Pengikut

Sabtu, November 28, 2009

ALLAH adalah pengawas peperiksaan



SEKARANG ini musim peperiksaan SPM dan STPM.  Saya Cuma mengajak pembaca berfikir cara peperiksaan ini dijalankan sebagai cermin akidah iman yang dimiliki.  Kalau kita rajin meneliti sirah atau sejarah dakwah Rasulullah, kita temui satu generasi contoh muslim yang hidup dalam dua zaman.  Satu zaman jahiliah dan kemudian zaman beriman kepada Allah.

Contoh terbaik ialah seorang sahabat nabi, Bilal bin Rabah r.a. yang sanggup menderita sakit kerana yakin jaminan Allah di akhirat kelak.  Keluarga Yassir disiksa sehingga wafat, sebagai contoh akidah dan iman yang cukup mantap.  Pendek kata, orang tidak akan sanggup menderita luka-luka atau parah hingga mati jika tidak ada jaminan habuan berkali-kali ganda lumayan menunggu kelak. 

Peperiksaan itu ada kaitan dengan keutuhan iman dan taqwa.  Setiap kali peperiksaan, calon dilarang meniru jawaban daripada buku atau mana-mana sumber.  Untuk memastikan tidak ada penipuan atau peniruan, calon diawasi sepanjang peperiksaan.  Secara teori, jika akidah dan iman muslim yang mengambil peperiksaan cukup kuat, tidak timbul soal diawasi dalam peperiksaan.  Meniru dalam peperiksaan adalah pendustaan dan perbuatan keji.

Dari sudut akidah, semua muslim pasti tahu bahawa Allah maha melihat perbuatan hamba-Nya sekalipun sekecil zarah.  Apa yang dilakukan dalam peperiksaan termasuk dalam pengetahuan Allah. Kelak, di alam akhirat semua akan dipertanggungjawabkan.  Kelak di alam akhirat inilah yang dicari oleh Bilal dan keluarga Yasir, yang sangat yakin Allah akan lebih membahagiakan hidup yang abadi sebagai ganti penderitaan di dunia.

Sepatutnya setelah kita menerima Islam, berakidah betul yang tiada syirik mengesakan Allah dan membentuk amal kerana iman, maka Allah sahaja sebagai pengawas peperiksaan.  Sepatutnya pengawas peperiksaan hanya mengurus pengedaran serta pengutipan kertas soalan dan jawaban.  Pengawasan sama ada calon menipu atau tidak ialah Allah.  Maka tidak patutlah peperiksaan yang calonnya muslim atau di sekolah-sekolah agama diberi amaran supaya jangan meniru, menipu atau khianat. 

Ertinya antara calon muslim dengan bukan muslim, sama sahaja yang berkemungkinan besar akan menipu.  Calon sekolah agama yang katanya lebih baik akhlaknya juga diberi amaran jangan menipu dan diawasi oleh manusia juga.  Nampaknya sekolah agama pun tidak dapat memberi model peperiksaan cara Islam, yang sejujur-jujurnya. 

Itulah moralnya kita, bercakap mengenai sistem Islam dan mengajak orang memilih Islam tetapi kita tidak menunjukkan contoh sistem Islam yang ditawarkan.  Terlalu mudah menyeru manusia kepada Islam yang dikatakan adil, telus dan profesional, tetapi kita muslim belum bersedia menjadi contoh di hadapan.  Ya, sekarang banyak yang terpinga-pinga dan mencari mana model Islam.  Islam sudah banyak dilaungkan, tetapi caranya tidak diberikan. Itulah antara sebabnya umah di negara ini masih mundur tetapi sangat lantang bercakap hal Islam.

Tak mengapa, sekurang-kurangnya kita berfikir di mana kedudukan kita. Kita bukan dalam zon selesa, tetapi kritikal…itupun kalau sedar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan