TAHUN 2001 timbul isu graduan Pengajian Islam tidak mempunyai kemahiran lain selain bab agama (baca akidah dan ibadah). Ini bererti kemahiran para ustaz dan ustazah hanya bercakap dalam bab agama dengan keupayaan tambahan (barangkali) bahasa Arab. Situasi ini menjejaskan persaingan mereka dalam bidang pekerjaan. Adakah keadaan sudah berubah?
Sepupu saya masih dalam pengajian Islam di UM dan sekarang dalam masa cuti sengaja belajar menghafal al-Quran di sebuah pusat tahfiz di Kelantan. Daripadanya saya mendapat maklumat mengenai program tahfiz di sana . Ada kira-kira 30 murid berusia antara 8 hingga 18 tahun di sana yang dikendalikan oleh seorang ustaz sahaja. Mereka dikenakan yuran untuk pengurusan tempat tinggal. Maklumat lain ialah mereka hanya menghafal al-Quran, tidak ada pelajaran lain sekalipun bahasa Arab, apatah lagi bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Tetapi saya yakin, oleh kerana itu pusat tahfiz maka pasti ada juga pelajaran fardu ain sekalipun tidak ada kurikulum khas mengenainya. Parahlah nanti seorang hufaz bergelar ustaz tak tahu bab fardu ain.
Perhatikan juga kebanyakan pusat pengumpulan untuk pendidikan anak-anak yatim milik swasta berorientasikan tahfiz al-Quran. Lihat iklan-iklan mereka di akhbar dan masjid.
Di kampung saya juga ada pusat tahfiz yang diusahakan oleh seorang tokoh politik tempatan. Hanya anak-anak yatim yang dibenarkan berada di pusat ini. Daripada penjelasan ustaz yang menguruskan pusat ini, hanya program menghafal al-Quran diberikan, tanpa pelajaran akadmik lain seperti di sekolah kebangsaan. Bolehkah kita berfikir dengan adil mengenai perkara ini?
Objektif pusat tahfiz ialah melahirkan sebanyak mungkin anak muda yang menghafal al-Quran 30 juzuk. Selepas disahkan menjadi hufaz 30 juzuk tanpa kemahiran lain sekalipun bahasa Arab dan Melayu, ke manakah tuju hala mereka.
Sekarang ini memang belum ada statistik yang menerangkan sejelas-jelasnya peratusan aliran pendidikan yang diterima oleh anak-anak Melayu. Sejauh mana nisbah mereka yang belajar agama dengan jumlah penduduk muslim yang kira-kira 17 juta orang ini. Pada waktu yang sama masyarakat Melayu masih jauh daripada mencapai keupayaan intelektual dalam bidang sains dan teknologi. Anak-anaklah yang akan mengisi semua ruang ini pada masa depan. Maka diharap pihak di universiti membuat penyelidikan mengenai keadaan ini supaya masalah masyarakat Melayu dapat juga diatasi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan