APABILA kejayaan revolusi di Iran (1979) memberi semangat baru kepada Parti Islam Se-Malaysia (Pas), maka parti itu hendak lebih menyerlahkan dasar dan tindakan Islamnya. Timbul perdebatan adakah halal menceburi pilihan raya dalam sistem demokrasi tajaan Barat. Hal ini berlaku dalam tahun 80-an, sewaktu Presiden Pas sekarang TG Hadi Awang masih dalam jawatan Naib Presiden. Waktu itu keupayaan Pas dalam politik masih kecil dan sering kalah dalam pilihan raya. Antara hujah Pas berhadapan dengan isu demokrasi ini ialah, masuk pilihan raya yang memang bermasalah untuk mengurangkan masalah lebih besar. Maknanya ada dilema dan wajib memilih antara membiarkan demokrasi tidak diisi dengan suara Islam atau memasukkan demokrasi dengan suara Islam walaupun berkeadaan sukar. Ini merupakan kaedah Fiqh Awlawiyyat yang dipopularkan oleh ulama tersohor Dr Yusuf Al Qaradhawi. Kes ini, sekurang-kurangnya suara dan dasar Islam akan dibawa ke medan pilihan raya dan jika menang, suara Islam akan didengar di Parlimen sebagai suara pembangkang. Hanya itu, belum ada harapan Pas untuk membentuk kerajaan.
Asas kaedah fiqh yang diguna oleh Pas dahulu ada dalam al Qur’an dan sering dibacakan dalam ceramah untuk memberi kefahaman kepada ahli-ahlinya. Lihat maksud firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 217: Mereka bertanya kepadamu tentang berperang pada bulan haram. Katakanlah, berperang dalam bulan itu adalah dosa besar, tetapi menghalangi (manusia) daripada jalan Allah, kafir (ingkar) kepada Allah, (menghalang orang memasuki) masjidil haram dan mengusir penduduknya dari sekitarnya lebih besar dosanya di sisi Allah. Dan fitnah (penganiayaan) lebih besar dosanya daripada membunuh (hingga akhir ayat). Tafsir al Azhar oleh Hamka menjelaskan sejarah turunya ayat ini, jika dibaca lebih jelas memahami Fiqh Awlawiyyat ini.
Hari ini suasana politik Pas telah jauh berubah. Parti ini daripada tidak mahu bersekutu dengan orang bukan Islam yang dahulunya difatwakan haram (tidak boleh melantik wali atau pemimpin daripada bukan Islam) kepada bergabung dengan parti DAP yang secara jelas mendukung negara sekular. Jika dahulu Pas terasing daripada bukan Islam, hari ini orang bukan Islam diterima sebagai sekutu rapat dan diberi hak dalam parti. Daripada parti yang disisihkan oleh orang Melayu Islam sendiri, hari ini Pas mentadbir dua negeri dan sekutu di dua negeri lagi. Sekarang para pemimpin Pas bercakap soal menjadi salah satu cabang pentadbiran negara di Putrajaya, bukan lagi sebagai pembangkang dan mahu hanya suara Islam didengar di Parlimen. Fiqh Pas dalam pilihan raya demokrasi hari ini juga berbaza dengan zaman tahun 1980-an. Tahalluf!
Oleh kerana perkembangan politik negara ini sedang menuju ke arah sistem dua parti seperti di Amerika dan Britain, para pemimpin Pas juga mengkaji kesan-kesan terhadap Islam dan umatnya dalam negara. Misalnya jika Pakatan Rakyat (PR) menggantikan Barisan Nasional (BN), apakah kesan-kesannya. Memang kedua-dua gabungan parti itu sedang menawarkan kepada rakyat. BN dengan konsep dominasi Umno-Melayunya yang berteraskan sejarah penubuhan negara (baca isi perlembagaan sebagai dokumen kontrak sosial antara kaun) dengan PR yang berwajah baru menawarkan sama rata tanpa perbedaan ras dan agama.
Keadaan inilah yang menyebabkan Presiden Pas TG Hadi Awang dan Timbalannya Hj Nasharudin kembali kepada Fiqh Awlawiyyat: Terpaksa menerima satu keburukan kecil untuk mengelak keburukan lebih besar. Apa dia? Idea Kerajaan Perpaduan yang cuba dibawa untuk merundingkan persefahaman antara Pas dan Umno adalah sebagai terpaksa menerima Umno sebagai rakan demi Islam juga. Sekalipun Umno dimusuhi Pas sekian lama dan diyakini parti yang menghalangnya untuk membawa Islam, tetapi masih sebagai parti orang Melayu yang beragama Islam berbanding DAP yang bukan Islam dan secara terbuka menolak Islam. Itu sahaja yang saya fahami apabila idea Presiden Pas mahu berunding dengan Umno.
Oleh kerana gerak tuju politik negara sangat kuat ke arah sistem dua parti antara BN atau PR, maka idea Kerajaan Perpaduan terpaksa dikuburkan. Tidak mungkin Pas yang ada ikatan dengan PR mahu berbaik-baik dengan Umno (paksi utama BN).
Daripada situasi demikian, tidak hairan jika ada pihak yang mahu menyertai Umno (tidak Pas) sekalipun pemikiran Islam mereka mirip perjuangan Pas. Kaedahnya Fiqh Awlawiyyat!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan