Oleh: Saiful Islam
PEMIKIRAN SAINTIFIK DAN SALAFI
Orientasi begini bersesuaian dengan seruan Salafi. Tiada urusan agama yang wajar diwarisi tanpa kefahaman. Agama tidak ditanam melalui doktrinisasi atau penguatkuasaan. Ia perlu dibahas, ia perlu dimatangkan. Masing-masing mengemukakan hujah dan dalil. Hujah tersebut juga dianalisa dan perlu sahih. Hasilnya, kita memilih yang paling tepat.
Perbahasan ini, bagi dunia sains kemanusiaan, adalah lanjutan latihan Dialektik oleh Socrates. Mungkin inilah punca, mengapa keterbukaan untuk menerima manhaj Salafi ini lebih mudah berlaku di kalangan orang sains berbanding dengan orang agama. Malah orang agama pula yang bertindak menjadi penghalang kepada gerakan pemurnian ini.
GOLONGAN AGAMA
Saya terdiam.
Tidakkah di era Pencerahan Eropah dahulu, golongan agama juga bertindak sama? Mereka menyindir golongan saintis yang menjadi pesaing. Malah di masa-masa yang golongan agama ini mempunyai kuasa pemerintah, mereka menghukum sahaja saintis yang menyeru ala Descartes itu.
“Raguilah segala tentang agamamu. Tanyakan semuanya semula. Jangan takut dengan keraguan itu kerana kita manusia yang ada upaya fikir. Fikir, mana-mana yang terbukti oleh logik fikir, ia benar. Mana-mana yang tahyul, doktrin buta dan misteri, tinggalkan sahaja”
Golongan agama tidak menyetujuinya. Ada saintis dihukum, golongan yang menuntut pembebasan dari kekeliruan agama ini dilabel sebagai anti keamanan dan pencetus kacau bilau. Istana segera mengguna kuasa. Pemerintah dan rakyat bertempur, golongan agama tersenyum di gereja.
PERBANDINGAN YANG PAHIT
“Prof., saya amat terganggu dengan hal ini. Tidakkah ini jawapannya kepada masalah umat Islam kebelakangan ini?”, saya bertanya kepada Profesor Abdullah al-Ahsan.
“Masalah yang mana?”, Prof meminta kepastian dari saya.
“Masyarakat Malaysia semakin sinis kepada golongan agama. Kumpulan Islam Liberal lebih-lebih lagi. Mereka sedang memerhati golongan agama, seperti masyarakat Eropah melihat kerenah paderi-paderi mereka dahulu”, saya meluahkan apa yang terpendam.
“Ia boleh jadi begitu, jika masyarakat Malaysia hari ini mendukung sistem nilai Eropah. Mereka menilai agama dan orang agama seperti Eropah menilainya”, kata Prof kepada saya.
Patutlah terlalu sukar untuk menyuruh suara-suara liberal ini tunduk menghormati ulama dan mufti. Apatah lagi para ustaz. Mungkin di mata golongan ini (saya pun sukar hendak menamakan mereka), para ustaz ini adalah pencacai agama! Mereka menilai para ustaz seperti ‘ustaz Kristian’ di Eropah. Kaki makan duit, ajar agama yang memundurkan, dan terlebih penting, terlalu rendah pemikiran ustaz ini sehingga mustahil untuk mereka faham tentang ketinggian nilai Moden a.k.a. Eropah ini.
Menjadi satu kekuatan kepada golongan liberal ini, dengan ramainya golongan ustaz yang tidak faham tentang Eropah, tidak tahu nilai Eropah dan tidak sekufu untuk bertanding menentang puak liberal ini. Kecerdikan golongan ini, ialah pada kejahilan seterunya.
(sambung ke bahagian 3)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan