Pengikut

Sabtu, Jun 19, 2010

STRATEGI yang penuh strategi

PARA sahabat nabi berasa tidak puas hati dengan isi Perjanjian Hudaibiyah (tahun 8H) antara Rasulullah dengan Suhail bin Amir yang mewakili penduduk Makkah.  Kepada sahabat-sahabat nabi, Rasulullah telah mengalah  dan imej Islam jatuh.  Oleh kerana peristiwa itu sudah berlalu dan semua tahu kesan-kesannya, maka dapat disimpulkan mengenai ‘strategi’ dalam Perjanjian Hudaibiyah itu.  Selepas perjanjian itu sendiri, banyak isu dan perkara memihak kepada orang Islam Madinah dan merugikan penduduk Makkah. Kemudian tahun 10H, kota Makkah dapat dikuasai umat Islam tanpa melalui peperangan!  Kan itu strategi: secara lahiriah mengalah, walhal perjanjian itu sebenarnya kemenangan Islam.

Dalam mana-mana pergerakan politik tidak terlepas daripada penggunaan strategi untuk mencapai matlamatnya.  Dahulu Parti Komunis Malaya (PKM) mula menggunakan cara kekerasan atau pemberontakan bersenjata untuk mendapatkan kuasa memerintah negara.  Kepada pihak kerajaan British dan Persekutuan Tanah Melayu yang memerintah (1948-1960) juga menggunakan pelbagai strategi untuk mengalahkan cara PKM.  Kemudian apabila perikatan (sekarang Barisan Nasional) memerintah,  parti ini juga menggunakan pelbagai strartegi untuk kekal memerintah negara.    Umno sebagai parti induk dalam BN juga menggunakan strategi supaya parti-parti lain sedia menerima penguasaan Umno dalam BN sejak merdeka sehingga hari ini.  Bagi pihak parti lain dalam BN juga membuat strategi agar Umno memberikan perkara yang diperjuangkannya.  Sebab itulah ada kritikan Umno menjual hak bangsa Melayu kepada bukan Melayu.  Sebanyak mana kelonggaran penguasaan Melayu ertinya  sebanyak itulah kelonggaran telah memihak kepada kaum bukan Melayu. Itukan hasil strategi antara Umno dan parti lain dalam BN.

Orang bukan Melayu selama ini sukar percaya bahawa mereka boleh memerintah negara kerana strategi yang digunakan Umno berjaya membentuk set minda yang begitu.  Strategi bukan Melayu pun bagus apabila bersedia tidak menguasai pemerintahan (menjadi Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri), mereka meminta hak-hak ekonomi dan kebudayaan yang lebih luas.  Penyertaan mereka dalam BN mesti ada untuk meminta itu dan ini.  Jika permintaan mereka tidak dilayan, mereka tidak menyokong BN dalam pilihan raya.  Politik terima dan ugut ini merupakan strategi.

Pas mencari orang bukan Islam supaya menyokongnya juga satu strategi.  Kepada misi dakwah, itu strategi kepada orang Pas untuk mudah menyampaikan mesej Islam (yang difahami sempurna) kepada rakannya yang bukan Islam.  Orang bukan Islam kena dengar dan wajib faham dasar Pas yang Islam itu.  Dahulu, bukan Islam tak sudi langsung nak mendengar sistem Islam, hari ini ada pemimpin bukan Islam dibenarkan berucap dalam masjid. 

Kepada bukan Islam yang masuk dalam kandang Pas juga tentu ada strateginya.  Untuk apa mereka menyokong Pas  sedangkan Pas belum pun memerintah negara.  Jika hendak berpolitik melawan BN, parti selain Pas pun cukup terbuka untuk mereka.  Hal ini wajib juga difikir.  Mungkin-mungkin (kena sebut mungkin) saja mereka mahu mengendurkan pendekatan Islam dalam Pas.  Harapannya ialah Pakatan Rakyat yang dianggotai oleh Pas tidak dikuasai oleh orang Melayu sebagaimana dalam BN dikuasai oleh Melayu dan Bumiputera (Umno).

Apakah masalah-masalah kepemimpinan dalam MCA dan MIC suatu takdir yang mesti berlaku atau suatu yang disengajakan?  Dalam politik, semua parti ada matlamat.  Matlamat itu digerakkan dengan strategi.  Katalah masalah dalam MCA dan MIC itu strategi mereka, untuk apa?  Jawabannya ialah untuk melemahkan BN, akibatnya orang bukan Melayu yang memang selama ini tidak dapat menguasai BN akan beralih kepada PR atas alasan parti bukan Melayu bermasalah dalam BN.  Bukankah suara agar Gerakan dan MIC keluar BN sudah dikeluarkan?  Bukankah sudah berlaku tokoh-tokoh MCA, Gerakan dan MIC yang ‘tidak berguna’ dalam parti-parti itu masuk dalam PKR.  Kemudian, fikirkan mengapa mereka masuk dalam PKR, bukan DAP? Ahhh, mereka ahli politik,tentu ada strateginya untuk mencapai apa yang selama ini tidak dapat dilaksanakan.  Si Pelawak, Nabil kata: Lu pikir la sendiri!

Apa bezanya BN dan PR?  Selama ini dan sementara waktu ini, BN dikuasai oleh Melayu dan Bumiputera manakala PR terbuka kepada mana-mana pihak untuk menguasainya.  Jika Pas dapat lebih banyak kerusi Parlimen,  kuasa dan pengaruh masih kepada Melayu dan Islam. Jika DAP dan PKR (baca yang bukan Melayu) mendapat lebih banyak kuasa, maka bukan Melayu mempunyai peluang menjadi Perdana Menteri.  Besar ertinya menjadi PM, sebab PM ada kuasa eksekutif memilih barisan menteri kabinet, member nasihat kepada Yang Dipertuan Agong dan mempengaruhi keputusan kabinet dalam membuat dasar-dasar negara. 

Strategi-strategi dalam parti politik penuh dengan muslihat. Ada muslihat yang boleh dilihat dan kebanyakannya macam halimunan.  Akibat strategi itu sahaja yang jelas dikesan dan dilihat oleh orang awam.  Maka janganlah cepat percaya apa-apa yang berlaku dalam politik merupakan satu takdir  yang bulat-bulat, dan bukan disebabkan tangan-tangan tersembunyi.

Amat naif jika kebanyakan orang menerima isu dan pergerakan politik seperti wahyu dalam al-Quran.  Maka, wajiblah umat Islam (kalau sudah tidak mahu disebut Melayu) dan orang Melayu (jika betul-betul berjiwa Melayu) berfikir keadaan yang berlaku dan pantas membuat strategi agar yang dikatakan hak Islam dan Melayu itu tidak lesap sedikit demi sedikit.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan