Pengikut

Rabu, Mac 25, 2009

MELAYU pun ada holly water

MASIH lagi ceramah sempena Maulidur Rasul di mana-mana. Malam tadi saya datang ke sebuah masjid yang menampilkan penceramah yang hebat. Suaranya, gaya ucapannya cukup memukau khalayak. Maudhuk yang disampaikan oleh ustaz ini saya agak mudah difahami terutama yang remaja dan dewasa. Yang kanak-kanak, agak susah sebab arasnya tidak sesuai dengan mereka, namun banyak anak-anak berada dalam masjid.

Akhirnya ustaz memberitahu dia datang dengan beberapa orang untuk menjual air yang sudah dibacakan 30 juzuk alquran. Katanya air ini dianggap ada manfaat. Ertinya, meminum air suci ini tidak seperti minum air masak saja. Kismis yang telah dibacakan alquran pun dijual sama. Namun katanya lagi yang utama ialah pembelian air suci yang sudah dibotolkan bermakna satu sumbangan derma kepada pusat hafalan alquran yang diterajuinya.

Dengan sabda ustaz bahawa air suci (holly water) ini sudah dibacakan alquran oleh para hufaz, orang pun membeli air itu. Begitulah caranya orang agama mencari dana. Hendak mulakan bisnes barangan kilang, modalnya besar dan persainganya hebat. Oleh itu, pilihan yang ada ialah buat cara ritual ibadah dan kaitkan dengan bacaan ayat-ayat alquran. Seperti biasa cara ini dengan mudah dipercayai orang. Maka pasarannya seperti terjamin kerana budaya taklid orang beragama, yang hanya anggukkan kepala terhadap apa sahaja yang dihidangkan di depan atas nama agama.

Maka, jangan mengatakan holly water itu ada dalam kalangan penganut kristian sahaja, tetapi orang Melayu juga ada. Kalau tidak yang dibotolkan ini pun, pada setiap malam Jumaat ada orang buat holly water di masjid. Seri, di gereja ada holly water, di masjid pun ada holly water.

Benarkah Rasulullah dan para sahabat melakukan seperti itu sebagaimana yang dilakukan oleh pemimpin agama sekarang?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan