Pengikut

Rabu, Jun 24, 2009

JANGAN sedih minoriti!

ISLAM dikuatkan dengan dalil dan hujah. Islam bukan disandarkan terhadap banyaknya manusia atau orang yang melakukannya. Jika ada kesesuaiannya bahawa majoriti itu berada dalam kebenaran, itu hanya kebetulan. Perhatikan daripada 6 bilion penduduk dunia, hanya 1.5 bilion sahaja yang muslim. Hal ini bererti majoriti penduduk dunia ingkar untuk beriman terhadap Allah yang Esa, dan sebaliknya minoriti sahaja yang melafazkan kesaksian Tidak ada Tuhan Selain Allah dan Muhammad adalah Rasulullah.

Perhatikan di sekitar kita, berapa banyak lelaki muslim dan daripada itu sebanyak mana yang sentiasa menjaga solat fardu di masjid? Ya, majoritinya yang solat fardu, mereka melakukan di rumah atau sendirian dan minoriti atau sedikit yang berjemaah di masjid. Janganlah bersedih sebagai golongan minoriti.

Perihal majoriti yang salah dan minoriti yang benar di sisi Allah dan Rasul-Nya bukanlah luar biasa. Keadaan ini disahkan oleh Allah dalam al-Quran. Perhatikan erti ayat 116 surah al-An’am, “Dan jika kamu menuruti kebanyakan (majoriti) orang di muka bumi ini, nescaya mereka akan menyesatkan kamu dari jalan Allah. Mereka (puak majoriti) tidak lain adalah mengikuti persangkaan sahaja dan mereka hanya berdusta kepada Allah.”

Ayat 100 surah al-Baqarah pula bermaksud, “Tidak beriman kecuali sebagian kecil (minoriti) daripada mereka.” Ada lagi yang maksudnya menyamai bahawa minoriti dalam benar di sisi Allah seperti al-Fath:15, at-Tawbah: 8, Ali ‘Imran:110, al-Araf: 17 dan banyak lagi kita akan temui keterangan begitu dalam wahyu Allah. Tidak ada keraguan atau perselisihan erti bahawa yang bernilai dan benar di sisi Allah dan rasul-Nya itu bilangannya sedikit. Yang membiak dan melimpah-limpah adalah golongan majoriti yang salah, sesat, goblok dan semacamnya.

Maka, janganlah sedih dan pilu apabila mendapati jika diri kita menerima ayat-ayat al-Quran dan sunah nabi yang tidak diamalkan oleh kebanyakan muslim. Misalnya kita antara 10 orang sahaja yang bersolat subuh di masjid, walhal di sekeliling masjid ada ratusan muslim solat di rumah. Lagi, anda seorang saja yang tidak melakukan solat selepas azan pertama hari Jumaat, yang majoriti melakukannya dengan penuh khususk. Apa nak buat, duduk saja itu sunah nabi dan solat itu adalah bid’ah sebagai sangkaan mereka puak majoriti saja.

Kemudian berapa banyak adat yang disangka ibadah lalu diamalkan oleh banyak manusia muslim (majoriti) walhal tidak ada sumbernya daripada al-Quran dan sunah. Dan kalau kita meninggalkan hal itu hanya kerana menuruti sunah Rasulullah, pasti menjadi puak kecil dan terasing pula. Janganlah bersedih kerana sekalipun kecil tetapi jika yakin sah di sisi Allah dan Rasul-Nya, maka itulah yang dipuji Allah.

Ada maksud sabda Rasulullah yang membawa maksud, Islam itu asalnya asing (luar biasa) dan akan kembali asing.

Banyak orang sekalipun tahu kebenaran tetapi kerana tidak mahu menjadi asing di tengah-tengah banyak orang (majoriti) lalu memilih menyertai puak majoriti yang beramal berdasarkan sangkaan, bukan menepati sunah sebenar. Katanya, tidak mahu hidup susah, ikut sajalah….

Tiada ulasan:

Catat Ulasan