Pengikut

Ahad, Mei 04, 2014

TAYAMUM sebagai hadiah daripada Allah

oleh: Hafiz Firdaus Abdullah

Salah satu kemudahan dan nikmat Allah kepada kita ialah tayamum. Tayamum disebut dalam al-Qur’an, dalam ayat 43 surah al-Nisa’ dan dalam ayat keenam surah al-Maidah. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman: Dan jika kamu sakit atau musafir atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air atau kamu sentuh perempuan, sedang kamu tidak mendapat air, maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah yang bersih, iaitu: Sapulah muka kamu dan kedua belah tangan kamu dengannya

Setelah mensyari’atkan tayamum, Allah mengakhiri ayat di atas dengan firman-Nya: Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan (kepayahan), tetapi Dia berkehendak membersihkan (mensucikan) kamu dan hendak menyempurnakan nikmatNya kepada kamu, supaya kamu bersyukur. [al-Maidah 5:06] 

Rangkap ayat yang terakhir ini amatlah penting. Ia menjadi sumber motivasi kepada kita untuk mempelajari tayamum dan mempraktikkannya. Ia seolah-olah sebuah hadiah daripada Allah dan siapakah yang tidak inginkan hadiah daripada Tuhan sekalian alam? Ia juga penting kerana apabila seseorang itu memahami tayamum sebagai satu kemudahan dan nikmat daripada Allah, dia tidak akan menokok tambah syarat-syarat yang akhirnya menjadikan tayamum satu kepayahan dan azab

Sebab-Sebab Untuk Tayamum

Ayat di atas menerangkan tiga sebab yang melayakkan seseorang itu menerima hadiah “tayamum” daripada Allah. Pertama, sakit. Kedua, musafir. Ketiga, ketiadaan air untuk membersihkan diri daripada hadas kecil dan hadas besar. Apabila Allah berfirman …kamu datang dari tempat buang air… maka ia adalah kiasan untuk buang air kecil atau buang air besar. Ia juga disebut sebagai hadas kecil. Apabila Allah berfirman …kamu sentuh perempuan… maka ia adalah kiasan untuk hubungan seks suami dan isteri. Ia juga disebut sebagai hadas besar. Berdasarkan kaedah qiyas (analogi), wanita yang berhenti dari haid dan nifas serta sesiapa yang bermimpi basah boleh juga menyucikan dirinya dengan tayamum jika tidak ada air untuk mandi wajib. Bahkan para ulama’ berkata, jika tidak ada air untuk memandikan jenazah, memadai dengan mentayamumkannya.

Sebagai maklumat lanjut, ingin dijelaskan bahawa terdapat perbezaan pendapat di kalangan para ilmuan Islam tentang bertayamum ketika sakit dan musafir. Pendapat Pertama berkata, seseorang yang sakit atau musafir hanya dibolehkan bertayamum jika ada halangan menggunakan air. Ini adalah pendapat kebanyakan (jumhur) ilmuan Islam. Pendapat Kedua berkata, seseorang yang sakit atau musafir memiliki pilihan untuk terus bertayamum tanpa mengambil kira faktor air. Ini adalah pendapat beberapa peneliti seperti Syaikh Shiddiq Hasan Khan dan Syaikh Yusuf al-Qaradhawi [Fikih Thaharah, ms. 336-338].

Maksud “Kamu Tidak Mendapat Air”

Di sini timbul persoalan, apakah keadaan-keadaan yang termasuk dalam kategori “tidak mendapat air” bagi melayakkan seseorang itu bertayamum? Jawapannya seperti berikut:
Pertama: Tidak ada air berhampiran dengannya. Ini berdasarkan hadis berikut: Abdullah ibn Umar berkata, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam baru selesai membuang air, lalu ada seseorang bertemu dengan baginda dekat perigi (yang digelar) Jamal dan dia mengucapkan salam kepada baginda. Namun baginda tidak menjawab salamnya sehinggalah baginda menemui tembok lalu meletakkan kedua tangannya pada tembok tersebut dan mengusap wajah serta kedua tangannya. Kemudian baru baginda menjawab salam orang tersebut.[Shahih Sunan Abu Daud, no: 280/331]

Merupakan kebiasaan Rasulullah untuk tidak menjawab salam apabila dalam keadaan hadas. Bagi menyucikan dirinya daripada hadis kecil, baginda pergi ke tembok terdekat dan bertayamum di sana. Berdasarkan hadis ini, kemudahan bertayamum adalah apabila tidak ada air berdekatan. Jika ada air, berwudhu’lah. Jika tiada air, bertayamumlah. Hadis di atas penting untuk diperhatikan kerana terdapat sebahagian pihak yang memberat-beratkan tayamum dengan mensyaratkan usaha keras mencari air, keadaan darurat dan menangguhkan solat hingga ke akhir waktu. Padahal dalam hadis di atas, baginda tidak berusaha mencari air, tidak mengalami apa-apa keadaan darurat dan tidak menangguhkan dirinya untuk bertayamum.

Kedua: Cuaca atau suhu air terlalu dingin atau terlalu panas. Ini berdasarkan hadis berikut: ‘Amr bin al-‘Ash berkata saat Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mengutusnya pada tahun Dzatu Salasil, Pada suatu malam yang sangat dingin saya mimpi basah, jika saya mandi maka saya bimbang akan jatuh sakit. Maka sayapun bertayamum kemudian solat Subuh berjamaah bersama sahabat-sahabatku. Saat kami menemui Rasulullah, maka sayapun menuturkan hal itu kepada baginda. Baginda bertanya: “Wahai Amru, apakah kamu solat bersama sahabat-sahabatmu sedangkan kamu dalam keadaan junub?” Saya menjawab: “Benar. Wahai Rasulullah, saya mimpi basah pada malam yang sangat dingin sekali, jika saya mandi saya bimbang akan jatuh sakit. Lalu saya teringat firman Allah: ‘Dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu’ [al-Nisa 4:29] Maka sayapun bertayamum dan solat.” Rasulullah tertawa dan baginda tidak berkata sesuatupun. [Musnad Ahmad, no: 17144/17812, sahih]

Dalam hadis di atas, seorang sahabat memiliki air untuk mandi wajib. Akan tetapi disebabkan cuaca yang terlalu dingin, dibimbangi ia akan membahayakan kesihatannya. Maka dia bertayamum dan Rasulullah tidak berkata sesuatupun. Seandainya perbuatan beliau bertayamum adalah salah, nescaya baginda akan segera menegur dan menyuruhnya mandi wajib seperti biasa. Berdasarkan hadis ini, dibolehkan bertayamum jika seseorang itu memiliki air namun cuaca atau suhu air adalah terlalu sejuk atau terlalu panas sehingga dibimbangi akan membahayakan kesihatan. 

Ketiga: Air diperlukan untuk kepentingan lain. Dibolehkan bertayamum jika seseorang itu memiliki air namun air itu sangat diperlukan untuk kegunaan lain, seperti minuman. Ini kerana air amatlah penting untuk pelbagai urusan manusia sehingga tanpanya boleh berlaku kehilangan nyawa. Allah telah berfirman: Dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu’ [al-Nisa 4:29] Di antara belas kasih Allah kepada hambanya ialah dibolehkan bertayamum dalam kes seperti ini.

http://hafizfirdaus.com/index.php/kolum-bulanan-mainmenu-110/daracom-mainmenu-121/cahaya-rohani-mainmenu-78/914-feb-2014-tayammum 


1 ulasan:

  1. Tayamum adalah salah satu kemudahan yang diberikan alloh SWT untuk bersuci sebagai pengganti air dengan syarat yang telah diajarkan dalam ilmu fiqih! jadi alloh SWT tidak pernah memberikan beban kepada umatnya dalam hal beribadah!.Terimakasih blog yang bagus dan banyak ilmu yang didapat bagi pembaca!

    BalasPadam