Pengikut

Jumaat, Mei 15, 2009

BEBERAPA pendapat Imam Syafie rhm.


Apabila disebut nama Imam Syafie, rata-rata umat Islam mengenalinya. Apatah lagi di negara seperti Malaysia, yang majoriti umat Islam bermazhab Syafie. Pun begitu, ada pendapat atau pegangan Imam besar ini yang tidak popular di negara kita, atau sengaja tidak dipopularkan. Antaranya:

1) Imam Syafie berakidah Allah Taala berada di atas Arasy.
Imam Syafie berkata: “Pegangan dalam sunnah yang aku berada di atasnya, dan dipegang oleh mereka yang aku temui seperti Sufian, Malik dan lain-lain ialah menyaksikan bahawa tidak ada Tuhan yang sebenar selain Allah dan Muhammad adalah pesuruh Allah, dan Allah berada di atas arasyNya di langitNya, mendekati makhlukNya sebagaimana Dia kehendaki, turun ke langit dunia sebagaimana Dia kehendaki”. Al-Uluw oleh Al-Zahabi (hlmn: 165), Ijtima’ Al-Juyusy Al-Islamiyyah (hlmn: 165).

2) Imam Syafie menegaskan kewajipan beriman dengan segala sifat Allah, dan sifat Allah hendaklah dipelajari melalui syarak, bukan dengan akal.
Kata Imam Syafie: “Allah Taala mempunyai nama-nama dan sifat-sifat. Tidak boleh seseorang pun menolaknya. Sesiapa yang menyalahi selepas tertegak hujah di hadapannya, maka dia menjadi kufur. Manakala sebelum tertegaknya hujah, dia dimaafkan dengan alasan jahil. Kerana ilmu tentangnya tidak dapat diperolehi dengan akal, pandangan, dan fikiran”. (Fathul Bari 20/494)

3) Imam Syafie berpendapat pahala bacaan Al-Quran tidak sampai kepada si mati.

Firman Allah Taala yang bermaksud:
“Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya”. (Al-Najm: 39).

Ibn Katsir berkata, “Daripada ayat yang mulia ini, Imam Syafie -rahimahullah- dan mereka yang mengikutinya mengeluarkan hukum bahawa pahala hadiah bacaan (Al-Quran) tidak sampai kepada orang-orang yang mati”. (Tafsir Ibn Katsir: 7/465).

4) Imam Syafie melarang bersembahyang berimamkan orang Syiah.

Al-Buwaitiy (murid Imam Syafie) bertanya kepada Imam Syafie, “Bolehkah aku bersembahyang di belakang orang Syiah?”
Imam Syafie berkata, “Jangan bersembahyang di belakang orang Syiah, orang Qadariyyah, dan orang Murjiah”
Al-Buwaitiy bertanya pula tentang sifat-sifat mereka. Lalu Imam Syafie menyifatkan, “Sesiapa yang mengatakan Abu Bakr dan Umar bukan imam, maka dia Syiah”. (Siyar A’lam Al-Nubala 10/31).

5) Imam Syafie mencela kumpulan sufi.

Imam Syafie berkata: “Kalau seorang lelaki bertasauf pada awal pagi, tidak sampai waktu Zohor kamu akan mendapati dia sudah menjadi bebal”. (Manaqib Al-Syafie 2/208)
Kata beliau lagi: “Tidak ada seorang pun melazimi golongan sufi selama 40 hari, kemudian akalnya boleh kembali (seperti sediakala)”. (Talbis Iblis: 371)
Kata beliau lagi: “Seorang sufi tidak menjadi sufi melainkan ada padanya empat sifat:
- sangat malas
- banyak makan
- banyak tidur
- banyak cakap kosong”.
(Manaqib Al-Syafie 2/208).

Antara kata-kata Imam Syafie lagi tentang tasauf: “Tasauf diasaskan di atas kemalasan”. (Hilyatul Awliya). Beliau juga berkata: “Aku mendampingi golongan sufi selama tiga puluh tahun, aku tidak melihat seorang pun dalam kalangan mereka berakal kecuali Muslim Al-Khawwash”. (Talbis Iblis: 447).

6) Imam Syafie mencela orang yang mendalami ilmu kalam.

Kata Imam Syafie: “Hukumanku terhadap ahli kalam ialah mereka hendaklah dipukul dengan pelepah-pelepah, diusung di atas unta, dan bawa mengelilingi kabilah-kabilah. Dilaungkan kepada mereka: Inilah balasan orang yang meninggalkan Kitab dan Sunnah, dan mempelajari ilmu kalam”. (Tawali al-Ta’sis: 64).

7) Imam Syafie mewajibkan tunduk kepada dalil, bukan taksub kepada imam.

Kata Imam Syafie: “Ulama telah berijmak (sepakat) bahawa sesiapa yang telah nyata baginya sunnah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, tidak halal dia meninggalkannya kerana mengikut pendapat seseorang”. (Madarij al-Salikin 2/335).

3 ulasan:

  1. Siapakah pengarang Manaqib As-Syafie tu?

    Tulisan abu umair amat bertentangan dengan pegangan ahli sunnah wal jamaah...sebab dia tu wahabi

    BalasPadam
  2. Merataplah anda dengan apa-apa soalan utk mengalihkan isu utama. Itu stail orang salah nak bela diri.

    Apa masalah besarkah AWSJ dengan rencana ini? Takut orang tahu pendirian Imam Syafie?

    BalasPadam
  3. Kalau semua pendapat imam syafie bercanggah dgn hawa nafsu org2 munafik yg mendakwa ASWJ semua dianggap 'wahabi', jelas la wahabi adalah pengikut sebenar mazhab syafie.

    BalasPadam