Usaha-usaha tajdid atau islah ini ialah pergerakan untuk lebih mendekatkan lagi masyarakat Islam terhadap ajaran agama. Oleh kerana selama ini terdapat anggapan bahawa susah mahu mengamalkan ajaran Islam termasuk hal ibadah khusus, maka gerakan tajdid ini memberi penjelasan mengenai mudahnya konsep dan ajaran Islam, yang mampu diamalkan oleh para remaja zaman moden ini pun.
Tajdid bukan mencipta agama baru, tetapi memurnikan pada mana-mana amalan yang sudah tersasar daripada al-Quran dan sunah. Oleh itu asas tajdid adalah beragama dengan berilmu yang mengetahui dalil atau nas-nas daripada al-Quran dan sunnah.
Manakala liberalisme agama atau disebut Islam liberal merupakan pemberontakan terhadap penguasaan agama oleh birokrat agama. Gerakan liberalisme agama bukan mendekatkan umah kepada dalil-dalil al-Quran dan sunnah, malah menjauhkan atau mengambil mana-mana aspek yang sesuai dengan prinsip liberal mereka. Gerakan Islam Liberal ini kerap mengkritik penguasaan kaum lelaki terhadap wanita seperti dalam hal talak perkahwinan, poligami dan pembahagian harta pusaka. Dengan memberi hujah peredaran zaman dan budaya, maka mereka menilai sendiri ayat-ayat al-Quran supaya antara lelaki dan perempuan menjadi setara.
Pihak yang menjadi sasaran gerakan tajdid dan Islam liberal sememangnya pemikiran feudal dan institusi agama Islam yang telah terlembaga dalam adat Melayu. Oleh kerana ada persamaan kritikan yang daripada gerakan tajdid dan Islam liberal, maka pihak pemikiran tradisional menyamakan sahaja gerakan tajdid dan gerakan Islam liberal. Bagi golongan ini, kedua-dua gerakan menjadi ancaman status-quo beratus tahun. Mereka dalam keadaan defensif dan kerap menggunakan senjata mempertahankan konsep Ahli Sunnah wal Jamaah (AWSJ). Dengan istilah AWSJ yang dibantu lembaga-lembaga agama, mereka memang sedang menerangkan (atau mempropaganda) kebejatan gerakan tajdid. Masa akan menentukan ke manakah umah akan pergi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan