DARI jauh saya diberitahu ada ahli keluarga yang tinggal di asrama melanggar peraturan asrama sekolahnya. Ada lebih 10 orang pelajar perempuan yang diminta supaya terus pulang ke rumah sebaik sahaja tamat menduduki peperiksan. Maka bergegaslah ahli-ahli keluarga mereka sekalipun jauhnya dari rumah ke sekolah itu ada yang melebihi 300 kilometer, demi mematuhi arahan Tuan Pengetua sekolah berkenaan untuk mengambil anaknya sepantas mungkin. Saya bersetuju kerana faham itu adalah hak dia atas nama jawatan berkenaan.
Jika alasan pihak sekolah berkenaan bahawa perbuatan yang dilakukan oleh pelajar-pelajar berkenaan boleh mendatangkan bahaya, maka saya pun setuju 100 peratus. Bersyukurlah adanya seorang penjawat awam yang sangat bertanggung jawab. Maklumlah, zaman sekarang ada sedikit hal sahaja akan berpanjangan ke mahkamah.
Saya sebenarnya tahu juga bahawa di sekolah itu ada segelintir pelajar perempuannya yang muslim tidak memakai jilbab (orang kampung saya kata tudung kepala). Sayang sekali dengan kuasa dan pengaruh jawatan sebagai penjawat awam yang begitu tinggi tidak digunakan untuk mendakwah anak-anak bangsa muslim agar memakai jilbab. Kalau ada yang berkata sebenarnya tidak ada Pekeliling Kementerian Pelajaran mewajibkan pelajar muslim berjilbab, itu pun saya setuju. Sama juga tidak ada pekeliling daripada kementerian berkenaan mengenai larangan mengumpat dan berdusta di kawasan sekolah atau asrama. Jika pelajar perempuan dibenarkan bersifat ‘free hair’ atas alasan ‘tidak ada pekeliling’, maka adakah dibiarkan jika ada budaya mengumpat dan berdusta dalam kalangan pelajar-pelajar?
Sebagai muslim, peluang untuk menyampaikan kebenaran Islam terbuka luas. Peluang mendakwahkan ajaran al-Quran dan sunnah kepada pelajar-pelajar lebih terbuka luas sebab alam persekolahan adalah alam pendidikan. Pendidikan adalah proses pembinaan insan. Nak bina insan jadi apa? Tidak ada jawaban lain, selain ‘membina insan beriman kepada Allah dan rasul-Nya’.
Jika tidak ada pekeliling pun, dalam al-Quran telah jelas mengenai kewajiban menutup aurat dan melabuhkan pakaian (Surah an-Nuur:31). “Dan katakanlah kepada para perempuan beriman agar mereka menjaga pandangannya, dan memelihara kemaluannya, dan janganlah menampakkan perhiasannya (auratnya) kecuali yang terbiasa terlihat. Dan hendaklah mereka menutupkan kain kerudung ke dadanya dan janganlah menampakkan (auratnya) kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, ayah mentua mereka, atau anak-anak lelaki mereka, atau anak tiri lelaki mereka, atau adik-beradik lelaki mereka, atau anak-anak saudara yang lelaki, atau perempuan sesama muslim mereka, atau hamba sahaya (lelaki) mereka, atau pelayan tua di rumah mereka yang tidak bernafsu (terhadap perempuan) atau anak-anak yang belum faham aurat perempuan. (hingga akhir ayat)”
Kalau dibuka hadis nabi, kita akan menemui pula amaran (sebenarnya bahaya) kepada orang yang mampu melaksanakan perintah Allah tetapi sengaja buat-buat tidak faham.
Begitulah keciciran antara kita memahami bahaya. Apabila ada perbuatan yang disangka akan mendatangkan bahawa seperti kecederaan atau kematian, maka kita sangat sibuk menanganinya. Walhal bahaya sebenarnya adalah ‘balasan buruk’ di akhirat sana. Dalam kita begitu menyatakan beriman kepada Hari Akhirat, kita masih gagal berusaha menghindarkan anak-anak kita daripada dilahap bahaya di akhirat sana.
Maafkan saya kerana menulis hal remeh-temeh ini. Sesetengah orang tidak kisah bab ini sebab dikatakan masalah ranting, bukan perkara pokok dalam agama. Beberapa tahun lalu ada orang besar mengatakan soal jilbab perempuan (tutup aurat) adalah hal kecil yang tidak perlu dibesar-besarkan. Oh, mungkin Tuan Pengetua yang saya maksudkan berfahaman demikian. Tak apalah, sama-sama kita berfikir sebab ‘pencungkil gigi’ pun perkara kecil dalam hidup tetapi ada kilang pembuatnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan