Pengikut

Khamis, Mei 28, 2009

KENDURI arwah (bagian 2)

Oleh: Wan Noriah Haji Daud, 1986.

Dalam kitab yang sama (Mizatul Iktidal) juga disebutkan Imam Ibn Madiniy berkata bahawa ‘Asim bin Kulaib adalah orang yang kita tidak dapat berhujah dengan dia apabila sesuatu hadis itu dia saja yang meriwayatkannya ( Koleksi Hadis-Hadis Hukum 6:258-259). Maksudnya , kalau ada satu riwayat dari jalan ‘Asim bin Kulaib itu dan tidak ada riwayat melalui jalan lain, maka riwayat atau hadis itu tidak boleh menjadi alasan. Dengan kata lain hadis yang diriwayatkan dari ‘Asim bin Kulaib adalah lemah dan tidak boleh dijadikan alasan sesuatu hukum.

Sesudah jelas hadis tersebut dhaif, perlu pula dijelaskan sedikit tentang hadis tersebut yang dikatakan diriwayatkan oleh Imam Abu Dawud dan Daruqutni, sebagaimana yang disebutkan dalam Majallah Hikmah yang telah dinyatakan di atas. Terdapat perbezaan kalimat dalam hadis yang menjadi pokok permasalahan itu. Dalam Majalah Hikmah yang disebutkan di atas, kalimah itu berbunyi,

“Maka di waktu Nabi pulang [dari penguburan jenazah], beliau bertemu dengan seorang pemanggil [penyeru] perempuannya iaitu isteri si mati.’’.

Penulis sendiri tidak dapat memastikan adakah kalimah yang sebegitu memang terdapat dalam kitab Bulughul Ummiyah oleh Al-Syeikh Muhammad Ali Al Maliki kerana penulis tidak mempunyai kitab tersebut. Walau bagaimanapun, penulis mempunyai Kitab Sunan Abi Daud, Dalam Sunan Abu Daud, juzuk 3, halaman 244, hadis nombor 3332 di bawah Kitab Al Buyuk, kalimah tersebut tidak sebagaimana yang disalinkan dalam Majalah Hikmah itu, tetapi seperti berikut;

“Maka di waktu Nabi pulang [dari penguburan jenazah], beliau bertemu dengan seorang pemanggil [penyeru] perempuan.”

Ringkasnya dalam Sunan Abi Daud yang asal tidak terdapat kalimah “da’i imra’atihi” [seorang penyeru perempuan yakni isteri si mati itu] tetapi terdapat “ da’i imra’atiin [seorang penyeru perempuan].

Dengan demikian , hadis tersebut, kalaupun dapat dipandang sahih padahal tidak, kerana ia diriwayatkan melalui ‘Asim bin Kulaib, seorang yang dikatakan tidak baik [lemah hafalannya], tidaklah pula menunjukkan Nabi s.a.w. dan para sahabatnya pergi ke rumah si mati atas undangan isteri si mati itu.

Hanya saja hadis itu menunjukkan Nabi s.a.w. dan para sahabatnya pergi ke rumah seorang perempun [ bukan isteri si mati] atas undangan perempuan itu sekembalinya Nabi s.a.w. dari menguburkan jenazah [Koleksi Hadis-Hadis Hukum 6 :259].

Dalam Kitab Subulus Salam [3.93] kalimah tersebut berbunyi: “da’i imra’atiin” [sesungguhnya seorang wanita memanggilnya [Nabi s.a.w.] kepada satu perjamuan]. Dalam Kitab Nailul Autar [6:69] kalimah tersebut berbunyi: ”da’i imra’ atiin” [seorang penyeru wanita]. Kalimah yang serupa itu juga terdapat dalam kitab Muktasar [terjemahan Indonesia] Nailul Autar [4:1931]. Dalam Kitab Al Muntaqa [ 2: 406], kalimah tersebut juga berbunyi : “da’i imra’atiin” [seorang penyeru perempuan].

Ringkasnya dalam kitab-kitab Subulus Salam [3:93], Nailul Autar [6:69, Muktasar [terjemahan Indonesia], Nailul Autar [4:1931], Al-Muntaqa [2:406],kalimah yang menjadi pokok permasaalahan itu hanya menunjukkan Nabi s.a.w. dan para sahabatnya pergi ke rumah seorang perempuan atas undangan perempuan itu sekembalinya Nabi s.a.w. dari menguburkan jenazah. Tambah pula menurut sambungan hadis tersebut, Nabi s.a.w. tidak makan di rumah perempuan itu, hanya beliau kunyah-kunyah sahaja, lantas beliau bersabda ; “........kambing ini diambil dengan tidak izin tuannya ......”.

Jadi perempuan yang mengundang Rasulullah s.a.w. itu ialah isteri orang yang mempunyai kambing dengan tidak seizin tuannya itu. Dan sekali-kali tidak terdapat qarinah [petunjuk] yang menunjukkan perempuan itu adalah isteri si mati tersebut. Sehubungan dengan ini Prof.T.M.Hasbi Ash-Shiddieqy menegaskan bahawa hadis ini terkenal dengan hadis perampasan kambing [Koleksi Hadis-hadis Hukum 6:259].

Syeikhul Islam Ibn Taimiyah membawa hadis ini untuk menerangkan hukum orang yang merampas kambing orang lain, lalu disembelih, dipanggang dan dimasaknya.
[Terjemahan Muktasar Nailul Autar 4:1933]. Di dalam kitab Nailul Autar, hadis ini diletakkan di bawah bab ‘Kambing rampasan yang telah disembelih,dipanggang atau dimasak’ [Ibid, hal.1931-1934].

Oleh hal yang demikian penggunaan hadis tersebut sebagai hujah untuk mengharuskan, apatah lagi untuk menyunatkan kenduri arwah atau kenduri arwah baik untuk upacara hadiah pahala adalah jauh dari mendekati kebenaran, disebabkan oleh beberapa faktor . Oleh itu jelaslah sudah bahawa tiada alasan yang membolehkan atau menyunatkan kenduri arwah itu. Pengarang Asy-Syamil menyebutkan iaitu “Adapun bermasak ahli mayat akan makanan dan dihimpunnya orang-orang memakannya maka kerja itu tiada dinaqal daripada sesuatu. Maka [perbuatan itu, iaitu kenduri arwah] ialah bid’ah yang tercela.” [Bahrul Maazi 7:130].

Pengarang Asy-Syamil mengambil dalil bagi pendapatnya itu dengan hadis Jarir bin Abdullah r.a. katanya; Adalah kami [ para sahabat ] menganggap perbuatan berkumpul di rumah ahli mayat dan membuat makanan [ kenduri arwah] sesudah ditanam mayat itu termasuk dari ratapan.” [R.Ahmad dan Ibn Majah. Ini adalah riwayat Ahmad, sahih. Adapun dalam riwayat Ibn Majah tidak terdapat kalimah ‘ sesudah ditanam mayat itu ‘, juga sahih].

(sambung ke bahagian tiga)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan