“APA yang saya kerjakan tentulah upahnya saya yang dapat. Apa yang kamu laksanakan tentulah hasilnya kamu yang merasai. Adalah suatu yang pelik apabila kamu yang melakukan kerja, hasilnya saya yang menikmatinya!” Begitulah fitrah kehidupan manusia.
Pahala dan dosa menjadi penentu nasib seseorang di akhirat kelak. Semua tercatat dalam buku amalan masing-masing. Sesiapa yang pahalanya (amal kebajikan) banyak baiklah balasannya, sesiapa yang dosanya (amal keji) banyak buruklah balasannya.
Seseorang tidak menanggung dosa orang lain, dan tidak pula menerima pahala daripada amal kebajikan yang tidak dilakukannya. Prinsip ‘sendiri buat sendiri tanggung’ meliputi semua orang tidak mengira zaman. Prinsip ini terus berlaku antara orang-orang yang masih hidup atau antara orang hidup terhadap orang mati. Prinsip ini juga berlaku antara mereka orang yang telah mati. . Prinsip al-Quran sangat mudah difahami berkaitan hal ini.
Maksud surah at-Tur:16 “Sesungguhnya kamu hanya diberi balasan atas apa yang kamu usahakan.” Ayat 21 pula “Kami tidak mengurangi sedikit pun pahala amal (kebajikan) mereka. Setiap orang terikat dengan apa yang dikerjakannya.”
Maksud surah Fusilat:46 “Barang siapa mengerjakan kebajikan maka (pahalanya) untuk dirinya sendiri dan barang siapa berbuat jahat maka (dosanya) menjadi tanggungan dirinya sendiri. Dan Tuhanmu sama sekali tidak menzalimi hamba-hamba-Nya.”
Maksud surah an-Najm:38-39 “Bahawa seseorang yang berdosa tidak memikul dosa orang lain. Dan bahawa manusia hanya memperoleh apa yang telah diusahakannya.”
Maksud surah al-Qasas;90 “Dan barang siapa membawa kejahatan, maka disungkurkan wajah mereka ke dalam neraka. Kamu tidak diberi balasan, melainkan (setimpal) dengan apa yang telah kamu kerjakan.”
Maksud surah al-Isra:15 “Barang siapa berbuat sesuai dengan petunjuk (Allah), maka sesungguhnya itu untuk (keselamatan) dirinya sendiri, dan barang siapa tersesat maka sesungguhnya (kerugian) itu bagi dirinya sendiri. Dan seseorang yang berdosa tidak dapat memikul dosa orang lain, tetapi Kami tidak akan menyiksa (seseorang/kaum) sebelum Kami mengutus seorang rasul.”
Maksud surah Fatir:18 “Dan orang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain. Dan jika seseorang yang dibebani berat dosanya memanggil (orang lain) untuk memikul bebannya itu, tidak akan dipikulkan sedikit pun meski (yang dipanggilnya) kaum kerabatnya.”
Maksud surah al-Baqarah:48 “Dan takutlah kamu pada hari (ketika) tidak seorang pun dapat membela orang lain sedikit pun. Sedangkan syafaat dan tebusan apa pun daripadanya tidak diterima dan mereka tidak akan ditolong.”
Maksud surah al-Baqarah:141 “Itulah umat yang telah lalu. Baginya apa yang telah mereka usahakan dan bagimu apa yang telah kamu usahakan. Dan kamu tidak akan diminta (tanggung jawab) tentang apa yang dahulu mereka kerjakan.”
Maksud surah al-Baqarah:281 “Dan takutlah pada hari (ketika) kamu semua dikembalikan kepada Allah. Kemudian setiap orang diberi balasan yang sempurna sesuai dengan apa yang telah dilakukannya, dan mereka tidak dizalimi (dirugikan).”
Itulah beberapa ayat Allah sebagai pegangan hidup muslim untuk penentuan nasib selepas mati. Ayat-ayat Allah dalam al-Quran begitu mudah difahami sama ada oleh yang berpelajaran tinggi atau rendah.
Maksud surah al-Qamar:17 (dan 22) “Dan sungguh, telah Kami mudahkan al-Quran untuk peringatan, maka adakah orang yang mahu mengambil pelajaran?”
Semoga orang-orang yang mengambil pelajaran tidak akan berangan-angan bahawa kelak setelah kematiannya dia akan ditolong melalui kiriman pahala atau dosanya akan ditanggung (atau dibersihkan) pula oleh orang-orang yang masih hidup. Wallahuaklam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan