Pengikut

Khamis, Mei 15, 2014

SELAMAT Hari Guru: Saya di Darjah 1 Biru tahun 1971

PADA 10 Mei 2014 saya menyertai rakan-rakan yang pernah sama-sama satu sekolah rendah dan menengah. Lebih 35 murid tua mengenang kembali sewaktu mula masuk sekolah di darjah satu pada tahun 1971 dan menamatkan persekolahan Tingkatan Lima pada tahun 1981.  Maka kecoh dan hiruk pikuklah saat-saat pertemuan semula setelah puluhan tahun entah hidup di mana.

mereka sudah berusia 50 tahun

Dari kiri: Rosli Bakri, Khir Hj Ahmad, Ghazali, Razlan, Mustaffa Kamal,
Wosri dan Mohd Zaki

Saya kata kepada Nor Hasnah, “engkau kerap menangis semasa di Darjah Satu Biru.”

Rupa-rupanya dia sendiri tidak mengingati perilakunya itu sedangkan hampir semua yang menyimpan kenangan di Darjah Satu itu masih ingat dia kerap menangis. 

Kebanyakan kami tidak lagi mempunyai anak kecil yang masih berlampin, menandakan usia kami bukan lagi muda belia.

Antara kenangan yang tidak lupus di ingatan sewaktu di Sekolah Khir Johari (sekarang Sekolah Kebangsaan Khir Johari) ialah, guru kelas kami Satu Biru ialah Puan Rohaizad. Beliau mengajarkan Ilmu Hisab dan Bahasa Inggeris.  Yang mengajar Bahasa Melayu ialah Cikgu Ali yang kami (sekarang) masih kata dia memang garang. Kalau masuk saja cikgu Ali dalam kelas, terus Si Hasnah itu menelungkupkan mukanya atas meja, tanda bersedia menangis!

Zaman tahun 70-an desa-desa belum ada elektrik, tentulah tidak ada peti TV. Kalau dapat melihat TV di sekolah memang seronok.  Anak-anak pegawai kerajaan kalau bersekolah pagi isnin mesti membuat ulasan cerita Melayu di TV yang ditayang pada malam Sabtu yang lepas.  Saya tak tahu hujung pangkal kalau Si Halim, Saharuddin, Jalaludin dan Ghazali mengulas cerita di TV.  Lama-lama setelah zaman ada TV barulah saya ingat yang mereka bercerita mengenai P Ramlee ‘Antara Dua  Darjat’ . Patutlah Halim asyik menyebut ‘Ghazali, Ghazali, Ghazali…’.  Sekarang Ghazali menjadi pegawai pendidikan di Kuala Selangor.

Tahun 1976 ada tinju di KL antara Muhammad Ali dan Joe Bugner. Hari itu dewan di buka dan kami semua duduk di dewan sampai masa balik menonton siaran langsung tinju berkenaan.  Syoknya melihat tinju, saya membeli sarung tinju berwarna merah berharga RM3.50. Kalau tidak silap, Suhaimi Atan membeli yang berwarna biru. Memang pening kena di kepala!

Pakcik Jamal atau Jamal Mohamad yang terkenal dengan Rancangan Kanak-kanak di RTM pernah datang membuat rakaman di Sekolah Khir Johari semasa saya Darjah Empat.  Dia datang dua kali, sekali semasa raptai dan sekali semasa persembahan sebenar.  Skrip pembukaan memang serupa seperti yang selalu disiarkan dalam radio iaitu, “Dari Dewan Sekolah Khir Johari, kami mempersembahkan Taman Kanak-kanak.”

Kawan saya si Kamarudin bin Margilan dan Parves si mamak membuat persembahan silap mata. Nizam anak kepada kerani di sekolah membuat lawak. Oleh kerana kami sudah beberapa kali menengar lawaknya sebelum kedatangan Pakcik Jamal, kami tak berapa nak ketawa. Yang ketawa melihat lawak Nizam ialah orang luar. Sekarang Nizam Tahir menjadi guru pula di sekolah bekenaan.

Semasa di Darjah Lima, saya mendengar cerita Cikgu Subari menaiki kapal terbang ke Makkah menunaikan haji. Cikgu Subari tahu kami hanya melihat kapal terbang yang ada di angkasa. Maka dia menggayakan macam-macam untuk memahamkan kami keadaan kapal terbang itu. Waktu itu hanya orang berada saja yang ke Makkah menaiki kapal terbang. Orang biasa menggunakan kapal air.

Guru kelas saya di Darjah Enam ialah Cikgu Hakim Baharom. Kali terakhir saya bersua dengan beliau di Pejabat Pendidikan Selangor tahun 1990.

Hari ini antara kawan-kawan yang masih tinggal di Sabak Bernam ialah Nizam Tahir, Azmi Mashudi, Rabiah, Zakaria, Mohd Khir Hj Ahmad, S Natrah Shapiai, Mohd Zaki Jaafar, Tajudin (kembarnya Pakarudin), Mustapha Kamal Sanusi, Anidah, Nor Asma dan mungkin ada lagi, yang tidak dapat mengecamnya.  Yang sudah meninggal dunia pun ada, antaranya Rosnan dan Nor Azah Aziz.

Begitulah indahnya zaman sekolah.  Indah pada hari ini kerana mengikuti didikan guru selama menjadi murid sekolah.  Syukurlah, antara kumpulan kami yang sampai 3 kelas di sekolah rendah tidak ada yang menjadi penjenayah dan menghuni mana-mana penjara.  Tentulah guru-guru kami gembira jika mendengar khabar seperti ini.


Selamat Hari Guru!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan