RUPA-rupanya bukan senang seseorang hendak memiliki jiwa besar. Jiwa besar itu ialah kesanggupan seseorang berada dalam keadaan apa pun tanpa menggadai prisip pegangannya. Orang yang berjiwa besar juga bersedia menerima pendapat yang tidak disenanginya. Orang berjiwa besar juga sanggup menerima hakikat dirinya selama ini salah dan mengaku salah.
Maka lawan orang berjiwa besar ialah orang berjiwa kecil yang sombong dan menganggap dirinya saja yang betul. Orang begini juga takut untuk mengakui pendapat orang lain sebagai betul, dan tidak sekali-kali akan mengakui kesalahannya sekalipun sudah jelas lagi nyata salah atau silapnya.
Orang yang dikatakan berjiwa besar atau orang yang berjiwa kecil bukan hanya boleh kena kepada orang berpangkat besar dan punya pengaruh. Daripada orang kecil, kanak-kanak, remaja atau yang kerjanya sebagai pengemis sehingga orang yang dikatakan hebat seumpama raja! Dalam mana-mana kelompok manusia akan ada saja yang berjiwa kecil tetapi payah mencari yang berjiwa besar!
Sewaktu musim haji tahun 2002, saya hadir kuliah lepas Isyak tempat menginap di Makkah. Yang menjadi pertanyaan orang ialah bagaimana kedudukan solat subuhnya yang tidak ada bacaan qunut. Penceramah atau ustaz memang menjelaskan hal itu tidak mencacatkan solat. Kemudian ustaz ini mengatakan pula jika imam berqunut dan makmum tidak mahu berqunut boleh juga terus saja sujud dan dikira masih dalam jemaah solat. Katanya solatnya tidak batal, duduk dalam tahiyat menunggu imam melafaz salam barulah dia melafaz salam juga! Saya tanya tidakkah perbuatan itu menyalahi hadis nabi yang lebih kurangnya maksudnya di akhirat kelak muka orang yang mendahului imam menjadi himar! Maksudnya, tmakmum idak boleh mendahului imam.
Tiba-tiba penceramah nampak menggelabah, sambil mengatakan hadis itu betul dan pendapatnya tadi juga merujuk kitab yang dipegangnya itu juga betul. Dia mengambil masa beberapa ketika untuk stabil semula sambil matanya memandang kiri kanan. Tentu jiwanya resah dan berlaku dilema antara benarnya hadis nabi dan salah pendapatnya. Hendak mengaku pendapatnya salah, tidak sama sekali!
Baru-baru ini dalam web forum yang saya menjadi ahli barunya turut melihat orang yang berjiwa kecil. Hal mudah dan kecil tetapi kesannya besar.
Komen dan soalan saya:
“Hukumnya sunat juga walaupun tidak ada contoh daripada Rasulullah? Jadi bagaimana hendak padankan dengan maksud sabda Nabi supaya kita solat sebagaimana melihat baginda solat? Saya tak mahu nafilah yg sdr letakkan itu kata2 ulama, tapi bagaimana hendak memahamkan dengan contoh solat Rasulullah.”
Inilah cara 'ustaz' berkenaan menjawab berbentuk helah, bukan terus fokus menjawab kepada isu. Cara beliau mendedahkan betapa sikap angkuhnya. Lihat:
“Sebelum tuh nak tanya, standard anda sekarang ini taraf mujtahid mana?
Dan kemudian dah menguasai disiplin ilmu dalam istinbath hukum ke belum?
Anda sekarang ini solat mengikut siapa?
Terima kasih.”
Dalam forum di http://www.al-fikrah.net/ misalnya seorang ahli mendedahkan pengalamannya bertanya kepada ustaz dalam masjid. Oleh kerana rakan ini tidak hafal ayat al-Quran yang hendak ditanyakan secara terbuka, maka dia membacakan dalam terjemahan Melayu. Mungkin kerana ustaz penceramah terganggu dengan pertanyaan rakan ini, maka dikutuknya rakan ini dengan mengatakan lebih kurang ‘inilah kalau tidak faham bahasa Arab dan mahu faham cara sendiri…’. Memang isu pokok yang ditanya tidak disentuh langsung. Pandai ustaz ini mengelak daripada menjawab. Betul-betul macam putar belit ahli politik di dewan perundangan!
Itulah beberapa contoh manusia yang berjiwa kecil tetapi merasa dirinya hebat. Sedikit ilmu yang ada padanya dirasakan orang lain serba jahil dan mesti menerima saja apa yang diucapkannya. Zaman telah jauh dan pantas berubah, tetapi minda sesetengah tokoh dalam masyarakat masih kaku seperti zaman feudal abad ke-17!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan