Pengikut

Isnin, Mac 09, 2009

MEREKA hanya mahu 'mansuh PPSMI'


BUNYINYA Perdana Menteri seperti mengarahkan Kementerian Pelajaran menimbang desakan orang Melayu agar PPSMI dihapuskan. Kemudian semua menunggu Menteri Pelajaran membuat pengumuman mengenainya. Orang Melayu tidak menunggu berita PPSMI diteruskan, tetapi sanggup bersengkang mata untuk mendengar berita kerajaan mengumumkan PPSMI dihapuskan daripada system pendidikan negara.

Malangnya orang Melayu masih tercungap-cungap mencari berita itu. Sekalipun Menteri Pelajaran ada bercakap mengenai PPSMI, tetapi melencong ke sudut-sudut lain. Orang Melayu tidak mahu mendengar apa-apa selain ‘PPSMI akan dimansuhkan secepat mungkin’.

Hal ini bermakna orang Melayu tiada pilihan kecuali mahu PPSMI dihapuskan. Kehendak dan pendirian ini tidak salah kerana tidak menyalahi undang-undang. Malah sewaktu PPSMI mahu dipaksakan pada tahun 2003 dahulu, orang-orang Cina membantah. Orang-orang Cina banyak bersyukur bahawa bantahan mereka hanya dengan air liur saja, guna mulut dan kemudian dicatat dalam media. Dengan bantahan yang tidak berpeluh itu kerajaan menerima bantahannya dan tidak menggunakan sepenuhnya PPSMI di sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina.

Untuk orang Melayu menyuarakan bantahannya telah memakan kos yang tinggi. Malah kini sudah memasuki fasa kritikal apabila sudah terpaksa berdemontrasi di jalan raya, berdepan dengan gas pemedih mata dan tangkapan polis. Jelaslah orang Melayu sebenarnya tidak mahu memasuki frasa lebih dahsyat iaitu kehilangan nyawa hanya untuk mendapatkan hak pendididikan dalam bahasa Melayu. Sebab itulah orang Melayu kini tiada pilihan lain: PPSMI dimansuhkan.

Berdasarkan iklim dan respon kerajaan, nampaknya seperti belum bersedia memansuhkan PPSMI. Kementerian Pelajaran nampaknya lebih cenderung untuk meneruskan PPSMI. Oleh itu apa akan apabila kerajaan mengambil keputusan mengekalkan PPSMI. Apa akan jadi kepada kaedah penentangan PPSMI?

Apa yang akan dilakukan oleh warga emas Sasterawan Negara A Samad Said ketika itu?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan