Oleh: Abu Syu’aib (www.al-ahkam.net)
Secara
umumnya di Malaysia mazhab yang diikuti dalam fiqh ialah mazhab al-Syafie
sementara mazhab di dalam beraqidah ialah aqidah yang disebut sebagai
al-‘Asyairah yang disandarkan namanya kepada Imam Abul Hassan al-Asy’ari.
Namun adakah kita mengenali siapakah sebenarnya tokoh ini serta apakah aqidah yang sebenarnya yang dibawa oleh beliau. Dan adakah aqidah al-Imam al-Syafie ialah aqidah al-Asya’irah? Kebanyakkan umat Islam yang mengakui beraqidah dengan aqidah yang disandarkan kepada Abu Hassan al-Asy’ari tidak mengetahui iktiqad yang sebenar yang dipegang oleh beliau. Adakah aqidah yang menta’wil sifat-sifat Allah seperti sifat “Istiwa’ “yang dita’wil (diubah) menjadi Istaula (berkuasa) atau aqidah yang dibawa oleh para salafus soleh iaitu mengimani sifat yang dikhabarkan oleh Allah s.w.t. sendiri tentang diri-Nya dan apa yang dikhabarkan oleh Rasulullah s.a.w. tentang sifat-sifat Allah tanpa ta’wil (mengubah) takyif (tanya bagaimanakah) juga tidak tasybih (menyamakan) tidak juga ta’thil (menafikannya).
Sejarah ringkas Imam Abul Hassan al-Asy’ari
Secara
ringkas nama beliau ialah Ali bin Ismail bin Abi Basyar bin Ishak, Abu
al-Hassan dari keturunan sahabat nabi Abu Musa al-Asy’ari r.a. Beliau
dilahirkan pada tahun 260 H dan sebahagiannya menyebut 270 H. Masa kecil dan
mudanya dihabiskan di kota
Basrah. Kota
yang pada masa itu sebagai pusat kaum muktazilah dan tidak dapat dielakkan
beliau terpengaruh dengannya.
Seperti
yang ditulis oleh para ulama’ dalam kitab-kitab mereka menyatakan bahawa Imam
Abu Hassan al-Asy’ari telah melalui beberapa peringkat aqidah seperti berikut :
aqidah
Muktazilah yang kemudiannya bertaubat daripadanya. Beliau mendalami ilmu kalam
dan pemikiran muktazilah dari ayah tirinya Abu Ali al-Jubbaie.
Seterusnya
selepas keluarnya dari aqidah Muktazilah beliau telah mengisbatkan sifat
al-Aqliyyah yang tujuh iaitu Hayat,
Ilmu, Qudrat, Iradat, Sami’, Basar, Kalam. Beliau juga masih menta’wil
(mengubah) sifat-sifat khabariah yang disebutkan di dalam al-Quran seperti
muka, dua tangan, tapak kaki, betis dan lain-lain. Di dalam peringkat kedua ini
beliau mengikut metod atau cara Ibnu Kullab 240 H.
Pada
akhir hayatnya beliau kembali kepada aqidah ahlu Sunnah wal Jamaah iaitu
mengisbatkan semua sifat dengan tidak menentukan kaifiyat dan tidak
mentasbihkan (menyamakan) sifat-sifat Allah dengan makhluk, iaitu mengikut
jalan Salafus Soleh.
Al-Imam Al-Subki (771 H) di dalam “al-Tabaqat al-Syafieyyah
al-Kubra” halaman 347 menyatakan Imam Abu Hassan al-Asy’ari pada mulanya
berguru dengan Abu Ali al-Jubbai dan mengikutnya dalam aqidah Muktazilah.
Beliau berpegang dengan mazhab Muktazilah selama 40 tahun sehingga beliau
menjadi seorang Imam dalam Muktazilah. Tatkala Allah mengkehendaki untuk
menolong agama-Nya maka Allah menerangkan hatinya untuk mengikuti kebenaran.
