BERAPA banyak orang mengatakan ‘belajar agama dengan berguru’ atau ‘belajar agama tanpa berguru pasti sesat’. Nasihat ini menggambarkan pentingnya berguru iaitu mendengar atau mengambil maklumat daripada orang yang lebih tinggi ilmunya. Maksud firman Allah dalam surah an-nahl: 41 ‘…maka bertanyalah kepada orang yang punya pengetahuan, jika kamu tidak mengetahui.”
Namun perhatikan pula berapa banyak orang telah tersesat jalan mencari agama hasil menghadap guru pula. Lihat mereka yang menyeru orang mati untuk menguatkan iman, menambah kantung kewanngan dan menyelesaikan pelbagai masalah kehidupan. Ada kumpulan lain telah menerima seorang manusia sebagai ketua eksekutif kerajaan langit. Mereka percaya guru mereka naik dan turun langit. Ada pula sekumpulan manusia yang percaya mendapat jaminan syurga kerna percaya guru mereka adalah seorang nabi untuk kaumnya. Perkara ini berlaku pada kurun ke-21, bukan zaman para nabi dan rasul masih diutus kepada manusia oleh Allah swt.
Adakah semua mereka belajar agama dengan memahami perkara demikian hasil membaca buku agama? Saya katakan tidak ada buku berkenaan memuja roh seorang guru agama dijual di pasaran untuk diamalkan oleh orang ramai. Tidak ada booklet yang dijual kepada orang awam untuk orang awam membaca ajaran kerajaan langit itu. Semua mereka mendapat maklumat berkenaan hasil berguru. Mereka duduk menghadap guru dan mendengar apa ajarannya! Maka saya katakan, orang yang sesat dalam beragama itu juga hasil belajar ‘agama’ daripada orang yang dipanggil sebagai guru. Maka jangan cepat melatah dengan mendakwa ‘orang yang belajar agama tanpa berguru pasti akan tersesat’.
Siapakah guru-guru yang menyesatkan akidah agama orang awam? Mereka bukanlah orang yang penampilannya sebagai eksekutif sesebuah firma perniagaan, yang bertali leher dan berpakaian ala-Barat. Orang yang dipanggil guru atau syeikh itu adalah orang yang berwatak orang ada ilmu agama. ‘Guru-guru’ itu berkopiah, berserban, berjubah, berjanggut dan sering solat di masjid dan ada yang tangannya tidak terlepas daripada memegang biji-biji tasbih. Mulut mereka basah menyebut kalimah Allah, Islam, pahala, dosa, syurga dan neraka. Siapakah orang awam yang tidak tergoda dengan orang seperti ini? Tentulah pemikiran orang awam mengatakan semua orang yang berwatak begitu adalah orang yang tinggi ilmu agamanya. Kepada orang awam, wajiblah berguru kepada kepada orang sepertinya dalam hal agama.
Memang kita wajib belajar agama dengan orang yang tinggi ilmu agamanya. Dengarlah nasihat daripada mereka. Ada hadnya. Al-Quran tidak pernah menyarankan agar kita mengosongkan pemikiran, kemudian menerima bulat-bulat apa yang dinasihatkan oleh orang lain (termasuk yang kita terima tinggi ilmu agamanya). Hal ini kerna tidak ada manusia yang sempurna. Allah masih menyuruh kita menggunakan akal fikiran dalam mencari kebenaran. Apa lagi zaman ini, naskhah-naskhah al-Quran yang lengkap pelbagai bahasa serta buku-buku hadis ada di merata dunia, maka eloklah gabungkan antara duduk berguru dengan membaca.
Allah ada menjelaskan mengenai panduan dalam belajar agama. Perhatikan mana yang disarankan dan mana yang diharamkan. Maksud ayat 7 surah Ali Imran, “Dialah yang menurunkan kitab (al-Quran) kepadamu (Muhammad). Di antaranya ada ayat-ayat yang muhkamat, itulah pokok-pokok kitab (al-Quran) dan yang lain mutasyabihat. Adapun orang-orang yang hatinya condong pada kesesatan, mereka mengikuti yang mutasyabihat untuk mencari-cari fitnah dan untuk mencari-cari takwilnya, padahal tidak ada yang mengetahui takwilnya kecuali Allah. Dan orang-orang yang ilmunya mendalam berkata: ‘Kami beriman kepadanya (al-Quran), semua dari sisi Tuhan kami.’ Tidak ada yang dapat mengambil pelajaran kecuali orang yang berakal.”
(Nota: ayat muhkamat adalah ayat yang jelas maksudnya, mudah difahami maksudnya. Ayat mutasyabihat adalah ayat yang sukar difahami, hanya Allah yang mengetahui dengan tepat)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan