AJARAN Islam mudah diamalkan, dan terdapat kelonggaran-kelonggaran bagaimana hendak melaksanakannya. Misalnya, seseorang yang sakit boleh melakukan solat sambil duduk atau berbaring sahaja. Dalam berwuduk juga ada cara yang memudahkan berdasarkan keadaan dan kedudukan seseorang.
Misalnya, orang yang bekerja sebagai anggota pasukan keselamatan, penguatkuasa atau mereka yang bekerja dengan memakai kasut yang diikat dengan rapi (memerlukan masa untuk membuka dan memakainya, juga disebut kasut but panjang). Mengikut kaedah biasa berwuduk, wajiblah membasuh kedua-dua belah kaki. Oleh itu setiap kali hendak berwuduk mereka mesti membuka kasut (apa juga yang difahami seperti kasut) untuk membasahkan kaki. Berdasarkan hadis-hadis nabi s.a.w., terdapat kelonggaran yang sangat memudahkan kepada golongan seperti ini. Mereka tidak perlu membuka kasut, cukuplah menyapukan air sekali di atas kasut yang dipakai, kemudian terus solat dengan memakai kasut berkenaan. Misalnya perhatikan maksud-maksud hadis di bawah.
Pertama: Diriwayatkan daripada Saiyidina Ali r.a. bahawa dia berkata ‘jikalau agama itu dengan akal, nescaya sebelah bawah kasut lebih utama disapu daripada sebelah atasnya, dan Rasulullah s.a.w. kulihat telah telah menyapu yang sebelah atas khufnya’. (Riwayat oleh Abu Dawud dengan sanad hasan)
Kedua: Diriwayatkan daripada syafwan bin ‘Asal, dia berkata: Adalah nabi s.a.w. memerintahkan kami agar jangan menanggalkan kasut ketika dalam musafir selama tiga hari tiga malam melainkan dalam keadaan junub, akan tetapi daripada membuang air besar, membuang air kecil dan tidur (kami membukanya). (Riwayat oleh Nasa’I dan Turmizi. Lafaz hadis ini juga diriwayatkan oleh Ibn Khuzaimah. Tirmizi dan Ibn Khuzaimah mengatakan hadis itu sahih).
Ketiga: Dan daripada Saiyidina Ali bin Abi Talib r.a., katanya nabi s.a.w. memberikan peluang bagi orang yang musafir tiga hari dan tiga malam, dan sehari semalam bagi yang bukan musafir dalam menyapu di atas dua khufnya.” (Riwayat oleh Imam Muslim)
Keempat: Dan telah diriwayatkan oleh Abi Bakrah r.a. daripada Nabi s.a.w. bahawa baginda (nabi s.a.w.) memberi kemudahan bagi yang musafir itu tiga hari tiga malam dan bagi orang yang bermukim sehari semalam. Apabila dia bersuci padahal sedang memakai khufnya, maka hendaklah ia menyapukan (air) di atas kedua-duanya.” (Riwayatkan oleh Al-Daraqutni, dan Ibn Khuzaimah mengatakan hadis ini sahih).
Kelima: Diriwayatkan daripada Thauban r.a. katanya Rasulullah s.a.w. mengutu tentera kecil, maka disuruhnya mereka menyapu air wuduk di atas ‘asaibnya iaitu serban-serban mereka dan tasakhin iaitu khuf.’ (Riwayat oleh Imam Ahmad dan Abu Dawud. Imam Hakim mengatakan hadis ini sahih).
Keenam: “Diriwayatkan daripada sayyidina Umar r.a. secara mauquf, dan daripada Anas secara marfu’ iaitu yang diangkatkan daripada nabi s.a.w. ‘Apabila seorang daripada kamu mengambil wuduk, padahal sedang memakai khuf maka hendaklah sapu (air) kedua-duanya, lalu solatlah dengannya, dan janganlah dicabut jika dia mahu melainkan kerna junub.’ (Riwayat oleh Daruqutni dan Hakim, kedua-duanya mengatakan sahih).
Demikianlah kelonggaran terhadap orang berwuduk yang boleh hanya menyapu air sekali sahaja di atas kedua-dua kasutnya. Daripada kata-kata Saiyidina Ali r.a., jelaslah agama bukan berdasarkan akal kerana logik akal, yang wajib disapu adalah bahagian tapak yang telah memijak pelbagai benda termasuk kotoran. Kemudian, dengan memakai kasut itulah solat ditunaikan, malah nabi s.a.w. memberi peluang terus berwuduk dengan berkasut selama tiga hari bagi yang musafir.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan