Pengikut

Selasa, Jun 29, 2010

TIDAK perlu baca teori politik Islam

SEWAKTU belajar Sejarah Islam dahulu, guru saya mengatakan Islam tidak menentukan kaedah kenaikan seseorang pemimpin untuk berkuasa.  Katanya, dengan kewafatan Rasulullah tanpa wasiat, menyebabkan umat Islam mencari kaedah yang terbaik mengikut budaya dan zamannya.  Tambahnya lagi, semua Khalifah yang empat mempunyai cara kenaikan sebagai khalifah Islam tersendiri,  cuma asasnya ialah bai’ah atau akujanji masyarakat terhadap khalifah.  Beliau membuat kesimpulan, soal berpolitik dalam Islam bukan statik tetapi berubah mengikut zaman dan keadaan.

Hari ini, kebanyakan negara Islam (atau negara umat Islam) menggunakan sistem demokrasi pilihan raya untuk memilih pemimpin  dan kerajaan.  Ulama-ulama daripada parti Islam atau NGO Islam pun memang faham bahawa demokrasi ini adalah produk Barat, bukan daripada al-quran dan Sunah.  Oleh kerana demokrasi menghampiri system Islam, maka ulama yang menyertai sistem demokrasi pilihan raya ini menggunakan ijtihad boleh menyertai pilihan raya dengan asas yang ada dalam al-Quran dan Sunah.

Apabila negara kita merdeka dan menyertai Komanwel British bererti, negara mengikut nilai dan budaya British.  Siapa yang mengkaji sejarah mudah saja faham bahawa kemerdekaan bukan bererti penjajah melepaskan 100 peratus tanah jajahannya.  Tak mungkin sejujur dan seikhlas itu penjajah yang bersusah payah menguasai negara mahu melepaskannya menjadi negara Malaysia yang bebas dan penjajah kehilangan 100 kepentingannya.  Bodohlah kalau ada yang faham begitu!

Pemaksaan sistem demokrasi berpilihan raya kepada negara adalah agenda British kepada Malaysia.  Janji demokrasi memang indah: keadilah dan ketelusan melawan pemusatan kuasa raja.  Lalu rakyat pun diajar menggunakan sistem Barat.  Hari ini sistem demokrasi berparlimen di negara kita sudah seperti menjadi akidah dalam berpolitik.  Kerana demokrasi berparlimen ini orang sanggup berbuat apa saja, sampai berani mati!  Soal hendak putus hubungan, menjadi penipu, manipulasi dan segala macam kebobrokan…biasa, asalkan berjaya membentuk blok politik untuk memenuhi sistem demokrasi berparlimen.

Dengan sistem demokrasi berparlimen inilah  kuasa politik orang Islam dikikis hari demi hari.  Oh ya, bukan British yang melakukannya, tetapi orang Islam sendiri yang terpaksa mengecilkan kuasa pemerintahan dan undang-undangnya.  Semua atas nama keadilan, kesamataraan dan memenuhi kehendak rakyat banyak.  Hendak melaksanakan syariah Islam pun terpaksa ditawarkan kepada rakyat atas nama keadilan. Siapakah orang bukan Islam yang hendak menerima 100 peratus syariah Islam sekalipun mereka berpuluh-puluh tahun berkawan dengan orang Islam.  Kalau mereka menerima sistem Islam, sudah lama mereka masuk Islam.

Dengan umat Islam hanya kira-kira 60 peratus dan terbelah kepada dua blok politik, maka kuasa orang Islam menjadi semakin kecil.  Pengaruhnya semakin luntur dan semakin terlucut mana-mana yang berkaitan dengan pentadbiran.  Terbaru apabila anak muda orang Islam tidak berminat pula untuk menyertai sistem pilihan raya (tak mahu mengundi), maka semakin jelas kuasa undi orang Islam semakin kecil.  Sudahlah kuasa undi sedia ada terbahagi dua, kenaikan undi muda pula jauh di belakang orang bukan Islam.

Apa kesannya?  Jalan terbuka luas untuk orang bukan Islam memerintah negara yang di dalamnya ada 60 peratus orang Islam.  Semua ini sah mengikut undang-undang dan akidah politik kita semua.  Tidak perlulah ada sesiapa yang hendak curiga apa-apa.  Demokrasi itu hak kebebasan, maka antara hak yang hendak diguna ialah menyerahkan kuasa kepada orang bukan Islam. Sudahlah…, jangan baca buku teori politik Islam oleh Maududi atau Mawardi.  Semua itu tidak laku apabila akidah politik kita berbeza dengan  kedua-dua tokoh Islam itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan