Pengikut

Sabtu, Jun 13, 2009

JIKA Pas berkuasa, siap kau SIS!

PAS, parti atau kumpulan yang mendakwa ditunjangi alquran dan sunah sudah membuat keputusan mahu Sisters In Islam (SIS) diharamkan. Maknanya jika Pas berkuasa di peringkat persekutuan, mereka akan menggerakkan Majlis Fatwa Kebangsaan dan segera mengharamkan SIS yang dikatakan menyalahi akidah dan pemahaman Islam.

SIS ini dikatakan golongan liberal dalam Islam, yang telah membangkitkan pemikiran berlawaan dengan Islam arus perdana Malaysia. Erti kasarnya SIS mengkritik atau membangkang pemahaman majoriti orang Islam. Pemahaman majoriti orang Islam ini pula harus difahami pemahaman para ulama dan ustaz yang mendominasi banyak institusi agama.

Suatu ketika dahulu SIS mengadakan kempen ‘satu suami dan satu isteri’ yang difahami menentang poligami. Umum tahu Islam sahaja agama yang membenarkan poligami, iaitu seorang suami beristeri lebih seorang (tidak melebihi empat). Penentangan SIS ini berlaku kerana mereka mempunyai bukti kelemahan orang yang mengamalkan poligami. Jalan mudahnya apabila menghadapi kempen SIS yang antipologami ialah menghukum SIS sebagai menolak ketentuan Allah.

Para birokrat agama yang kebanyakannya lelaki memang teruja dengan lesen poligami, manakala SIS seperti menjadi suara respon ‘wanita dalam Islam’. Di samping memarahi SIS sebagai keterlaluan, sepatutnya para ulama dan ustaz memarahi juga keterlaluan kaum lelaki dan pengurusan agama yang sudah memberi kesan negatif terhadap wanita. Banyak kali juga Dr Mohd Asri sewaktu menjadi Mufti Perlis menegur dan meminta para birokrat agama segera menyelesaikan pengurusan masalah perkahwinan yang dilihat menyusahkan kaum wanita!

Kemudian yang terbaru SIS mengadakan musawah dan menghasilkan desakan supaya pembahagian harta pusaka yang diamalkan lebih memihak kepada kaum lelaki dinilai semula. Senang cakap SIS mahu pembahagian harta kepada anak lelaki dan wanita itu 50-50! Keputusan ini sekali pandang menyalahi wahyu Allah ayat 11 surah an Nisa’. Sekali lagi ‘hak’ lelaki dalam Islam ini dicabar SIS. Untuk rekod, Persatuan Peguam Muslim terus menyatakan bantahan terhadap suara dalam musawah itu.

Saya fikir kalau tidak berlaku perubahan dan bukti yang menunjukkan ‘tidak adil’ kepada wanita SIS tidaklah bersuara begitu. Para ulama dan ustaz apabila berhujah mengapa Allah menentukan nisbah dua untuk lelaki dan satu wanita mesti memberi hujah bahawa tanggung jawab anak lelaki lebih berat. Ohoo, waktu itu, kaum wanita pun mengakui betul. Itulah falsafah atau sebab Allah melebihkan pembahagian harta kepada anak-anak lelaki berbanding wanita.

Kemudian apabila zaman berubah dan wanita kian banyak pula sama memikul beban ekonomi. Malah banyak bukti pula anak-anak perempuan yang kuat ekonominya menanggung kehidupan kedua-dua ibu bapa. Sepatutnya inilah falsafah yang ulama dan ustaz kena lihat juga. Jangan apabila hukum Allah itu menguntungkan dirinya, maka falsafah hukum itu terus dihujahkan, tetapi apabila tidak memihak kepada kaum lelaki, ulama tadi menggunakan hukum untuk menuduh SIS sebagai tersasar akidahnya.

Kalau sesiapa cuba memahami pembahagian harta pusaka, mesti mentelaah falsafah hukum yang memihak kepada lelaki. Tanpa memahami falsafah itu, pasti wahyu Allah dilihat tidak adil kepada wanita. Maka sepatutnya ulama tidak kaku memahami teks wahyu. Teks wahyu ini adalah dalam keduniaan, dan urusan dunia senantiasa berubah. Ada yang melihat saya penyokong SIS. Nanti dulu…

Kita lihat bahawa Khalifah Umar al Khattab telah membatalkan pemberian zakat kepada golongan mualaf, walhal teks wahyu dengan jelas menyatakan mualaf adalah salah satu antara lapan asnaf yang terdapat dalam ayat 60 surah Taubah. Pada zaman Rasulullah dan Khalifah Abu Bakr golongan mualaf mendapat pemberian zakat ini. Khalifah Umar membuat ijtihad dan memahami bahawa falsafah pemberian zakat kepada mualaf pada zamannya tidak berlaku lagi. Bahawa falsafah pemberian zakat itu ialah untuk menarik minat dan melembutkan hati orang yang baru memeluk Islam. Pada zaman Khalifah Umar Islam telah kuat dan berkembang jauh sehingga kebenaran Islam sangat terserlah. Oleh itu beliau menegaskan bahawa sesiapa boleh memahami Islam tanpa perlu apa-apa pujukan. Pilih, terima atau tolak Islam!

Dalam hal ini isunya ialah antara pemahaman teks wahyu yang harfiah sekalipun terhadap urusan keduniaan dan reaksi tidak puas hati oleh cendikiawan wanita Islam, atau respon daripada bukan ustazah! Saya berharap para ulama dan ustaz berdepanlah dengan hujah apabila mahu bertindak sekalipun merasakan para ulama sentiasa benar. Cubalah buka sedikit pintu minda dengan menghormati bahawa orang-orang yang bukan ulama, ustaz dan ustazah juga belajar mengenai Islam dan berfikir mengenai keadaan-keadaan yang terkesan daripada sistem Islam.

1 ulasan:

  1. Pd dasar sy tidak menyokong SIS. Pd pendapat sy SIS tidak berhak menafikan hukum yg sediaada tetapi perlu lebih kepada pendekatan utk mengamalkan hukum tersebut mengikut kehendak Islam bukan menentangnya. Wallahuallam

    BalasPadam