SEMUA muslim sejak kecil sudah diajar bahawa wujudnya makhluk halus yang kerjanya hanya menghasut manusia supaya melakukan kerja-kerja jahat. Erti kata lain perlakuan salah atau dosa manusia sebenarnya didorong oleh hasutan makhluk yang disebut iblis atau syaitan. Dan semua kita sudah pun sedia maklum bagaimana iblis telah menghasut Hawa dan Nabi Adam di syurga agar melanggar peraturan Allah di sana. Akibatnya Nabi Adam dan Hawa dikeluarkan dari situ dan dihantar ke bumi.
Iblis pula telah bersumpah di hadapan Allah untuk menyesatkan kehidupan beragama manusia, atau apa saja kelakuaan yang akhirnya menjerumuskan seseorang manusia itu ke lembah dosa, supaya di akhirat kelak manusia itu dibakar api neraka. Itulah cita-cita utama iblis atau syaitan.
Maksud surah al-Hijr:39 “Ia (iblis) berkata ‘Tuhanku, oleh kerana Engkau telah memutuskan bahawa aku sesat, aku pasti akan menjadikan (kejahatan) terasa indah bagi mereka di bumi, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya.”
Sebagai Tuhan Yang Maha Pengasih, Allah telah memberi peringatan agar waspada dengan amal buruk atau kejahatan kerna itu merupakan hasutan iblis atau syaitan. Maksud surah al-Baqarah:208 “..dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan. Sungguh ia musuh yang nyata bagi kamu.” Pada ayat 168 surah yang sama pun Allah sudah menjelaskan yang syaitan itu musuh utama manusia.
Hal ini berarti setiap saat kehidupan manusia, sama ada mereka muslim atau beragama lain sentiasa berhadapan dengan bisikan atau rayuan iblis supaya manusia menjauhi kehidupan yang di perintahkan oleh Allah s.w.t. Sekalipun sebagian besar manusia telah ingkar dengan keesaan Allah dan memilih Tuhan-tuhan palsu yang dirayukan oleh iblis, namun makhluk itu tetap mengawal mereka daripada memikirkan hal kebenaran akidah atau memastikan sepanjang kehidupannya mesti dalam keingkaran terhadap keesaan Allah.
Bagi manusia yang berakidah Islam, iblis atau syaitan tetap mencari ruang untuk seseorang muslim itu melanggar peraturan Allah supaya mereka berdosa dan akibatnya disiksa dalam neraka di akhirat kelak.
Kelicikan iblis untuk menyesatkan umat manusia tidak terbatas terhadap hal-hal yang sedia dimaklumi mengenai perbuatan jahat atau keji seperti mencuri, menipu, berzina atau memakan makanan yang haram. Tipu daya iblis sangat hebat sehingga manusia yang sudah dalam genggamannya, apabila melakukan perbuatan yang menyalahi peraturan Allah akan merasakan betapa baik dan indahnya perlakuan salah mereka. Orang-orang seperti ini, jika didakwahi supaya kembali ke jalan Allah (jalan al-Quran dan sunah rasul), mereka akan menolaknya dengan alasan-alasan yang sangat munasabah (rasional) berdasarkan budaya hidup semasa.
Maksud surah al-An’am:43 “Bahkan hati mereka telah menjadi keras dan syaitan pun menjadikan terasa indah bagi apa yang mereka selalu kerjakan.”
Contoh pertama, lihatlah bagaimana kumpulan manusia yang mendakwa bahawa Nabi Isa adalah Allah. Mereka menguatkan hujah bahawa itulah kebenaran akidah di sisi Allah dengan mengatakan kasih sayang Allah kepada manusia yang sanggup menjelma sebagai Nabi Isa demi menyelamatkan seluruh manusia daripada dosa asal iaitu dosa Nabi Adam dan Hawa. Iblis memperindah pegangan salah akidah mereka hingga sangat sukar menerima kebenaran bahawa Nabi Isa hanyalah seorang manusia biasa yang dipilih sebagai rasul sebagaimana rasul-rasul yang lain.
Kedua, pelaku-pelaku maksiat seperti mereka yang terlibat dalam pergaulan bebas juga telah mendapat bimbingan iblis untuk memberi hujah betapa indahnya percintaan dan rayuan asmara lelaki dan perempuan. Kata-kata putis lelaki terhadap kekasihnya dikarang dengan bahasa yang menyebabkan si wanita sangat ingin bertemu dengan si lelaki. Itulah iblis yang menjadikan indah perbuatan salah yang dilakukan manusia.
Begitu juga Iblis telah menjadikan orang-orang yang mendedahkan auratnya dalam bidang hiburan dan sukan sebagai indah, walhal perbuatan itu buruk di sisi Allah. Perhatikan mereka mendapat pujian dan harta benda yang banyak, dan ini sangat menggembirakan iblis yang menjadi mentornya.
Ketiga, di sisi lain bahawa iblis tidak akan merayu seseorang ahli agama untuk melanggani arak atau pelacur di kelab-kelab malam. Iblis tahu ahli agama sudah mantap pertahanannya dengan mengatakan arak, pergaulan bebas, judi, narkotik dan rokok sebagai perkerjaan iblis (dosa). Oleh itu iblis akan membuat hasutan dalam bidang agama yang sangat ditekuninya. Iblis akan memuji kehebatan ilmu dan hujah ahli agama berkenaan sehingga orang itu menganggap dirinya sahaja yang benar dan manusia lain sebenarnya jahil.
Seperkara lain, iblis sangat bijak memesongkan ahli-ahli agama melalui jalan agama juga. Seperti paderi-paderi Kristen yang dipesongkan akidahnya sehingga sesat dan kufur, sebagian ahli-ahli agama muslim dipesongkan amalan agamanya melalui amalan bid’ah. Ada ahli agama yang membuat amalan baru dalam beribadah (untuk lebih mendekatkan diri kepada Allah), yang tidak ada petunjuk daripada Allah dan rasul-Nya dan iblis berjaya menggambarkan diri mereka sebagai hamba yang salih kerna perbuatan bid’ahnya Inilah pekerjaan iblis yang menjadikan kesalahan atau dosa dirasakan indah dalam kehidupan, walhal semua itu kesesatan yang dimurkai Allah.
Maksud surah Muhammad:14 “Maka apakah orang yang berpegang pada keterangan yang datang dari Tuhannya sama dengan orang yang dijadikan terasa indah baginya perbuatan buruknya dan mengikuti keinginannya?”
Semua tipu daya iblis hanya bertujuan untuk menjerumuskan manusia ke dalam neraka. Hubaya-hubayalah kita yang menyedarinya!
Nice Blog...
BalasPadam