Pengikut

Jumaat, November 06, 2009

KAUM Muda/Salaf/Sunah/Wahabi tidak sesat


Majlis Fatwa Kebangsaan tidak pernah mengkategorikan fahaman Wahabi sebagai salah dan sesat di negara ini, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr Mashitah Ibrahim.

"Kalau kita kata sesat, maknanya kalau kita pergi Mekah, kita tak bolehlah sembahyang dengan tok imam di Mekah... tak sah, habislah jemaah haji kita.

"Dia (Wahabi) tak sesat, cumanya ia bergantung kepada kesesuaian di negara kita," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pendidikan Fatwa Peringkat Kebangsaan bertajuk 'Pendermaan Organ dari Perspektif Islam' di Masjid Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur hari ini.


Antara ajaran fahaman Wahabi ialah tidak mengamalkan bacaan doa qunut dan Yaasiin selain tidak mengadakan tahlil dan tidak berzikir selepas solat seperti amalan biasa umat Islam di negara ini.

Mashitah yang menyifatkan isu mengenai Wahabi ini sebagai "sensitif", berkata setakat ini fahaman tersebut masih boleh dibendung dari terus berkembang ke seluruh negara.

"Kita juga perlu menjaga (sensitiviti) beberapa negeri, negara dan masyarakat kita. Jadi kalau kita timbulkan banyak isu ini, masyarakat akan jadi keliru.

"Sekarang ini kita tekankan di Malaysia ialah kita berpegang kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah.

"Perbezaan dalam aliran ini selagi tidak menyentuh mengenai akidah, maka ia adalah fahaman yang boleh diterima tetapi kalau sentuh soal akidah, contohnya Allah itu duduk ke tak duduk ke, maka kita akan ambil satu pendekatan yang lebih serius.

"Tetapi setakat ini fahaman Wahabi itu kita masih dapat bendung," katanya.

Mashitah ketika ditanya pemberita sama ada fahaman tersebut boleh dikategorikan sebagai berbahaya, berkata: "Kerajaan dan Majlis Fatwa sedang melihatnya dengan berhati-hati supaya tidak menimbul ketegangan dalam kalangan orang agama mahu pun masyarakat yang melihat.

"Kita di Malaysia ini mengambil pendekatan yang halus dan berdiplomasi. Sensitiviti kebanyakan orang itu, kita kena jagalah. Itu yang kita nak jaga supaya perpaduan sesama kita terpelihara."

Turut hadir pada seminar tersebut Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Othman Mustafa dan Pengarah Perkembangan Perubatan, Kementerian Kesihatan Datuk Dr Azmi Shapie.

Terdahulu, mengenai pendermaan organ, Dr Azmi berkata sehingga Oktober tahun ini, seramai 134,000 orang telah mendaftar dan berikrar untuk menjadi penderma organ dan 19,000 orang pesakit buah pinggang dicatatkan sehingga bulan yang sama.

"Dari jumlah ini, Melayu adalah kumpulan yang terendah untuk tampil mendermakan organ. Ini adalah kerana meraka kurang pendedahan atau pemahaman mengenai pendermaan organ," katanya.

Othman dalam ucapannya pada seminar itu pula berkata agama tidak menghalang untuk menderma organ dan antara faktor penghalang seseorang Muslim untuk menderma organ adalah kerana rasa takut.

Beliau berkata walaupun pendermaan organ seperti jantung dan kornea dibolehkan dan difatwakan pada tahun 1970, namun jumlah individu Islam yang menderma amat kecil berbanding mereka yang beragama lain. BERNAMA


Tiada ulasan:

Catat Ulasan