Kemudian beliau duduk di dalam rumahnya selama 15 hari. Selepas itu beliau
keluar ke masjid Jami’ dan naik ke atas mimbar lalu berkata: “Wahai sekalian
manusia aku telah menghilangkan diri dari kamu seketika, aku telah mengkaji
sekian banyak dalil tetapi aku tidak merajihkan (melihat dalil yang tepat)
sesuatu pun. Aku pun memohon petunjuk daripada Allah untuk memberiku hidayah
kepada iktiqad (pegangan) yang telah aku tuliskan di dalam buku-bukuku ini. Dan
aku telah meninggalkan kesemuanya apa yang telah aku beraqidah dahulunya
(muktazilah) seperti mana aku menanggalkan jubahku ini”. Maka beliaupun menanggalkan
jubahnya lalu dibuangnya. Setelah itu beliau telah mempertahankan apa yang
telah beliau tulis mengikut mazhab ahli Sunnah wal Jamaah.
Al-Imam Ibn Kathir (774 H) di dalam “al-Bidayah wa al-Nihayah”
jilid 11 halaman 139 menukilkan dari Ibn Khalikan menyatakan bahawa Abu Hassan
al-Asy’ari pernah duduk di dalam majlis syeikh Abi Ishaq al-Marwazi, dan Imam
al-Asy’ari adalah muktazilah kemudian dia telah bertaubat daripadanya di atas
mimbar Jami’ al-Basrah sambil menyebutkan keburukan dan kesalahan muktazilah.
Aqidah dan pendirian al-Imam Abu al-Hassan al-Asy’ari “di
manakah Allah”
Di
sini kita akan lihat apakah aqidah sebenar yang dipegang oleh beliau. Adakah
aqidahnya menyatakan Allah wujud tidak bertempat? Adakah beliau mentakwil
sifat-sifat Allah seperti yang didakwa oleh sebahagian pihak yang menisbahkan
diri mereka kepada Imam al-Asy’ari. Adakah aqidah “Allah berada di mana-mana
atau Allah wujud tidak bertempat” merupakan Aqidah Ahli Sunnah wal Jamaah atau
Aqidah Muktazilah?
Di
dalam Kitabnya al-Ibanah an Usuli al-Diyanah halaman 14, Imam Abul Hassan
sendiri menyatakan tentang aqidahnya:
“Pendapat kami dan agama yang kami berpegang dengannya
ialah berpegang teguh dengan kitab Tuhan kami dan Sunnah nabi kami a.s. dan
apa yang diriwayatkan daripada sahabat-sahabat , tabi’in serta imam-imam hadith.
Juga berpegang dengan apa yang dibawa oleh Abu Abdillah Ahmad bin Muhammad
bin Hanbal, mudah-mudahan Allah terangkan wajahnya dan mengangkat darjatnya
serta memperbanyakkan pahalanya. (kerana pada waktu itu Imam Muhammad bin
Hanbal terkenal sebagai Imam ahlu al-Sunnah wal Jamaah). Dan kami menyalahi
(tidak bersetuju) perkataan yang menyalahi perkataan beliau. Kerana beliau
adalah Imam yang utama, pemimpin yang sempurna yang Allah menerangkannya dengan
kebenaran dan mengangkat kesesatan, menegaskan manhaj dan membanteras bid’ah
dan membanteras penyimpangan yang dilakukan orang-orang sesat serta keraguan
yang disebarkan oleh mereka yang ragu-ragu”.
Daripada
kata-kata beliau kita mengetahui bahawasanya beliau pada aqidahnya ialah aqidah
Ahlu Sunnah wal Jamaah sepertimana Imam yang diikutinya iaitu Imam Ahmad bin
Hanbal. Apakah aqidah Imam Ahmad terhadap persoalan di mana Allah.
وقال
الإمام أحمد بن حنبل رحمه الله في كتاب الرد على الجهمية مما جمعه ورواه عبد الله
ابنه عنه. (باب بيان ما أنكرت الجهمية أن يكون الله على العرش). قلت لهم: أنكرتم
أن يكون الله على العرش، وقد قال: ]الرحمن على العرش استوى[ (طه:5)؟ فقالوا: هو
تحت الأرض السابعة، كما هو على العرش وفي السموات وفي الأرض. فقلنا: قد عرف
المسلمون أماكن كثيرة ليس فيها من عظمة الرب شيء، أجسامكم، وأجوافكم، والحشوش،
والأماكن القذرة، ليس فيها من عظمته شيء، وقد أخبرنا عزوجل أنه في السماء، فقال
تعالى: ] أأمنتم من في السماء أن يخسف بكم الأرض فإذا هي تمور (16) أم أمنتم من في
السماء أن يرسل عليكم حاسبا[ الملك:16-17. ] إليه يصعد الكلم الطيب والعمل الصالح
يرفعه[ فاطر: 10. ]إني مُتَوَفِّيْكَ وَرَافِعُكَ إلَيَّ[ آل عمران:55. ]بل
رَّفَعَهُ اللهُ إلَيْهِ[ النساء:158. ]يخافون ربهم من فوقهم[ النحل:50. فقد أخبر
سبحانه أنه في السماء.
Maksudnya:
Imam Ahmad bin Hanbal berkata di dalam kitab yang
mengkritik kelompok Jahmiyyah (menafikan sifat bagi Allah) yang dihimpun dan
diriwayatkan oleh anaknya Abdullah darinya: (Bab pada menerangkan pengingkaran
kelompok Jahmiyyah terhadap sifat Istiwa‘ Allah di atas Arasy-Nya.) Aku (Imam
Ahmad) berkata kepada mereka (jahmiyyah): ”Kamu telah mengingkari bahawasanya
Allah itu beristiwa‘ di atas Arasy-Nya?” Sedangkan Allah berfirman yang
bermaksud “Al-Rahman beristiwa‘ di atas Arasy” surah Thoha:5. Lalu mereka
berkata (Jahmiyyah): “Dia yakni Allah di bawah 7 lapisan bumi, sepertimana Dia
di atas Arasy juga berada di langit dan di bumi”.
Imam Ahmad berkata: orang-orang Islam mengetahui di sana
terdapat banyak tempat yang tidak sedikitpun melambangkan keagungan Allah,
seperti di dalam jasad-jasad kamu, tempat-tempat kotor dan sebagainya. Allah
s.w.t. telah menyatakan tentang dirinya kepada kita iaitu di langit,
Allah berfirman seperti yang dinyatakan di atas surah al-Mulk: 16-17, surah
al-Fathir:10, surah Ali Imran: 5, surah al-Nisa‘ :158, dan surah al-Nahl:50,
semuanya menyatakan Maha Suci Allah berada di atas langit-Nya.
Maka
begitulah aqidah Imam Abu al-Hassan seperti yang dinyatakan di dalam
kitab-kitabnya bahawasanya Allah itu di atas langit-Nya beristiwa’ di atas
Arasy.
Beliau
berkata di dalam Kitabnya (الإبانة عن أصول الديانة) al-Ibanah an Usuli
al-Diyanah halaman 15-16:
“Dan sesungguhnya Allah beristiwa’ di atas Arasy-Nya
sepertimana yang difirmankan oleh Allah surah Thoha ayat 5 yang bermaksud:
Al-Rahman beristiwa’ di atas Arasy”
Beliau
tidak mentakwilkannya (mengubah kepada makna lain) kepada Istaula atau Qahara
yang membawa maksud berkuasa seperti mana golongan Asya’irah mengubahnya. Mereka
menyatakan Allah di mana-mana dan sebahagiannya memperjuangkan Allah
wujud tidak bertempat yang kedua-duanya adalah aqidah Muktazilah, yang
beliau telah bertaubat daripadanya.
Beliau
juga menjelaskan aqidah ahli sunnah wal jammah yang telah diijmakkan oleh para
ulamak di dalam kitabnya (رسالة إلى أهل الثغر) “Risalatun Ila Ahli
al-Thaghar” halaman 232:
الإجماع
التاسع : وأنه تعالى فوق سمواته على عرشه دون أرضه، وقد دل على ذلك بقوله: ]
أأمنتم من في السماء أن يخسف بكم الأرض[ وقال ] إليه يصعد الكلم الطيب والعمل
الصالح يرفعه[ وقال ] الرحمن على العرش استوى[ وليس استواءه على العرش استيلاء كما
قال أهل القدر.
Maksudnya:
Ijmak yang ke sembilan: “Sesungguhnya Allah Ta’ala di atas
langit-langit-Nya di atas Arasy-Nya bukan di bumi, dalil menunjukkan yang
demikian itu firman Allah surah al Mulk ayat 16 yang bermaksud: Apakah kamu
merasa aman terhadap Allah yang dilangit bahawa dia akan melenyapkan bumi
bersama kamu sehingga dengan tiba-tiba bumi itu bergoncang? Dan firman Allah
surah Fathir ayat 10 bermaksud “Kepadanyalah naik perkataan-perkataan yang baik
dan amal yang soleh dinaikkan-Nya. Dan firman Allah surah Thoha ayat 5 yang
bermaksud: Al-Rahman beristiwa’ di atas Arasy”. Dan bukanlah yang
dimaksudkan dengan Istiwa’ itu Istila’ (berkuasa) seperti yang dikatakan ahli Qadar.(Qadariyyah)
Kenyataan Imam Abu al-Hassan al-Asy’ari bahawasanya aqidah
Allah berada di mana-mana atau Allah wujud tanpa bertempat ialah aqidah
Muktazilah .
Ini
seperti yang disebut olehnya sendiri di dalam kitabnya (مقالات الإسلاميين
والختلاف المصلين) “Maqalat al-Islamiyyin wa Ikhtilaf al-Musollin” jilid
1. halaman 236:
اختلف
المعتزلة في ذلك، فقال قائلون: البارئ بكل مكان، بمعنى أنه مدبر لكل
مكان...والقائلون بهذا القول جمهور المعتزلة أبو هزيل والجعفراني والإسكافي ومحمد
بن عبد الوهاب الجبائي. وقال قائلون: البارئ لا في مكان، بل هو على ما لم يزل. وهو
قول هشام الفوطي وعباد بن سليمان وأبي زفر وغيرهم من المعتزلة. وقالت المعتزلة في
قول الله عزوجل (طه: 5) ]الرحمن على العرش استوى[ يعني استولى.
Maksudnya:
Muktazilah telah bercanggah pendapat dalam masalah ini.
Berkata sebahagiannya (iaitu) Allah berada di mana-mana bermaksud
mentadbir di setiap tempat. Pendapat ini dipegang oleh jumhur Muktazilah,
Abu Huzail, al-Ja’farani, al-Iskafi dan Muhammad bin Abdul Wahab al-Jubbaie. Sebahagian
pula berkata Allah tidak bertempat. Pendapat ini ialah pendapat Hisyam
al-Fuwathi, Abbad bin Sulaiman, Abi Zufar dan yang lainnya di kalangan
muktazilah. Muktazilah berpendapat perkataan Istiwa’ di dalam Firman
Allah surah Thoha ayat 5 yang bermaksud Al-Rahman beristiwa’ di atas Arasy
ialah bermaksud Istaula iaitu berkuasa.
Begitulah
secara ringkas tentang aqidah Imam Abu Hassan al-Asy’ari yang dapat dinyatakan
di sini, semoga apa yang dinyatakan di sini dapat membuka minda kita untuk
mempelajari dan mendalami aqidah yang sahih yang berpandukan kepada al-Quran
dan Sunnah nabi s.a.w.
tamat
Tiada ulasan:
Catat Ulasan