SAYA tidak kaget dengan kesanggupan seseorang
membeli satu barang yang hanya untuk disimpan berharga RM satu juta! Banyak orang, maka banyak sikap dan
pemikirannya. Telah banyak berlaku barang yang kepada seseorang biasa tidak ada
nilai tetapi telah dibeli oleh seseorang dengan nilai tinggi yang tidak masuk
akal.
Ulama melelong tongkatnya - hanya hiasan |
Yang saya kaget ialah apabila orang kuat beragama bertindak seperti orang
kapitalis di Eropah mengenai barangan lelong.
Mengapa kaget? Selama ini hampir
semua pengajian agama yang saya lalui, pemberi ilmu mengkritik perbelanjaan
yang membazir. Terlalu banyak contoh
yang diberikan oleh para Tuan Guru, ustaz, ustazah atau penceramah termasuk
pakar motivasi. Mudahnya, buat apa
membeli sekotak mancis yang pernah dimiliki seorang penyanyi dengan harga
RM10,000.00. Terus terang, tidak ada guru-guru agama saya memberi lampu
hijau untuk anak-anak muridnya berbelanja begitu sekalipun punya pendapatan
bulanan puluhan ribu sebulan.
Kepada saya aneh apabila seorang ulama melelong
tongkatnya sehingga berharga RM15,000.00. Pembeli itu membeli tongkat kayu
seorang ulama semata-mata kecintaannya kepada ulama berkenaan. Dan ulama itu sendiri yang melelong
tongkatnya.
Maka selepas ini orang agama janganlah mengkritik
artis melelong berus gigi atau baju dalamnya sehingga bernilai ratusan ribu.
Ada manusia yang mencintai artis berkenaan sanggup membayar harganya. Seperti pembeli tongkat ulama yang tidak pun
mahu menggunakan tongkat itu sebab dia masih gagah, pembeli berus gigi dan baju
dalam artis pun bukan mahu menggunakannya.
Apa pun pembelian tetap dengan pembayaran. Kalau ikut apa yang kerap saya dengar, sah pembelian
itu satu pembaziran. Selama ini orang
agama tidak mengiktiraf pembelian seperti itu, sangat membazir.
Bagaimana jika untuk menderma? Jika niat untuk menderma, beri sajalah duit
puluhan ribu itu tanpa mendapat balasan apa-apa. Itulah yang selama ini difahamkan kepada
saya. Beli, tetap beli sekalipun
diselindung dengan perkataan takwa, iaitu derma.
Saya teringat kritikan Ustaz Mahmud Mat, penceramah
terkenal di Pahang semasa saya di Kuantan dulu.
Dia mengkritik orang muda belanja beribu ringgit membeli ekzos kereta,
semata-mata kepuasan diri dan mahu dilihat keretanya cantik – lain daripada
yang lain.
Membeli tongkat kayu yang pernah digunakan oleh
ulama juga kepuasan diri. Membeli baju
dalam artis juga untuk kepuasan diri.
Jadi, saya tertanya-tanya apa sebenarnya maksud ‘memadai’
dalam perbelanjaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan