Pengikut

Sabtu, Jun 06, 2009

APA ada pada sejarah?

SEKARANG ini Kementerian Pelajaran Malaysia mungkin saja akan mengekalkan subjek Sejarah sebagai pendidikan wajib di peringkat SPM atau menjadikankan bagai pilihan sahaja. Ertinya kalau subjek Sejarah dijadikan pilihan, hukumnya seperti sunat sahaja, tidak ambil untuk SPM pun tidak menjejaskan sahnya pelajar menduduki SPM.

Pada waktu yang sama masyarakat sedang berdebat mengenai perlu atau tidak mantan kepala aktivis komunis (PKM) Chin Peng yang sudah tua renta boleh masuk ke Malaysia atau tidak. Sama ada yang mahu menobatkan Chin Peng sebagai pejuang atau tetap mengatakan manusia tua itu sebagai pengganas, maka semua wajib melihat sejarah negara. Chin Peng adalah sebagian daripada sejarah negara, maka disanalah dilihat perlunya orang melihat sebenar wajah sejarah.

Dalam begitu rumitnya seseorang, masyarakat dan suatu bangsa menemukan jati dirinya melalui sejarah, rupanya semakin sedikit yang mahu mengakui pentingnya sejarah. Tanpa pemahaman sejarah yang meluas dalam masyarakat, akan menimbulkan jurang pemikiran dalam sesuatu bangsa.

Seperkara lain, sekalipun semua ahli masyarakat telah melalui pendidikan sejarah namun ada satu masalah lain ialah penilaian terhadap setiap peristiwa sejarah itu sendiri. Umpama episod keganasan PKM dahulu sedang dinilai melalui dua kaca mata: Pertama keganasan Chin Peng dan PKM sebagai perosak dan pengancam ketenteraman negara dan kedua Chin Peng sebagai pejuang negara yang bekerja keras menghalau penjajah British.

Tafsiran sejarah itulah yang paling sukar untuk diselesaikan kerana mana-mana pihak akan melihat sesuatu sejarah itu berdasarkan kaca mata kepentingannya sahaja. Pihak yang mendukung kerajaan sekarang tentulah meletakkan nama-nama seperti Tunku Abdul Rahman Putra, Tun Razak, Tun HS Lee dan angkatannya dalam politik Perikatan sebagai pejuang kemerdekaan. Di pihak lain, mereka pula menobatkan Ibrahim Yaakub, Ishak Muhammad, Ahmad Boestamam dan Dr Burhanuddin Helmi sebagai wira-wira negara.

Perkara lain yang malang ialah penulisan serong sejarah atau memutar fakta sebenar. Contoh terbaik ialah mengenai Majlis Tahkim tahun 37 Hijrah antara dua sahabat Rasulullah iaitu Amru al-Asy dan Abu Musa al-Asy’ari dalam usaha menyelesaikan kemelut pertikaian antara dua sahabat Rasulullah iaitu Muawiyah bin Abu Sufyan dan Sayyidina Ali Abi Talib. Peristiwa Tahkim itu betul tetapi catatan yang sampai kepada kita ialah keburukan peribadi sahabat-sahabat Rasulullah. Tidak munasabah langsung Abu Musa digambarkan sebagai orang tua yang bodoh dan Amru sebagai penipu.

Sama juga seperti kisah duka kematian Sayyidina Hamzah dalam Perang Uhud. Betul Paman Rasulullah telah dibunuh oleh Wahsyi, tetapi catatan mengatakan isteri Abu Sufyan iaitu Hindun membelah dada jenazah Hamzah dan memotong hatinya lalu dimamahnya adalah dusta. Ini hanya catatan Ibnu Ishak, seorang pro-Syiah yang dikesan punya niat jahat terhadap keluarga Bani Umayyah.

Dua peristiwa iaitu Tahkim dan Hindun memamah hati Hamzah jelas pendustaan penulisan sejarah tetapi dihafal oleh generasi Islam zaman berzaman dan diterima sebagai sah.

Kesimpulannya pemahaman sejarah tidaklah sekomersil sains dan matematik, tetapi sejarah tetap menemukan jati diri manusia. Negara-negara kaya dan maju juga tidak mengabaikan sejarah negara dan bangsanya kerana dari sejarah lampau mereka meneruskan kemaraan menguasai dunia. Malanglah kita negara kecil, melepaskan fakta sejarah daripada generasi hebat masa depan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan