Pengikut

Sabtu, November 12, 2011

HABITAT anak-anak adalah masyarakat


BARU-BARU ini saya mengikuti ceramah (pendedahan) oleh seorang pegawai penguatkuasa kesalahan syariah negeri Selangor.  Beliau bercakap dengan fakta mengenai statistic kes melibatkan remaja atau anak muda muslim yang melanggar undang-undang jenayah syariah di sebuah daerah yang paling tidak banyak bangunan tinggi di Selangor!  Ya, sangat membimbangkan gejala yang melanda anak muda.


Analogi yang menarik perhatian saya. Katanya, “Jika semua lelaki muslim di daerah ini menunaikan solat Jumaat, pasti 47 buah masjid yang ada akan melimpah ruah (saya fahamkan sampai ke halaman tempat letak kereta).  Malangnya ada sebuah dua masjid di kampung yang terpaksa dibuat kiraan setiap hari Jumaat untuk menentukan cukup syarat 40 orang yang hadir.”

Dalam enakmen janayah syariah negeri, antara yang dimaksudkan jenayah syariah ialah tidak solat, meminum arak, zina, berdua-duaan (lelaki dan perempuan) bukan mahram, mendedahkan aurat, tidak puasa dan lain-lain lagi.

Saya ada pengalaman tak baik perihal anak muda lelaki perempuan.  Kira-kira jam 5.30 pagi di sebatang jalan desa, sewaktu menghala ke surau saya kaget dengan benda atau ‘apa’ di tengah jalan.  Setelah disorot dengan lampu motorsikal dan diamati, sepasang remaja ‘tidur’ berpelukan di atas jalan!  Apabila saya ceritakan kepada rakan di desa, dia juga pernah menemui sepasang manusia yang sedang membuat ‘projek’ di atas jalan desa jam 1.00 pagi!

Mengapa anak-anak jadi begitu?  Ada ibu bapa menghantar surat layang kepada menteri dan mendakwa guru-guru telah gagal mendidik anak-anak di sekolah.  Surat ini dibacakan oleh pegawai pendidikan dalam majlis ceramah yang saya hadiri itu.  Guru-guru pula kerap menyatakan masalah murid-murid (jika ada) selalunya bermula dari rumah.

Saya segera teringat satu tulisan oleh pengarang dalam akhbar utama.  Beliau tidak sembunyi mengkritik sikap ibu bapa yang menggalakkan anak-anak melanggar banyak peraturan yang sepatutnya anak-anak diperingatkan agar mematuhinya.  Contoh mudah katanya ialah perihal anak-anak yang tidak mempunyai lesen memandu menunggang motorsikal.  Tidak ada ibu bapa yang jahil bahawa anak-anak (tidak berlesen) tidak boleh menunggang motorsikal kerna menyalahi undang-undang negara.   Namun, ibu bapalah yang mengajar anak-anak melanggar saja undang-undang itu.

Ya, saya setuju dengan hujahan si pengarang akhbar itu.  Kata bidalan Melayu ‘lulus jarum lulus kelindan’ ertinya apabila kita berikan satu jalan kepada seseorang maka siapa yang di belakangnya pasti akan mengekori semua perilaku orang di hadapan sekali.  Sekali anak-anak diberi ayat ‘Boleh naik motorsikal itu, bukan ada polis di sini….’ Ini bermakna peraturan atau undang-undang lain boleh saja diabaikan.  Ibu bapa nak marah apa jika anak-anak tidak solat (melanggar syariat Allah) sedangkan anak-anak telah diasuh dengan ayat ‘…tidak ada polis di sini (nampak).’ Ibu bapa mengajarkan bahawa, jika tidak ada penguatkuasa anak-anak boleh langgar peraturan.  Mana penguatkuasa mampu membuat tangkapan dan dakwaan terhadap semua pesalah syariah?

Kalau pun negeri tidak mengkanunkan undang-undang syariah, peraturan agama telah jelas dalam al-Quran dan Sunah.  Maknanya, prinsip syariah tetap satu peraturan sama ada dikanunkan sebagai enakmen negeri atau masih dalam sumber yang asal iaitu alquran dan sunah.

Sebab itulah ibu bapa tidak boleh memandang mudah soal pelanggaran peraturan oleh anak-anak.  Anak-anak pasti melihat dan memahami bahawa ibu bapa adalah contoh terbaik dalam kehidupannya.  Kalau pun ada ibu bapa tidak bercakap supaya undang-undang diabaikan, tetapi anak-anak akan melihat perilaku sang ayah (misalnya) yang tidak perduli peraturan atau undang-undang. Maka anak-anak telah mempunyai contoh dalam perlakuannya.

Sekolah?  Saya berpendapat bahawa sekolah telah menjadi pulau yang asing dalam mempertahankan kemurnian akhlak anak-anak.  Sebelum anak-anak ke sekolah, mereka telah diasuh oleh ibu bapanya.  Apabila anak-anak ke sekolah dan diberikan nilai-nilai yang baru, anak-anak akan keliru buat sementara, tetapi kebanyakan mereka akan kembali kepada ‘habitatnya’ iaitu masyarakat.

Baik dan mulia masyarakat tempat anak-anak itu lahir dan membesar, maka baiklah perilaku anak-anak itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan