(foto hiasan)
Catatan 1: Pasukan B diasak oleh pasukan A dalam perlawanan bolasepak. Keadaan agak kucar-kacir di depan pintu gol pasukan B sehingga pemain hadapan juga turut membantu kubunya daripada dibolosi oleh lawan. Tiba-tiba bola ditendang ke kawasan pasukan A dan seorang pemain pertahanan pasukan B hampir-hampir berjaya menjaringkan bola ke gol lawan.
“Set balik!” jerit jurulatih pasukan B.
Mendengar arahan jurulatih, semua pemain pasukan B dengan pantas mengambil posisi masing-masing. Pemain pertahanan pasukan B dengan pantas berlari ke tempatnya sebagai pengemudi pertahanan, bukan penyerang.
Catatan 2: Parti politik XY telah lama memerintah sebuah negara. Ahlinya berjuta-juta dan kian lama banyak perkara buruk terjadi di samping memerintah negara. Timbul perdebatan bahawa tuju hala parti sudah terpesong daripada matlamat asal parti ditubuhkan dahulu. Dalam satu kongres khas semua perwakilan yang hadir bersetuju agar dasar dan matlamat parti dikembalikan kepada yang asal untuk mengelak parti menjadi alat segelintir manusia yang tamak mencari kekayaan.
Catatan 3: Encik Azman telah tujuh tahun menggunakan sebuah kenderaan MPV. Selama itu dia telah menempuh perjalanan sejauh 260,000 kilometer dan pernah menempuh dua kemalangan. Encik Azman merasa keretanya tidak seperti asal, semasa mula membelinya dahulu. Maka Encik Azman membawa keretanya ke bengkel seorang mekanik. Encik Azman mahu keretanya itu dibaiki, diganti mana-mana yang rosak supaya keadaannya kembali seperti asal, sewaktu dia membelinya tujuh tahun dahulu.
Sekadar tiga contoh di atas, mesej utamanya ialah setiap perkara ada titik mulanya. Dari titik mula itu, berlaku perubahan yang tidak disedari dan mewujudkan ketidaktentuan. Perubahan-perubahan ini memang menyimpang daripada dasarnya, maka untuk memurnikan semua contoh itu, caranya ialah mengambil dasar atau contoh yang asal.
Oleh itu jika ada seruan atau tajdid agar Islam ini mesti diset semua (reset) kepada yang asal iaitu ajaran al-Quran dan sunnah, bukan perkara ganjil. Islam telah menempuh masa yang panjang di pelbagai wilayah dan budaya. Tanpa disedari, dalam perjalanan yang panjang itu ada perubahan-perubahan yang dilakukan dan tidak menepati ajaran pada titik mulanya dahulu.
Misalnya ahli-ahli parti politik XY berhujah bahawa akhirnya ahli mesti mendapat faedah daripada parti, bukan parti yang mendapat faedah daripada ahli. Begitu juga dalam akidah dan ibadah Islam, kerana pengaruh pelbagai penjuru banyaklah yang tidak ada dalam ajaran al-Quran dan sunnah dikatakan juga sebagai ajaran Islam. Seperti ahli parti XY, umah juga mesti bersedia untuk kembali kepada prinsip yang asas, pada titik mula dahulu.
Ambil contoh ibadah haji. Ibadah haji sebenarnya satu syariat beribadah pada zaman Nabi Ibrahim. Sejak zaman baginda itu setiap tahun manusia melakukan ibadah haji di Makkah. Kerana perjalanan masa yang lama, berlaku penambahan dalam amalan haji oleh manusia sehingga yang menyembah berhala juga menunaikan haji. Maka pada zaman Nabi Muhammad, Allah telah memerintahkan nabi akhir zaman ini mengembalikan semula pelaksanaannya seperti zaman asal, titik mulanya. Maka bersihlah ibadah haji daripada gejala khurafat dan bid’ah.
Muhasabah diri, dan insaf untuk berada pada landasan yang sebenar adalah fitrah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan