Pengikut

Ahad, Disember 11, 2011

"MIKROFON adalah bid'ah..."

“MIKROFON adalah bid’ah sebab itu benda baru yang tidak digunakan oleh Nabi s.a.w.”  Itu adalah penjelasan Tuan  Guru yang mengajar agama kepada kami warga desa setiap malam Rabu.  Beliau menyatakan ayat itu sebagai penjelasan kepada maksud bid’ah hasanah.  Sebelumnya beliau juga membacakan hadis nabi yang bermaksud “Sesungguhnya sebaik-baik  ucapan adalah Kitabullah (al-Quran) dan sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad (as-Sunah).  Seburuk-buruk perkara adalah yang diada-adakan (bid’ah), dan setiap yang diada-adakan adalah sesat.” (Riwayat Muslim).

Daripada itu kami faham  banyaklah bid’ah seperti kereta, komputer, dapur gas dan segala macam benda atau perkara yang tidak ada pada zaman nabi tetapi semua itu ada pada hari ini.


Izinkan saya berbeda pendapat dengan beliau mengenai maksud bid’ah.  Saya merujuk buku Bid’ah Hasanah Tokok Tambah Amalan Rasulullah (2008), oleh Mohd Yaakub Mohd Yunus.  Penjelasan bid’ah dalam buku berkenaan juga tidak berbeda dengan apa yang saya pelajari di Maahad Ittiba us Sunnah Kuala Pilah pada tahun 1980-an dahulu.

Mudahnya maksud bid’ah ialah perkara baru, yang tidak ada pada zaman nabi maka dibuat oleh orang zaman setelahnya.  Sebab itulah ada yang menyatakan mikrofon dan komputer adalah bid’ah.  Oleh kerna benda-benda baru itu sangat diperlukan dalam hidup tetapi ada konflik apabila menggunakannya kerana benda baru itu sesat, maka benda-benda baru itu dilabel sebagai bid'ah hasanah!  Begitulah yang difahamkan kepada kami.


Ada pendapat lain yang dirasakan lebih tepat mengenai maksud bid'ah yang Nabi s.a.w. sebut sebagai amalan sesat dan tidak berguna satu sen pun di sisi Allah.  Bid'ah ialah rekaan baru dalam agama sahaja, bukan hal keduniaan.  Rekaan baru ibadah ini dilakukan semata-mata untuk lebih bertaqarub atau mendekatkan diri kepada Allah.  Misalnnya seseorang menambah rakaat dalam solat Subuh (akal mengatakan ini bagus) untuk menambah martabat beribadah kepada Allah.

Menurut Imam as-Syatibi dalam kitab al-I’tisom, "bid’ah merupakan jalan yang direka-reka dalam urusan agama (bukan keduniaan seperti mikrofon-penulis) yang menyerupai syariah.  Tujuan mengamalkannya untuk berlebihan dalam mengabdi diri kepada Allah s.w.t. "  

Hal bid’ah sebagai amalan baru dalam agama yang sia-sia dan bukan hal keduniaan seperti peralatan hidup (keduniaan) boleh dilihat dalam hadis di bawah.

Menurut A’isyah isteri Rasulullah s.a.w bahawa baginda nabi bersabda (maksudnya) “Sesiapa yang mengada-adakan dalam urusan kami (agama) perkara yang tidak terdapat padanya, maka ia tertolak. (Riwayat al-Bukhari)

Maksud sabda Nabi s.a.w “Jika sesuatu itu termasuk urusan dunia kamu maka uruslah ia.  Jika ia merupakan urusan agama kamu, maka rujuklah kepadaku.” (Riwayat Ibn Majah)

Lagi maksud sabda Nabi s.a.w menurut Anas bin Malik. “Kamu lebih tahu hal ehwal dunia kamu.” (Riwayat Muslim).

Oleh itu mudah difahami  urusan dunia seperti mikrofon itu urusan dunia yang dibenarkan ada dan menjadi keperluan manusia.  Kita boleh meneroka sejauh mungkin ilmu keduniaan (bukan dalam kesesatan di sisi Allah), tetapi urusan agama wajib dirujuk kepada Nabi s.a.w.   dan tidak boleh ditokok-tambah.  Tokok tambah agama itulah bid'ah yang sesat, yang membawa ke neraka. Maknanya, hal agama tidak boleh diteroka berdasarkan R&D sebagaimana urusan sains dan teknologi.

Contoh bid’ah, saya turunkan apa yang ditulis oleh Ustaz Zaharuddin  Abd. Rahman dalam buku Formula solat sempurna (2008), mengenai pembacaan niat sebelum solat, “Usalli fardhal………lillaahi ta’ala.”  Bacaan "usalli...." sebelum solat jelas amalan agama bukan hal dunia.  Kata Zaharuddin (ms 32) “Bagi mereka yang mengamalkan ‘lafaz niat’ janganlah tersilap sangka bahawa ia adalah kewajiban.  Adapun tentang anggapan bahawa amalan itu sebagai bidaah, maka penulis (Zaharuddin) bersama Syeikh Atiyyah Saqar tidak bersetuju dalam menganggapnya bidaah kerana ia ialah suatu perbuatan sebelum bermulanya solat, iaitu di luar solat.  Bidaah ini ialah mencipta ibadah yang terkeji. Maka dalam lafaz niat ini, ia  dilakukan sebelum solat bermula.  Namun ia boleh menjadi kesalahan atau bidaah jika terdapat individu yang mengatakannya wajib atau kemestian dan batal solat tanpa lafaz niat.”

Wallahu aklam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan