Pengikut

Ahad, Disember 04, 2011

SAAT bangsa kulit putih bersatu, muslim berpecah-belah


MEMANG sedang berlaku krisis politik antara Iran dengan Britain.  Sama ada ini hanya lakonan atau benar-benar konflik Asia-Eropah, kurang pasti sebab namanya pun krisis politik. Politik bukan boleh dibuat satu ketetapan seperti ketetapan mahkamah. Di balik suatu isu politik, beribu-ribu perkara rahsia berlaku berkaitan dengannya.

Yang menarik untuk difikirkan oleh umat Islam ialah mengenai bersatunya dunia Eropah dalam mengharungi arus globalisasi.  Apabila Britain memanggil dutanya di Tehran pulang ke London, negara Perancis, Jerman, Belanda dan Itali juga memanggil pulang duta-duta mereka dari Tehran.  Negara-negara berkenaan bertindak demikian kerana menyokong Britain berhadapan dengan Iran.  Soal EU akan menambah sekatan ekonomi dan kewangan Iran, itu sudah pasti!

Ironis situasi ini ialah negara-negara Eropah merupakan pencetus dua peperangan moden yang membunuh berpuluh-puluh juta jiwa. Kerna semangat nasionalisme yang menyengat Jerman menyerang Perancis dan Belanda, selain bermusuh dengan Britain dalam Perang Dunia Pertama.  Dalam Perang Dunia kedua pula Britain bersama Perancis melawan Jerman dan Itali.  Bukanlah lama sangat jarak antara tahun 2011 ini dengan 1939-45 itu!  Namun sekarang Britain, Perancis, Jerman dan Itali boleh menggembleng tenaga untuk bersama-sama mengunggulkan bangsa kulit putih Eropah.  Kesatuan Eropah (EU) itu sendiri merupakan bukti yang bangsa Eropah boleh melupakan konflik berdarah jutaan jiwa untuk rasional mengenai cabaran masa depan.  Bolehkah orang yang mendakwa Islam sebagai agama kesatuan berfikir dan bergerak menyamai bangsa Eropah itu.

Di Malaysia, jumlah umat Islam daripada 28 juta penduduk ialah 61.3 peratus. Yang lain seperti Kristian hanya 9.2 peratus manakala Hindu lagi kecil iaitu 6.3 peratus. Dengan peratus penganut agama terbesar sepatutnya umat Islam gagah dan disegani oleh semua penganut agama lain.  Dengan kedudukan ‘Islam sebagai Persekutuan’ dalam Perlembagaan, 9 orang Sultan sebagai ketua Agama Islam negeri masing-masing, setiap negeri ada Jabatan Agama Islam Negeri dan Majlis Agama Islam, adanya Jakim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti Sains Islam Malaysia, ratusan sekolah berorientasikan Islam, dan segala macam institusi Islam sepatutnya kedudukan Islam dan umatnya sangat gagah.  Nah, mengapa umat Islam mengeluh sekarang?

Jawabnya, kita utamakan hawa nafsu dan tinggalkan wahyu Allah.  Seruan Allah dalam al-Quran surah al-Hujurat sangat menarik dan menginsafkan tetapi itu hanya hiasan bacaan.  Apabila berdepan dengan kepentingan politik, ketepikan surah al-Hujurat itu.

Ini bukan bermakna bangsa-bangsa di Eropah menghayati surah al-Hujurat dalam al-Quran.  Sebenarnya seruan al-Quran merupakan seruan fitrah manusia yang dijadikan oleh Allah.  Maka tidak hairan bahawa bersatu padu sesama bangsa atau agama merupakan fitrah.  Fitrah itulah yang menjadi asas kesatuan di Eropah, kemudian faktor rasional mereka menghadapi ancaman dari Amerika, Russia dan China.  Maka bangsa-bangsa yang asalnya berbunuh-bunuhan menjadi seperti tidak ada sejarah perang yang maha sengit.

Yang kita satu bangsa dan satu agama bagaimana? Sekalipun antara negeri-negeri Melayu yang dahulunya pernah berperang (misalnya perang Kelantan-Terengganu atau Kedah-Selangor) bukanlah menjadi trauma orang zaman sekarang berbanding Perang Dunia itu. Fitrahnya sama seperti bangsa-bangsa Eropah, malah setiap rumah muslim terdapat kitab wahyu Tuhan yang menyeru perpaduan dan mengharamkan perpecahan.  Pelik betul….. Cukuplah itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan