Tee juga merupakan amaran
terbuka kepada kerajana BN di Putrajaya sama ada bersedia untuk terus
memerintah dengan memberikan keselesaan kepada rakyat terutama Melayu atau
bersiap untuk mengemaskan semua barangan di semua kementerian.
Sebenarnya ini adalah zaman sukar kepada sesiapa pun yang berkuasa, termasuk PR di negeri-negeri yang dikuasainya. Rakyat hanya mahu tahu yang selesa, tidak ada pengorbanan apa-apa. Salahnya mereka yang memerintah sentiasa memberikan ikan untuk dimakan, bukan memberi pancing untuk rakyat memancing ikan. DAP Selangor pun sudah faham masalahnya di Selangor!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan